Archives for December 25, 2021

Jangan Guna Minyak Masak Berulang Kali, Memudaratkan Jantung. Berikut Tip Pilih Minyak Yang Betul

MENGGORENG adalah salah satu cara yang sering digunakan dalam aktiviti memasak harian.

Boleh dikatakan sebahagian besar sajian kegemaran rakyat Malaysia berasaskan konsep gorengan yang menggunakan minyak.

Sejak kebelakangan ini harga minyak masak kelapa sawit menjadi topik hangat kerana dipercayai mengikut harga pasaran dunia. Hanya minyak masak dalam polibeg sahaja diberikan subsidi yang mana stoknya terhad kedai runcit ataupun pasar raya.

Adakah korang pernah memeriksa jenis minyak masak yang terbaik? dan minyak masak jenis apa pilihan kegemaran?

Pakar Perunding Dr Malinda Health & Beauty Academy, Dr Malinda berkongsi tentang pemilihan minyak masak yang sesuai digunakan.

“Pening sebab banyak sangat artikel yang kata minyak itu bagus, ada yang kata minyak ini pulak tak okey. Malah pendapat juga berubah-ubah dan pelbagai pendapat daripada pakar. Sebagai pegguna kita juga sering keliru.

“Nak jaga kesihatan katakan, mahal sikit pun tidak mengapa. Tapi, sebenarnya indah khabar daripada rupa. Mitos dan politik industri,” tulisnya.

Selain itu, beliau turut mengakui berpengalaman membeli minyak-minyak yang dimomokkan bagus dan tersenarai di rak premium di pasar raya.

Justeru, agar kita tidak keliru, Dr Malinda berkongsi beberapa tip pemilihan minyak masak.

“Masak menggoreng ialah antara cara yang memindahkan haba pada makanan pada kadar lebih cepat dan memberi aroma rasa lebih enak.

“Bukan langsung tidak boleh menggunakan cara ini, tetapi kita kena pandai pilih jenis minyak yang digunakan,” ujarnya.

Dr Malinda menyenaraikan dua tip untuk memilih minyak masak:

1. Jenis minyak

– Pilih yang mengandungi paling rendah Polyunsaturated Fats (asid lemak poli tak tepu) kerana minyak yang tinggi bahan itu apabila dipanaskan tidak stabil, lebih mudah teroksidasi dan menjadi tengik (rancid).

– Minyak jenis lemak tepu atau saturated fat contohnya minyak kelapa telah dimomokkan sebagai minyak tidak sihat itulah sebenarnya lemak paling stabil apabila dipanaskan.

2. Smoke point

– Apa itu smoke point? Smoke point merujuk pada suhu yang mana minyak menjadi terlalu panas dan akan menghasilkan asap. Apabila memasak melepasi suhu ‘smoke point’, penghasilan radikal bebas akan meningkat.

Radikal bebas antara penyebab proses pengaratan pada besi dan pereputan pada kayu dan ia boleh menyebabkan kita ‘mereput’ dan ‘berkarat’ dari dalam.

Selepas mengetahui betapa pentingnya tentang smoke point minyak yang digunakan, persoalan seterusnya ialah cara untuk mengetahui smoke point sesuatu jenis minyak?

Dr Malinda turut berkongsi tentang perkara ini.

“Maaf ya, ia tidak ada tertulis pada label minyak masak. Kita sebagai pengguna yang perlu membuat sedikit pembacaan untuk kesihatan diri. Anda juga juga boleh merujuk carta yang disertakan di bawah.

“Justeru, prinsip pemilihan minyak masak adalah pilih yang mempunyai smoke point paling tinggi dan mempunyai kandungan kandungan lemak tepu paling tinggi.

“Kombinasi kedua-dua faktor di atas akan menyebabkan minyak yang dipilih lebih stabil dan sesuai untuk digunakan pada suhu tinggi,” kongsinya.

Tutur beliau, kedua-dua kriteria di atas ada pada minyak kelapa.

“Minyak sawit juga mempunyai smoke point yang tinggi, 235 darjah Celcius dan kandungan lemak tepu 49 gram.

“Jadi kalau menggoreng the best ialah menggunakan minyak kelapa. Minyak sawit pun boleh. Tidak perlu membazirkan duit untuk membeli minyak ‘mahal’ yang mempunyai smoke point yang rendah dan kandungan lemak politak tepu yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menekankan tentang kekerapan penggunaan minyak yang mungkin membahayakan.

“Minyak yang digoreng berulang kali juga menyebabkan smoke point semakin rendah! Jangan guna berulang kali. Memanglah sayang, tapi kena lagi sayang jantung lebih dari kita sayang minyak masak,” katanya.

Justeru, korang yang sudah mengetahui tentang cara memilih minyak masak ini bolehlah membuat pilihan terbaik. Semoga ia bermanfaat untuk kesihatan.

Sumber: Dr Malinda

Guna Air Fryer Masak Kuih Mudah Dan Cepat. Churros, Kuih Bakar Gerenti Sedap

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

AIR fryer menjadi barang kelengkapan dapur wajib bagi setiap rumah. Ia berfungsi dengan mengedarkan udara panas ke sekeliling makanan yang dimasak sehingga ia masak, tanpa menggunakan minyak!

Dari orang bujang sehingga kepada mereka yang sudah berkeluarga, ramai yang memilih peralatan ini. Ini kerana ianya sangat mudah dan cepat untuk sesiapa sahaja memasak pelbagai hidangan dari sarapan, makan tengah hari, makan malam, dan pencuci mulut.

Dengan menggunakan air fryer, korang tidak perlu risau selepas memasukkan makanan ke dalamnya. Yang penting pastikan suhu dan tempoh masa disetkan betul. Tunggu sahaja ia selesai dan korang tidak perlu mencuci banyak peralatan selepas itu.

Selain lauk pauk, mesti korang tertanya-tanya sajian kuih muih yang boleh dimasak menggunakan air fryer kan? SinarPlus mengumpulkan empat resepi yang boleh korang cuba menggunakanm alatan ini

1. Kuih Bakar

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Tepung gandum
Telur
Gula
Daun pandan
Susu pekat
Esen vanila
pewarna hijau

Cara penyediaan
Campurkan semuanya menggunakan pengisar. Kemudian, tuangkan ke dalam loyang dan taburkan di atasnya dengan biji bijan. Selepas itu, masukkan ke dalam air fryer selama 30 minit pada suhu 170 darjah Celcius.

2. Churros

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Air
Mentega
Garam
Esen Vanila
Tepung Serbaguna
Telur
Gula Dan Sedikit Gula Perang

Cara penyediaan

Campurkan semua bahan di atas dapur anda dan apabila menjadi doh, masukkan ke dalam bakul penggoreng udara anda. Biarkan selama 11 minit pada suhu 180 darjah Celcius.

3. Donat

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Susu
Tepung Serbaguna
Gula Pasir
Mentega
Yis Kering Aktif
Telur
Esen Vanila
Garam

Cara Penyediaan

Pertama, aktifkan ragi dengan menggabungkan air suam, gula, dan ragi dan biarkan sehingga menjadi berbuih. Kemudian campurkan dengan bahan lain sehingga menjadi doh. Uli dan bentuknya menjadi bola dan biarkan selama 1 jam. Setelah 1 jam, bentuklah cincin, letakkan di dalam bakul penggoreng udara anda, dan masak selama 6 minit pada suhu 190 darjah Celcius.

4. Lemang

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Nasi Pulut
Santan
Garam
Air

Cara Penyediaan

Daripada menggunakan buluh untuk memasak campuran nasi, kita harus menggunakan cawan muffin dan menyusunnya di dalam bakul penggoreng udara. Lemang hendaklah dimasak pada suhu 180 darjah Celcius selama 30 minit.

Perkara yang menjadikan air fryer lebih menarik adalah ia menjadikan makanan menjadi rangup dan lembap. Tidak terlalu kering dan sedap!

Pun begitu, tidak semua sajian boleh dimasak di dalam air fryer. Teruskan mencuba untuk mengetahui resipi terbaik yang boleh dibuat menggunakan air fryer di rumah korang.

Sumber: TikTok 

Makin Ramai Anak Muda Alami Slipped Disc, Cuba Tip Ini

Makin ramai anak muda alami slipped disc, cuba tip ini

PRAP! Tengah angkat barang berat, tiba-tiba rasa meletup dan sakit pada bahagian pinggang dan belakang.

Situasi tersebut merupakan slipped disc atau sakit pada tulang belakang. Ia boleh berlaku kepada sesiapa
sahaja khususnya golongan berusia antara 20 sehingga 50 tahun.

Namun begitu, tahukah korang slipped disc antara masalah kesihatan yang sering dialami generasi muda.

Ini disebabkan ia boleh terjadi disebabkan beberapa faktor selain mengangkat barang berat.

Slipped disc pada tulang belakang juga dikenalpasti sebagai PID (prolapsed interverterbral disc).

Slipped disc merupakan pengalihan nucleus pulposes dari lokasi normal yang duduk di pertengahan disk, sekali gus menyebabkan anggota badan kebas atau lemah.

Sebab-sebab slipped disc dikatakan berpunca daripada proses penuaan pada disk tulang belakang dek mengalami faktor mekanikal, trauma, nutrien, dan genetik.

Duduk lama sangat buat ramai sakit pinggang? 4 tip ini boleh mencegah, pasti berkesan!

Sakit belakang boleh diklasifikasikan kepada peringkat akut, kronik dan berulang (recurrent). Sakit akut amnya terjadi selepas bersin, batuk kuat, mencangkung lama atau angkat sesuatu barang di lantai dalam posisi salah (lebih lagi jika barang berat).

1. Sakit belakang akut

  • Sakit yang dialami dalam tempoh sehari hingga tiga bulan.

2. Sakit belakang kronik

  • Sakit yang dialami melebihi tiga bulan.

3. Sakit belakang berulang (recurrent)

  • Sakit yang berulang dalam tempoh kurang tiga bulan

Sakit belakang berpunca:

1. Perubahan kepada disc
2. Kecederaan otot
3. Postur tidak betul
4. Patah tulang belakang (jarang)
5. Kelemahan otot stabiliti

Penyakit slip disc merupakan penyakit yang sangat berbahaya jika berada tahap serius. Perkembangan penyakit itu harus diawasi dan berjaga-jaga dengan punca yang mencetuskan kesakitan atau kebas.

Punca

1. Umur
Lazimnya, penyakit slip disc berlaku dalam kalangan golongan berusia kerana bahagian luaran yang melindung disc semakin haus dan mengakibatkan ia mudah bergerak dari kedudukan asal.

2. Pergerakan tiba-tiba
Setengah pergerakan dan posisi badan yang dilakukan secara tiba-tiba atau cara salah membawa kepada masalah slip disc.

3. Mengangkat objek berat
Proses mengangkat objek berat menyebabkan tekanan tinggi pada tulang belakang.

Ini secara tidak langsung mengakibatkan disc bergerak keluar dari tempat asalnya sehingga mendatangkan sakit.

4. Berat badan
Apabila seseorang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti tulang belakang tidak dapat menampung berat badan, sekali gus menyebabkan terdedah pada slip disc.

5. Otot lemah
Individu yang tidak mengamalkan gaya hidup aktif atau bersenam untuk menguatkan otot juga berisiko tinggi mengalami slip disc.

Otot yang lemah tidak dapat membantu menyokong tulang belakang dengan kukuh.

6. Kehidupan tidak aktif
Keadaan ini merujuk kepada golongan berkerja di pejabat yang duduk tempoh lama tanpa melakukan pergerakan lain.

Tabiat duduk sahaja memberikan tekanan tinggi pada tulang belakang bahagian bawah.

Gejala
1. Kesakitan dan rasa kebas biasanya pada satu sisi badan.
2. Kesakitan yang meluas pada tangan atau kaki.
3. Kesakitan yang bertambah buruk pada waktu malam atau dengan pergerakan tertentu.
4. Kesakitan yang bertambah buruk selepas berdiri atau duduk.
5. Sakit ketika berjalan jarak pendek.
6. Kelemahan otot yang tidak dapat dijelaskan.
7. Kesemutan, kesakitan, atau rasa terbakar di kawasan yang terjejas.

Kesemua gejala itu akan berubah bergantung pada individu. Oleh itu, pesakit disarankan segera merujuk pakar perubatan.

Beberapa komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit adalah lumpuh pada bahagian kaki dan tidak mampu mengawal pembuangan air kencing dan air besar.

Ujian pemeriksaan
Bagi memastikan seseorang itu mempunyai slip disc ataupun tidak langkah pertama menjalani X-ray tulang belakang.

Cakera intervertebra tidak kelihatan dalam x-ray kerana ia berwarna gelap. Apa yang boleh dilihat ialah jarak di antara tulang belakang semakin berkurang berbanding dengan tulang belakang lain.

Selain daripada itu, CT Scan dan terutamanya MRI boleh dibuat. Di dalam pengimejan jenis gambar cakera intervertebra dapat dilihat dengan lebih jelas.

Rawatan
Rawatan bagi penyakit slipped disc termasuk kaedah konservatif ke kaedah surgikal.

Kaedah konservatif melibatkan pengambilan ubat untuk mengurangkan gejala dialami.

Antara ubat yang diberikan ialah:

1. Ubat tahan sakit
– Ia membantu pesakit meredakan kesakitan dialami.

2. ‘Muscle relaxants’
– Ia membantu melegakan kekejangan otot yang berlaku.

3. Ubat saraf
– Ia melegakan sakit saraf yang terlampau teruk.

Selain itu, terdapat juga pilihan surgikal atau pembedahan apabila kaedah ubat-ubatan tidak dapat membantu.

Antara pembedahan ‘Mikrodiscetomy’ yang merupakan kaedah membedah keluar bahagian disc yang terkeluar dari tempat asalnya dan bukan keseluruhan disc tersebut.

Selain itu, rawatan ‘Disc replacement’ iaitu kaedah yang mana keseluruhan disc akan dikeluarkan dan disc tiruan.

Elak makan sebelum tidur, petua rasa segar ketika bangun pagi

Langkah-langkah pencegahan

Pastikan postur yang betul dalam semua posisi semasa duduk, berdiri, baring atau melakukan aktiviti harian dengan mengambil kira beberapa perkara:

1. Semasa baring
a) Pilih tilam tegap (firm) yang menyokong tulang belakang dengan baik.
b) Posisi dicadangkan, mengiring dan melengkung tubuh ke hadapan dengan bantal di antara dua lutut.

2. Semasa berjalan
a) Memakai kasut bertumit rendah yang selesa.

3. Semasa duduk
a) Menggunakan kerusi bersandar (back rest) yang boleh menyokong tulang belakang dengan baik.
b) Gunakan bantal kecil atau lumbar roll untuk menyokong bahagian belakang.

4. Semasa berdiri
Sekiranya berdiri terlalu lama, rehatkan satu kaki secara bergilir- gilir di atas bangku kecil yang rendah.

a) Gunakan teknik mengangkat atau mengalih yang betul.
b) Lakukan senaman secara tetap.
c) Menjaga berat badan.
d) Amalkan kecergasan keseluruhan.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr Zubaidi Ahmad

Leceh Nak Buat, Tapi Sedap! Rojak Kateh Sering Jadi Buruan Warga Terengganu

Leceh nak buat, tapi sedap! Rojak kateh sering jadi buruan warga Terengganu

PERNAH dengar rojak kateh? Kalau rojak buah atau rojak mi mesti sudah biasa korang jumpa bukan?

Rojak kateh merupakan makanan tersohor di negeri Terengganu. Ia diperbuat daripada kaki atau kateh lembu.

Juadah tersebut bukan sekadar pembuka selera, namun merupakan hidangan tradisional eksklusif di negeri pantai timur itu.

Bahan utamanya terdiri daripada urat kaki lembu atau dikenali keting yang direbus lembut bersama kuah cuka berlada.

Rasanya masam, manis dan pedas menjadikan rojak kateh antara hidangan paling digemari warga Terengganu.

Cuma proses penyediaan memakan masa lama, namun itulah yang menjadikan sajian itu istimewa.

Leceh nak buat, tapi sedap! Rojak kateh sering jadi buruan warga Terengganu
Gambar Sinar Harian.

Bahan-bahan:

Kateh atau kaki lembu (tunjang atau urat kaki lembu)

  • Cili kering
  • Gula
  • Garam
  • Cuka masak
  • Gula merah atau nissan
  • Air asam jawa

Cara membuat:

1. Kateh atau kaki lembu dibakar. Selepas dibakar cuci kesan arang sehingga bersih.

2. Kemudian rebus, lalu dibiarkan di dalam peti semalaman.

3. Setelah itu barulah dipotong kecil-kecil daging tersebut dan direbus sekali lagi sehingga empuk.

Leceh nak buat, tapi sedap! Rojak kateh sering jadi buruan warga Terengganu
Gambar Sinar Harian.

Cara membuat (kuah cuka berlada)

1. Di dalam satu periuk masukkan air asam jawa, cili kering, gula, garam, cuka masak dan gula merah (gula Melaka atau nissan). Masak sekejap sahaja.

2. Kemudian, masukan kateh lembu yang telah direbus dan kacau selama dua hingga tiga minit.

3. Sedia untuk dinikmati. Rasai kelazatannya.

Selamat mencuba!

Harga Murah Dan Topping Unik, Ais Kepal Cik Ana Viral Sepanjang PKP

ais kepal

SEJAK kebelakangan ini, cuaca di luar sangat panas. Masakan tidak, belum lagi waktu tengah hari menjelma, bahangnya sudah terasa.

Keadaan itu biasanya akan membuatkan kita cepat dahaga. Sudah pasti perkara yang bermain di dalam benak adalah mahu menikmati minuman berais, cendol atau ais batu campur.

Di negeri utara Semenanjung Malaysia, terdapat satu minuman yang menjadi ‘kegilaan‘ ramai.

Tidak lain tidak bukan adalah ais kepal yang  lazimnya dihiasi dengan variasi hidangan tambahan (topping) seperti buah-buahan, kekacang dan perasa.

ais kepal

Kepada SinarPlus, Mardiana Rasudin berkata, beliau bersyukur apabila percaturannya membuka bisnes ais kepal dengan mewujudkan premis yang dinamakan Cabin Ais Kepal Cik Ana di Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah mendapat sambutan luar biasa.

Ujar wanita berusia 36 tahun itu yang mesra disapa Cik Ana, sejak perniagaannya dibuka pada tahun 2017, beliau tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan para pelanggan yang ‘mengidam‘ sentuhan air tangannya.

Daripada 10 jenis pilihan yang ditawarkan, ais kepal buah campur dan ais kepal milo strawberi antara menu paling laris dijual.

ais kepal

Difahamkan pada setiap kali hujung minggu, penduduk setempat akan beratur panjang mendapatkan minuman viral yang dijual pada harga bermula RM3 hingga RM8 sahaja.

Apakah rahsia di sebalik kelazatan ais kepal Cik Ana?

Sambil tertawa ketika kami berbual menerusi corong telefon, usahawanita itu berkata, barangkali disebabkan variasi topping termasuk bancuhan krim berwarna putih yang dihasilkan mengikut resipinya sendiri.

“Banyak kali juga saya dan seorang kawan lagi mencuba untuk mendapatkan bancuhan krim yang betul-betul sedap selain milo.

“Selepas berekperimentasi, akhirnya menjadi juga. Bancuhan krim untuk ais kepal pun saya jual pada harga RM200 untuk satu bekas seberat hampir 13 liter,” ujarnya.

ais kepal

Cik Ana berkata, produk tambahan yang berupa krim itu sanggup dijualnya kepada mereka yang berminat demi membantu lebih ramai individu khususnya golongan wanita yang mahu menjana pendapatan melalui jualan ais kepal.

“Mungkin dengan jualan bancuhan ini dapat memudahkan mereka menjalankan perniagaan sama dengan saya,” tuturnya yang turut melakukan perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.

Mengenai seleksi buah-buahan, selain strawberi, mangga, Cabin Ais Kepal Cik Ana turut menyediakan buah kiwi dan naga yang segar.

Selain ais kepal, Cik Ana turut menjual minuman ais kisar yang mempunyai 15 pilihan menu.

ais kepal

Cabin Ais Kepal Cik Ana

  • Alamat: Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Ais kepal buah campur dan ais kepal milo strawberi
  • Harga: Bermula RM3 hingga RM8
  • Facebook: Mardiana Ana

Mencari ais kepal yang enak dan kena dengan tekak memang tidak mudah lebih-lebih pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini yang menyaksikan banyak premis ditutup.

Jika di Kedah, Cabin Ais Kepal Cik Ana jadi perhatian, bagaimana pula dengan lokasi-lokasi lain?

Bagi membantu pembaca SinarPlus memilih destinasi yang menjanjikan kepuasan maksimum, berikut empat lokasi lain yang dicadangkan:

ais kepal

Ais Kepal JB

  • Alamat: No 23, Jalan Riang 9, Taman Gembira, Johor Bahru, Food Truck B5 Street Market dan Tebrau Food Truck Arena Johor
  • Waktu operasi: Bermula 10 pagi hingga 5 petang
  • Menu signatur: Ais kepal milo dan Manggo Kepal 2.0
  • Harga: Bermula RM3
  • Facebook: Kepal (Ais Kepal JB)

ais kepal

Ais Kepal Ipoh

  • Alamat: 99 Jalan Sultan Yussuf (@ Kong Heng Square), Ipoh, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 4 petang dan 10 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu dan Ahad)
  • Menu signatur: Ais kepal mangga asam, limau kasturi asam dan pelangi
  • Harga: Bermula RM3
  • Facebook: Bits & Bobs – Sejak Selalu

ais kepal

Ais Kepal D‘Kuala

  • Alamat: Kampung Beruas, Pekan, Pahang
  • Waktu operasi: 2 petang hingga 7 malam
  • Menu signatur: Ais kepal buah
  • Harga: Bermula RM5
  • Facebook: AisKepal D‘Kuala

ais kepal

Ais Kepal-Kepal Delicious

  • Alamat: Berhadapan SMK Mudzafar Shah, Simpang Empat, Semanggol, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 8 malam
  • Menu signatur: Ais kepal milo special
  • Harga: RM2.50 hingga RM8
  • Facebook: Ais Kepal-Kepal Delicious

5 Khasiat Tersembunyi Teh Hijau, Bukan Hanya Bikin Langsing Sahaja Tau!

SECAWAN teh hijau bukan sahaja menghilangkan dahaga, malah lebih daripada itu kebaikannya untuk tubuh badan manusia.

Berdasarkan historiografi, teh jenis berkenaan yang dihasilkan daripada daun spesies Camellia sinensis disifatkan sangat berkhasiat dan bernutrisi dalam kalangan penduduk negara China zaman dulu.

Menariknya tentang teh hijau, ia tidak melalui proses pelayuan dan pengoksidaan seperti penghasilan teh oolong dan teh hitam.

Dalam satu kajian yang dijalankan ke atas lebih 40,000 penduduk dewasa di Jepun, mereka yang mengamalkan minum air berkenaan sebanyak lima cawan sehari telah menunjukkan jangka hayat yang lebih panjang!

Memperincikan lebih mendalam mengenai faedah teh hijau, SinarPlus mewawancara Pakar Perkhidmatan Dietetik dan Pemakanan, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Nur Aliah Syazwanie Ahmad Shukri baru-baru ini.

Nur Aliah.

Nur Aliah berkata, pada peringkat awal, teh hijau merupakan sejenis ubat yang digunakan secara meluas dalam kalangan tabib di China.

“Kemudian, beberapa tahun selepas itu, barulah ia dijadikan sebagai sejenis minuman. Ia dihidangkan ketika panas, sejuk, suam dan terdapat dalam bentuk serbuk juga,“ katanya membuka topik bicara.

Kesesuaian masa

Menjelaskan lebih lanjut, pakar itu menjelaskan, teh hijau terdapat pelbagai jenis kategori yang mana setiap fungsinya sedikit berbeza. Berikut adalah huraiannya:

i) Sencha
Sencha merupakan teh hijau yang selalu diambil. Ia dibuat mengikut kaedah pemprosesan yang paling umum. Biasanya, daun sencha dikukus dan digelek untuk menghasilkan teh yang asli.

ii) Fukamushi sencha
Teh hijau jenis itu dikukus kira-kira dua kali lebih lama daripada sencha. Teh yang dihasilkan akan memberi rasa yang lebih kuat dan warna hijau yang lebih gelap.

iii) Gyokuro
Teh tersebut akan ditutup dengan kain atau tapisan buluh kira-kira 20 hari sebelum dipetik. Ia dilakukan bertujuan untuk mengehadkan jumlah cahaya yang masuk. Penghasilan catechin daripada asid amino (theanine) yang ditekan akan menghasilkan astringensi yang lebih rendah dan rasa yang kaya. Aromanya serupa dengan rumput laut nori.

iv) Kabusecha
Merupakan sejenis teh hijau ditanam dalam keadaan tertutup seperti gyokuro. Namun, jangka masanya matang lebih pendek. Dalam tempoh seminggu, kabusecha sudah boleh dipetik dan aroma tehnya memang harum.

v) Matcha
Antara jenis teh hijau yang popular di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Matcha dikatakan digunakan secara menyeluruh termasuk dalam upacara minum teh tradisional di Jepun.

vi) Tencha
Tencha ditanam mengikut kaedah kultur tertutup bagi menyekat sebahagian besar sinar matahari. Ia lazimnya akan dikukus dan dikeringkan. Setelah mengeluarkan tangkai dan urat daun, bintik daun teh akan menjadi tencha.

vii) Genmaicha
Genmaicha berasal daripada perkataan Jepun iaitu bermaksud beras perang. Beras perang dicampur dengan teh hijau asli iaitu sencha dengan nisbah seimbang. Kandungan kafein bagi genmaicha lebih rendah berbanding teh hijau lain.

viii) Hojicha
Hojicha pula diperbuat daripada teh sencha yang dipanggang untuk menghasilkan aroma yang menarik.

ix) Shincha
Shincha ialah sejenis teh baharu yang baru dikenali. Ia dipetik bermula dari kawasan beriklim sederhana. Selain itu, jenis-jenis teh yang lain terdiri daripada ichibancha, nibancha dan sanbancha.

Meskipun teh hijau diuar-uarkan mempunyai 1,001 khasiat, ia tidak boleh diminum secara semberono. Semuanya perlu mengikut kuantiti dan masa yang sesuai, kata Nur Aliah.

Ujar pakar itu lagi, lazimnya individu yang bekerja atau pelajar yang ingin fokus ketika pembelajaran berlangsung akan memilih untuk minum secawan teh hijau atau kopi. Pun demikian, teh hijau merupakan pilihan yang lebih baik.

“Namun, ramai yang masih tidak tahu bahawa terdapat kafein dalam teh hijau, selain mengandungi satu lagi komponen yang kita panggil L-theanine, sejenis asid amino yang akan membangkitkan rasa tenang.

“Kedua-dua komponen itu (kafein dan L-theanine) akan ‘bekerjasama’ bagi melancarkan fungsi otak. Oleh sebab itu, minuman ini lebih sesuai untuk diambil pada waktu pagi,“ kata Nur Aliah.

Bagi atlet dan mereka yang bergiat aktif dalam arena sukan pula, satu kajian membuktikan seseorang yang meneguk teh hijau sebelum memulakan aktiviti fizikal atau senaman, dapat membakar lemak lebih cepat.

“Kena ingat, walaupun teh hijau banyak ‘keuntungannya‘ ketika diambil pada waktu pagi atau pada saat mahu melakukan senaman, ada masanya teh hijau tidak sesuai untuk diambil pada waktu tertentu.

“Antaranya ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Mengapa? Ini kerana ia akan menyebabkan rintangan terhadap penyerapan nutrien bagi sesetengah individu dan akan menyebabkan gangguan tidur bagi individu yang sensitif terhadap kafein,“ jelasnya.

Justeru, paling ideal, teh jenis itu disarankan diminum dua hingga tiga cawan teh hijau sehari dan ia sudah memadai.

Bunuh sel kanser

Fakta-fakta yang dikemukakan oleh Nur Aliah turut dipersetujui oleh Pakar Dietetik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivy Cheah.

Ivy.

Ivy menyifatkan teh hijau merupakan antara minuman paling berkhasiat di dunia kerana kaya dengan antioksida dan polifenol, meskipun turut ‘terselit‘ kandungan kafein.

“Satu penyelidikan mendapati bahawa kandungan kafein dalam teh hijau adalah sebanyak 1 gram (g) iaitu antara 11 hingga 20 miligram (mg). Jadi, dapat disimpulkan bahawa satu hidangan teh hijau diukur pada setiap satu sudu kecil (2g) daun teh atau secawan (240 mililiter) yang mana mengandungi sekitar 22 hingga 40mg kafein di dalamnya,“ jelasnya.

Pakar itu memberitahu, sekiranya teh jenis tersebut dinikmati secara berterusan dan konsisten, ia bakal memberi implikasi positif kepada seseorang individu.

Berikut antara khasiat teh hijau yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik:

1. Merendahkan risiko kencing manis tahap 2.

Kajian menunjukkan teh berkenaan menurunkan sensitiviti insulin dan paras gula dalam darah. Satu penyelidikan di Jepun mendapati mereka yang minum teh hijau mempunyai risiko kurang mendapat kencing manis sebanyak 42 peratus.

2. Mengurangkan risiko sakit jantung.

Teh hijau dapat mengurangkan kolestrol dan triglycerides peminumnya, selain membantu menurunkan risiko penyakit jantung.

Ia juga meningkatkan keupayaan antioksidan darah dengan melindungi partikel lipoprotein berketumpatan rendah kolesterol daripada proses pengoksidanan yang membawa kepada sakit jantung.

Kesan tersebut berupaya membantu peminumnya daripada bahaya sakit jantung sebanyak 31 peratus.

3. Membantu mencegah daripada diserang kanser.

Kajian terbitan Journal of Cellular Biochemistry menjelaskan kandungan polifenol yang terdapat dalam teh membantu sebagai pencegah kanser.

Menurut Prof Joshua Lambert dari Penn State‘s Center, Amerika Syarikat, epigallocatechin 3 gallate (EGCG) yang ditemui dalam teh hijau akan membantu menghancurkan sel-sel ‘ganas‘ dan pada masa sama, mengikat, melindungi dan mendorong peningkatan produksi protein p53 untuk melawan kanser.

Dalam pada itu, daun teh hijau kering mempunyai 40 peratus kandungan polifenol yang mampu meneutralkan radikal bebas penyebab kanser seperti:

a) Kanser payudara: Kajian mendapati bahawa wanita yang minum teh hijau boleh mengurangkan risiko mendapat kanser payudara sebanyak 22 peratus.

b) Kanser prostat: Lelaki yang minum teh jenis ini kurang berisiko untuk mendapat penyakit berkenaan hingga 48 peratus.

c) Kanser kolon: Penyelidikan ke atas 69,710 wanita di China mendapati mereka yang minum teh hijau berisiko hingga 57 peratus lebih rendah untuk mendapat kanser kolon.

4. Membantu menurunkan berat badan.

Amalan yang selalu dilakukan oleh rata-rata individu. Langkah itu amat bertepatan kerana teh hijau meningkatkan kadar metabolisme badan sekali gus membantu untuk seseorang untuk kurus.

Beberapa penyelidikan menunjukkan minuman berkhasiat ini menurunkan lemak badan terutamanya pada bahagian perut.

5. Mencegah penuaan.

Zat polifenol yang terkandung di dalamnya dapat membantu meneutralkan radikal bebas berbahaya penyebab kerosakan kulit dan melambatkan proses penuaan.

Oleh itu, kata Ivy, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, orang ramai boleh manfaatkan kebaikan teh hijau untuk kesihatan dan kecantikan.
“Cuma kena ingat, janganlah berlebih-lebihan,“ pesannya.

Syazwani berjaya hilangkan 35.5kg dalam masa 8 bulan

BERAT badan Syazwani A Wahab sebelum ini mencecah 106.7 kilogram (kg). Dalam erti kata mudah, wanita berusia 29 tahun itu berada dalam kategori obesiti.

Syazwani.

Kata Syazwani, apabila badan terlalu berat, semua perkara sukar dilakukan. Mahu bergerak aktif seperti bersenam atau berbasikal? Semua itu pastinya memang payah dilakukan.

“Sedih dengan situasi itu, saya mula membuat carian di Google mengenai cara terbaik untuk menguruskan badan yang obes ini. Daripada banyak informasi yang saya baca, saya lihat salah satu satu caranya adalah minum teh hijau.

“Ramai yang telah mencubanya dan masing-masing bercerita tentang kejayaan mereka. Hal itu secara tak langsung menaikkan semangat dan mendorong saya untuk lakukan perkara sama,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, kata wanita itu, cita-cita tanpa keazaman hanyalah sia-sia sahaja. Justeru, beritahu Syazwani, beliau mendidik dirinya sendiri untuk berdisiplin ketika mengamalkan petua tersebut.

“Selama 8 bulan lamanya, saya minum teh hijau setiap pagi selepas sarapan. Seperti testimoni mereka yang pernah mencuba, saya dapati ada perubahan yang positif.

“Masakan tidak, selepas beberapa bulan, saya dapat rasakan badan saya menjadi ringan dan nafsu makan pun berkurang,“ kata anak kelahiran negeri Terengganu itu dengan penuh kegembiraan.

Jangan tidak percaya, berat badan terkini Syazwani hanya 71.2kg. Beliau kehilangan lebih daripada 35kg!

Justeru, saran wanita itu, kepada orang ramai yang berhajat menurunkan berat badan, cubalah mengamalkan meminum air teh hijau sekurang-kurangnya satu cawan sehari seperti yang dilakukannya.

“Meskipun ada kekurangan dari segi rasanya kerana penambahan gula sangat tidak digalakkan, insya-ALLAH, jika diminum secara konsisten, inisiatif itu pasti berhasil,“ katanya.

Bagaimanapun, beritahu Syazwani, pada masa sama, dirinya turut mengelak menikmati makanan dan minuman yang manis, selain mengehadkan masa makan malam iaitu sebelum jam 8 malam.

“Saya juga mengatur pola pemakanan saya dan makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Satu lagi, saya juga tak lupa bersenam bagi memastikan berat badan sekarang kekal atau dapatkan turunkan sedikit lagi,“ katanya.

ANEKDOT

RISIKO minum teh hijau secara berlebihan:

  • Meningkatkan kebimbangan atau resah.Degupan jantung yang laju akan menyebabkan otak tidak menghantar signal dengan baik dan sukar untuk berfikir.
  • Menyebabkan gangguan tidur.
  • Komponen kafein yang terdapat dalam teh hijau akan merangsang saraf untuk lebih segar dan sedar.
  • Mengalami ketidakselesaan pada perut.Individu yang mengambil teh hijau secara berlebihan akan mengalami sembelit mahupun gastrik disebabkan ketidakseimbangan jumlah kafein.
  • Bagi ibu mengandung, pengambilan teh hijau dalam kapasiti banyak akan menyebabkan risiko kecacatan pada janin atau boleh menyebabkan keguguran.
  • Katekin iaitu komponen dalam teh hijau akan mengurangkan penyerapan zat besi.Individu yang mengalami anemia hendaklah dapatkan konsultasi daripada doktor atau pakar pemakanan terlebih dahulu.

Sumber: Pakar Perkhidmatan Dietetik dan Pemakanan, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Nur Aliah Syazwanie Ahmad Shukri.

5 WAKTU paling sesuai minum teh hijau:

1. Elakkan minum teh hijau terlalu awal.

  • Seeloknya diminum pada sekitar jam 10 hingga 11 pagi.

2. Minum sebelum makan.

  • Minum teh hijau sebelum atau selepas hidangan makanan.

3. Sebelum bersenam.

  • Sebaiknya waktu sesuai minum teh hijau adalah 30 minit sebelum bersenam.

4. 2 jam sebelum tidur.

  • Minum teh hijau sebelum tidur dapat membantu membakar lemak ketika sedang tidur.

5. Sepanjang hari.

  • Jika ingin melakukan detoksifikasi badan menggunakan teh hijau pula, ia perlu diminum sedikit demi sedikit sepanjang hari.

Sumber: hellodoktor.com

Glaukoma, ‘Pencuri’ Penglihatan Tanpa Simptom

SOALAN: 

DOKTOR, adakah biasa jika warga emas sering berhadapan dengan masalah glaukoma? Bagaimana kaedah terbaik untuk mengelak masalah itu dan petua terutamanya dari segi pemakanan yang boleh dipraktikkan oleh ibu saya? Mohon pencerahan.

– ANAK PRIHATIN, MOHD ALIMI SAAD, 34, TANAH MERAH, KELANTAN.

JAWAPAN:

Glaukoma adalah satu keadaan di dalam mata yang disebabkan oleh tekanan tinggi melibatkan bebola mata yang merosakkan saraf iaitu ibu saraf ataupun optic nerve.

Sebenarnya, ia adalah ‘pencuri’ penglihatan yang senyap kerana pesakit tidak mengalami apa-apa simptom.

Secara umumnya, mereka yang mempunyai masalah glaukoma akan mula hilang penglihatan secara sedikit demi sedikit dari tepi ataupun periferi sehingga akhirnya mereka akan mendapat penglihatan terowong (tunnel vision).

Untuk pengetahuan semua, kebanyakan pesakit yang mengalami glaukoma adalah warga emas.

Sebenarnya, terdapat banyak faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan glaukoma. Antaranya disebabkan darah tinggi, kencing manis dan faktor keturunan.

Pada masa sama, terdapat beberapa cara terbaik untuk mengelak daripada masalah itu menghantui ibu bapa kita.

Caranya adalah melalui pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas terutamanyanya jika mempunyai sejarah keturunan dalam keluarga.

Semasa melakukan pemeriksaan saringan, terdapat beberapa perkara yang akan diberi penekanan oleh doktor iaitu:

  1. Keadaan saraf mata.
  2. Tekanan di dalam mata.

Sekiranya perlu, doktor akan menyarankan pesakit untuk mendapatkan saringan medan penglihatan mata dengan menggunakan mesin.

Selain itu, warga emas perlu berhati-hati dengan suplemen ataupun herba-herba yang mereka ambil.

Kadangkala terdapat ubat-ubatan, suplemen ataupun herba yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mengandungi steroid.

Steroid boleh menyebabkan pesakit mendapat glaukoma tahap kedua dan keadaan itu boleh menyebabkan kebutaan yang tidak boleh disembuhkan semula.

Sakit kepala, mual simptom luar biasa

SOALAN

DOKTOR, adakah normal jika mata mengalami bengkak dan gatal? Pada masa sama, saya berasa mual dan pening serta sakit kepala? Mohon perincian daripada doktor.

– INSAN GUSAR, NATASHA HUDA AHMAD ZIKRI, 24, KULAI, JOHOR.

JAWAPAN

PUAN, sebenarnya simptom bengkak dan gatal agak biasa berlaku terutamanya mereka yang mengalami alahan.

Suka untuk saya ingatkan di sini, ramai orang akan mengalami alahan terhadap habuk, makanan, bulu binatang, asap dan sebagainya.

Secara amnya, keadaan itu dikenali sebagai konjunktivitis alahan.

Mengenai simptomnya, seseorang itu akan berhadapan masalah bengkak, mata merah dan berair serta gatal.

Namun demikian, pada pengamatan saya, agak kurang normal sekiranya simptom-simptom berkenaan diiringi dengan gejala lain seperti sakit kepala, mual dan sebagainya.

Oleh itu, nasihat saya, sebaik-sebaiknya berjumpa dengan doktor segera kerana mungkin individu tersebut mengalami keracunan makanan atau wap yang berbahaya seperti karbon monoksida dan sebagainya.

Gedung Cak, Sajian Unik Nostalgia Dari Aceh

BAGI penduduk negeri Kedah, kuih gedung cak atau bengkang atap mungkin tidak asing lagi bagi mereka.

Namun, difahamkan populariti kuih tradisional berkenaan semakin tenggelam kerana kesukaran untuk membuatnya.

Menjejak sejarah sajian berkenaan, seorang wanita yang mahir membikin kuih gedung cak, Siti Rohaya Mohd Khair atau mesra disapa Rohaya berkata, kuih berkenaan berasal dari Aceh, Indonesia.

“Pada zaman dulu, penduduk Aceh yang berhijrah ke Tanah Melayu dan memilih daerah Yan, Tanjung Dawai dan Kota Kuala Muda sebagai lokasi penempatan mereka.

“Selain membawa budaya, mereka juga berkongsi keenakan kuih gedung cak. Itu sebab kuih ini terkenal di sini dan turut disajikan pada majlis keramaian tertentu,“ katanya.

Ujar ibu kepada tiga orang anak itu, sekali pandang kuih berkenaan saling tidak tumpah seperti kuih pulut panggang, tetapi ia menggunakan daun nipah sebagai pembungkus.

“Kuih gedung cak memang menggunakan daun nipah. Mungkin ramai yang tidak tahu yang daun nipah dapat menghasilkan bau yang sangat wangi, apatah lagi ketika kuih sedang dibakar atas api,“ katanya yang kini menetap di Penaga, Pulau Pinang.

Selain mempunyai aroma yang memukau, ujar Rohaya, daun itu juga dipercayai dapat membangkitkan selera orang ramai yang menjamahnya.

“Bahan asas untuk membuat kuih tradisi ini senang sahaja didapati. Antaranya tepung pulut sebagai bahan utama, gula Melaka dan kelapa parut.

“Masa yang diambil untuk menyiapkan kuih ini juga tidak lama iaitu sekitar 25 hingga 30 minit sahaja. Insya-ALLAH jika dimasak dengan teknik yang betul, kuih gedung cak mampu bertahan sehingga dua hari,“ katanya yang mempelajari resipi berkenaan daripada kakak iparnya.

PROFIL

  • Nama: Siti Rohaya Mohd Khair
  • Umur: 49 tahun
  • Asal: Yan, Kedah
  • Menetap: Penaga, Pulau Pinang

RESIPI KUIH GEDUNG CAK

Bahan-bahan

  • 3 cawan tepung pulut
  • 5 cawan kelapa parut
  • 2 cawan gula pasir atau gula merah
  • 3 cawan air
  • Daun nipah (untuk bungkusan)
  • Lidi / kokot

Cara penyediaan:

  1. Gula pasir atau gula merah dimasak bersama air sehingga menjadi air gula. Ketepikan seketika.
  2. Kemudian, tepung pulut digaul dengan kelapa parut dan masukkan air gula yang telah sejuk.
  3.  Daun nipah dibuang tulangnya dan dipotong serta dibentuk secara memanjang (seperti kuih otak-otak).
  4.   Seterusnya, adunan disendukkan ke atas daun nipah dan dilipat lalu hujung daun nipah disisipkan dengan bilah lidi atau dengan menggunakan pengokot.
  5. Kuih dibakar di atas api yang sederhana selama 10 minit.

Sumber: Siti Rohaya Mohd Khair.

Epidural Punca Utama Kaum Ibu Alami Sakit Belakang? Ini Penjelasan Pakar Fisioterapi Mengenai Keadaan Itu

BOLEH dikatakan majoriti wanita yang hamil pasti pernah mengalami sakit belakang terutamanya pada bahagian pinggang dan juga pinggul.

Masalah itu biasanya akan mengganggu aktiviti harian termasuklah ‘meragut’ keselesaan ketika tidur pada waktu malam.

Menurut laman web spine-health.com, dianggarkan seramai 50 hingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan wanita akan mengalami sakit belakang apabila hamil.

Portal yang sama turut menyatakan, sakit belakang dan ketidakselesaan pelvis biasanya bermula antara bulan kelima hingga ketujuh ketika hamil.

Sebilangan kecil wanita mungkin mengalami kesakitan seawal empat hingga 16 minggu.

Menghuraikan lebih lanjut mengenai masalah itu, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pakar Fisioterapi Physiomobile, Nurul Farahena Edora Jeffry.

Tulisnya di Facebook, masalah sakit belakang terutama pada bahagian yang mendapat suntikan epidural sering menyebabkan ramai tertanya-tanya adakah ia penyebab sebenar dalam kalangan ibu-ibu hamil.

“Untuk pengetahuan semua para ibu yang dikasihi, proses kehamilan itu sendiri melibatkan perubahan hormon yang secara tidak langsungnya memberi kesan melembutkan struktur sokongan saluran kelahiran.

“Contohnya seperti ligamen-ligamen tulang pinggul dan tulang belakang,” ujar Nurul Farahena.

Jadi, katanya lagi, ibu-ibu di luar sana kena tahu bahawa kesan daripada ‘pelembutan’ struktur-struktur ligamen itulah yang membuatkan para ibu juga berisiko tinggi untuk mendapat masalah slipped disc.

Namun, ada yang mengatakan epidural penyebab kepada masalah sakit belakang yang berterusan. Apakah ia benar?

Kongsinya, epidural adalah salah satu alternatif penahan sakit semasa bersalin.

Antara artis yang telah menggunakannya termasuklah Rozita Che Wan dan Scha Al-Yahya.

“Sebenarnya, sakit belakang bukanlah penyakit yang jarang terjadi, malah terlalu ramai orang ada masalah sakit belakang.

“Tidak kira jantina dan tidak kira ibu hamil tersebut pernah mendapat epidural atau sebaliknya,” ulasnya.

Apa yang pasti, maklum beliau, terima epidural ataupun tidak, wanita mengandung pasti akan mengalami sakit belakang.

“Jadi, ia adalah normal. Namun demikian, jika rasa sakit pada belakang dan pinggul terlalu kuat dan masih tidak berkurangan walaupun sudah berehat, seeloknya lakukanlah pemeriksaan dan dapatkanlah rawatan dengan pakar yang bertauliah,” pesannya.

ANEKDOT

CARA-CARA untuk melegakan rasa sakit pada tulang belakang dan pinggul:

1. Senaman.

Lakukan beberapa senaman regangan untuk bahagian belakang, pinggang dan pinggul bagi mengurangkan tekanan pada otot dan tulang belakang, sekali gus membantu dalam memberikan kelegaan bagi masalah yang dialami.

2. Urutan.

Ambil masa untuk berehat dan urut pada bahagian yang sakit dan tidak selesa secara lembut dan perlahan-perlahan agar dapat membantu meningkatkan peredaran darah pada bahagian yang sakit serta mengurangkan rasa tegang pada bahagian otot.

3. Posisi tidur yang betul.

Jika tidur dalam keadaan mengiring, letakkan bantal lembut pada kaki dan di sisi bawah perut. Ia berfungsi untuk menyokong tubuh dan memberi keselesaan.

4. Tuam.

Gunakan pek panas (hot pack) dan tuam pada bahagian yang tidak selesa seperti belakang, pinggang atau pinggul selama 15 minit. Ia membantu memberikan kelegaan dan meningkatkan peredaran darah.

5. Menggunakan maternity belt.

Maternity belt membantu dalam menyokong tulang belakang dan memberikan postur tubuh yang lebih baik dan mengurangkan rasa sakit pada belakang dan pinggul.

6. Pemakaian kasut yang sesuai.

Elakkan daripada memakai kasut yang bertumit tinggi dan tidak selesa kerana ia akan mengurangkan sokongan terhadap pusat graviti dan mengganggu postur tubuh.

7. Rehat secukupnya.

Dapatkan rehat yang cukup dan elakkan daripada stres yang melampau, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang.

Sumber: ifixphysiotherapy.com.my

Muncul Ruam Selepas Makan Roti, Piza. Doktor Jelaskan Punca-Puncanya

pat dalam gandum dan bijirin.

“Ia memberikan keanjalan pada kuih dan donut, meningkat serta mengekalkan bentuknya.

“Untuk pengetahuan semua, gluten adalah gabungan dua protein (gliadin dan glutenin) dan ia bergabung dengan kanji dalam endosperm (biji benih) pelbagai bijirin,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beritahu Dr Zubaidi, gluten merupakan sumber protein yang baik.

“Secara faktanya, makanan yang dibuat daripada gluten mempunyai protein yang banyak dan ia juga ditambah dalam makanan lain bagi meningkatkan kandungan protein di dalamnya.

“Seperti roti, ia mempunyai banyak gluten. Gluten juga ditambah pada minuman, kicap soya dan juga aiskrim,” ujarnya.

Menjawab kepada satu soalan lain, ungkapnya, gangguan gluten (gluten related disorder) adalah penyakit yang dicetuskan apabila seseorang itu mengambil sumber itu (gluten) di dalam makanannya.

“Keadaan itu boleh menyebabkan coeliac diseasenon-celiac gluten sensitivity, alergi gandum, gluten ataxia dan dermatitis herpetiformis,” jelas beliau.

Jika diamati, di Asia Tenggara, penyakit tersebut jarang berlaku, tetapi masalah tersebut semakin kerap didapati di Malaysia.

“Ini kerana menu makanan orang Malaysia sudah mula mengikut gaya Barat yang menjadikan ia (gluten) dalam sumber utama makanan.

“Kini, banyak makanan berasaskan tepung yang ditambah dengan gluten kerana ia dapat meningkatkan masa penapaian ketika membuat makanan seperti donut dan piza,” ujarnya.

Oleh itu, jika seseorang itu mendapati dirinya benar-benar sensitif terhadap gluten, segeralah beralih kepada makanan seperti beras merah, jagung dan bijirin.

Rujuklah pakar dalam kadar segera agar mereka dapat membantu menyusun jadual makanan yang boleh anda ambil.

Semoga artikel SinarPlus ini bermanfaat kepada semua!