MENGGORENG adalah salah satu cara yang sering digunakan dalam aktiviti memasak harian.
Boleh dikatakan sebahagian besar sajian kegemaran rakyat Malaysia berasaskan konsep gorengan yang menggunakan minyak.
Sejak kebelakangan ini harga minyak masak kelapa sawit menjadi topik hangat kerana dipercayai mengikut harga pasaran dunia. Hanya minyak masak dalam polibeg sahaja diberikan subsidi yang mana stoknya terhad kedai runcit ataupun pasar raya.
Adakah korang pernah memeriksa jenis minyak masak yang terbaik? dan minyak masak jenis apa pilihan kegemaran?
Pakar Perunding Dr Malinda Health & Beauty Academy, Dr Malinda berkongsi tentang pemilihan minyak masak yang sesuai digunakan.
“Pening sebab banyak sangat artikel yang kata minyak itu bagus, ada yang kata minyak ini pulak tak okey. Malah pendapat juga berubah-ubah dan pelbagai pendapat daripada pakar. Sebagai pegguna kita juga sering keliru.
“Nak jaga kesihatan katakan, mahal sikit pun tidak mengapa. Tapi, sebenarnya indah khabar daripada rupa. Mitos dan politik industri,” tulisnya.
Selain itu, beliau turut mengakui berpengalaman membeli minyak-minyak yang dimomokkan bagus dan tersenarai di rak premium di pasar raya.
Justeru, agar kita tidak keliru, Dr Malinda berkongsi beberapa tip pemilihan minyak masak.
“Masak menggoreng ialah antara cara yang memindahkan haba pada makanan pada kadar lebih cepat dan memberi aroma rasa lebih enak.
“Bukan langsung tidak boleh menggunakan cara ini, tetapi kita kena pandai pilih jenis minyak yang digunakan,” ujarnya.
Dr Malinda menyenaraikan dua tip untuk memilih minyak masak:
1. Jenis minyak
– Pilih yang mengandungi paling rendah Polyunsaturated Fats (asid lemak poli tak tepu) kerana minyak yang tinggi bahan itu apabila dipanaskan tidak stabil, lebih mudah teroksidasi dan menjadi tengik (rancid).
– Minyak jenis lemak tepu atau saturated fat contohnya minyak kelapa telah dimomokkan sebagai minyak tidak sihat itulah sebenarnya lemak paling stabil apabila dipanaskan.
2. Smoke point
– Apa itu smoke point? Smoke point merujuk pada suhu yang mana minyak menjadi terlalu panas dan akan menghasilkan asap. Apabila memasak melepasi suhu ‘smoke point’, penghasilan radikal bebas akan meningkat.
Radikal bebas antara penyebab proses pengaratan pada besi dan pereputan pada kayu dan ia boleh menyebabkan kita ‘mereput’ dan ‘berkarat’ dari dalam.
Selepas mengetahui betapa pentingnya tentang smoke point minyak yang digunakan, persoalan seterusnya ialah cara untuk mengetahui smoke point sesuatu jenis minyak?
Dr Malinda turut berkongsi tentang perkara ini.
“Maaf ya, ia tidak ada tertulis pada label minyak masak. Kita sebagai pengguna yang perlu membuat sedikit pembacaan untuk kesihatan diri. Anda juga juga boleh merujuk carta yang disertakan di bawah.
“Justeru, prinsip pemilihan minyak masak adalah pilih yang mempunyai smoke point paling tinggi dan mempunyai kandungan kandungan lemak tepu paling tinggi.
“Kombinasi kedua-dua faktor di atas akan menyebabkan minyak yang dipilih lebih stabil dan sesuai untuk digunakan pada suhu tinggi,” kongsinya.
Tutur beliau, kedua-dua kriteria di atas ada pada minyak kelapa.
“Minyak sawit juga mempunyai smoke point yang tinggi, 235 darjah Celcius dan kandungan lemak tepu 49 gram.
“Jadi kalau menggoreng the best ialah menggunakan minyak kelapa. Minyak sawit pun boleh. Tidak perlu membazirkan duit untuk membeli minyak ‘mahal’ yang mempunyai smoke point yang rendah dan kandungan lemak politak tepu yang tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut menekankan tentang kekerapan penggunaan minyak yang mungkin membahayakan.
“Minyak yang digoreng berulang kali juga menyebabkan smoke point semakin rendah! Jangan guna berulang kali. Memanglah sayang, tapi kena lagi sayang jantung lebih dari kita sayang minyak masak,” katanya.
Justeru, korang yang sudah mengetahui tentang cara memilih minyak masak ini bolehlah membuat pilihan terbaik. Semoga ia bermanfaat untuk kesihatan.
Sumber: Dr Malinda
Speak Your Mind