Puasa Bukan Tiket Mudah Untuk Kurus

ADA bulan Ramadan, lazimnya ramai di antara kita memasang impian untuk menurunkan berat badan.

Ia disebabkan jadual pola pemakanan kita jauh berubah berbanding pada hari-hari biasa.

Kita hanya bersahur dan 12 hingga 13 jam selepas itu, barulah kita berbuka puasa.

Namun demikian, ramai yang hampa matlamat berkenaan tidak tercapai.

Lebih mengecewakan, ada sesetengah individu merungut bahawa berat badan mereka menjadi semakin bertambah sebaik tamat bulan puasa.

Di manakah silapnya dan apa yang tidak kena?

Bagi mendapatkan jawapan, SinarPlus mengajukan persoalan itu kepada Pakar Pemakanan, Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri Johor, Yap Pau Lin.

Yap Pau Lin.

Ujar Pau Lin, berat badan seseorang sama ada semakin naik atau turun adalah bergantung kepada jumlah pengambilan tenaga atau kalori sepanjang hari.

“Jika jumlah makanan yang dimakan semasa hari berpuasa sama seperti hari-hari biasa, berat badan pasti akan kekal sama.

“Sebaliknya, jika jumlahnya berkurang, tetapi mereka menikmati makanan tambahan seperti snek, kuih-muih, buah-buahan, pencuci mulut dan minuman bergula atau mengandungi susu selain lauk-lauk yang berlemak juga akan meningkatkan jumlah kalori,“ jelasnya.

Akhirnya, berat badan akan kekal sama atau kadangkala akan semakin bertambah!

Stor glukosa

Menerangkan lebih lanjut, pakar pemakanan itu berkata, semasa berpuasa, glukosa atau gula dalam darah akan berkurangan disebabkan ia telah digunakan sebagai sumber tenaga pertama untuk sel-sel dan organ-organ badan berfungsi.

“Jika gula dalam darah tidak mencukupi untuk membekalnya ke organ-organ badan, otak akan terus memberi isyarat kepada hati yang berfungsi sebagai stor untuk glukosa. Hati kemudiannya berperanan untuk membekalkan gula ke dalam darah dan pada masa sama dihantar ke organ-organ lain,“ katanya.

Proses itu sekali gus menyaksikan tubuh badan akan tetap berfungsi seperti biasa walaupun seseorang tidak menjamah sebarang makanan.

Beritahu Pau Lin lagi, selepas berbuka puasa dan bersahur, gula akan ditambah semula ke dalam stor hati.

“Jadi, makan makanan yang seimbang dan mencukupi pada dua waktu tersebut (berbuka dan sahur) sangat penting sepanjang Ramadan.

“Namun, bagi sesetengah individu yang menghidapi penyakit kencing manis, sistem badan mereka yang mengawal dan membekal glukosa tidak sensitif seperti orang biasa. Justeru, pemantauan lebih rapi oleh pesakit kencing manis kena lebih teliti,“ ujarnya lagi.

Daripada fakta yang dihuraikan itu, jelas Pau Lin, sememangnya puasa selama sebulan tidak menjamin seseorang itu boleh kurus.

“Silapnya cuma satu iaitu kaedah memilih makanan yang kurang tepat,“ katanya.

Dalam pada itu, ramai yang seolah-olah ‘menuding jari’ tentang kepelbagaian makanan di Malaysia yang telah membuatkan ramai rambang mata.

“Ia tidak salah, tetapi kecenderungan orang ramai yang lebih gemar memilih  sajian berminyak, berlemak dan mengandungi gula yang tinggi.

“Cara memasak juga lebih kepada kaedah menggoreng, menggunakan santan, kerisik, krim, mentega atau marjerin. Ditambah dengan sos yang sememangnya mempunyai kalori yang tak diperlukan oleh badan.

“Orang ramai kena peka dan tahu, makanan dan minuman yang mengandungi gula tinggi akan merencatkan diet kita. Gula putih, gula perang, madu, susu pekat, sirap, coklat atau krim melimpah dalam setiap masakan, semuanya tidak berapa elok jika berlebihan,“ tegasnya.

Sekiranya kuantiti menu yang diambil dalam kuantiti yang besar juga meskipun tidak mempunyai kalori yang tinggi, boleh menyumbang kepada masalah berat badan.

Senam sebelum sahur

Ujar Pau Lin, bukan tidak boleh langsung menyentuh makanan yang lazat yang sedia terhidang di depan mata, namun semuanya perlu dikawal.

Berikut panduan yang terbaik bagi mengawal saiz hidangan seperti yang disyorkan oleh pakar berkenaan:

i) Elak sediakan atau membeli makanan secara berlebihan.

Rancang setiap menu yang ingin dimakan dan memadai menikmati juadah bersaiz yang kecil.

ii) Amalkan konsep suku-suku separuh.

Praktikkan amalan suku pinggan makanan berkanji, suku pinggan makanan protein dan separuh pinggan sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, letakkan makanan dalam pinggan sebelum mula makan dan elak menambah makanan.

iii) Tentukan masa dan jumlah untuk makan makanan sampingan.

Hadkan masa untuk menjamah snek, makanan ringan atau buah-buahan. Elakkan juga kekerapan mengunyah snek selepas iftar.

Adakah senaman yang konsisten pada bulan puasa dapat memberi berita gembira kepada mereka yang mahu turunkan berat badan?

Menjawab pertanyaan itu, Pau Lin berkata, terdapat beberapa pilihan waktu yang dicadangkan.

Berikut adalah perinciannya:

1. Senaman awal pagi selepas matahari terbit.

Baik: Badan akan berasa lebih cergas untuk waktu pagi.

Buruk: Jika bersenam selepas sahur, badan menggunakan kalori daripada makan sahur. Oleh itu, badan akan mengalami kekurangan tenaga sepanjang hari jika senaman berlebihan dilakukan.

2. Senaman lewat petang sebelum berbuka.

Baik: Membantu untuk membakar lemak berlebihan kerana badan menggunakan sumber daripada lemak jika gula dalam darah dan hati tidak cukup untuk membekal tenaga semasa bersenam.

Buruk: Mengalami masalah kurang tenaga semasa senaman, berasa pening atau menyebabkan gula dalam darah berkurangan jika senaman berlebihan dilakukan.

3. Senaman waktu malam selepas berbuka.

Baik: Menggunakan kalori daripada makanan yang dimakan ketika berbuka puasa. Senaman yang dilakukan akan mengelakkan kalori berlebihan disimpan sebagai lemak dalam badan dan lebih bertenaga untuk buat senaman yang berintensiti lebih tinggi.

Buruk: Jika seseorang terus bersenam selepas berbuka puasa, proses itu akan mengganggu penghadaman makanan.

“Daripada semua itu, saya sarankan seseorang bersenam sebelum sahur atau dua hingga tiga jam selepas berbuka puasa selama 30 hingga 40 minit, selain memberi fokus kepada senaman yang berintensiti rendah ke sederhana seperti joging, zumba ringan, berbasikal dan lain-lain.

“Namun, jangan lupa minum air yang mencukupi iaitu antara lapan hingga 10 gelas atau 2 hingga 2.5 liter dalam sehari,“ pesannya.

Tidur selepas sahur

Sementara itu, Pakar Pembedahan Am dan Pembedahan Saluran Gasto-Usus Atas, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Yeap Chee Loong mempunyai perspektifnya sendiri.

Dr Yeap Chee Loong.

Ketika diwawancara SinarPlus, beliau menyentuh tentang tabiat tidur selepas bersahur.

“Tidur selepas sahur sangat tidak digalakkan kerana akan memberi kesan dan bakal membahayakan kesihatan.

“Ini kerana makanan memerlukan masa selama dua hingga empat jam untuk melalui proses pencernaan. Jika seseorang memilih untuk tidur dalam tempoh masa itu, proses pencernaan akan terganggu, begitu juga dengan penyerapan nutrien.

“Makan makanan yang telah dimakan ketika sahur juga tidak mampu menghasilkan tenaga yang diperlukan tubuh,“ tambahnya.

Selain itu, terdapat beberapa kesan sampingan lain. Antaranya adalah:

i) Risiko kegemukan.

Tidur selepas makan akan mendorong kepada peningkatan berat badan.

“Lebih-lebih lagi jika makan makanan bergoreng, berlemak dan manis lebih pada hari biasa. Makanan itu semua akan menyebabkan tubuh badan tidak dapat mencerna dengan baik dan nutrisi makan yang dimakan akan berkumpul menjadi lemak pada tubuh,“ jelas beliau.

ii) Cepat lapar.

Bukan itu sahaja, amalan tidur semula selepas sahur akan menjadikan makanan yang dimakan itu tidak dapat diproses dengan sempurna.

“Sebahagian besar nutrien akan bertukar ke simpanan lemak dengan amat cepat. Ini akan membuatkan seseorang itu merasa lapar dengan cepat seawal jam 10 pagi,“ beritahunya.

iii) Gangguan kepada saluran pencernaan.

Posisi berbaring sewaktu tidur juga boleh menyebabkan gangguan kepada proses pencernaan makanan.

“Masalah refluks esophagitis boleh berlaku dan ini amat merisaukan yang mana bahagian bawah esophagus boleh terdedah kepada pengaliran asid perut.

“Keadaan itu secara tidak langsung akan mengganggu proses pencernaan makanan tidak dapat dilakukan dengan sempurna ketika tidur,“ katanya.

Sebagai seorang doktor prihatin, pakar pembedahan itu berpesan kepada semua umat Islam agar jangan sesekali meninggalkan sahur.

“Kesannya, ia akan merangsang kepada tahap metabolisme rendah sehingga waktu berbuka tiba,“ ujar beliau.

Misi Mohd Ikbar turunkan berat badan gagal

HANYA dua minggu sahaja, berat badan Mohd Ikbar Muhaimin Ahmad, 28, bertambah sebanyak 3 kilogram.

Kata Mohd Ikbar, beliau sangat terkejut melihat transisi itu kerana dirinya memang memasang matlamat mahu menurunkan berat badan sempena Ramadan yang mulia ini.

Kalau diikutkan berat asalnya adalah 77 kilogram dan misinya mahu turun kepada 70kg.

“Saya memang berhajat mahu kurus sedikit pada bulan puasa ini, tetapi sebaliknya yang berlaku,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, Mohd Ikbar mengakui tentang kesilapan tabiat pemilihan makanannya ketika berbuka dan bersahur.

“Saya makan umpama tiada hari esok. Saya akan membeli kuih-muih, roti, aneka nasi dan air di bazar pada setiap hari. Saya seboleh-bolehnya akan menghabiskan makanan tersebut. Bimbang membazir,“ ujar lelaki yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Apabila bersahur pula, beliau akan mula makan pada pukul 4 pagi.

“Seusai itu, saya akan tidur seketika sementara menunggu masa untuk menunaikan solat Subuh dan bersiap ke tempat kerja,“ tambahnya.

Melihat kepada rutin itu, Mohd Ikbar mengakui, pendekatan yang dilakukannya bukan sahaja tidak betul, malah memudaratkan kesihatan dan misinya untuk kurus pasti tidak akan tercapai.

“Selepas mendapat nasihat daripada rakan sekeliling, pada minggu-minggu terakhir ini, saya cuba untuk mengubah corak pemakanan dan gaya hidup Ramadan saya.

“Pertama sekali, saya akan elak minum air manis. Selain itu, saya cuba terapkan dalam diri agar bersederhana dalam apa sahaja dilakukan terutama ketika menikmati makanan,“ katanya.

Speak Your Mind

*