DI AMERIKA SYARIKAT, kira-kira 6,000 bayi dilahirkan dengan masalah sindrom Down, menurut portal perubatan antarabangsa, healthline.com.
Kata portal itu lagi, wanita yang mempunyai zuriat sindrom Down berkecenderungan memiliki anak yang memiliki situasi yang sama.
Secara matematiknya, jika seorang ibu mempunyai satu anak dengan keadaan tersebut, risiko untuk mendapat anak kedua adalah sekitar satu daripada 100 hingga usia 40 tahun.
“Sekiranya, genetik datang daripada keluarga ibu, risiko itu sekitar 10 hingga 15 peratus, sementara daripada sebelah bapa, sekitar tiga peratus sahaja,” kata laman web itu.
Dalam pada itu, Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ezura Madiana Md Monoto berkata, peningkatan umur ibu sering dikaitkan dengan kehamilan anak sindrom Down.
“Risiko ini meningkat dengan pesat kerana pada usia ibu 35 tahun, prevalens trisomi 21 adalah satu kes dalam 270 kehamilan.
“Kanak-kanak sindrom Down biasanya mempunyai keupayaan kognitif yang lebih rendah dan perkembangan fizikal mereka juga agak perlahan. Golongan itu juga berisiko tinggi diserang masalah jantung kongenital, penyakit gastroesophageal reflux, masalah tiroid dan kanser darah seperti leukemia,” ujarnya.
Kepada SinarPlus, Dr Ezura berkata, menjaga kanak-kanak khas itu tidak mudah.
“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam mengawal emosi masing-masing semasa menjaga dan mendidik mereka,” katanya yang turut memiliki seorang anak syurga dan sangat bersyukur dengan kurniaan itu.
Menyambung hujah, pakar itu berkata, sukar untuk menafikan perasaan ibu bapa atau penjaga yang sentiasa gusar dengan stigma masyarakat. Bukan itu sahaja, mereka pasti akan dihambat emosi bimbang tentang masa depan anak-anak istimewa itu.
“Cara terbaiknya untuk atasi hal itu adalah ibu bapa digalakkan mendapatkan dorongan daripada kumpulan sokongan seperti khidmat persatuan-persatuan aktif. Ia adalah kerana kelompok berkenaan akan menjadi rujukan dan tulang belakang serta tidak akan membiarkan ibu bapa berkeseorangan dalam membesarkan permata hati masing-masing,” katanya.
Pun demikian, dalam satu kajian yang dijalankan oleh United Nations Children’s Fund yang bertajuk Kanak-kanak Kurang Upaya di Malaysia: Kajian Mengenai Pengetahuan, Sikap dan Amalan (2017) menyaksikan, masyarakat pada masa kini dilihat semakin terbuka.
Output hasil temu bual mendapati 34 peratus rakyat di Malaysia bersimpati dengan anak sindrom Down, 28 peratus menyatakan hasrat untuk membantu golongan itu sementara 17 peratus daripada responden mengaku yang mereka bersyukur tidak mempunyai tidak keupayaan.