Archives for December 25, 2021

Jangan Guna Kertas Surat Khabar Untuk Serap Minyak Pada Makanan Bergoreng. Ia Boleh Cetuskan Penyakit Kanser

SURAT KHABAR masih menjadi pilihan ramai peniaga untuk membalut makanan.

Walaupun kadang-kadang kita lihat permukaan surat khabar atau erti kata mudah, tulisan pada dada akhbar itu bersentuhan secara langsung dengan makanan, mereka tidak kisah pun.

Bagi mereka yang penting, cara itu dapat menyerap minyak daripada makanan yang bergoreng.

Namun, hakikatnya pendekatan itu tidak kena. Ini kerana pencemaran boleh terjadi sekiranya pengendali makanan menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudian menyentuh makanan siap untuk dimakan secara langsung.

Baru-baru ini, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dalam entri Facebook mereka menjelaskan, bahan kimia pada dakwat surat khabar boleh mencemarkan makanan seterusnya memberi kesan berbahaya kepada kesihatan manusia.

Kata mereka, jika terpaksa menggunakan kertas surat khabar juga, jadikan ia sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan.

“Paling terbaik adalah gunakan pembalut makanan yang dikhaskan untuk makanan (food grade) bagi mengelak berlakunya pencemaran silang.

Elak pencemaran dakwat pada makanan anda!

Tahukah anda, pencemaran boleh terjadi sekiranya pengendali makanan menyentuh…

Posted by BKKM JKN Perlis on Friday, March 26, 2021

“Surat khabar mengandungi bahan kimia seperti karbon, logam berat dan pelarut. Apabila minyak yang diserap oleh surat khabar akan melarut dakwat dan seterusnya menyerap ke dalam makanan,” beritahunya.

Menurut Pusat Racun Negara, dakwat yang digunakan untuk mencetak akhbar mempunyai kebarangkalian yang tinggi menggunakan bahan kimia yang boleh manjadi punca kepada beberapa jenis penyakit kronik.

Lembaga Keselamatan dan Piawaian Makanan India juga melaporkan bahawa dakwat surat khabar mengandungi bahan yang boleh memberi pelbagai kesan negatif pada tubuh badan.

Kajian mereka juga menunjukkan terdapat dakwat surat khabar yang bersifat karsinogenik (punca berlakunya kanser) dan ia boleh meresap ke dalam makanan dengan begitu mudah sekali.

Di Malaysia, terdapat undang-undang yang mengawal kebersihan makanan iaitu di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Pengendali makanan perlulah menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual dengan memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan bebas daripada apa-apa pencemaran.

“Jika gagal pengendali boleh dipenalti tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun tau!,” kata Public Health Malaysia.

Oleh itu, jom beralih daripada pembungkusan surat khabar kepada pembungkusan yang lebih selamat dan bersih.

Apa-apapun, buatlah pilihan yang bijak untuk kebaikan semua.

Foto: Sumber internet

Ramai Cuak Bila Muncul Benjolan Keras Seperti Guli Pada Pergelangan Tangan. Bahaya Ke Tidak Sebenarnya?

APABILA kita membengkokkan pergelangan tangan dan tiba-tiba kelihatan benjolan keras seperti guli, pasti kita akan cuak, bukan?

Benjolan itu sebenarnya dipanggil ganglion cyst. Adakah ia berbahaya atau sebaliknya?

Menjawab persoalan itu, Pakar Ortopedik Hospital Kemaman, Terengganu, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed mempunyai penjelasan.

Ujarnya, ganglion cyst pada pergelangan tangan biasanya boleh menekan saraf yang berhampiran menyebabkan tangan seseorang berasa kebas.

Bagaimanapun, jelas beliau, ia tidak membahaya apatah lagi berisiko berubah menjadi kanser.

Memperincikan lebih lanjut, pakar itu berkata, ganglion cyst adalah ketumbuhan tisu yang paling kerap terjadi pada sendi.

“70 peratus daripada ganglion terjadi pada bahagian belakang (dorsum) pergelangan tangan iaitu muncul daripada sendi scapholunate.

“Selebihnya pula berlaku pada bahagian permukaan depan (volar) daripada sendi radiocarpal dan scaphotrapezial.

“Adakalanya ia terlalu kecil sehinggakan cuma boleh dilihat apabila pesakit membengkokkan pergelangan tangan,” beritahu beliau menerusi video dimuat naik menerusi YouTubenya.

Beritahunya, kandungan benjolan tersebut adalah campuran cecair sendi iaitu glucosamine, albumin, globulin dan hyaluronic acid.

Mengenai simptomnya pula, ujar Dr Mahyuddin, kesan tekanan atau pressure effect akan mengakibatkan sebahagian pesakit akan mengadu akan ketidakselesaan akibat kehadiran ganglion itu apabila mereka hendak melakukan aktiviti menggunakan tangan.


Kenapa ia terjadi? Ujar Dr Mahyuddin, ganglion terbentuk akibat kelemahan pada lapisan tisu yang melapisi sendi sehingga cecair synovial menolaknya keluar dan membentuk benjolan.

“Terdapat dua teori iaitu Teori Trauma dan Teori Keradangan yang cuba menjelaskan kenapa kelemahan tisu ini berlaku namun jawapan sebenarnya masih kekal misteri,” kongsi beliau.

Apa-apapun nasihat Dr Mahyuddin, pesakit perlu segera berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang benjolan atau terdapat kesan bengkak pada mana-mana anggota badan.

“Selain daripada ganglion, kebengkakan atau benjolan boleh disebabkan oleh ketumbuhan lain seperti lipoma (ketumbuhan sel lemak), sebaceous cyst (benjolan kelenjar peluh) ataupun abscess (nanah),” katanya.

Tibi: Angkara Kuman Paling Mengerikan

PENYAKIT tibi secara rasmi direkodkan pada tahun 1882 oleh Dr Robert Koch. Meskipun sudah 139 setahun berlalu, penyakit berkenaan masih menular dalam kalangan penduduk dunia era moden.

Bayangkan risiko penyakit yang sampai saat ini masih menjadi epidemik di alam semesta boleh berlaku kepada hampir semua tingkatan sosial ekonomi, miskin ataupun kaya dan tidak mengira batasan usia.

Berdasarkan statistik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kira-kira 10 juta kes tibi direkodkan dengan 1.5 juta mangsa terkorban.

Lebih 95 peratus kematian itu terjadi di negara-negara sedang membangun dan kira-kira 50 peratus daripada terdiri daripada rakyat India, China, Indonesia, Pakistan dan Filipina.

Di peringkat lokal, laman web rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan, tibi merupakan penyakit berjangkit kedua tertinggi di negara ini.

Pada tahun lalu, ketika Hari Sambutan Tibi Sedunia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada tahun 2019, sebanyak 26,352 kes dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 2 peratus berbanding 25,837 kes pada tahun 2018.

“Kadar kematian tibi di negara ini pula (tahun 2019) adalah 3.7 peratus bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, penyakit tibi merupakan salah satu fokus utama kementerian selaras dengan hasrat WHO ke arah eliminasi penyakit tersebut menjelang tahun 2050.

Bagi mengulas lanjut penyakit kuno itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Hematologi, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Muar, Dr Norfaizal Abd Latiff.

Dr Norfaizal Abd Latiff.

Kata beliau, penyakit tuberculosis atau tibi bukan sahaja menjadi isu perubatan biologi, malah berkait rapat dengan kelas sosial seperti keselesaan psikologi, taraf hidup dan kebersihan seseorang individu.

Risiko maut

Persoalan utama, bagaimana tibi boleh tercetus? Menjawab pertanyaan itu, beliau menjelaskan: “Ia berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis yang mana merupakan sejenis bakteria aerob yang memerlukan oksigen untuk hidup.

“Penyakit ini boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia individu malah bayi atau kanak-kanak juga merupakan golongan berisiko tinggi selain warga emas dan penghidap penyakit kronik.”

Ujar pakar terbabit, tibi atau juga dikenali sebagai batuk kering akan menunjukkan simptom sekiranya ia menjangkiti pesakit. Antaranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, badan mula menyusut dan juga batuk berdarah.

Kelaziman yang biasa didengari masyarakat, tibi hanya ‘menyerang’ paru-paru. Namun demikian, kata Dr Norfaizal, kuman itu sebenarnya juga boleh menjangkiti organ lain iaitu ekstrapulmonari tuberculosis seperti otak (tibi meningitis), tulang (tibi spine), kelenjar (tibi lymph node), usus (tibi gut) dan organ-organ lain.

Beliau menegaskan, tibilah bukanlah satu penyakit yang boleh dipandang sebelah mata. Masakan tidak, jika pesakit tibi lewat mendapatkan rawatan, impaknya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah kepada keluarga, masyarakat dan persekitaran.

Pernyataan itu adalah bersandarkan fakta bahawa kuman Mycobacterium tuberculosis yang dibebaskan ke ruang udara oleh pembawa akan menyebabkan bakteria itu tersebar kepada orang sekeliling yang menghirup udara yang sama.

“Individu yang telah dijangkiti tibi ini juga akan turut mendapat jangkitan yang lebih merbahaya pada organ yang lain dan boleh mengundang maut pada bila-bila masa,” jelas beliau.

Buktinya, kematian kes tibi bagi kohort pesakit tahun 2018 mencapai graf yang tinggi dan membimbangkan iaitu sebanyak 11.3 peratus.

Salah tafsir

Sementara itu, Pensyarah di Fakulti Perubatan, Biosains dan Kejururawatan, Universiti MAHSA, Prof Datuk Dr Abdul Razak Muttalif yang dihubungi ingin memperbetulkan perspektif orang awam terhadap cara jangkitan tibi.

Prof Datuk Dr Abdul Razak Muttalif.

“Ingin saya betulkan salah faham ramai orang yang mengatakan bahawa tibi berjangkit melalui sentuhan, makanan atau minuman, sebaliknya ia berpunca daripada jangkitan melalui udara.

“Begitu juga dengan tanda-tanda atau simptom penyakit berkenaan. Batuk berdarah memang antara petandanya, namun demikian ia bukanlah sesuatu yang biasa. Seperkara, masyarakat kita pada hari kini, apabila seseorang batuk berdarah, mereka akan terus berfikir bahawa diri mereka disantau ataupun terkena buatan orang, namun hakikatnya ia bukan ke arah itu,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Razak memberitahu, jangkitan tibi boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu aktif dan terpendam.

“Bagi tibi terpendam, selalunya individu ini memiliki tubuh yang sihat, namun terdedah kepada Mycobacterium tuberculosis yang disebarkan melalui batuk, bersin dan ketawa pesakit tibi.

“Oleh kerana sistem imun yang kuat, tubuh dapat mengawal kuman berkenaan. Namun begitu, golongan ini sangat berisiko menjadi pesakit tibi aktif sekiranya sistem pertahanan badan mereka menjadi lemah,” katanya lagi.

Antara faktor yang boleh meningkatkan potensi tibi aktif jika ia dihidapi oleh pesakit kencing manis tidak terkawal, pesakit kanser, mereka yang dijangkiti kuman lain seperti HIV, hepatitis B dan C serta pesakit yang menjalani prosedur pemindahan organ. Tidak ketinggalan adalah kumpulan pekerja hospital dan ahli keluarga di rumah.

Kata Pakar Paru-Paru, Hospital Sentosa, Kuala Lumpur itu lagi, individu yang didiagnos sebagai tibi terpendam kemungkinan akan menjadi tibi aktif dengan kadar pertambahan satu peratus setiap tahun, berbanding mereka yang sihat hanya satu peratus bagi tempoh 10 tahun dan akan dipantau selama beberapa tahun.

Oleh yang demikian, pesan Dr Abdul Razak, dapatkan rawatan segera kerana dengan kaedah itu sahaja jangkitan kuman tibi dapat dikawal.

“Usah gusar kerana perkhidmatan kesihatan kita sentiasa membantu para pesakit untuk sihat dengan kaedah yang terjamin. Bagaimanapun, jangan sesekali mengambil mudah isu ini terutama kepada mereka yang sedang menjaga pesakit yang masih ada kuman tibi,” pesannya.

Justeru, beliau menitipkan pesanan agar para penjaga termasuk mereka yang mempunyai simptom tibi disaran memakai pelitup muka jenis N95 sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan bakteria maut itu.

“Kena ingat, selagi kahak itu masih ada, ia masih berisiko. Keadaan kawasan rumah memang memerlukan pengudaraan yang baik dan sebab itulah pesakit tidak digalakkan meludah di merata tempat. Pada masa sama, setiap ahli keluarga perlu menjalani ujian seperti X-ray atau ujian mantoux bagi memastikan mereka tidak dijangkiti kuman tibi,” tambah beliau.

Mengenai rawatan pula, SinarPlus kembali bertanyakan soalan itu kepada Dr Norfaizal. Beritahu beliau, ia mengambil masa selama enam bulan jika melibatkan tibi pada paru-paru.

“Ingin saya tegaskan, penyakit tibi boleh sembuh jika pesakit mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan,” katanya.

Katanya, dalam strategi utama Program Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tibi KKM, ia merangkumi pengesanan awal penyakit dan memastikan rawatan diberikan akan dipatuhi pesakit sehingga sembuh.

“Ia sangat penting supaya pesakit tidak lagi merebakkan penyakit kepada orang lain. Selain itu, saringan golongan berisiko tinggi terutama pengesanan kontak rapat pesakit juga merupakan satu usaha yang signifikan bagi pengesanan awal penyakit ini,” katanya.

Sejajar dengan misi KKM untuk sifar kes tibi pada tahun 2035, ujar Dr Norfaizal, pengambilan vaksin BCG harus diwajibkan kepada semua bayi yang baru lahir.

“Vaksin ini berfungsi untuk merangsang sistem imun kita bagi menghasilkan antibodi terhadap kuman tibi,” jelasnya.

Nurul Saadiah pulih selepas berbulan-bulan dapatkan rawatan matikan kuman

NURUL SAADIAH ALI, 27, antara individu yang pernah melalui detik cemas apabila disahkan mempunyai penyakit tibi semasa sedang melanjutkan pengajian di institusi swasta dua tahun lalu.

“Sebenarnya, saya sama sekali tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku. Semunya bermula dengan simptom demam panas, batuk berkahak dan berdarah. Saya kemudia berjumpa dengan doktor setelah hampir dua minggu masalah itu tak reda, tambahan berat badan saya turun mendadak iaitu kira-kira 8 kilogram,” beritahu anak tunggal kelahiran Sabah.

Apabila diberitahu beliau menghidap tibi selepas analisis sampel kahak dibuat, wanita itu berkata, dirinya bagaikan tidak percaya sama sekali.

“Bayangkan, pada usia seawal usia 20-an saya sudah mempunyai penyakit itu. Setelah diselidik, rupa-rupanya, arwah datuk sebelah bapa memiliki masalah serupa.

“Kisah dua tahun lalu banyak memberi pengajaran kepada saya setelah terpaksa tinggal di hospital hampir beberapa bulan lama untuk mematikan kuman yang menyebabkann masalah tibi,” tuturnya.

Mengakui meskipun pada awalnya sangat takut lantaran kerap memikirkan perkara-perkara yang negatif, Nurul Saadiah berkata, beliau kini menjalani kehidupannya seperti biasa setelah disahkan bebas daripada cengkaman penyakit mengerikan itu.

“Apa-apapun, kunci kepada kesihatan saya kini adalah mematuhi proses rawatan yang dilakukan kerana jika ia gagal, jangkitan itu boleh menyerang kembali,” tambah beliau.

ANEKDOT

PENYAKIT tibi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

  1. Tibi paru-paru

Tibi paru-paru lebih dikenali sebagai tuberkulosis. Gejalanya adalah seperti batuk berterusan selama lebih daripada tiga minggu, batuk darah, batuk berkahak, sakit dada dan sesak nafas.

  1. Tibi limfa

Jangkitan tibi limfa boleh menyerang beberapa bahagian termasuk kelenjar pada leher. Gejala adalah ketulan pada kelenjar, demam panas, keletihan, penurunan berat badan secara drastik dan berpeluh berlebihan pada waktu malam.

  1. Tibi tulang

Jarang berlaku tetapi jumlah kesnya tinggi di negara-negara dengan kes HIV atau AIDS yang tinggi. Gejalanya adalah sakit belakang, tulang terasa kaku, bengkak pada sekitar tulang dan bentuk tulang berubah.

  1. Tibi milier

Tibi milier berlaku apabila kuman merebak lebih daripada satu organ seperti paru-paru, sumsum tulang dan hati. Namun demikian, ada kemungkinan tibi jenis ini boleh merebak ke tulang belakang, otak dan jantung. Gejala yang dialami oleh pesakit bergantung pada organ yang dijangkiti.

  1. Tibi urogenital

Tibi jenis ini akan menyerang organ kemaluan, saluran kencing atau paling sering terjadi pada buah pinggang. Biasanya, ia akan merebak ke buah pinggang daripada paru-paru melalui darah atau kelenjar. Antara gejalanya seperti zakar membengkak, sakit ketika membuang air kecil, aliran air kencing tidak lancar atau berkurang, sakit pelvis, sakit belakang dan kemandulan.

  1. Tibi hati

Tibi yang menyerang hati menyumbang kurang daripada satu peratus daripada semua jangkitan tibi lain. Beberapa gejala tibi hati termasuklah demam panas, saiz hati yang semakin membesar, sakit perut (bahagian atas) dan jaundis.

  1. Tibi pada saluran pencernaan

Tibi gastrointestinal adalah sejenis jangkitan yang menyerang saluran pencernaan daripada mulut hingga ke dubur. Gejala yang dialami oleh penghidapnya adalah seperti sakit perut, hilang selera makan, pengurangan berat, sembelit atau cirit-birit, pening dan muntah.

  1. Tibi meningitis

Tibi juga boleh menyerang sistem membran nipis yang melindungi otak dan saraf tunjang. Beberapa gejala tibi meningitis adalah keletihan, hilang selera makan, sakit kepala yang berterusan, demam, pening, muntah, sakit pada seluruh badan, sensitif terhadap cahaya dan leher terasa kaku.

  1. Tibi peritonitis

Jenis tuberkulosis yang lain adalah tuberkulosis peritonitis yang merupakan keradangan pada lapisan nipis dinding dalaman perut. Gejala yang paling biasa dialami oleh penghidap tibi peritonitis seperti ascites (cecair muncul di rongga perut), pening, muntah, hilang selera makan dan demam panas.

  1. Tibi kulit

Tibi kulit adalah jenis yang paling jarang berlaku. Terdapat beberapa jenis tibi kulit dan boleh merebak pada mana-mana bahagian badan. Biasanya, gejalanya dicirikan oleh penampilan luka terbuka pada siku, tangan, punggung, belakang lutut dan juga kaki.

Sumber: sehatq.com. 

Sekiranya Mata Sentiasa Berair, Ia Sebenarnya Petunjuk Yang Organ Kita Tidak Sihat. Ini Sebab-Sebabnya

MATA berair akan membuat seseorang itu berasa kurang selesa dan penglihatannya juga akan terganggu.

Sebenarnya, masalah berkenaan tidak boleh dipandang enteng kerana pelbagai kesan sampingan boleh berlaku. Antaranya alergi dan penyakit sistem imun dan saraf.

Baru-baru ini, Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad berkongsi mengenai masalah masalah mata berair melalui laman Facebooknya.

Dr Zubaidi Ahmad.

Tulis beliau, air mata berlebihan boleh disebabkan oleh dua mekanisme iaitu penghasilan air mata berlebihan atau penyumbatan pada saliran air mata.

“Kadangkala kedua-dua mekanisma tersebut boleh berlaku secara serentak,” beritahu beliau.

Memperincikan lebih lanjut mengenai masalah itu, ungkap Dr Zubaidi, air mata dihasilkan oleh kelenjar lakrimal yang terletak pada bahagian lateral mata.

“Pengaliran keluar air mata pula adalah melalui dua lubang kecil dipanggil punktum yang terletak pada bahagian medial kelopak mata atas dan bawah.

“Apabila mata berkelip, air mata akan dialirkan ke dalam lubang tersebut dan seterusnya melalui ruang atau rongga hidung melalui saluran nasolakrimal (mata akan berair sekiranya berlaku penyumbatan saluran nasolakrimal),” terangnya lagi.

Mengenai penyumbatan pada sistem saliran pula, jelas Dr Zubaidi, selalunya ia tidak mendatangkan kesakitan tetapi akan menyebabkan pengumpulan air mata berlebihan dalam mata.

“Pengeluaran air mata yang berterusan akan memaksa pesakit mengesatnya secara berterusan dan perbuatan itu akan menyebabkan kulit di sekeliling mata melecet,” jelas beliau.

Sekiranya keadaan itu berterusan, ia akan menyebabkan jangkitan kuman pada kantung lakrimal (lacrimal sac) dan seterusnya mengalami kebengkakan di tepi hidung yang terlibat dan pesakit akan merasa sakit dan perlu dimasukkan ke wad untuk rawatan.

Berikut pendedahan daripada Dr Zubaidi mengenai beberapa keadaan lain yang boleh menyebabkan mata berair:

i) Konjunktivitis.

  • Jangkitan kuman pada mata menyebabkan mata berair, bertahi, merah dan bengkak pada kelopak mata.

ii) Masalah pada kornea.

  • Gangguan pada lapisan kornea seperti terdapatnya luka dan bendasing boleh menyebabkan mata berair selain rasa berpasir di dalam mata.

iii) Ektropion.

  • Kedudukan kelopak mata terpusing keluar menyebabkan kekeringan kornea dan kedudukan punktum (lubang-lubang kecil) yang tidak sempurna lalu menyebabkan air mata bertakung dan tidak mengalir ke ruang atau rongga hidung.

iv) Glaukoma kongenital.

  • Mata berair dalam kalangan bayi selalunya disebabkan oleh kelewatan pembukaan saluran nasolakrimal yang mana biasanya sembuh apabila kanak-kanak membesar.

Bagaimanapun, mata berair dalam kalangan kanak-kanak mungkin merupakan tanda-tanda glaukoma kongenital yang memerlukan diagnosa rawatan awal oleh doktor mata kerana ia boleh menyebabkan kebutaan.

“Sebenarnya, rawatan mungkin tidak diperlukan sekiranya mata berair tidak mengganggu aktiviti seharian.

“Jika anda sedang mengalami masalah mata berair yang berpanjangan dan disertai dengan rasa sakit, kemerahan, kerengsaan, pendarahan, lebam pada mata, sakit kepala teruk dan masalah penglihatan lain, segeralah berjumpa dengan doktor pakar oftalmologi,” pesan Dr Zubaidi.

Sambal Tumbuk Berapi Penyedap Hidangan Nasi Berlauk

Sambal tumbuk berapi penyedap hidangan nasi berlauk

JIKA menjamah nasi dan lauk, sudah namanya tekak Melayu, tak ada sambal memang tak sah.

Pergilah ke pelusuk dunia mana pun pasti merindukan rasa sambal. Memang rasanya tidak lengkap bila nikmati hidangan tanpa sambal.

Jika sebut sambal sudah pastinya ia menu sampingan penyedap yang mempunyai pelbagai rasa dan bahan seperti sambal kuinin, mempelam muda, ikan bilis petai dan tempoyak, belacan, belacan kulit limau, ikan bilis cili padi, kicap cili potong, air asam lada picit, gesek ikan bilis dan sebagainya.

Namun, buat mereka yang berani dan tahan pedas boleh mencuba sambal tumbuk berapi ini. Mungkin kena dengan selera korang sebab rasanya sangat ummp!

Bahan-bahan pun sangat ringkas semestinya hanya menggunakan bahan asas yang ada di dapur korang.

Memang cukup rasanya pedas, masam, manis dan masin, sangat menyelerakan!

Bahan-bahannya;

  • Ikan bilis
  • Udang kering
  • 20 biji cili api
  • 2 biji bawnag besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 keping asam gelugur
  • Gula dan garam secukup rasa
Sambal tumbuk berapi penyedap hidangan nasi berlauk

Cara-cara membuatnya;

1. Tumbuk bawang besar, bawang putih dan cili api. Jangan tumbuk terlalu halus.

2. Masukkan ikan bilis dan udang kering, pecah-pecahkan.

3. Panaskan minyak dalam kuantiti yang banyak kemudian tumis bahan tumbuk hingga garing.

4. Tambahkan garam secukup rasa dan juga satu sudu gula. Sederhanakan api dan masak sambal hingga betul-betul garing.

5. Angkat dan tapiskan minyaknya. Sejukkan terlebih dahulu sebelum disimpan dalam bekas.

Siap dan sedia untuk dinikmati.

Semoga bermanfaat!

Sumber : Aisha Shukor

Tandas Cangkung Atau Tandas Duduk Yang Lebih Efektif? Ikuti Penjelasannya Dari Sudut Perubatan

TANDAS adalah ruang yang paling penting dan wajib ada di setiap rumah.

Namun bukan reka bentuk tandas yang hendak dibincangkan tetapi tentang jenis tandas yang semestinya melibatkan postur badan.

Facebook Public Health Malaysia (PHM) yang membangkitkan topik berkenaan baru-baru ini menjelaskan, terdapat dua postur badan sewaktu membuang air, sama ada menggunakan tandas duduk atau mencangkung.

Posisi mencangkung sememangnya lebih baik untuk kesihatan namun ada alternatif yang dapat membantu pengguna tandas…

Posted by Public Health Malaysia on Sunday, April 4, 2021

“Bagi mereka yang biasa dengan tandas moden, postur mencangkung mungkin kelihatan kurang selesa dan bertamadun,” beritahu mereka.

Okey, sebelum itu, SinarPlus ingin jelaskan, posisi buang air besar secara duduk melibatkan duduk dengan pinggul dan lutut di sudut tepat seperti di atas kerusi.

Sementara tandas moden dan tandas jenis kering direka untuk digunakan dalam postur duduk.

Laman web antarabangsa healthline.com mendedahkan, tandas jenis duduk sebenarnya telah digunakan secara meluas di Eropah sejak abad ke-19 lagi.

Menurut PHM, dalam sesetengah keadaan, terdapat bangku kaki kecil yang membolehkan pengguna tandas berada dalam postur yang agak sama dengan mencangkung.

“Posisi buang air besar secara mencangkung melibatkan posisi duduk kaki berlipat dengan lutut dan pinggul pada sudut tajam dan punggung hampir ke tanah. Tandas cangkung direka untuk memudahkan postur ini,” beritahu laman web itu lagi.

CANGKUNG ATAU DUDUK?

Walaupun tiada kajian saintifik meluas membandingkan kedua-dua posisi, terdapat beberapa bukti yang mendukung bahawa tandas cangkung memudahkan proses mengosongkan perut.

“Semasa membuang air besar, rektum pada bahagian akhir usus besar menegang apabila dipenuhi najis. Ini menyebabkan otot saluran dubur kendur.

“Otot puborektali yang melingkari rektum seperti anduh, biasanya memegang rektum ke hadapan untuk membentuk sudut ketat (dikenali sebagai sudut anorektal),” jelasnya lagi.

Memberi gambaran mudah, otot puborektalis akan kendur dan sudut anorektal pula akan melebar semasa proses itu berlaku.

Sebenarnya, duduk mencangkung menambah kelebaran sudut anorektal untuk membolehkan laluan yang lebih mudah dan lurus untuk najis keluar.

Pada masa sama, ada yang berpendapat mencangkung mungkin berguna untuk mereka yang mengalami sembelit kronik, namun, ia bukanlah penawar.

“Tiada bukti kukuh untuk mecadangkan bahawa mencangkung boleh menghalang atau menyembuhkan buasir.

“Sesetengah orang pula memang secara semula jadi mengambil masa yang lebih lama untuk membuang air besar dan tidak dapat dikurangkan dengan mencangkung,” tambah mereka lagi.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak biasa mencangkung, orang yang mempunyai masalah berat badan, orang kurang upaya dan orang tua mungkin mendapati postur mencangkung sukar bagi mereka untuk membuang air besar.

Oleh itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan jenis tandas dengan postur yang sesuai mengikut keadaan kesihatan diri masing-masing.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda semua.

Buat Resipi Atau Kek Menggunakan Coklat Cadbury Yang Lazat. Pada Masa Sama, Bantu Golongan Yang Memerlukan

SEBENARNYA, ada banyak cara untuk kita berbakti kepada masyarakat.

Contoh terbaik adalah apa yang dilakukan oleh Cadbury Dairy Milk, jenama konfeksi terkemuka di bawah Mondelez International.

Apa yang dilakukan mereka ada dengan menyemarakkan amalan menderma dan saling bantu membantu dengan membuat kuih raya menerusi kempen Kuih Raya Dari Hati.

Untuk merealisasikannya, Cadbury Dairy Milk bekerjasama dengan Food Aid Foundation, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang memfokuskan kepada pengagihan makanan dan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan.

Antara resipi enak dan unik yang boleh disediakan adalah seperti Kek Batik Coklat Cadbury, Biskut Keju Cadbury, Almond London Cadbury dan Tart Coklat Cadbury sememangnya lazat.

Pengarah Urusan Mondelēz International, Malaysia dan Singapura, James Kane berkata, memandangkan pandemik ini telah menjejaskan kehidupan banyak isi rumah berpendapatan rendah dan menyukarkan usaha mereka dalam mencari pendapatan, ramai rakyat Malaysia telah tampil menyahut cabaran dan menghulurkan bantuan.

Rakyat Malaysia sentiasa ikhlas membantu, terutamanya pada bulan yang mulia seperti Ramadan dan Aidilfitri.

Justeru itu, kami merasakan bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan inisiatif #KuihRayaDariHati sebagai usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia.

Kami berharap inisiatif ini dapat mendorong warga Malaysia untuk membantu masyarakat yang memerlukan menerusi penyediaan kuih raya menggunakan Cadbury Dairy Milk,” katanya yang mendorong rakyat Malaysia untuk menyediakan kuih raya dan bersama-sama menyertai program kemasyarakatan ini.

Untuk menyertai kempen tersebut, berikut adalah langkah-langkahnya:

-Buat kuih raya mengikut kreativiti anda sendiri atau cuba resipi kuih raya unik yang dicadangkan oleh Cadbury Dairy Milk.

-Lawati resipiraya.cadburyoreo.com.my untuk pelbagai resipi kuih raya ringkas yang boleh dicuba.

-Kongsikan hasil air tangan anda dalam media sosial dengan meletakkan tag @Cadbury_MY dan tanda pagar #KuihRayaDariHati.

-Setiap kuih raya yang dibuat dan dimuat naik di Instagram, Cadbury Dairy Milk akan menyumbang kepada komuniti yang memerlukan.

-Food Aid Foundation akan menghantar pek sumbangan raya yang mengandungi barangan keperluan, duit raya dan Kuih Raya Cadbury Dairy Milk kepada keluarga yang memerlukan.

-Dengan setiap pembelian satu pek kongsi bersama Cadbury Dairy Milk 150g dan satu paket OREO 133g (pelbagai variasi) di mana-mana cawangan 99 Speedmart, Mondelēz International akan menyumbangkan sebanyak 50 sen kepada Food Aid Foundation

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Cadbury Dairy Milk Malaysia, sila kunjungi laman Facebook https://www.facebook.com/CadburyMalaysia.

Berikut SinarPlus kongsikan salah satu resipi yang masih viral dan sangat digemari oleh ramai iaitu Tart Coklat Cadbury:


Bahan-bahan Tart Coklat Cadbury:

250 gram (g) Mentega
2 sudu Gula Aising
1 biji telur kuning
1/2 sudu kecil esen vanila
400g tepung gandum (lebih kurang 3 cawan)
2 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar tepung jagung
Coklat Cadbury
Kuning telur (untuk hiasan) *tambah sedikit pewarna oren

Cara-cara:

1. Pukul mentega, gula aising, kuning telur dan esen vanila sehingga sebati.
2. Ayakkan kesemua tepung dan campurkan ke dalam adunan tadi.
3. Uli sehingga menjadi doh. (boleh tambah atau kurangkan tepung sehingga adunan menjadi doh yang lembut dan senang dibentuk)
4. Tekap doh keatas loyang dengan menggunakan acuan tart.
5. Letakkan coklat Cadbury sebagai inti dan gulungkan.
6. Sapukan kuning telur ke atas tart sebagai hiasan.
7. Bakar selama 15 minit pada suhu 170°c atau sehingga biskut sedikit kekuningan.

Sumber: https://buatoranglapo.com/2018/06/10/tart-cadbury/

Menyelerakan! Bubur Kacang Hijau Klasik Beraroma Wangi

Menyelerakan! Bubur kacang hijau klasik beraroma wangi

BILA sebut kacang hijau, ramai hanya pandang sebelah mata. Korang ingat kacang hijau ini biasa-biasa sahaja ke?

Buat pengetahuan korang, kacang hijau ini sangatlah banyak khasiat dan kelebihannya buat kita semua. Boleh dikategorikan sebagai ‘superfood’.

Kacang hijau sangat kaya dengan protein, serat, vitamin, karbohidrat, lemak yang baik dan mineral.

Ia bersifat antioksidan yang baik kerana terdapat Fitosterol sebagai kandungannya.

Selain itu, ia dapat menurunkan kolesterol, menguatkan tulang dan gigi, melancarkan pengaliran darah dan melancarkan pergerakan usus.

Menyelerakan! Bubur kacang hijau klasik beraroma wangi

Jadi, jangan skip menu yang berasaskan kacang hijau ya!

Selain sedap dibuat bubur, ia juga boleh digunakan dalam menu biskut, kuih, puding dan sebagainya.

Ayuh mencuba bubur kacang hijau resipi klasik beraroma wangi. Memang sangat menyelerakan dan berkhasiat.

Boleh dimakan begitu sahaja dan dicicah bersama roti ataupun pulut.

Bahan-bahan;

  • Kacang hijau
  • Gula pasir
  • Daun pandan
  • Santan
  • Garam
  • Air secukupnya

Cara-cara membuatnya;

1. Basuh kacang dan toskan sekejap.

2. Goreng kacang sehingga berbau wangi.

3. Masukkan air dan daun pandan. Rebus sehingga empuk (kacang akan mengembang).

4. Masukkan gula dan santan.

5. Letak sedikit garam supaya ada rasa lemak. Dah menggelegak dan elok rasanya, boleh matikan api.

Selamat mencuba!

Sumber: Akak Zainal Abidin

Bahana Berbuka Dengan Makanan Segera

TIDAK keterlaluan untuk dikatakan, nafsu makan sesetengah orang akan lebih menjadi-jadi pada bulan Ramadan.

Ia tidak hanya merujuk kepada orang dewasa, waima kepada kanak-kanak pun.

Meskipun, dari sudut agama, bulan puasa adalah tempoh terbaik seseorang mengawal pengambilan makanan sekali gus ‘merehatkan’ usus, nampaknya hal itu tidak dianggap signifikan langsung.

Itu sebab terlalu banyak omelan daripada sesetengah pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati tentang berat badan mereka naik mendadak meskipun 30 hari berpuasa. Tidak kurang juga yang kembali sakit.

Jadi, di manakah silapnya?

Dari hasil pembacaan SinarPlus, masalah itu sebenarnya berlaku disebabkan oleh pola pemakanan yang tidak betul ketika berbuka puasa. Jika kita mengandaikan boleh menikmati segala jenis makanan terutama makanan segera selepas lebih 12 jam berpuasa, perspektif itu tidak tepat sama sekali.

Bagi mengukuhkan lagi pandangan itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Dietetik, Klinik Kesihatan Hiliran, Kuala Terengganu, Amirulfarhan Abdul Raki.

Amirulfarhan ketika dihubungi berkata, makanan segera merujuk kepada hidangan yang tidak memerlukan masa yang lama untuk disajikan.

“Dalam erti kata mudah, ia cepat dan ringkas untuk disediakan. Antaranya seperti makanan sejuk beku, mi segera dan makanan yang diproses termasuklah makanan yang telah ditinkan,” katanya.

Amirulfarhan.

Pilihan tidak bijak

Menjelaskan lebih lanjut, Amirulfarhan berkata, terdapat tiga komponen penting yang terkandung dalam makanan segera yang berfungsi menyedapkan lagi sesuatu juadah:

i) Garam: Bagi memastikan makanan segera tahan lama, kandungan garam yang tinggi digunakan. Oleh yang demikian, jangka hayat kepada makanan jenis itu mampu disimpan dalam tempoh masa yang panjang.

ii) Lemak: Selain garam, lemak yang terdapat dalam makanan segera juga tinggi bagi membangkitkan lagi rasanya. Organ lidah sangat memainkan peranan penting kepada komponen lemak yang mempunyai tekstur yang lembut itu.

iii) Bahan perasa: Makanan segera juga ‘dihujani’ dengan aneka bahan-bahan tambahan lain seperti sos, kiub ayam, mayonis dan sebagainya.

Kepada SinarPlus, pakar itu berkata, secara matematiknya, bukanlah seseorang tidak boleh langsung menyentuh makanan segera.

“Boleh…tetapi dalam sebulan hanya satu atau dua kali sahaja. Namun, sebaik-baiknya tidak mengambilnya langsung,” tegasnya.

Hal itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang bakal menjengah sehari sahaja lagi, konsumsi makanan segera adalah satu pilihan yang tidak bijak.

“Ia memang perlu dielakkan kerana makanan segera adalah juadah yang tidak seimbang terutamanya dari segi kuantiti serat. Kena ingat, ketika berpuasa, badan kita akan kehilangan banyak air dan terhidrasi.

“Jika makanan segera diambil, ia akan memberi respons kepada otak dan perut agar memberi reaksi cepat lapar kerana hidangan itu mempunyai kandungan lemak yang berlebihan,” tuturnya.

Cetus banyak penyakit

Ujar Amirulfarhan lagi, tidak kira sama ada pada bulan puasa atau hari-hari lain, makanan serupa berupa burger, kentang goreng, sambal ikan bilis dalam tin, spageti segera malah daging cincang boleh mencetus masalah obesiti.

Misalnya, sebiji burger ayam mengandungi 381kcal kalori iaitu 46 peratus lemak, 41 peratus karbohidrat dan 13 peratus protein. Sebiji burger ayam dengan keju pula mengandungi 300kcal kalori (36 peratus lemak, 44 peratus karbohidrat dan 20 peratus protein).

“Berdasarkan kalkulasi itu, seseorang boleh obes jika jumlah kalori dan lemak yang dibakar tidak setimpal dengan jumlah kalori dan lemak yang diambil.

“1 gram lemak sahaja sudah menghasilkan sembilan kalori, manakala dengan kuantiti yang sama (karbohidrat dan protein) pula hanya empat kalori sahaja” jelasnya.

Tidak terhenti setakat di situ sahaja, jika tidak bernasib baik, seseorang juga berpotensi mendapat penyakit jantung kerana salur darah telah tersumbat akibat daripada lemak yang tidak dibakar sepenuhnya.

Berdasarkan penjelasan itu, mudah untuk dirumuskan bahawa makanan segera hanya lebih membawa mudarat kepada kesihatan, kata beliau.

“Jadi, orang ramai seharusnya bijak dalam memilih hidangan yang dimakan semasa berbuka puasa. Jangan hanya fikirkan mahu makan sedap sahaja, namun natijahnya lebih parah. Jangan sesekali mengabaikan kandungan zat dan nutrisi dalam makanan,” pesannya.

Pegawai Perubatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Afiq Ahmad Anuar turut menegaskan hal yang sama.

Dr Afiq.

Malah katanya, seseorang berupaya memperoleh penyakit kronik lain seperti kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.

Ketika diwawancara, Dr Muhammad Afiq lebih menekankan tentang aspek pengambilan gula. Kegemaran orang ramai terhadap minuman berkarbonat kata beliau, perlu ditegah segera.

“Paras gula yang berlebihan dalam darah akan menyebabkan berlakunya rintangan insulin hingga boleh menggagalkan insulin untuk berfungsi dengan baik.

“Sebenarnya, fungsi organ dalaman tidaklah terlalu terganggu akibat daripada pengambilan makanan segera, tetapi risiko akan bertambah untuk mereka yang berpenyakit.

“Pesakit jantung misalnya, jika mereka berlebihan makan makanan proses dan berlemak, boleh mendorong kepada arterosclerosis (plak terbentuk di dalam arteri),” jelas beliau.

Saranan

Justeru, apakah amalan pemakanan sihat yang boleh dipraktikkan semasa bulan puasa.

Berikut SinarPlus kongsikan cadangan yang disyorkan oleh portal kesihatan berwibawa, http://www.myhealth.gov.my.

  1. i) Sahur
  • Amalan bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga ketika seharian berpuasa. Waktu bersahur yang digalakkan adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak.
  • Kita digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat. Semua makanan tersebut memerlukan masa yang lama untuk dicerna (lapan jam untuk dicernakan sepenuhnya) dan mengurangkan rasa lapar.
  • Di samping itu, konsumsi makanan berprotein kerana struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan lagi proses pencernaan. Pilihlah protein yang rendah Biological Value (BV) kerana semakin rendah nilai BV, maka lebih lambat protein itu diguna pakai oleh badan. Antaranya seperti kekacang, soya, ayam, protein susu, daging dan ikan.
  • Pengambilan buah-buahan dan air juga perlu mencukupi sewaktu sahur. Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

ii) Berbuka puasa

  • Semasa berbuka puasa, kita digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita.
  • Mulakan dahulu dengan buah kurma kerana ia mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera. Selain itu, buah kurma juga mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman.
  • Pelbagaikan pengambilan jenis makanan seperti bihun sup, sepinggan mi, atau nasi bersama ikan/ayam dan sayur-sayuran serta buah-buahan. Selain itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan.

iii. Moreh

  • Mengambil snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich atau kuih-muih dibenarkan tarawih, tetapi jangan keterlaluan.
  • Elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi/mi goreng kerana pada waktu malam, kita tidak memerlukan tenaga yang banyak.
  • Di samping kuantiti, kualiti makanan juga perlu dititik beratkan. Ini bagi memastikan tubuh kita menerima kembali tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin serta mineral yang diperlukan oleh tubuh.

ANEKDOT

CONTOH menu harian yang dicadangkan pada bulan Ramadan (untuk dewasa):

Sahur

  • 1 – 1 ½ cawan nasi
  • 1 ekor ikan goreng
  • ½ cawan sup sayur campur dan tauhu
  • 1 biji pisang atau 3 biji kurma
  • 1 gelas air kosong
  • 1 gelas susu rendah lemak

atau

  • 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/ hirisan pisang
  • 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem
  • 1 gelas jus oren
  • 1 gelas air kosong

Berbuka

  • 3 biji buah kurma
  • ½ cawan jus buah-buahan
  • 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk
  • 1 keping kuih

Makan malam

  • 1 ½ cawan nasi
  • 1 ekor ikan atau ayam panggang
  • 1 cawan sup petola
  • 1 biji epal merah

Moreh

  • Snek ringkas seperti roti, sandwich, kuih-muih, kekacang rebus atau buah-buahan.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my.

Ibu menyesal ‘umpan’ anak makanan segera jika berjaya puasa

BAGI memberi semangat dan dorongan kepada anaknya berpuasa, Norizan Abdul Samad, 32, berkata, beliau mengambil pendekatan ‘mengumpan’ anaknya dengan ‘hadiah istimewa’.

“Apa yang saya lakukan adalah menuruti kehendaknya menikmati set makanan segera berupa burger, kentang goreng dan minuman berkarbonat jika dia dapat melengkapkan puasanya setiap hari.

“Niatnya hanyalah satu ganjaran kepada usahanya, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya,” katanya dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ujar wanita itu lagi, anak bongsunya, Aina Umar Khusli juga sejak dari dulu lagi juga sebenarnya memang menggemari makanan segera.

Natijahnya, si kecil yang berusia tujuh tahun itu kini mempunyai berat badan mencecah 40 kilogram (kg). Pada bulan puasa, beratnya makin mencanak naik.

Angka itu sebenarnya telah melebihi berat ideal seorang kanak-kanak (berusia enam hingga sembilan tahun) iaitu 23 hingga 29kg.

“Ya, benar dia sudah dalam kategori obesiti,” katanya yang meluahkan kekesalan.

Menyambung bicara, Noriza memberitahu SinarPlus, pada bulan puasa juga, nafsu makan Aina lazimnya memang membuak-buak.

“Jika pada hari biasa, dia hanya pesan satu set makanan segera, namun pada bulan Ramadan, dia akan meminta ekstra lagi. Antaranya seperti nuget,” katanya yang sangat risau dengan perkembangan tidak sihat anaknya ditambah kanak-kanak itu memiliki penyakit asma.

“Nampaknya, pada Ramadan kali ini, saya kena lebih berwaspada dan kena betul-betul menjaga pola pemakanan Aina. Tiada lagi ganjaran berupa set makanan ringan atau segera lagi selepas ini,” katanya.

Kepada ibu bapa di luar sana, pesan Norizan, jangan jadi sepertinya yang terlalu memberi muka kepada anak sendiri.

“Dalam sesetengah hal boleh kita manjakan mereka, namun bab pemakanan, kita kena lebih tegas demi memastikan kesihatannya lebih terjamin kini dan pada masa akan datang,” katanya.

Parkinson: Lebih Ramai Warga Emas Dijangka Bakal Menghadapinya

SEHINGGA kini, terdapat lebih daripada 20,000 rakyat Malaysia yang menghidap penyakit Parkinson.

Pastinya, angka tersebut dijangka akan meningkat kerana Malaysia bakal menjadi negara menua tidak lama lagi.

Bersempena Hari Parkinson Sedunia pada bulan ini, Pengarah Jualan dan Pemasaran Disposable Soft Goods Sdn Bhd, Daigo Fujiwara berkata, amatlah penting untuk kita memahami bagaimana penyakit saraf tersebut.

“Ia kerana penyakit itu boleh mendatangkan impak yang signifikan dalam kehidupan mereka yang terjejas akibatnya, terutamanya dari segi aktiviti dalam kehidupan seharian,” maklum beliau dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Berdasarkan historiografi, Parkinson adalah penyakit kemerosotan saraf berkaitan usia yang kedua paling lazim selepas penyakit Alzheimer.

Menurut Institut Penuaan Nasional Amerika Syarikat, ia berpunca daripada kehilangan sel-sel saraf yang menghasilkan dopamin pada bahagian otak yang mengawal pergerakan.

Ujar Daigo, dopamin adalah sejenis pemancar saraf yang menghantar mesej antara otak dan sel-sel saraf yang mengawal pergerakan.

“Peningkatan dopamin menjejaskan pergerakan pesakit Parkinson dan seterusnya menyebabkan berlakunya simptom-simptom lazim seperti menggeletar pada tangan, lengan, kaki, rahang atau kepala.

“Bukan itu sahaja, ketegangan atau kekakuan pada anggota badan dan tubuh; pergerakan yang lebih perlahan dari biasa; dan gangguan pada daya imbangan serta koordinasi juga boleh berlaku,” kongsi beliau.

Katanya, pesakit Parkinson akan mengalami kesukaran untuk mula atau berhenti bergerak dan mengawal pergerakan halus seperti menggenggam pen dan menulis serta mudah jatuh.

Mengenai ekspresi wajah, mereka juga boleh menjadi keras dan keadaan itu akan menjejaskan kebolehan mereka untuk berkomunikasi secara bukan verbal.

“Sebenarnya, kesemua simptom ini akan bermula perlahan-lahan, contohnya seseorang pesakit mungkin berasa sukar untuk bangun dari kerusi atau katil, namun keadaan akan menjadi lebih teruk jika tidak dirawat,” tambah beliau.

Pada masa sama, penghidap Parkinson juga mungkin mengalami simptom-simptom seperti berikut:

i) Kesukaran mengunyah, menelan dan bercakap.
ii) Perubahan mood seperti depresi dan bersikap acuh tidak acuh.
iii) Masalah tidur.
iv) Masalah kulit.
v) Masalah kognitif.
vi) Sembelit.
vii) Masalah urinari seperti inkontinens.

“Kesemua simptom ini boleh mendatangkan impak yang besar ke atas kualiti hidup pesakit,” tuturnya

Inkontinens urinari

Bercerita mengenai satu simptom penyakit Parkinson iaitu inkontinens urinari, keadaan itu boleh memberi impak yang besar ke atas kualiti hidup pesakit kerana tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing.

“Ini disebabkan oleh gangguan dalam komunikasi antara otak dan pundi kencing kerana paras dopamin yang rendah.

“Jenis inkontinens urinari yang mungkin dihadapi oleh pesakit Parkinson adalah desakan dan nokturia,” tambahnya lagi.

Menghuraikan lebih mendalam mengenai inkontinens urinari, Daigo memberitahu, simptom jenis desakan berlaku apabila pesakit tiba-tiba terasa ingin membuang air kecil, namun tidak dapat mengawal diri dan terkencing sebelum sampai ke tandas.

Sementara itu, nokturia pula adalah apabila pesakit perlu bangun dan membuang air kecil dengan terlalu kerap pada waktu malam semasa sedang tidur.

Sudah tentulah, inkontinens urinari boleh memberi impak negatif kepada kesihatan mental dan sosial seseorang.

Bukan itu sahaja, simptom berkenaan juga boleh menyukarkan penjaga.

“Mujurlah inkontinens urinari adalah sejenis masalah yang boleh diuruskan,” katanya.

Berikut saranan yang boleh dijadikan panduan untuk mengurus pesakit Parkinson dengan simptom inkontinens urinari:

1. Sebagai permulaan, pesakit boleh melatih pundi kencing mereka dengan mengamalkan rutin kerap ke tandas, contohnya selepas setiap waktu makan.
2. Elak daripada meminum sebarang minuman dalam masa dua jam sebelum waktu tidur.
3. Meminimumkan pengambilan kafein, minuman bergas dan alkohol kerana boleh merangsang penghasilan air kecil.
4. Memakai pakaian yang kurang butang atau zip dan boleh ditanggalkan dengan mudah.

Selain itu, terdapat pelbagai produk yang boleh didapati untuk mereka yang mengalami inkontinens urinari untuk membantu menguruskan masalah itu.

Ia termasuklah alas katil, pelindung tilam, sarung inkontinens lelaki, tuala wanita dan seluar inkontinens.

“Produk seperti lampin dewasa CERTAINTY khususnya, direka khas berdasarkan paras mobiliti dan tahap inkontinens urinari seseorang yang berguna terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit Parkinson dan inkontinens urinari,” tuturnya.

Berdasarkan konsep penjagaan aktiviti dalam kehidupan seharian yang mempunyai enam tahap, CERTAINTY membantu pengguna memilih jenis lampin dewasa berdasarkan tahap pergerakan pesakit.

“Setakat ini, terdapat empat jenis lampin dewasa CERTAINTY iaitu CERTAINTY DryPants dan CERTAINTY SuperPants dikhususkan untuk mereka yang boleh berjalan dan bergerak dengan mudah atau dengan bantuan pergerakan yang minimum.

“CERTAINTY MaxPants pula adalah untuk pesakit yang memerlukan bantuan untuk bergerak manakala CERTAINTY Tape direka khas untuk pesakit yang terlantar di katil,” kongsi Daigo.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsep penjagaan aktiviti dalam kehidupan seharian, sila layari laman web www.certainty.com.my atau Facebook CERTAINTY di certaintymalaysia.