PERNAHKAH pembaca SinarPlus terfikir untuk menjamu selera di tengah-tengah ladang tebu yang terbentang luas? Bukan itu sahaja, mata turut ‘disajikan‘ dengan keindahan sawah padi yang menghijau sambil disapa angin sepoi-sepoi bahasa.
Panaroma indah itu bukan satu khayalan, sebaliknya ia boleh ditemui di Laman Tebu Aidil yang terletak di Sungai Besar, Selangor.
Destinasi unik berkenaan telah diusahakan oleh pasangan suami isteri, Aidil Mohamad, 50, dan Syahrizan Azrina Sabudin, 39, sejak Julai tahun lalu. Ia menjadi buah mulut ramai pengunjung yang rata-ratanya terpesona dengan ‘dekorasi‘ semula jadi ciptaan-NYA.
Berkongsi kisah di sebalik pembukaan tempat makan viral tersebut, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, beliau sebenarnya tidak menyangka jualan ‘suka-suka’ semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu membuka rezeki buat mereka sekeluarga.
“Sebenarnya, saya tidak pernah terlintas untuk buka gerai di dalam kebun tebu, asalnya hanya jual air tebu dan 10 bungkus nasi lemak sahaja untuk mengisi masa lapang sambil-sambil jual bunga orkid, tetapi alhamdulillah sambutan cukup menggalakkan.
“Daripada hanya air tebu, saya tambah dengan pilihan air lain seperti mangga kuini, tembikai, nanas dan cendol, selain memperbanyakan menu termasuk laksa, mi kari udang lipan, nasi impit kuah kacang, tongkeng dan kepak madu,” ujarnya yang turut menjual lebih 15 jenis kuih kampung termasuk kuih tradisi Jawa, punten.
Aidil berkata, premisnya dijaga penuh teliti, selain menitikberatkan aspek keselamatan.
“Kawasan makan sepanjang 1 kilometer saya telah simenkan dan mengikat rapi pokok tebu. Untuk memudahkan penghantaran sajian ke meja makanan pula, saya bahagikan meja ikut kategori tebu.
“Misalnya meja satu saya namakan tebu kapur dan meja seterusnya sebagai tebu madu, tebu gula dan tebu telur. Jika semua meja penuh, saya bawa pelanggan duduk di bawah pokok durian dan taman orkid berdekatan,” katanya.
Apa yang pasti, bukan sahaja pemandangan yang mengagumkan dan menu yang lazat, Aidil turut menyediakan perkhidmatan lain.
“Di sini terdapat saluran air yang dipanggil palong. Biasanya para pelanggan terutama yang menginap di inap desa berhampiran akan membawa anak mereka bermandi-manda atau berkubang,” katanya.
Akur dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun lalu, Aidil hanya membuka jualan dengan konsep bungkus bermula jam 8 pagi hingga 7 malam.
Laman Tebu Aidil
- Alamat: Parit 3 1/2, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor
- Waktu operasi: 8 pagi hingga 7 malam
- Menu signatur: Tongkeng dan kepak madu
- Harga: Bermula RM1.50 hingga RM3
- Facebook: Laman Tebu Aidil
Untuk bersaing dengan banyak pengusaha makanan yang sudah stabil tidak mudah sebenarnya.
Itu sebab kebanyakan peniaga baharu mencari idea bernas bagaimana untuk menarik perhatian orang ramai singgah ke premis mereka.
Seperti yang dilakukan oleh Aidil Mohamad yang membangunkan Laman Tebu Aidil, beberapa pengusaha lain turut terpanggil untuk mentransformasi ladang, kebun atau sawah padi menjadi sebuah destinasi makan yang menarik.
Justeru, pada minggu ini SinarPlus kongsikan empat lagi lokasi unik yang boleh anda singgah jika berada di lokasi berdekatan.
Warung Kelapa Sawit
- Alamat: Jalan Tok Kangar, Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
- Waktu operasi: 9 pagi hingga 3.30 petang
- Menu signatur: Set bawal
- Harga: Bermula RM5 hingga RM12
- Facebook: Warung Kelapa Sawit Kampung Tok Kangar
Warung Selera Kampung Kebun Getah
- Alamat: Kampung Bendang Panjang, Kuala Kangsar, Perak
- Waktu operasi: 8 pagi hingga 5 petang
- Menu signatur: Nasi goreng kambing
- Harga: Bermula RM1 hingga RM14.90
- Facebook: Warong Selera Kampung Bendang Panjang
Warung Makan Ladang Nipah Khipli
- Alamat: Ladang Nipah Khipli, Sanglang, Perlis
- Waktu operasi: 1 petang hingga 7 malam
- Kawasan penghantaran: Simpang 4 dan sekitar Sanglang
- Menu signatur: Air nira nipah
- Harga: Bermula RM8
- Facebook: Ladang Nipah Khipli
Warung D‘ Baroh Pok Ripin
- Alamat: Jalan Kampung Padang Maras, Kuala Nerus, Terengganu
- Waktu operasi: Bermula jam 3 petang
- Menu signatur: Roti canai
- Harga: Bermula RM1
- Facebook: Kedai Roti Canai Pok Ripin Maras
Speak Your Mind