SEGALANYA kini semua di hujung jari sahaja.
Daripada kelas yang diadakan secara maya, pencarian resipi, permohonan kerja, malah sesi temuduga juga sudah banyak dilakukan secara virtual.
Jika diamati medium dalam talian juga muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Sudah terlalu banyak penggunaan aplikasi dan platform maya sehinggakan ada segelintir daripada kita yang gagal mengurusnya dengan baik.
Menyentuh tentang perkara itu, Aiman Psikologi yang banyak menulis tentang masalah kesihatan mental tampil berkongsi pandangannya di Twitter rasminya, @AimanPsikologi.
Tulis beliau, keadaan itu dipanggil technostress iaitu keadaan tertekan seseorang kerana terbeban untuk adaptasi dengan teknologi (tidak pandai guna) atau penggunaan teknologi secara berlebihan.
“Hasilnya tetap sama iaitu gangguan emosi, fizikal, kognitif dan sebagainya. Namun, technostress bukan penyakit mental ya,” beritahu beliau.
Aiman turut berkongsi perbezaan antara masalah kesihatan mental dan penyakit mental iaitu:
i) Masalah kesihatan mental – Melibatkan simptom atau sesuatu yang menganggu kesihatan mental seseorang.
ii) Penyakit mental – Diagnosis yang dibuat oleh pakar lepas melakukan penilaian secara mendalam.
“Technostress tidak didaftarkan atau direkodkan sebagai apa-apa jenis kecelaruan atau penyakit mental dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental Edisi Ke-5 atau Semakan Klasifikasi Penyakit Antarabangsa Ke-10,” tambah beliau.
Pun demikian, kata Aiman, technostress tersebut ibarat stres.
“Jadi, apabila stres digabungkan dengan teknologi, maka terhasilkan terma technostress,” jelas beliau.
Antara petanda seseorang itu berdepan technostress adalah seperti berikut:
1. Fizikal.
– Sakit kepala, pening-pening sebab selalu pandang skrin, mata rasa tegang dan kadangkala terbawa-bawa ke tidur (susah tidur atau susah bangun tidur).
– Otot juga boleh terkesan antaranya lenguh leher, belakang dan pinggang.
2. Kognitif.
– Pemikiran dan fungsi otak terkesan sehingga susah fokus semasa kerja, banyak menunda-nunda tugasan, motivasi hilang, rasa penat atau lesu otak dan sampai terlalu kerap buat silap.
“Paling dahsyat, sampai kita tak suka pada teknologi (sebab teringat-ingat betapa seksanya menghadap skrin),” katanya.
3. Emosi.
– Selalu rasa resah, gelisah dan menyebabkan panik kerana rasa banyak sangat benda kena lakukan sehingga pemikiran itu berlegar-legar dalam kepala.
4. Kesan lain.
– Otak selalu rasa serabut, susah untuk membuat keputusan, daya kreativiti jatuh, semangat belajar atau kerja hilang (sebab faktor teknologi, bukan faktor ilmu atau tanggungjawab).
“Jadi, antara penyebab terbesar kepada wujudnya technostress dan burnt-out berkaitan online ini adalah pendedahan mata kepada skrin yang dekat secara berlebihan, sampai sakit kepala, mata, leher dan rasa tegang, ” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Aiman turut memaklumkan technostress juga boleh berlaku kerana selalu nampak diri sendiri dan orang lain melalui skrin sahaja.
“Bukan in real life. Kita manusia semuanya perlu ada connection berbentuk real life. Kita ‘dahagakan’ input emosi, sentuhan fizikal, bunyi orang bercakap dan sebagainya. Berbeza dalam skrin, semua rasa ‘computerized‘,” ungkap beliau.
Sebenarnya, ujar Aiman, technostress bukan benda baharu.
“Sudah lama diperkenalkan sejak tahun 1984 lagi. Cuma pada waktu itu, ‘teknologi’ tidak semestinya merujuk komputer atau laptop semata-mata tetapi teknologi apa yang ada waktu zaman itu dan membebankan kepada penggunanya,” katanya.
Oleh itu, saran beliau, technostress perlu diuruskan sebaiknya.
“Bukan apa, takut kalau melarat, keadaan itu akan buka ‘pintu-pintu’ baharu ke arah masalah kesihatan mental yang lain,” ujar beliau.
Speak Your Mind