ANEMIA adalah satu keadaan yang mana badan kekurangan sel darah merah.
Sel darah merah sangat penting untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Dalam hal tersebut, ada pihak yang mengaitkan amalan minum teh akan menyebabkan masalah anemia menjadi bertambah rumit?
Adakah kenyataan itu benar?
Prihatin dengan persoalan itu, Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad berkongsi hujahnya.
Tulisnya di Facebook, kebanyakan masalah anemia adalah disebabkan kekurangan zat besi.
Zat besi penting bagi pembentukan haemoglobin yang berfungsi memegang oksigen dalam sel darah merah.
“Tahap haemoglobin yang rendah akan menyebabkan pesakit menjadi cepat letih dan wajah menjadi pucat,” kata beliau.
Menjawab kaitan anemia dengan teh, Dr Zubaidi berkata, dalam minuman teh ada sebatian tanin yang bersifat antioksida yang memberi manfaat kesihatan jantung dan mencegah kanser.
Pun demikian, tanin turut mengganggu proses penyerapan zat besi.
“Bagi pesakit anemia, sudah tentu ia menyebabkan tahap zat besi dalam tubuh berkurangan dan ini mengganggu pembentukan haemoglobin lalu akan menyebabkan tahap haemoglobin menjadi yang semakin rendah,” jelasnya.
Pada masa sama, satu laporan dari Colorado State University mendapati bahawa minum teh boleh mengurangkan penyerapan besi hingga 60 peratus.
Oleh itu, mereka yang mempunyai masalah anemia dinasihatkan agar tidak minum teh dan pada masa sama menikmati makanan.
Jika masih mahu minum minuman berkenaan, ia perlu diambil satu ke dua jam selepas makan supaya kandungan tanin dalam teh tidak mengganggu penyerapan zat besi daripada makanan yang dimakan.
Menurut satu kajian lain yang dijalankan oleh M Nelson dan J. Poulter pula, jika kita tidak mempunyai masalah anemia, kita tidak akan berisiko mengalami anemia.
“Penurunan tahap zat besi dalam tubuh akan lebih jelas memberikan kesan jika sedia ada mempunyai masalah anemia.
“Dalam erti kata lain, jika kita tidak mempunyai anemia atau masalah lain berkaitan dengan tahap zat besi atau penyerapan nutrien, minum teh tidak menjadi masalah,” kata Nelson dan Poulter.
Dua penyelidik itu juga menyarankan agar kita tidak minum teh melebihi lima cawan setiap hari.
Ketahuilah bahawa jika diamalkan bertahun-tahun ia boleh menyebabkan kita mengalami risiko kesihatan seperti insomnia, anemia, ketagihan atau pergantungan dan kerapuhan tulang (osteophorosis).
Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua penggemar teh!