Stres Punca Sukar Tidur, Alami Kemurungan Melampau

DI SEBALIK penyakit kanser payudara, kanser ovari, autoimun dan hati, wanita di negara ini juga berdepan dengan kemelut terbesar iaitu mengalami gangguan sukar untuk tidur.

Bunyinya seperti tidak berapa serius, namun implikasinya cukup besar.

Berdasarkan satu kajian sahih, sebanyak 89 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah tersebut termasuk para wanita.

Ini bermakna, tiga perempat daripada kita sebenarnya sedang berdepan isu kesihatan yang sama. Penemuan tersebut sebenarnya agak mengejutkan.

Bagi berbincang secara serius tentang topik sukar untuk tidur khususnya dalam kalangan kaum Hawa, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Dr Nurul Yaqeen memulakan hujahnya dengan berkongsi hasil kaji selidik mengenai Kesihatan Tidur oleh Syarikat The Nielsen 2018.

Ujar beliau, daripada dapatan penyelidikan, sembilan daripada 10 orang atau masyarakat di negara ini mengalami satu atau lebih masalah tidur.

“50 peratus rakyat Malaysia menilaikan kualiti tidur mereka sebagai biasa, manakala 63 peratus yang berusia antara 25 dan 49 tahun menyatakan memerlukan lebih daripada 30 minit untuk tidur,” beritahu beliau.

Hasil kajian juga mendapati, 35 peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah tidur sekali ataupun dua kali seminggu, sementara 20 peratus lagi menghadapi masalah tidur tiga atau empat kali seminggu.

Penyelidikan itu juga bertambah menarik apabila 70 peratus responden menyedari bahawa masalah tekanan merupakan antara penyebab utama mereka berdepan dengan isu sukar untuk melelapkan mata.

Cetus banyak penyakit kronik

Tegas pakar perubatan terkenal itu, tidur merupakan suatu proses fisiologi badan untuk merehatkan organ dan tubuh, menggantikan sel-sel rosak dan mati serta menjana tenaga untuk persediaan menghadapi hari yang baharu pada keesokan harinya.

“Sekiranya tidur tidak mencukupi, maka proses rejuvenasi sel, organ dan tubuh akan terjejas dan ini menyebabkan penyakit kronik lebih mudah terjadi,” jelas beliau sambil memberitahu waktu tidur yang mencukupi untuk seorang wanita dewasa adalah antara tujuh hingga lapan jam setiap hari.

Dr Nurul Yaqeen.

Dalam pada itu, Dr Nurul Yaqeen memberitahu, antara punca wanita di negara ini tidak dapat tidur dengan baik adalah disebabkan imsonia.

Insomnia adalah perasaan subjektif yang mana seseorang itu merasakan  bahawa mereka masih kekurangan tidur atau rasa tidak puas walaupun telah mendapat peluang untuk tidur dengan secukupnya.

Justeru, tidak keterlaluan untuk disifatkan bahawa masalah sukar untuk tidur boleh dikategorikan sebagai kritikal memandangkan ia berupaya mencetuskan pelbagai jenis masalah kesihatan dan mental. Hal itu turut diakui oleh Dr Nurul Yaqeen.

“Ya, antaranya seseorang akan lebih mudah untuk mendapat penyakit-penyakit kronik seperti alzheimer, kencing manis, darah tinggi, serangan jantung dan strok tidak kira lelaki atau wanita.

“Orang yang tidak cukup tidur juga lebih mudah menghidapi penyakit mental seperti depresi dan kerisauan. Keadaan ini sekali gus boleh membawa kepada masalah sosial seperti pergaduhan suami isteri dan keruntuhan rumah tangga dan institusi kekeluargaan,” katanya.

Selain itu, ujar Dr Nurul Yaqeen, kekurangan tidur juga boleh melemahkan sistem imunisasi badan sekali gus menyebabkan seseorang itu lebih mudah dijangkiti penyakit seperti jangkitan virus dan bakteria.

“Ia dibuktikan dengan satu kajian yang mana tidak cukup tidur juga boleh mempercepatkan proses penuaan dan menyebabkan seseorang itu lebih mudah mendapat masalah seperti kanser,” katanya.

Kata pakar itu lagi, wanita yang tidak cukup tidur sudah semestinya akan berhadapan masalah produktiviti dan prestasi di tempat kerja dan sekolah yang kurang baik.

“Kajian Kalmbach pada tahun 2018 mendedahkan, disebabkan faktor itu, wanita akan mudah berasa letih dan fokus semasa di tempat kerja dan sekolah juga akan menurun.

“Rentetan itu juga, timbul beberapa masalah lain, antaranya keinginan seksual yang rendah dan memori seseorang itu turut akan lemah,” katanya.

Dr Nurul Yaqeen menambah, terdapat timbunan kes impak daripada krisis sulit untuk lena.

Antara yang paling kerap dilaporkan adalah kemalangan di jalan raya dan di tempat kerja.

“Kes-kes tumpahan minyak di laut juga banyak dilaporkan berpunca daripada pekerja pengendali yang tertidur ketika bertugas disebabkan tidak cukup tidur pada malam sebelumnya. Satu kes letupan reaktor nuklear di Chernobyl, Rusia beberapa tahun lepas juga dilaporkan berpunca daripada masalah sama,” ungkap beliau.

Mental, murung

Dari sudut psikologi, SinarPlus menghubungi Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail pula.

Dr Nurul Nadia.

Dr Nurul Nadia menjelaskan, secara asasnya, perbuatan perbuatan tidur itu boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

i) Rapid eye movement sleep (REM)

ii) Non-rapid eye movement sleep (NREM)

Jelas beliau, tidur NREM pula dipecahkan kepada tiga peringkat dan  setiap satu daripadanya mempunyai peranannya masing-masing.

“Bagaimanapun, cukup untuk diketahui bahawa tidur NREM itu adalah yang mana keadaan kita mula berasa tenang, pergerakan fisiologi seperti saraf simpatatik dan pergerakan otot-otot pernafasan serta suhu badan berada pada keadaan yang lebih rendah berbanding keadaan semasa kita berjaga.

“Tidur jenis ini juga mempunyai fungsi yang tertumpu kepada pembinaan dan pertumbuhan sel-sel badan termasuk, otot, tulang dan imun badan,” katanya.

Sementara tidur jenis REM jelasnya, penting untuk pembentukan daya ingatan, emosi dan mental yang baik dan kekal stabil. Justeru, secara konklusinya, kata Dr Nadia, tidur memang sangat signifikan bagi semua orang tidak kira jantina mahupun usia.

“Bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa tidur seseorang wanita itu lebih mudah terkesan atau terganggu jika golongan itu berada dalam perhubungan yang kompleks. Antaranya seperti terperangkap dalam keganasan rumah tangga.

“Kajian juga menunjukkan bahawa lebih ramai wanita mempunyai kemurungan klinikal, kecelaruan keresahan. Ini bermakna, mereka lebih berisiko mempunyai masalah mental seperti pasca kecelaruan trauma,” terangnya lagi sambil memberitahu ramai dalam kalangan kaum Hawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan nasihat gara-gara berdepan dengan simptom-simptom dan gangguan untuk tidur dengan sempurna.

Dr Nurul Nadia juga memberitahu SinarPlus, penyakit-penyakit mental juga mempunyai perhubungan dua hala dengan fisiologi tidur seseorang.

“Lazimnya, tidur yang terganggu boleh menyebabkan pembentukan penyakit mental. Mereka yang dikesan mempunyai kemurungan klinikal memang mempunyai kaitan dengan gangguan tidur,” katanya.

Kesukaran untuk melelapkan mata mempunyai tiga peringkat iaitu:

i) Jika dalam keadaan normal, seseorang hanya memerlukan lima hingga 15 minit sahaja untuk tidur. Namun, mereka yang bermasalah, mengambil masa lebih dari dua jam.

ii) Kerap terjaga semasa sedang tidur.

iii) Gangguan tidur pada peringkat akhir iaitu mereka akan bangun dua jam lebih awal berbanding waktu normal.

“Fakta menarik yang ingin saya kongsikan adalah golongan wanita perlu tidur di antara 11 ke 20 minit lebih lama berbanding lelaki.

“Mungkin ia kedengaran agak kelakar. Namun demikian, kajian tersebut menunjukkan data berkenaan kerana dipercayai wanita lebih banyak menggunakan fikiran di tempat kerja,” tambah Dr Nadia.

Bagaimana untuk mengatasi kemelut berkenaan? Berikut saranan pakar tersebut:

i) Mengatur tatatertib semasa tidur.

ii) Melakukan senaman ringan pada siang hari.

iii) Elak mengambil kafein selepas jam 6 petang dan amalkan minum susu panas atau air suam.

iv) Melakukan pekerjaan yang tidak melibatkan keterujaan emosi seperti membaca buku motivasi.

v) Tidak menggunakan gajet dua jam sebelum masuk tidur.

vi) Tidak menonton cerita yang boleh menyebabkan emosi terganggu.

vii) Mempraktikkan teknik pernafasan relaksasi sebelum tidur.

ANEKDOT

8 TIP lain yang boleh dilakukan jika alami masalah tidur yang tidak mencukupi:

  1. Kekalkan jadual waktu tidur.

Tidur pada waktu yang sama, setiap hari malah pada hujung minggu dan hari cuti. Konsistensi itu akan membuatkan badan terbiasa dengan kitaran jadual tidur tersebut.

  1. Perhatikan makan dan minum.

Jangan masuk tidur jika berasa lapar atau terlampau kenyang. Rasa tidak selesa akan membuatkan seseorang itu kerap terjaga. Kesan rangsangan nikotina, kafein dan alkohol yang mengambil masa berjam-jam untuk hilang juga akan mengganggu tidur.

  1. Cipta ritual waktu tidur.

Lakukan perkara yang sama setiap malam sebelum tidur seperti mandi air panas, membaca buku atau mendengar muzik yang menenangkan sebagai peringatan kepada badan untuk berehat. Elakkan menggunakan peralatan elektronik dalam ritual waktu tidur.

  1. Berada dalam keadaan selesa.

Hias bilik tidur dengan gaya yang sesuai untuk tidur seperti lampu tidur yang malap dan warna cat bilik yang menenangkan serta pilih tilam dan bantal mengikut keselesaan.

  1. Had tidur waktu siang.

Tidur pada waktu siang yang panjang boleh mengganggu waktu tidur yang sepatutnya terutama penghidap insomnia. Hadkan waktu tidur siang selama 10 hingga 30 minit sahaja dan sebaik-baiknya pada waktu tengahari.

  1. Lakukan aktiviti fizikal dalam rutin seharian.

Aktiviti fizikal secara berkala boleh membuatkan seseorang itu mendapat tidur yang berkualiti dan lebih cepat tidur. Namun, tidak digalakkan bersenam ketika menghampiri waktu tidur kerana ditakuti akan mengganggu waktu tidur.

  1. Pengurusan tekanan.

Tekanan terutamanya di tempat kerja boleh menyebabkan seseorang susah untuk tidur kerana banyak berfikir. Belajar untuk menguruskan tekanan di sekeliling seperti menjadi seorang yang lebih teratur dalam hidup dengan membahagikan perkara yang penting dan kurang penting.

  1. Temui doktor.

Hampir semua orang kadang-kadang mengalami masalah untuk tidur tetapi jika ia terlalu kerap berlaku sehingga mengganggu kualiti hidup, ia mungkin tanda penyakit atau masalah-masalah lain. Oleh itu, segara dapatkan bantuan doktor.

Sumber: Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Farah Husna alamai depresi melampau, terpaksa ambil cuti 3 bulan rehatkan minda

FARAH HUSNA ALAMI, 26, bukannya seorang individu yang mengalami penyakit kronik. Pun demikian, katanya, beliau berdepan dengan masalah kemurungan gara-gara tidak cukup tidur.

Wanita itu memberitahu, pola waktu tidurnya cukup caca-merba pada setiap hari sejak beberapa bulan lalu.

“Bayangkan, setiap malam saya akan terjaga hampir lima atau enam jam. Saya memang mudah sangat terjaga. Walaupun adik saya hidupkan suis lampu di bilik sebelah, saya dengar dan terus susah mahu tidur kembali,” kata pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta itu.

Melihat keadaan itu, Fatin Husna berkata, beliau dapat berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinnya.

“Mula-mula saya fikir itu adalah perkara biasa, tetapi saya dapat rasakan ia satu yang luar biasa kerana fikiran saya akan bercelaru pada keesokan harinya dek kerana tak dapat tidur dengan baik. Saya sangat letih menahan emosi sebegitu.

“Badan saya sentiasa lesu tak bermaya. Saya rasa situasi saya ini agak tidak elok kerana memberi impak kepada perasaan saya. Mengapa? Saya lihat diri saya menjadi kurang sabar kalau mendengar adik bongsu saya yang berusia empat tahun menangis, menjerit apatah lagi melalak. Saya jadi takut kerana saya mungkin boleh mencederakannya,” akuinya kepada SinarPlus ketika dihubungi baru-baru ini.

Perubahan dirinya sangat dibimbangi oleh ibu bapanya. Atas nasihat,  Farah Husna berkata, beliau pergi mendapatkan nasihat daripada doktor.

“Saya tidak percaya apabila doktor menerangkan simptom yang saya alami itu menunjukkan saya berdepan dengan masalah tekanan melampau.

“Itu semua lantaran tidak cukup tidur, tidak cukup rehat ditambah dengan bebanan kerja di ofis,” katanya yang masih dalam proses rawatan dan pemantauan di salah sebuah hospital di Lembah Klang.

Bagi meredakan keadaan, wanita itu turut disarankan oleh pakar untuk mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan.

Farah Husna turut berterus-terang bahawa beliau kini sedang bergelut mencari identiti dirinya semula.

“Justeru, nasihat saya, jangan ambil mudah dengan masalah tidur kerana ia akan menjejaskan diri dan buktinya apa yang terjadi kepada saya.

“Buat orang ramai di luar sana, jika berhadapan masalah yang sama seperti saya, jangan berlengah lagi dan segera dapatkan rawatan. Hanya diri anda yang mampu mengubahnya,” pesannya sebelum mengakhiri perbualan.