BAGI penduduk negeri Kedah, kuih gedung cak atau bengkang atap mungkin tidak asing lagi bagi mereka.
Namun, difahamkan populariti kuih tradisional berkenaan semakin tenggelam kerana kesukaran untuk membuatnya.
Menjejak sejarah sajian berkenaan, seorang wanita yang mahir membikin kuih gedung cak, Siti Rohaya Mohd Khair atau mesra disapa Rohaya berkata, kuih berkenaan berasal dari Aceh, Indonesia.
“Pada zaman dulu, penduduk Aceh yang berhijrah ke Tanah Melayu dan memilih daerah Yan, Tanjung Dawai dan Kota Kuala Muda sebagai lokasi penempatan mereka.
“Selain membawa budaya, mereka juga berkongsi keenakan kuih gedung cak. Itu sebab kuih ini terkenal di sini dan turut disajikan pada majlis keramaian tertentu,“ katanya.
Ujar ibu kepada tiga orang anak itu, sekali pandang kuih berkenaan saling tidak tumpah seperti kuih pulut panggang, tetapi ia menggunakan daun nipah sebagai pembungkus.
“Kuih gedung cak memang menggunakan daun nipah. Mungkin ramai yang tidak tahu yang daun nipah dapat menghasilkan bau yang sangat wangi, apatah lagi ketika kuih sedang dibakar atas api,“ katanya yang kini menetap di Penaga, Pulau Pinang.
Selain mempunyai aroma yang memukau, ujar Rohaya, daun itu juga dipercayai dapat membangkitkan selera orang ramai yang menjamahnya.
“Bahan asas untuk membuat kuih tradisi ini senang sahaja didapati. Antaranya tepung pulut sebagai bahan utama, gula Melaka dan kelapa parut.
“Masa yang diambil untuk menyiapkan kuih ini juga tidak lama iaitu sekitar 25 hingga 30 minit sahaja. Insya-ALLAH jika dimasak dengan teknik yang betul, kuih gedung cak mampu bertahan sehingga dua hari,“ katanya yang mempelajari resipi berkenaan daripada kakak iparnya.
PROFIL
- Nama: Siti Rohaya Mohd Khair
- Umur: 49 tahun
- Asal: Yan, Kedah
- Menetap: Penaga, Pulau Pinang
RESIPI KUIH GEDUNG CAK
Bahan-bahan
- 3 cawan tepung pulut
- 5 cawan kelapa parut
- 2 cawan gula pasir atau gula merah
- 3 cawan air
- Daun nipah (untuk bungkusan)
- Lidi / kokot
Cara penyediaan:
- Gula pasir atau gula merah dimasak bersama air sehingga menjadi air gula. Ketepikan seketika.
- Kemudian, tepung pulut digaul dengan kelapa parut dan masukkan air gula yang telah sejuk.
- Daun nipah dibuang tulangnya dan dipotong serta dibentuk secara memanjang (seperti kuih otak-otak).
- Seterusnya, adunan disendukkan ke atas daun nipah dan dilipat lalu hujung daun nipah disisipkan dengan bilah lidi atau dengan menggunakan pengokot.
- Kuih dibakar di atas api yang sederhana selama 10 minit.
Sumber: Siti Rohaya Mohd Khair.
Speak Your Mind