BUDAYA menikmati makanan dalam talam, nampaknya semakin jarang dilihat.
Namun sekali-sekala apabila pulang ke kampung halaman, menjamah sajian dengan cara itu sambil bersila beramai-ramai di atas tikar mengkuang memang seronok dan membangkitkan nostalgia lama.
Jika diamati, konsep berkenaan juga jarang dipraktikkan oleh pengusaha makanan di negara ini.
Pun demikian, jika pembaca SinarPlus berkunjung ke Taiping, Perak pada suatu hari nanti, Rumah Makan Nasi Talam yang terletak di Batu 5, Jalan Kuala Kangsar, Changkat Jering menyediakan itu semua.
Pengurusnya, Muhammad Afiq Safuan Mohd Sukri berkata, pihaknya berbesar hati dan berbangga kerana dapat mengetengahkan idea berkenaan di tengah bandar Taiping.
Menariknya lagi ujar pemuda berusia 23 tahun itu, mereka bukan sahaja menyediakan lauk kampung warisan keluarganya, malah turut menghidangkan masakan autentik Indonesia.
“Di Rumah Makan Nasi Talam, kami mengambil sedikit ilham cara peniaga di Padang, Indonesia yang meletakkan macam-macam lauk di atas piring.
“Sebagai tambah nilai, lauk-pauk itu akan disusun kemas atas talam bagi ‘mencantikkan’ lagi persembahan juadah,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Pun demikian, pinggan ‘orang lama-lama’ dan bekas nasi yang diperbuat daripada rotan paling menambat hati ramai.
“Elemen itu kami jadikan sebagai daya penarik tambahan dan tak sangka pendekatan itu membuatkan kedai ini dikenali ramai dan viral,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.
Selain Muhammad Afiq, abangnya, Muhammad Arif Safuan, 25; bapa tirinya, Adywarno, 57, dan bapa saudaranya, Mohammad Farez Wahidi Ismail, 29, turut membantunya mengusahakan Rumah Makan Nasi Talam itu yang dibuka sejak tahun 2017.
Ditanya siapakah tukang masak di premis itu? Kata peniaga muda itu, ibunya, Umi Kalsum Ismail, 45, telah bertungkus-lumus selama setahun lamanya mempelajari menu masakan Padang.
“Beliau juga mendalami ilmu bagaimana mahu membuat rempah sendiri. Jadi, rempah yang kami guna bukannya jenis segera, tetapi dihasilkan dengan cara menggiling untuk menjadikan rasanya lebih sedap dan tahan lama.
“Sebab itu, antara menu paling laris di sini adalah seperti Gulai Rempah Giling Ikan Sembilang. Kesedapannya memang susah nak cakap,” selorohnya sambil tertawa.
Bukan itu sahaja, Muhammad Afiq turut mengesyorkan lebih 30 jenis lauk lain. Antara yang wajib dicuba adalah seperti Kambing Bakar Bumbu Padang dan Ikan Talapia Gepuk Berlado.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi Rumah Makan Nasi Talam ditutup, namun juadah lauk-pauk viral dijual di tapak Pasar Malam Air Kuning, Taman Mas, Taiping, Perak bermula jam 11 pagi hingga 6 petang.
Rumah Makan Nasi Talam
- Alamat: Batu 5, Jalan Kuala Kangsar, Changkat Jering, Taiping, Perak
- Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang
- Menu signatur: Gulai Rempah Giling Ikan Sembilang, Kambing Bakar Bumbu Padang dan ikan Talapia Gepuk Berlado
- Harga: Set talam bermula RM20 hingga RM85.90
- Facebook: Rumah Makan Nasi Talam Taiping
Taiping, Perak bukan sahaja terkenal dengan destinasi pelancongan, bahkan turut dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik global dalam Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia.
Sekiranya berpeluang untuk berkunjung ke bandar bersejarah itu, perjalanan anda pastinya tidak lengkap jika tidak singgah di beberapa destinasi makanan popular di sana.
Selain Rumah Makan Nasi Talam yang terletak di Changkat Jering itu, terdapat premis lain yang wajib diserbu.
Berikut empat lagi lokasi yang boleh dipertimbangkan oleh pembaca SinarPlus jika anda berpeluang berkunjung di Taiping selepas tamat larangan merentas negeri nanti.
The Train
- Alamat: 1, Jalan Stesen, Bangunan keratapi lama, Taiping, Perak
- Waktu operasi: 2 petang hingga 8 malam
- Menu signatur: Kepak ayam dan sandwich
- Harga: Bermula RM7 hingga RM19
- Facebook: The TRAIN
Cheeky Summer
- Alamat: 92, Jalan Barrack, Taiping, Perak
- Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang
- Menu signatur: Smoothie bowl
- Harga: Bermula RM12 hingga RM15.90
- Facebook: Cheeky Summer
Bismillah Cendol
- Alamat: 233, Jalan Barrack, Taiping, Perak
- Waktu operasi: 8 pagi hingga 6 petang
- Menu signatur: Cendol, laksa penang dan pasembor
- Harga: RM1.60 hingga RM3.60
- Facebook: Bismillah Cendol
Le’pak Kitchen
- Alamat: Jalan Taman Kaya, Taman Sungai Mas, Taiping, Perak
- Waktu operasi: 1 petang hingga 7 malam
- Menu signatur: Nasi goreng chicken chop
- Harga: Bermula RM9.90 hingga RM19.90
- Facebook: Le’pak Kitchen
Speak Your Mind