Hanya Guna 8 Bahan Sahaja, Sajian Ketupat Sotong Boleh Dihidangkan Menjelang Aidiladha

SEMPENA Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Selasa depan, apa kata kita mempelbagaikan lagi sajian.

Jika sebelum ini, ketupat, nasi impit atau lemang mendominasi meja makan, namun pada kali ini, SinarPlus cadangkan agar kita menampilkan kelainan dengan membuat ketupat sotong.

Tidak susah pun untuk menyiapkannya kerana hanya memerlukan beberapa jenis bahan yang mudah untuk diperoleh.

Untuk menerangkan lebih lanjut cara pembuatannya, penulis mendapatkan Siti Maizatul Hanim Ahmad atau mesra dengan panggilan Maizatul yang berasal dari Perlis.

Maizatul berkata, ketupat sotong yang popular di negeri Pantai Timur itu merupakan satu sajian yang memiliki aura yang mewah.

“Ini kerana harga sotong yang dijual di pasaran biasanya mencecah RM35 hingga RM50 dan mungkin akan lebih mahal menjelang musim perayaan,“ ujarnya.

Kata wanita itu, pendekatan membuat menu lazat tersebut sama seperti dengan ketupat biasa, cuma beras pulut disumbat ke dalam isi perut sotong.

Siti Maizatul Hanim.

“Untuk mendapatkan hasil yang sempurna, kita rendamkan pulut bersama santan dan secubit garam lebih kurang sejam lamanya.

“Kemudian, masukkan pulut dan kepala sotong ke dalam perut (sotong). Jangan lupa cucuk dengan lidi pendek pada bahagian atasnya secara bersilang bagi elak isinya terkeluar. Kena ingat, jangan terlalu lama membiarkan sotong di dalam kuali kerana isinya boleh bertukar menjadi liat,“ terang beliau yang mempelajari resipi klasik itu daripada abang ipar beliau, Luqman Idris yang berasal dari Kelantan.

Bagi menaikkan aroma masakan, ujar wanita berusia 26 tahun itu, beberapa helai daun pandan perlu ditambah, sebelum memasukkan santan yang dicampurkan bersama gula melaka, halia dan garam. Kesemua proses tersebut memakan masa kurang dari 40 minit.

“Sebelum ini, saya memang menjual ketupat sotong dengan harga RM10 untuk 4 atau 5 ekor sotong bergantung kepada saiznya. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, saya hanya ambil tempahan daripada pelanggan sahaja,“ ujarnya yang juga menjual aneka nasi dan pulut kuning secara dalam talian.

Speak Your Mind

*