Archives for December 25, 2021

Netizen ‘Perang’ Laksa, Berbalah Jenis Ikan. Kenali 10 Jenis Laksa Di Malaysia

LAKSA adalah salah satu sajian tradisional signatur rakyat Malaysia. Boleh dikatakan setiap negeri mempunyai resipi laksa tersendiri.

Menu versatil itu lazimnya menjadi pilihan hidangan untuk santapan pada majlis-majlis keraian dan harian.

Baru-baru ini tular perbalahan warganet tentang ‘standard’ laksa negeri masing-masing hingga mencetuskan perdebatan antara laksa Johor dan laksa negeri-negeri lain.

Semuanya bermula apabila seorang pengguna bertanyakan cara-cara untuk memasak laksa.

Lalu, individu lain membalas komen bahawa laksa Johor diperbuat daripada ikan parang dan ditegaskan supaya jangan jatuhkan martabat orang Johor menggunakan ikan lain.

Ikan tenggiri
Ikan parang

Beliau juga menyatakan penggunaan ikan selayang dan kembung yang harganya murah selalunya digunakan dalam pembuatan laksa di negeri-negeri Utara dan Pantai Timur.

Ikan kembung
Ikan selayang

Rentetan kenyataan itu, warga maya mula membidas hujah mengatakan laksa Utara ‘lebih pure’ kerana menggunakan bahan laksa sebenar berbanding laksa Johor berasaskan spageti.

Perbahasan terus menjadi hangat susulan campur tangan netizen negeri lain yang menyokong geng laksa Utara.

Perbalahan itu, secara tidak langsung tersasar daripada topik asal, tambahan pula ada yang mengaitkan dengan isu kayangan.

Jangan gaduh-gaduh semua. Jom SinarPlus kongsikan 10 jenis laksa yang terdapat di negara kita.

Setiap resipi mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri. Ada rasa berlemak, ada rasa pedas dan ada juga berbeza dari segi jenis laksa digunakan.

Oleh itu, raikanlah perbezaan bukannya saling menjatuhkan!

Mungkin ada tertanya-tanya berapa jenis laksa yang ada di negara kita dan apakah perbezaannya?

Teruskan baca ya!

1. Laksa Johor

Laksa Johor merupakan hidangan yang unik kerana ia menggunakan spageti berbeza laksa lain menggunakan laksa beras.

Kuahnya pula merupakan kuah kari pekat dan harum aromanya. Bahan asas untuk kuah ialah rempah ratus, ikan parang dan santan.

Laksa tersebut disajikan dengan ulam-ulaman segar seperti limau kasturi, bunga kantan, daun selasih, kacang panjang dan tauge. Sambal turut diletakkan di atasnya.

2. Laksa Kedah dan Laksa Lemak Kedah

Laksa Kedah mungkin pada mata kasar nampak seakan-akan sama dengan laksa Penang.

Hakikatnya kedua-duanya berbeza. Kuah laksa Kedah menggunakan isi ikan yang dihancur lumat manakala laksa Penang menggunakan isi ikan yang dicarik-carik sahaja.

Laksa Penang menggunakan jus asam jawa, tetapi laksa Kedah menggunakan asam keping sebagai penambah rasa masam.

Selain itu, kuah laksa Penang menggunakan banyak cili merah segar manakala laksa Kedah lebih mengutamakan penggunaan cili kering.

Kuahnya kelihatan sedikit gelap. Ia lazimnya disajikan dengan ulaman seperti hirisan timun, daun selom, bawang merah dan cili padi hijau. Boleh juga tambah telur rebus jika suka, dijamin lebih lazat dan mengenyangkan!

Pada masa sama, menggunakan laksa beras sebagai mi dan kuahnya pula warna kuning. Manakala bagi versi Laksa Lemak Kedah, kuah lemaknya lebih kurang dengan kuah laksa Penang, cuma ditambah santan memberikan rasa lemak.

3. Laksa Penang

Laksa Penang atau dikenali asam laksa merupakan laksa dari negeri Pulau Pinang. Ia disukai ramai kerana rasa masam dan masin yang sebati. Bahan utama ialah ikan rebus segar, daun kantan dan bunga kesum. Ada juga yang menambah nanas yang dikisar.

Selain itu, belacan bakar dan isi udang juga ditambah bagi membangkitkan rasa laksa.

Sebagai bahan hiasan dan ulaman ia disajikan bersama telur rebus, potongan bawang, limau nipis dan sayur-sayuran yang dihiris halus.

4. Laksa Terengganu

Laksa Terengganu merupakan hidangan berkuah yang popular di Terengganu.

Ia hadir dengan dua jenis kuah sama ada mentah atau masak. Kuah mentah merupakan santan yang dicampur air panas tanpa dimasak. Ia ditambah lada hitam, isi ikan dan bawang sebagai penyedap rasa.

Kuah yang masak pula ialah kuah gulai seakan-akan kuah laksa Johor. Mi untuk laksa diperbuat daripada tepung gandum atau laksa beras, sama seperti laksa Penang.

5. Laksa Sarawak

Kuahnya berwarna kemerah-merahan dan pekat kerana penggunaan sambal belacan atau sambal udang kering yang dicampur dengan bahan-bahan seperti serai, bawang putih, lengkuas, asam jawa dan santan.

Bezanya dengan laksa Penang dan laksa Terengganu ia menggunakan bihun. Jadi, ia nipis dan rasa kuah lebih menyerlah.

Laksa Sarawak dihidangkan bersama, telur, udang, cili padi, tauge, bawang goreng dan daun ketumbar. Korang boleh perah limau nipis, lagi mengancam!

6. Laksa Lemak Kelantan

Laksa Kelantan berbeza daripada penyediaan kuahnya. Bagi bahagian kuah berlemak diperbuat menggunakan santan dan ikan rebus sebagai bahan-bahan utama.

Laksanya pula menggunakan laksa beras. Jika ke negeri Cik Siti Wan Kembang, laksa lemak yang dihidangkan dimasak segar bukannya menggunakan laksa kering yang direbus.

Laksa disajikan bersama sambal cili kering, belacan dan garam sebagai penyedap rasa. Ulamannya pula terdiri daripada kacang panjang, timun dan tauge, kacang panjang dan timun dihiris halus.

7. Laksam

Antara hidangan sarapan popular di negeri Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan.

Laksam tidak menggunakan laksa beras sebaliknya, mi seakan-akan kuetiau diperbuat daripada campuran tepung beras dan sedikit tepung gandum. Ia dikukus, digulung dan dipotong kecil sebagai mi supaya kuah mudah meresap.

Kuah berlemak sama seperti kuah laksa lemak Kelantan. Laksam selalunya disajikan bersama sambal cili api atau sambal ‘jantan’.

8. Laksa Ipoh

Laksa jenis ini mungkin jarang korang lihat. Laksa Ipoh atau laksa telur bersarang bukan sahaja terkenal di Ipoh, malah pengaruhnya meluas ke daerah lain seperti di Kuala Kangsar.

Kelazatannya terletak pada kuah gulai yang berlemak. Sedap tak terkata, tanpa sedar menghirup kuah sehingga licin!

Laksa Ipoh mungkin diinspirasikan daripada laksa Penang dan kuahnya pula dari mi kari. Hirisan timun dan bawang melengkapkan sajian ini.

9. Laksa Kuala Perlis

Walaupun Perlis merupakan negeri Utara, laksa Kuala Perlis atau dipanggil laksa kola tidak sama dengan laksa Penang.

Beza kedua-dua jenis laksa dari segi pembuatan laksa berasnya. Laksanya adlah menggunakan tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

Tekstur laksa kuala juga halus berbanding laksa beras biasa. Kuahnya seakan dengan laksa Penang, cuma tidak terlampau pekat. Laksa ‘legend’ itu akan dimakan dengan hirisan timun, bawang dan telur rebus.

10. Laksa Mi Pangkor

Laksa Mi Pangkor cukup terkenal di Lumut, Perak. Ia mempunyai rasa unik.

Menariknya, sambal laksa mi Pangkor menggunakan belacan manakala mi adalah sejeni mi khas.

Untuk memudahkan penyediaan, korang boleh menggunakan mi lidi atau spageti sebagai opsyen.

Laksa mi Pangkor menggunakan sup ikan kembung, sup ketam atau sup sotong. Namun, kebiasaannya sup ikan kembung digunakan.

Keenakan terserlah apabila dinikmati bersama sambal udang, kacang panjang dan sedikit lobak masin. Ada juga menambahkan hirisan bawang putih sebagai bahan penyedap.

Foto: Noor Rabi Atul Adawiyah, Asharina Abdul Wahid, Azizah Daud

Tip Terbaik Untuk Peminat Apple Yang Membeli IPhone Terpakai. Kenali Set Retail Dan Refurbished

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

IPHONE adalah antara teknologi yang hebat dan ramai yang menyimpan impian memilikinya walaupun harganya agak mahal.

Jika ingin mendapatkan iPhone tanpa mengeluarkan belanja yang berlebihan, membeli iPhone terpakai merupakan pilihan terbaik. Namun, ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian sebelum membuat sebarang pembelian peranti terpakai jenama ini.

Tahukah korang bahawa ada dua jenis iPhone yang terpakai? Sama ada ia wujud sebagai unit retail atau refurbished .

Kedua-duanya tentunya dihasilkan oleh Apple. Retail adalah barang yang korang beli terus dari wakil jualan Apple sebagai peranti baru, manakala model refurbished pula yang diperbaharui. Ia biasanya ditawarkan oleh Apple sebagai model pengganti.

Apabila pemilik iPhone mengunjungi pengedar rasmi Apple kerana mempunyai masalah dari segi pembuatan, peranti tersebut ditukar.

Peranti yang ditukarkan itu akan diperbaharui atau refurbished dan dijual.

Oleh itu, korang yang berminat untuk membeli iPhone terpakai, periksa model telefon yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran. Berikut adalah langkahnya;

1. Pergi ke bahagian setting

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

2. Klik general dan pilih about

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

3. Semak huruf pertama di bahagian Model Number

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

Tidak kira apa saja jenis iPhone yang korang gunakan, peranti iOS korang dilengkapi dengan nombor model tertentu yang bermula dengan huruf “M” atau “F”.

Semua telefon pintar Apple yang dimulai dengan huruf M adalah unit retail, manakala yang ditandai dengan N bermaksud diperbaharui atau unit refurbished.

Melalui perkongsian yang dibuat di laman Twitter @afzanvalley, terdapat juga huruf lain yang mempunyai makna berbeza iaitu:

N = iPhone replacement (gentian)

P = personal, yang ada buat ukiran (engraving) kat belakang iPhone.

Manakala 3A dan selain daripada yang disenaraikan ini bermaksudnya set iPhone itu adalah set demo.

Tidak hanya itu, korang juga berkemungkinan untuk mendapat model iPhone terbaru yang telah diperbaharui atau refurbished. Ini kerana Apple tetap menjual model baru yang mempunyai kekurangan dari segi pembuatan di mana ia memerlukan penggantian komponen tertentu.

Oleh itu, berhati-hati lah dalam membuat pembayaran untuk barangan terpakai supaya korang tidak tertipu.

Sumber: Twitter @afzanvalley

Awas! Ini 4 Tanda Ibu Bapa Perlu Pantau Anak-Anak Membesar

TUMBESARAN bayi dan kanak-kanak merupakan aspek paling signifikan yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa.

Jika anda memikirkan tidak perlu memantau tahap pertumbuhan bayi pada bulan pertama kelahiransi comel itu, pandangan tersebut silap sama sekali.

Pakar Perunding Neonatologis, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Hasmawati Hassan berkata, secara asasnya, terdapat empat aspek utama yang perlu diberi tumpuan oleh penjaga bagi memantau perubahan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

Dr Hasmawati.

“Walaupun setiap kanak-kanak akan memaparkan pelbagai peringkat perkembangan pada usia yang berlainan, terdapat beberapa tanda amaran awal yang ibu bapa perlu awasi dan sedari,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Berikut adalah perinciannya:

i) Motor kasar

Matlamat utama: Memastikan agar kanak-kanak itu mampu berjalan yang bermula dengan kawalan kepala.

Pada usia enam bulan, mereka harus mampu untuk duduk tanpa sokongan buat sementara waktu.

Selain itu, mereka juga boleh menarik sesuatu untuk berdiri pada usia sembilan hingga 10 bulan dan mampu untuk berjalan pada usia 12 hingga 14 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Gagal mencapai kawalan kepala atau memusing kepala pada usia empat hingga enam minggu.
  • Gagal bergolek menjelang usia lima bulan.
  • Gagal duduk menjelang usia lapan bulan.
  • Gagal berdiri dengan sokongan menjelang usia 10 bulan.
  • Gagal berjalan menjelang usia 15 bulan.

ii) Motor halus

Matlamat utama: Pembangunan memegang atau menggunakan dua jari.

Tangan seorang bayi baru lahir akan kekal tergenggam sehingga bulan ketiga dan mereka harus mencapai kemajuan secara berterusan dengan beralih kepada genggaman dua jari pada usia sembilan hingga 12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Genggaman erat tangan selepas tiga bulan.
  • Abduksi (ibu jari menjauhi jari telunjuk) dan fleksi ibu jari yang berterusan selepas tiga bulan.
  • Tidak cuba untuk mencapai objek selepas lima bulan.
  • Sebaran jari yang berterusan semasa percubaan untuk mengambil objek selepas lima bulan.
  • Genggaman tapak tangan yang berterusan selepas sembilan bulan.
  • Kegagalan untuk memegang menggunakan dua jari dengan baik selepas setahun.

iii) Kelakuan dan pembangunan sosial

Matlamat utama: Penilaian kebolehan bayi itu untuk berinteraksi dan bertindak balas kepada persekitaran.

Ia merangkumi paparan kegelisahan mereka terhadap orang yang tidak dikenali pada usia tujuh bulan hingga mampu meminum menggunakan cawan pada usia 12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Pada usia enam hingga sembilan bulan, si kecil amat senyap, tidak tersenyum atau ketawa.
  • Kanak-kanak tidak respons kepada nama mereka.
  • Tidak ada kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali.
  • Pada usia sembilan hingga 12 bulan, mereka masih mempunyai kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali dan tidak faham untuk melambai selamat tinggal.

iv) Pertuturan dan pendengaran

Matlamat utama: Memastikan agar kanak-kanak itu boleh bercakap, bermula dengan bisikan lembut, memberi respons kepada bunyi dan kebolehan untuk mengeluarkan kata-kata mudah secara lisan seperti ‘mama‘ atau ‘dada‘.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Tiada senyuman pada usia tiga bulan.
  • Tidak ada percubaan untuk ketawa pada usia enam bulan.
  • Tidak memberi respons kepada nama mereka pada usia enam hingga sembilan bulan atau masih senyap pada usia sembilan hingga 12 bulan.

PemantauanDalam pada itu, Pakar Perunding Paediatrik dari pusat perubatan yang sama, Dr Melanie Majaham berkata, ibu bapa memang sangat disarankan mengunjungi pakar pediatrik secara berkala bergantung kepada umur bayi atau jika mereka menghadapi sebarang masalah perubatan utama.

Dr Melanie.

“Pada setiap lawatan, perkembangan bayi akan dipantau dan sebarang isu berkaitan akan dikesan. Misalnya, jika berlaku  peningkatan berat badan yang lemah atau masalah kegemukan.

“Doktor-doktor juga turut akan membincangkan butiran seperti frekuensi penyusuan, pelan penyusuan dan penanda jarak utama yang perlu dicapai bersama dengan ibu bapa,“ katanya.

Oleh yang demikian, jelas Dr  Melanie, janji temu tipikal biasanya akan disekalikan dengan jadual vaksin, tetapi lawatan akan menjadi lebih kerap jika ia melibatkan sebarang masalah perubatan atau memerlukan ujian-ujian lain seperti ujian darah atau air kencing.

Selaras dengan kemajuan teknologi yang dicapai, pakar itu berkata, terdapat pelbagai jenis saringan, ujian dan rawatan boleh dilakukan dengan lebih efektif.

Antaranya Ujian Saringan Pembangunan Denver yang digunakan sebagai satu rujukan untuk memantau peringkat perkembangan dan juga skor M-CHAT (Senarai Pemeriksaan Diubahsuai untuk Autisme Kanak-Kanak) untuk mengesan tanda-tanda awal gangguan spektrum autisme.

Ujar Dr Melanie lagi, seorang kanak-kanak sepatutnya diberi penilaian lanjut oleh sekumpulan pakar bagi memastikan golongan itu sihat sejak dari peringkat kecil lagi.

“Selain pakar psikologi, kanak-kanak juga perlu dirujuk kepada pakar pediatrik pembangunan, pakar terapi pekerjaan, pakar terapi fisioterapi dan pakar terapi pemakanan dan pertuturan supaya kanak-kanak itu boleh mendapat manfaat dan dapat mencapai potensi penuh mereka,“ ujar beliau.

Siap Masak Lauk Pantang Sebelum Bersalin, Mudahkan Suami. Menu Wanita Ini Dikongsi Hampir 10,000

MAKANAN berpantang selalunya menjadi sajian wanita dalam fasa selepas bersalin. Lazimnya, berkhasiat, tidak berminyak dan tidak berlemak. Memang sihat!

Bagi sesetengah kaum, ada pantang larang pemakanan tertentu perlu dipatuhi selepas bersalin. Malah, ada yang terlalu ketat hingga menyekat pengambilan air! Ingat itu adalah mitos mengarut dan jarang diamalkan.

Tenggiri masak singgang kuning. Kunyit, bawang putih, halia sengaja diletak dalam kuantiti yang banyak untuk dimakan bersama ikan.

Seiring peredaran zaman majoriti wanita kini amat mementingkan pemakanan berkhasiat selepas bersalin. Inisiatif itu bertujuan untuk memulihkan luka dalaman dan membantu penghasilan susu ibu berkualiti.

Sup lobak putih & merah

Perkongsian wanita dikenali Khalidah Alhusna menyediakan makanan berpantang lebih awal sebagai persediaan tempoh berpantang memberi inspirasi.

Beliau yang dijadualkan bersalin anak ketiga pada 12 Jun depan pada mulanya bercadang menempah makanan pantang.

Bagaimanapun, tidak dapat berbuat demikian lantaran penjual makanan tersebut tidak menerima pesanan dalam masa singkat. Ekoran itu, beliau bertindak memasak lapan menu berbeza sebelum dibekukan.

Daging masak lada hitam dan daging goreng kunyit hidup antara menu untuk minggu ke-3 atau ke-4 selepas bersalin.

Menariknya, setiap sajian diasingkan kepada beberapa hidangan dalam kuantiti kecil. Kata Khalidah, ia cukup untuk dinikmati selama 34 hari sepanjang tempoh berpantang.

“Makanan pantang frozen style untuk memudahkan kerja suami yang akan bantu uruskan kerja rumah dan anak-anak bila mummy berpantang.

“Kisahnya terjadi, sebab tiba-tiba orang yang kita nak order makanan pantang tak jadi ambil order last minute. Nak tak nak, walaupun tunggu hari, heret juga perut ke dapur. Bolehlah lauk untuk 34 hari, ” kongsi Khalidah di laman Facebook.

Antara menu yang disediakan ialah sup lobak putih dan merah, sup ayam, singgang kuning ikan tenggiri, daging masak lada hitam dan daging goreng kunyit hidup.

Sup ayam dimasak hanya menggunakan bahagian dada ayam.

Selain itu, wanita tersebut turut menyediakan sajian mentah siap dipotong dan ayam diperap dengan garam dan kunyit.Katanya, langkah itu juga akan memudahkan suaminya menyediakan makanan setiap hari tanpa mengambil masa yang lama.

Sayur mentah yang siap dipotong hanya perlu dimasukkan ke dalam pengukus manakala ayam diperap dimasak dengan air fryer.

“Syukur, alhamdulillah siaplah serba sedikit menu untuk pantang. Dari sudut positifnya kita tahu sumber makanan yang dimasak tu sedap dan kena dengan cita rasa sendiri,” katanya.

Semoga dengan perkongsian tersebut dapat memberikan korang yang bakal bersalin memasak sendiri makanan pantang.

Tambahan pula status Perintah Kawalan Pergerakan dan penularan wabak Covid-19, lebih baik sediakan makanan sendiri di rumah.

Secara tidak langsung kita menyokong seruan Kementerian Kesihatan untuk melakukan kawalan kendiri di rumah.

Sumber: Khalidah Alhusna

Awas, Kanak-Kanak Juga Menghidap Darah Tinggi!

LAZIMNYA, kita sering mendengar bahawa tekanan darah tinggi adalah satu komplikasi yang melibatkan golongan dewasa sahaja.

Namun demikian, jangan terkejut jika SinarPlus katakan, terdapat data khusus yang menyatakan penyakit itu boleh berlaku kepada kanak-kanak yang masih kecil.

Merujuk satu kajian yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2017 terhadap kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun, 9.7 peratus daripada mereka mempunyai risiko yang besar mendapat masalah tekanan darah tinggi.

Kebanyakannya berkait rapat dengan faktor berat badan sama ada mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

Jadi, untuk merungkai sejauhmana tahap keseriusan hipertensi dalam kalangan si cilik, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Pediatrik Nefrologi merangkap Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Selayang, Selangor, Dr Selva Kumar Sivapunniam.

Dr Selva.

Ketika wawancara dijalankan melalui aplikasi Zoom baru-baru ini, Dr Selva meluahkan kerisauan ekoran situasi kanak-kanak yang menghidap penyakit darah tinggi atau hipertensi termasuk kencing manis berada pada tahap membimbangkan.

Memberi contoh statistik dunia, Dr Selva berkata, di Amerika Syarikat, 12.6 peratus kanak-kanak perempuan dan 19.2 peratus kanak-kanak lelaki mempunyai masalah prahipertensi.

Sementara di China, sebanyak 20.2 peratus kanak-kanak perempuan dan 16.3 peratus lelaki bergelut dengan situasi menakutkan itu.

Di Malaysia pula, 3 hingga 5 peratus populasi kanak-kanak mengalaminya.

“Ia dapat dibuktikan apabila rawatan yang diberikan kepada pasakit dalam kelompok itu lebih tinggi berbanding penyakit-penyakit lain,” ujarnya.

Masalah hipertensi sememangnya bukan boleh dipandang enteng. Kata pakar berkenaan, apabila bacaan darah tinggi melonjak naik, si kecil boleh mengalami sawan, kesukaran bernafas, tingkah laku akan berubah termasuk hilang tahap kesedaran!

Namun, untuk mengelakkan itu semua, Dr Selva berkata, ibu bapa adalah perintang yang boleh mencegah kondisi anak mereka daripada menjadi terlalu buruk.

“Mereka sebenarnya boleh meramalkan tahap kesihatan anak masing-masing berpandukan kepada dua elemen iaitu bacaan Indeks Jisim Badan dan ukur lilit pinggang. Ya, dua (elemen) berkenaan sememangnya berpunca daripada pengaruh pemakanan dan gaya hidup yang tidak elok,” tegas Dr Selva.

Boleh cetus penyakit lain

Mengulas lanjut, Dr Selva berkata, pada kelazimannya, kanak-kanak yang berumur tiga tahun ke bawah akan didiagnos dengan hipertensi adalah disebabkan daripada masalah perubatan lain yang melibatkan beberapa organ dalaman seperti buah pinggang, jantung dan kelenjar.

“Bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke atas pula, ia seringkali dikaitkan dengan masalah berat badan tidak normal dan amalan gaya hidup yang tidak sihat,” ungkap Dr Selva.

Kepada SinarPlus pakar itu memaklumkan, doktor memiliki carta panduan bacaan tekanan darah bagi kanak-kanak mengikut jantina, umur dan ketinggian mereka.

“Cara tekanan darah diukur penting untuk memastikan kesahihan bacaan sebelum diagnosis dibuat,” ungkapnya.

Memperincikan lebih lanjut mengenai perkara itu, ujar pakar berkenaan, tekanan darah dibaca dalam unit milimeter merkuri (mmHg).

“Nombor yang ditulis di atas merujuk kepada tekanan sistolik, manakala angka di bawah pula merujuk kepada tekanan diastolik. Tekanan darah boleh diukur secara manual dengan menggunakan alat yang dikenali sebagai sphigmomanometer merkuri atau mesin automatik.

“Ini kerana tekanan darah itu merujuk kepada tindak balas semasa jantung mengepam darah. Oleh itu, tekanan ini meningkat sewaktu jantung mengecut dan menolak darah ke saluran darah (sistolik) dan menurun sewaktu jantung kendur (diastolik). Proses ini akan berterusan sehingga umur kanak-kanak itu meningkat,” jelas Timbalan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia itu.

Dr Selva turut memberitahu, apabila kanak-kanak itu menjadi dewasa, penyakitnya tidak akan sesekali terhenti (mereka akan menjadi orang dewasa yang mempunyai hipertensi).

Secara umumnya, kongsi Dr Selva, kanak-kanak lelaki mempunyai tekanan darah lebih tinggi berbanding kanak-kanak perempuan.

“Jika masalah itu berlarutan, ia akan menjadi penyumbang utama kepada penyakit yang melibatkan organ-organ lain antaranya buah pinggang, jantung, otak dan mata,” beritahu beliau.

Makan ubat darah tinggi

Felo Klinikal Kardiologi Pediatrik, Institut Jantung Negara, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan turut melontarkan pandangannya mengenai masalah hipertensi dalam kalangan kanak-kanak.

Dr Yusoff.

“Apa yang saya boleh katakan, tekanan darah tinggi bagi kanak-kanak berbeza jika hendak dibandingkan dengan orang dewasa.

“Lazimnya, tekanan darah tinggi dalam kalangan orang dewasa yang berlaku kerana proses penuaan, tetapi punca tekanan darah tinggi dalam kalangan kanak-kanak dikaitkan dengan beberapa situasi,” katanya yang menyokong salah satu kenyataan Dr Selva.

Berikut adalah situasi tambahan yang boleh menjadi pencetus si kecil boleh menderita penyakit hipertensi:

i) Masalah organ dalaman seperti jangkitan atau kerosakan buah pinggang (75 peratus).

ii) Saluran aorta jantung sempit (15 peratus).

iii) Hormon-hormon berlebihan (5 peratus).

iv) Lain-lain situasi (5 peratus). Sebagai contoh, membabitkan beberapa jenis kanser, obesiti dan ubat steroid berlebihan.

Menjawab kepada satu soalan lain, kata Dr Yusoff, terdapat masalah tekanan darah tinggi yang bersifat sementara dan bersifat kekal.

“Tekanan darah tinggi dalam kalangan kanak-kanak menggunakan definisi yang berbeza daripada definisi orang dewasa kerana ia bergantung kepada umur dan ketinggian seseorang itu.

“Contohnya kanak-kanak berusia 1 tahun mempunyai tekanan darah normal 85/40mmHg, manakala kanak-kanak berusia 5 tahun mempunyai tekanan darah normal 100/60mmHg. Pun demikian, bacaan 100/60mmHg dikira tinggi bagi kanak-kanak 1 tahun tersebut,” jelasnya.

Mengenai alat bacaan tekanan darah kanak-kanak pula, ujar pakar itu, ia turut berbeza kerana pam yang lebih kecil akan digunakan.

“Jika tekanan darah tidak begitu tinggi, kanak-kanak tidak mengalami sebarang gejala. Namun, jika tekanan darah terlampau tinggi, beliau akan mengalami gejala seperti sakit kepala, mata bengkak, kesukaran bernafas, sakit dada dan sawan,” katanya.

Adakah perlu ibu bapa melakukan ujian tekanan darah untuk mengetahui sama ada anak mereka mempunyai masalah hipertensi?

Jawab Dr Yusoff: “Tiada saranan khusus untuk kanak-kanak yang membesar dan berkembang dengan sihat untuk menjalani ujian tersebut. Cukup sekadar pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan secara berkala.”

Kepada satu soalan, pakar itu berkata, seperti orang dewasa, kanak-kanak juga perlu makan ubat darah tinggi jika menghidap hipertensi buat selama-lamanya lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai penyakit lain seperti buah pinggang kronik.

“Tiada cara lain. Selain, makan ubat darah tinggi, mereka juga disarankan untuk kerap melakukan senaman, jangan makan makanan yang terlebih garam dan kalori berlebihan. Ringkas kata, pastikan anak-anak kita yang sedang membesar tidak obes. Itulah jalan penyelesaiannya,” beritahu beliau lagi.

Pendekatan yang disyorkan itu turut dipersetujui oleh Dr Selva. Timbalan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia itu turut mengesyorkan agar pesakit menggunakan pendekatan Diet Untuk Menghentikan Hipertensi.

“Pesakit darah tinggi kena makan makanan yang kurang lemak, garam dan gula. Mereka wajib lebihkan pengambilan buah-buahan segar dan sayur-sayuran serta makanan bijirin,” kata beliau.

Sekali lagi pakar itu menegaskan, peri penting untuk ibu bapa memantau berat badan anak.

“Berat badan yang berlebihan akan menunjukkan tanda-tanda peningkatan gula dalam darah dan dapat meningkatkan risiko kepada darah tinggi.

“Jadi, saya sarankan, ibu bapa yang mempunyai anak kecil berumur 3 tahun ke atas untuk membuat pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya jika ahli keluarga atau waris mempunyai sejarah menghidap penyakit yang sama,” sarannya.

Jika si kecil mempunyai kebarangkalian untuk diserang darah tinggi, penjaga perlu mengambil beberapa langkah awal. Antaranya meminta bantuan daripada doktor untuk mendapatkan corak yang sesuai untuk menjaga berat badan anak dalam julat normal.

ANEKDOT

Berikut langkah-langkah secara terperinci bagi pemeriksaan bacaan tekanan darah pada kanak-kanak:

  1. Kanak-kanak akan diberi tempoh rehat untuk tenangkan diri untuk seketika antara 5 hingga 10 minit.
  2. Bacaan tekanan darah pada tangan kanan diambil.
  3. Perlu dipastikan juga kanak-kanak duduk dengan selesa dan tangannya mencapai paras jantung mereka.
  4. Bagi mengelak berlakunya ralat, pembalut yang menggunakan saiz kuff yang sesuai digunakan.
  5. Jika bacaan tekanan darah menunjukkan paras yang tinggi, kanak-kanak akan diberi tempoh berehat sekali lagi sebelum pemeriksaan kedua dilakukan.
  6. Selepas pemeriksaan kedua, kanak-kanak perlu melakukan rawatan dan perbincangan lanjut bersama doktor kerana mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

Sumber: Pakar Perunding Pediatrik Nefrologi dan Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Selayang, Selangor, Dr Selva Kumar Sivapunniam.    

Baru 5 tahun, Anas Faqih sudah menderita hipertensi            

MESKIPUN usianya kini baru sahaja mencecah lima tahun, Anas Faqih Abdullah sudah perlu memakan ubat dan hadir rutin pemeriksaan lanjutan secara bulanan untuk mengawal tekanan darah tingginya.

Mengakui akan hakikat itu, ibu kepada dua orang anak, Norshima Jailani, 32, ketika dihubungi mengungkapkan rasa syukur kerana segalanya masih mampu dikawal lagi.

“Sejak tahun lepas lagi, Anas hadapi masalah obesiti. Berat badan yang mencecah 40 kilogram dan itulah yang menjadi punca kepada masalah kesihatan yang ditanggungnya kini,” kata wanita yang berasal dari Jerlun, Kedah itu.

Kepada SinarPlus, selepas mengetahu derita yang ditanggung permata hatinya, Norshima berkata, dirinya seboleh-bolehnya akan memastikan perancangan diet Anas Faqih dapat dipatuhi.

“Ya lah, anak saya jenis yang suka sangat makan yang diproses seperti  nuget, sosej dan daging burger. Anas juga juga gemar makan pulut ikan masin.

“Jadi, tidak hairanlah jika beliau boleh makan begitu sahaja ikan masin selepas digoreng. Bayangkan dulu, setiap hari Anas akan minta saya gorengkan ikan masin untuknya,” beritahu wanita tersebut.

Bercerita mengenai diagnosis penyakit darah tinggi Anas, ujar Norshima, semuanya bermula apabila mereka sekeluarga secara kebetulan membuat pemeriksaan kesihatan.

“Saya dan suami memang lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Jadi, kami bawa bersama anak-anak untuk turut sama melakukan pemeriksaan. Saya agak teliti dalam bab kesihatan memandangkan ibu dan ayah saya memang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi,” beritahunya.

Namun, tanpa disangka-sangka, doktor mengesahkan anak kesayangan beliau  ‘mewarisi’ penyakit itu.

“Saya memang terkejut. Namun, doktor minta saya tidak panik. Apa yang saya perlu lakukan adalah sentiasa memantau kondisi berat badan Anas. Pada masa sama, saya kena sentiasa patuh kepada plan diet yang telah disarankan oleh doktor agar tekanan darah anak saya sentiasa dalam keadaan baik,” katanya yang turut menasihatkan ibu bapa di luar sana supaya melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Bila anak-anak kecil sakit, kita memang susah hati. Jadi, jangan biarkan hal itu berlaku. Pergilah jumpa doktor kerana apabila penyakit sudah melarat, mungkin ia akan menjadikan kesihatan anak kita semakin memburuk,” pesannya.

Migrain: Kaum Wanita Berisiko Diserang 3 Kali Ganda

SOALAN 1

DOKTOR, saya kerap alami sakit kepala dan ada yang mengatakan ia seperti simptom migrain. Bolehkah doktor memperincikan lebih mendalam perbezaan antara sakit kepala biasa dengan migrain kerana masih ramai yang keliru mengenainya termasuk saya.

– INGIN TAHU, FARIZAH MD NOOR, 27, BATU PAHAT, JOHOR

JAWAPAN:

PUAN, sakit kepala merupakan salah satu simptom yang sering dialami dalam kalangan masyarakat kita. Sebenarnya, terdapat pelbagai punca sakit kepala berlaku.

Dalam istilah perubatan, terdapat dua kategori simptom sakit kepala  iaitu primer dan sekunder.

Primer adalah merujuk kepada sakit kepala yang tidak disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius. Ia sering dikaitkan dengan faktor persekitaran, hormon, pemakanan dan genetik.

Terdapat beberapa jenis sakit kepala primer iaitu migrain, sakit kepala tegang dan sakit kepala kluster.

Kajian saintifik menunjukkan sakit kepala migrain sering dikaitkan dengan faktor genetik yang berpunca daripada perubahan hormon dan kimia dalam badan. Hal itu akan menyebabkan salur darah di dalam otak mengembang dan seterusnya menyebabkan sakit kepala.

Oleh yang demikian, sekiranya individu memiliki sejarah keluarga yang memiliki masalah migrain, mereka lebih terdedah untuk mewarisinya.

Berdasarkan soalan yang puan kemukakan, saya kategorikan anda dalam kategori sakit kepala primer iaitu tidak disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius.

Wanita lebih berisiko

Dalam pada itu, kajian lain juga menunjukkan kaum wanita berisiko tiga kali ganda untuk mendapat migrain berbanding lelaki.

Sakit kepala migrain juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang dapat dibezakan dengan jenis sakit kepala yang lain. Antara ciri-cirinya adalah:

i) Didahului oleh gangguan visual seperti merasa silau.

ii) Melihat bintang-bintang atau bintik-bintik.

iii) Melihat kilauan cahaya sebelum simptom sakit kepala bermula.

Untuk makluman puan, migrain juga akan menyebabkan sakit kepala berdenyut pada sebahagian kiri atau kanan kepala sahaja. Mereka yang terkesan juga boleh mengalami gejala loya atau muntah, di samping beerasa tidak tahan dengan bunyi bising atau cahaya.

Pun demikian, serangan migrain juga dapat dirawat hanya dengan ubat tahan sakit yang boleh didapati di farmasi seperti paracetamol, ibuprofen atau diclofenac sodium.

Selain itu, penggunaan ubat yang mengandungi kafein dan ergotamine dapat membantu untuk mengurangkan gejala kerana kedua-dua bahan itu dapat mengecutkan salur darah yang mengembang.

Namun begitu, pengambilan kafein secara berlebihan pada bukan waktu serangan migrain dapat menyebabkan serangan berlaku.

Jadi, nasihat saya kepada mereka yang sering mengalami gejala sakit kepala migrain, jauhi perkara yang menyumbang kepada kesakitan seperti elakkan hal-hal berikut seperti pengambilan alkohol, makanan yang mengandungi monosodium glutamate, merokok dan kekurangan tidur termasuk stres.

Peka simptom red flag semasa sakit kepala

SOALAN 2

DOKTOR, saya sering sakit kepala dan kadangkala kesakitan itu menganggu rutin harian saya. Adakah saya berisiko terkena barah otak? Apakah langkah susulan yang boleh saya buat doktor? Mohon pencerahan.

– LEKAKI GUSAR, MOHAMAD ZIYAD FAEEZ, 34, TANAH MERAH, KELANTAN

JAWAPAN:

TIDAK dapat dinafikan gejala sakit kepala sering dialami oleh masyarakat terutama di zaman ekonomi yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Tuan, tekanan bekerja, memikirkan hutang-piutang dan juga tanggungan yang dipikul secara tidak langsung menimbulkan gejala sakit kepala.

Walaupun ramai dapat menangani simptom tersebut, tidak kurang juga yang sebaliknya.

Namun demikian, adakah sakit kepala yang dialami membahayakan atau menandakan risiko kepada masalah kesihatan yang lebih serius?

Itulah yang dimaksudkan dengan sakit kepala sekunder yang merupakan sakit kepala yang disebabkan masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan dan pendarahan dalam otak, ketumbuhan (seperti barah otak), jangkitan kuman atau masalah struktur pada bahagian otak.

Selain masalah struktur pada otak, sakit kepala sekunder juga dapat disebabkan oleh jangkitan kuman pada telinga atau sinusitis.

Pun demikian, sakit kepala sekunder atau sakit kepala yang berpunca daripada masalah kesihatan yang serius tidak hanya menunjukkan gejala sakit kepala, malah terdapat simptom-simptom lain yang dikenali sebagai red flag selalunya mengiringi sakit tersebut.

Antara tanda-tandanya adalah seperti muntah secara berterusan, penglihatan kabur, ketegangan leher, gangguan pertuturan, emah anggota badan, sawan, perubahan sikap, mempunyai sejarah jatuh atau kecedaraan pada kepala dan kesakitan (kepala) yang lebih teruk daripada biasa.

Wajib ke hospital

Individu yang mengalami gejala sakit kepala diiringi simptom red flag memang disaran mendapatkan rawatan di hospital dengan segera kerana sakit kepala sekunder mampu menyebabkan pelbagai komplikasi berlaku akibat kegagalan fungsi otak.

Pada peringkat awal, tuan akan diperiksa terlebih dahulu terutama sekali status neurologi atau sistem saraf.

Seterusnya, jika perlu atau simptom sakit kepala yang ditunjukkan disebabkan oleh kecedaraan atau masalah bahagian otak, pesakit biasanya akan menjalani imbasan komputer tomografi (CT scan) untuk mengesan sebarang kecedaraan, pendarahan atau ketumbuhan dalam otak.

Selanjutnya, pesakit akan dirujuk ke doktor pakar pembedahan otak atau perubatan otak untuk rawatan selanjutnya.

5 Perkara Ibu Bapa Boleh Buat Segera Jika Si Manja Diserang Jangkitan Cacar Air

CACAR air atau chicken pox (Varicella zoster) adalah satu penyakit yang merebak akibat jangkitan virus varicella-zoster.

Menurut portal kesihatan healthline.com, penyakit cacar air akan mudah menjangkiti anak kecil yang berusia di bawah 10 tahun.

Namun demikian, ia juga boleh menyerang orang dewasa dan umumnya gejala yang muncul lebih berat daripada anak kecil.

Simptomnya bermula dengan kemunculan ruam pada kulit.

“Ruam tersebut akan berubah menjadi bintik merah berisi cairan yang terasa gatal yang kemudian akan mengering, menjadi koreng dan terkelupas dalam waktu 7 hingga 14 hari.

“Antara bahagian-bahagian tubuh yang biasa ditumbuhi bintik cacar air adalah wajah, belakang telinga, kulit kepala, dada, perut, lengan dan kaki,” beritahu mereka.

Namun, jika masalah itu menyerang kanak-kanak, sudah pasti ibu bapa memerlukan persediaan lebih rapi bagi mengendali mereka sehabis baik.

Pegawai Perubatan Pediatrik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, Dr Redza Zainol melalui bebenangnya di Twitter turut berkongsi mengenai penyakit berkenaan.

Ujarnya, terdapat lima perkara utama yang ibu bapa boleh lakukan jika si kecil berhadapan masalah cacar air.

Berikut perinciannya:

i) Jika keadaan anak masih aktif, boleh jaga anak di rumah sahaja.

Chicken pox adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit. Jadi, elakkan ahli keluarga lain daripada terdedah kepada pengidap chicken pox,” katanya.

Cara terbaik, tunggu sehingga semua ruam menjadi kering dan tidak ada ruam baharu yang muncul.

“Selalunya, ia akan ambil masa seminggu untuk ruam itu kering dan menjadi keruping.

“Ingat, asingkan pakaian, tuala, alat untuk makan dan minum supaya tidak bercampur dengan ahli keluarga yang lain,” pesan pakar itu.

ii) Redakan demam anak dengan ubat demam paracetamol.

“Dos syrup paracetamol adalah 15 miligram per kilogram setiap 6 jam.

“Awas, jangan guna aspirin untuk redakan demam anak! Jika aspirin diberi kepada kanak-kanak yang dijangkiti chicken pox, ia boleh menyebabkan penyakit Reye’s syndrome yang merosakkan hati dan otak anak,” jelas Dr Redza.

iii) Sapu dengan losyen calamine setiap kali selepas mandi.

Penggunaan losyen akan memberi kelembapan dan kelegaan pada kulit anak.

iv) Bantu kurangkan kegatalan kulit si kecil.

“Ibu bapa perlu bantu anak-anak dengan memberi ubat cecair antihistamine untuk dimakan.

“Namun, beri ketika perlu sahaja dan pastikan mengikut dos seperti yang dicadangkan. Jangan berlebihan pula yaa,” pesannya.

v) Pastikan kuku anak sentiasa pendek.

Ini kerana ketika anak menggaru kulit, kuman daripada bawah kuku akan masuk ke kawasan ruam dan menyebabkan jangkitan bakteria (secondary infection) pada kulit.

“Bagi bayi, ibu bapa boleh pakaikan sarung tangan (mitten) supaya mereka tidak menggaru kulit yang gatal itu.

“Bukan itu sahaja, tip untuk mengurangkan kesan parut pada kulit pula, jangan sesekali membiarkan anak-anak daripada mengopek keruping yang muncul kerana chicken pox itu,” kongsinya.

Oleh itu, buat ibu bapa yang mungkin belum mempunyai pengalaman menjaga anak kecil dengan masalah cacar air, tip yang dinyatakan boleh dijadikan panduan awal untuk merawat mereka di rumah.

Persediaan awal penting agar kesihatan anak kecil sentiasa terpelihara dengan baik apatah lagi ketika kita semua berada dalam fasa ‘berkurung’ kini.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.

Keindahan Memukau, Pulau Layang-Layang Milik Malaysia Jadi Rebutan Termasuk China

KEINDAHAN alam semula jadi khususnya tatkala bersantai di pulau pasti memukau pandangan dan menyuntik 1,001 ketenangan.

Malaysia antara negara memiliki pulau tropika yang kekal terpelihara. Tidak terhad di Semenanjung, bahkan di Kepulauan Borneo turut ‘menyajikan’ pulau mempesonakan jiwa.

Apa yang menjadikan pulau-pulau tersebut lebih istimewa adalah kerana keindahannya cukup terjaga dan privasi berbanding pulau-pulau di negara lain.

Tidak keterlaluan yang terlalu sibuk dengan kunjungan para pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Pulau Layang-Layang yang terletak di Sabah misalnya, merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Keindahannya di daratan dan laut memukau perhatian ramai.

Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa pulau tersebut milik negara ini memandangkan kedudukannya berhampiran dengan Negeri di Bawah Bayu.

Tahukah korang, pulau berkenaan juga dituntut oleh negara Republik Rakyat China, Republik China (Taiwan), Filipina dan Vietnam.

Pulau Layang-Layang terletak 162 batu nautika bersamaan 300 kilometer dari barat laut Kota Kinabalu iaitu dianggarkan 200 batu nautika Zon Eksklusif seperti yang dibenarkan menurut Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pulau berkenaan timbul hampir 2,000 meter dari dasar laut. Ia berukuran sepanjang 1.2 kilometer (km) dan selebar 200 meter (m).

Pulau berbentuk bujur itu amat menarik apabila menawarkan pelbagai pemandangan dasar laut, kepelbagaian batu karang dan ikan terumbu, termasuk haiwan laut dalam yang menjadi daya tarikan kumpulan penyelam.

Pulau Layang-Layang juga menjadi tempat perlindungan pada ribuan ekor burung yang bermigrasi.

Setelah pihak kerajaan mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau Layang-Layang terletak dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) pada 20 September 1979, Kabinet mengarahkan agar kajian mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang di dalam wilayah negara.

Pada tahun 1989 kerajaan telah memutuskan supaya kawasan terumbu itu dimajukan sebagai tempat pelancongan.

Ciri-ciri ekopelancongan menambah daya tarik pelancong asing, sekali gus membina jenama umum bahawa Pulau Layang-Layang adalah milik Malaysia.

Resort Avillion Layang-Layang (Dive Resort) menerima kunjungan pelancong asing dari Jepun, Perancis, Korea Selatan dan China.

Penerbangan ke Pulau Layang-Layang mengambil masa selama sejam dari Kota Kinabalu.

Wilayah laut Pulau Layang-Layang mempunyai keindahan ekologi laut kerana terdapat pelbagai terumbu karang. Oleh kerana itu, kawasan ini menjadi tarikan eko pelancongan di Malaysia dan bahkan terkenal di dunia.

Dalam pada itu, melindungi kepentingan laut adalah misi utama kerajaan sehingga ia juga tersenarai dalam Wawasan 2020.

Pada tahun 1990, sektor marin memberi sumbangan 33 juta ringgit atau 13 peratus dari jumlah keseluruhan output Malaysia.

Sektor marin itu terdiri daripada subsektor perkapalan, pengeluaran minyak dan gas dan perikanan. Ini termasuklah wujudnya subsektor seperti eko pelancongan laut, rekreasi dan pemprosesan makanan laut.

Pangkalan tentera

Malaysia kemudian membina pertahanan di sekitar pulau-pulau tersebut untuk melindungi kepentingan ekonomi dan integriti wilayah.

Di lokasi tersebut, Malaysia membina pangkalan tentera di hujung timur Pulau Terumbu Layang-Layang sebagai pos induk anggota TLDM ditempatkan dan bertugas di kawasan Kepulauan Spratly Selatan termasuk dermaga untuk kepentingan pelancongan.

Pada tahun 1983 Malaysia meletakkan Pasukan Khas Laut di Pulau Terumbu Layang-Layang.

Pada tahun 1985 pula, kemudahan ketenteraan ditambah sehingga membolehkan ia menjadi markas untuk pasukan pertahanan udara.

Ciri-ciri tentera ditujukan untuk menggentarkan negara lain yang akan cuba mempersengketakan pemilikan pulau ini. Sengketa pemilikan Pulau Layang-Layang dan kepulauan Spratly ini tidak pernah surut.

Kebijaksanaan pemerintah Malaysia hari ini berjaya memastikan kedaulatan wilayah Pulau Layang-Layang kekal milik kita.

Sumber: Urang Sabah

Kebab Tortilla Sentuhan Istimewa, Usahawan Muda Ini Sanggup Keliling Negara Cari Resipi, Olah Formula Tersendiri

kebab

SELAIN martabak, kebab antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Sekiranya kita melancong ke negara-negara bukan Muslim,  menu itulah yang menjadi penyelamat.

Masakan tidak, kelibat peniaga kebab dari negara-negara Arab termasuk Turki yang menjualnya boleh ditemui di merata-rata tempat di seluruh dunia.

Tinggalkan seketika cerita itu, SinarPlus pada kali ini mengajak pembaca mengenali kebab air tangan orang tempatan.

kebab

Kepada penulis, Mohd Zafur Mahamad Supar yang mengusahakan Epul Kebab F&B berkata, beliau dan isterinya, Nurazlin Mahmuddin, 29, cuba menampilkan sedikit kelainan.

Untuk perusahaannya, beliau memperkenalkan kebab pita dan kebab tortilla yang berintikan daging berempah perapan istimewa dan jus kuah yang cukup menyelerakan.

“Biasanya kalau makan kebab, kita hanya menikmati daging yang dipanggang atau dibakar sebelum disumbat ke dalam roti, tetapi saya ketengahkan inti yang berbeza.

“Saya menggunakan daging yang diperap dengan ramuan rempah-ratus yang saya ‘formulakan’ sendiri selepas belajar di banyak tempat.

“Apa yang saya buat, kesemua daging akan dicucuk besi akan digril, kemudian barulah disaluti rempah. Ia akan dimasak garing, namun isinya lembut,” katanya yang gembira idea uniknya itu diterima ramai.

“Saya sebenarnya banyak bereksperimen. Selepas dua tahun saya belajar dan makan kebab di seluruh negara, barulah saya dapat mengolah resipi sendiri.”

Bekas peniaga pasar malam itu berkata, dek penangan wabak Covid-19, beliau nekad memulakan perniagaan dengan menyewa premis kedai di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor beberapa bulan lalu.

kebab

Pun demikian, disebabkan perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, kata Mohd Zafur, pihaknya hanya membuat penghantaran dari rumah ke rumah di kawasan Klang termasuk di beberapa tempat lain jika mendapat permintaan.

“Alhamdulillah, saya mempunyai pelanggan tetap dan ada yang buat tempahan setiap hari. Sebab itu, saya berani sewa kedai supaya penyediaan makanan lebih selesa dan sempurna untuk mereka,“ katanya.

Bukan sahaja kebab pita dan tortilla yang dijual pada harga RM5 hingga RM9 menjadi rebutan, malah roti john di premis itu turut laris dijual.

Jika pembaca SinarPlus mahu merasai kenikmatan maksimum sajian itu yang mempunyai rasa lain daripada yang lain, cubalah membuat pesanan melalui platform Facebook Epul F&B. Pasti berbaloi!

kebab

Epul Kebab F&B

  • Alamat: Lot 26528, Jalan Teluk Kapas, Kampung Rantau Panjang, Klang
  • Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 7 malam
  • (Penghantaran bermula pada pukul 1 tengah hari hingga 6 petang)
  • Harga: RM5 hingga RM7
  • Facebook: Epul F&B

Kebab merupakan sajian ringkas yang enak dimakan pada waktu lewat petang atau malam.

Disebabkan tempoh Sekatan Pergerakan Penuh, pasar malam tidak dibenarkan beroperasi, manakala kedai makan tidak boleh menerima pelanggan.

Pun demikian, masih terdapat ramai peniaga yang melaksanakan khidmat penghantaran terus ke rumah.

Jika teringin untuk menikmati kebab pelbagai inti istimewa, pembaca SinarPlus boleh mempertimbangkan 4 lokasi yang disenaraikan.

kebab

Alif Kebab

  • Alamat: No 83, Jalan Sentosa, Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Selangor
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 8 malam & 2.30 petang hingga 7 malam (penghantaran)
  • Harga: RM4 hingga RM10
  • Facebook: Alif Kebab

kebab

Kebab Arab Bakar

  • Kawasan penghantaran: Sekitar Sentul dan Kuala Lumpur
  • Harga: RM5
  • Facebook: Mohamad Salehudin

kebab

Naziha‘s Kebab Station

  • Alamat: Seksyen 24 dan D‘Laman Foodcourt Seksyen 19, Shah Alam, Selangor
  • Harga: RM5 hingga RM12.50
  • Facebook: Naziha‘s Kebab Station

kebab

Kebab Bowl

  • Alamat: Persiaran Setia Alam, Eco Ardence, Shah Alam, Selangor
  • Waktu operasi: 3 petang hingga 8 malam
  • Harga: RM7 hingga RM14
  • Facebook: Kebab Bowl (Ardence Labs)

Sedapnya Makan Buah Kundang Cicah Sambal Belacan. Ini Antara Khasiat Ramai Tidak Tahu

Sedapnya makan buah kundang cicah sambal belacan. Ini antara khasiat ramai tidak tahu

BUAH kundang, setar, temia, rembunia atau nama saintifiknya Bouea Macrophylla dari keluarga Anacardiaceae merupakan tumbuhan asal Malaysia dan dikebanyakan negara Asia.

Buah kundang juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Ma Prang (Thailand), ramania atau gandaria (Indonesia), mayun thee (Burma) dan thanh tra (Vietnam).

Pokoknya berkanopi besar boleh mencecah ketinggian hingga 18 meter. Ia boleh dibiak menggunakan biji benih atau cantuman mata tunas. Pembiakan menggunakan biji benih memakan masa enam hingga lapan tahun untuk berbuah dan empat hingga lima tahun jika dibiak menggunakan mata tunas.

kundang

Buah berbentuk bulat dan lonjong itu berwarna hijau ketika muda dan bertukar warna kuning apabila matang.

Apa yang pasti buah kundang tergolong dalam kategori buah nadir yang jarang ditemui lagi di Malaysia. Berbeza di Thailand buah tersebut mula dikomersilkan dengan menonjolkan variasi yang lebih baik dan manis.

Buah kundang kaya dengan serat dan berjus. Ia boleh dimakan segar bersama kulitnya apabila matang yang mana rasanya masam-masam manis bergantung pada jenis.

Buah yang muda juga boleh dimakan segar, tetapi agak masam dan enak dicampur dengan sambal belacan, ditambah dalam rojak atau dijadikan jeruk.

Daun muda pokok buah kundang kadangkala dijadikan ulam. Ironinya, buah kundang kaya dengan kandungan Vitamin A, C dan serat.

Sedapnya makan buah kundang cicah sambal belacan. Ini antara khasiat ramai tidak tahu

Antara khasiat sampingan ialah:

1. Makanan pencegah kanser

Kaya dengan Vitamin C yang merupakan antioksidan terbaik membantu mencegah kanser dan mengelakkan sel-sel kulit menjadi rosak.

Selain itu, ia membantu mengurangkan simptom demam seperti loya, sakit-sakit badan dan selesema.

2. Mengurangkan risiko sakit jantung

Kandungan antioksidan yang tinggi membantu memelihara kesihatan jantung dengan mengembangkan saluran darah untuk mencegah penyakit Arherosclerosis.

3. Ubat sakit kepala

Melalui kaedah tradisional, daunnya ditumbuk lumat dan ditepekkan pada dahi seperti koyok untuk membantu mengurangkan kesakitan.

4. Kurangkan tekanan darah tinggi

Apa sahaja makanan baik untuk jantung automatik, juga ideal buat tekanan darah dengan memberi bukaan salur darah, sekaligus membantu mengurangkan tekanan darah
tinggi.

Aduhai, kecur air liur melihat perkongsian warganet di media sosial apabila buah kundang dimakan dengan pelbagai cara mengikut cita rasa masing-masing.

Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia