MATA berair akan membuat seseorang itu berasa kurang selesa dan penglihatannya juga akan terganggu.
Sebenarnya, masalah berkenaan tidak boleh dipandang enteng kerana pelbagai kesan sampingan boleh berlaku. Antaranya alergi dan penyakit sistem imun dan saraf.
Baru-baru ini, Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad berkongsi mengenai masalah masalah mata berair melalui laman Facebooknya.
Tulis beliau, air mata berlebihan boleh disebabkan oleh dua mekanisme iaitu penghasilan air mata berlebihan atau penyumbatan pada saliran air mata.
“Kadangkala kedua-dua mekanisma tersebut boleh berlaku secara serentak,” beritahu beliau.
Memperincikan lebih lanjut mengenai masalah itu, ungkap Dr Zubaidi, air mata dihasilkan oleh kelenjar lakrimal yang terletak pada bahagian lateral mata.
“Pengaliran keluar air mata pula adalah melalui dua lubang kecil dipanggil punktum yang terletak pada bahagian medial kelopak mata atas dan bawah.
“Apabila mata berkelip, air mata akan dialirkan ke dalam lubang tersebut dan seterusnya melalui ruang atau rongga hidung melalui saluran nasolakrimal (mata akan berair sekiranya berlaku penyumbatan saluran nasolakrimal),” terangnya lagi.
Mengenai penyumbatan pada sistem saliran pula, jelas Dr Zubaidi, selalunya ia tidak mendatangkan kesakitan tetapi akan menyebabkan pengumpulan air mata berlebihan dalam mata.
“Pengeluaran air mata yang berterusan akan memaksa pesakit mengesatnya secara berterusan dan perbuatan itu akan menyebabkan kulit di sekeliling mata melecet,” jelas beliau.
Sekiranya keadaan itu berterusan, ia akan menyebabkan jangkitan kuman pada kantung lakrimal (lacrimal sac) dan seterusnya mengalami kebengkakan di tepi hidung yang terlibat dan pesakit akan merasa sakit dan perlu dimasukkan ke wad untuk rawatan.
Berikut pendedahan daripada Dr Zubaidi mengenai beberapa keadaan lain yang boleh menyebabkan mata berair:
i) Konjunktivitis.
- Jangkitan kuman pada mata menyebabkan mata berair, bertahi, merah dan bengkak pada kelopak mata.
ii) Masalah pada kornea.
- Gangguan pada lapisan kornea seperti terdapatnya luka dan bendasing boleh menyebabkan mata berair selain rasa berpasir di dalam mata.
iii) Ektropion.
- Kedudukan kelopak mata terpusing keluar menyebabkan kekeringan kornea dan kedudukan punktum (lubang-lubang kecil) yang tidak sempurna lalu menyebabkan air mata bertakung dan tidak mengalir ke ruang atau rongga hidung.
iv) Glaukoma kongenital.
- Mata berair dalam kalangan bayi selalunya disebabkan oleh kelewatan pembukaan saluran nasolakrimal yang mana biasanya sembuh apabila kanak-kanak membesar.
Bagaimanapun, mata berair dalam kalangan kanak-kanak mungkin merupakan tanda-tanda glaukoma kongenital yang memerlukan diagnosa rawatan awal oleh doktor mata kerana ia boleh menyebabkan kebutaan.
“Sebenarnya, rawatan mungkin tidak diperlukan sekiranya mata berair tidak mengganggu aktiviti seharian.
“Jika anda sedang mengalami masalah mata berair yang berpanjangan dan disertai dengan rasa sakit, kemerahan, kerengsaan, pendarahan, lebam pada mata, sakit kepala teruk dan masalah penglihatan lain, segeralah berjumpa dengan doktor pakar oftalmologi,” pesan Dr Zubaidi.