Tandas Cangkung Atau Tandas Duduk Yang Lebih Efektif? Ikuti Penjelasannya Dari Sudut Perubatan

TANDAS adalah ruang yang paling penting dan wajib ada di setiap rumah.

Namun bukan reka bentuk tandas yang hendak dibincangkan tetapi tentang jenis tandas yang semestinya melibatkan postur badan.

Facebook Public Health Malaysia (PHM) yang membangkitkan topik berkenaan baru-baru ini menjelaskan, terdapat dua postur badan sewaktu membuang air, sama ada menggunakan tandas duduk atau mencangkung.

Posisi mencangkung sememangnya lebih baik untuk kesihatan namun ada alternatif yang dapat membantu pengguna tandas…

Posted by Public Health Malaysia on Sunday, April 4, 2021

“Bagi mereka yang biasa dengan tandas moden, postur mencangkung mungkin kelihatan kurang selesa dan bertamadun,” beritahu mereka.

Okey, sebelum itu, SinarPlus ingin jelaskan, posisi buang air besar secara duduk melibatkan duduk dengan pinggul dan lutut di sudut tepat seperti di atas kerusi.

Sementara tandas moden dan tandas jenis kering direka untuk digunakan dalam postur duduk.

Laman web antarabangsa healthline.com mendedahkan, tandas jenis duduk sebenarnya telah digunakan secara meluas di Eropah sejak abad ke-19 lagi.

Menurut PHM, dalam sesetengah keadaan, terdapat bangku kaki kecil yang membolehkan pengguna tandas berada dalam postur yang agak sama dengan mencangkung.

“Posisi buang air besar secara mencangkung melibatkan posisi duduk kaki berlipat dengan lutut dan pinggul pada sudut tajam dan punggung hampir ke tanah. Tandas cangkung direka untuk memudahkan postur ini,” beritahu laman web itu lagi.

CANGKUNG ATAU DUDUK?

Walaupun tiada kajian saintifik meluas membandingkan kedua-dua posisi, terdapat beberapa bukti yang mendukung bahawa tandas cangkung memudahkan proses mengosongkan perut.

“Semasa membuang air besar, rektum pada bahagian akhir usus besar menegang apabila dipenuhi najis. Ini menyebabkan otot saluran dubur kendur.

“Otot puborektali yang melingkari rektum seperti anduh, biasanya memegang rektum ke hadapan untuk membentuk sudut ketat (dikenali sebagai sudut anorektal),” jelasnya lagi.

Memberi gambaran mudah, otot puborektalis akan kendur dan sudut anorektal pula akan melebar semasa proses itu berlaku.

Sebenarnya, duduk mencangkung menambah kelebaran sudut anorektal untuk membolehkan laluan yang lebih mudah dan lurus untuk najis keluar.

Pada masa sama, ada yang berpendapat mencangkung mungkin berguna untuk mereka yang mengalami sembelit kronik, namun, ia bukanlah penawar.

“Tiada bukti kukuh untuk mecadangkan bahawa mencangkung boleh menghalang atau menyembuhkan buasir.

“Sesetengah orang pula memang secara semula jadi mengambil masa yang lebih lama untuk membuang air besar dan tidak dapat dikurangkan dengan mencangkung,” tambah mereka lagi.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak biasa mencangkung, orang yang mempunyai masalah berat badan, orang kurang upaya dan orang tua mungkin mendapati postur mencangkung sukar bagi mereka untuk membuang air besar.

Oleh itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan jenis tandas dengan postur yang sesuai mengikut keadaan kesihatan diri masing-masing.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda semua.