MENURUT laman web orangperak.com, kuih cecemek merupakan salah satu sajian tradisional negeri Perak yang sukar ditemui lagi.
Ini kerana menu berkenaan tidak diperturunkan kepada generasi baharu atau muda zaman sekarang menganggap cara adunannya terlalu leceh.
Terdapat sesetengah yang berpendapat, kuih cecemek mirip kepada kuih sampan atau limas kerana rupa bentuknya lebih kurang sama.
Dari segi ramuannya pula, ia dikatakan sama dengan teknik membuat kuih badak berendam. Kedua-dua menggunakan tepung pulut sebagai bahan utama.
Baru-baru ini, SinarPlus berjaya mengorek rahsia di sebalik resepi kuih istimewa itu daripada seorang pembikin juadah istimewa berkenaan yang juga anak jati Parit Buntar, Perak.
Zuraini Alias ketika dihubungi menerangkan, perbezaan antara kuih cecemek dan badak berendam adalah dari segi bentuk.
Maklum Zuraini, jika kuih badak berendam berbentuk bulat, kuih cecemek pula kerap ‘digayakan’ dengan bentuk lesung (berlubang di tengah) dan bunga durian (bersegi di atas).
“Orang zaman dulu sangat rajin dan memang teliti. Sebab itu bentuk bersegi seperti bunga durian menjadi pilihan mereka.
“Atas faktor peredaran zaman, bentuk kuih cecemek juga telah divariasikan. Saya suka buat bentuk lesung kerana lebih mudah dan senang. Ada juga yang hanya memilih bentuk bulat sahaja,” ungkapnya.
Selain itu, ujar wanita yang lembut bicaranya, warna pada bebola doh pun turut diberi perhatian.
“Resipi asal (original) kuih cecemek memang hanya warna putih sahaja. Untuk kuih hasil air tangan saya, saya menambah pewarna hijau. Jika hendak lebih sedap, boleh gunakan air daripada ekstrak daun pandan. Barulah lebih umphh,” kata tenaga pengajar kelas memasak secara dalam talian itu.
Berkongsi mengenai tip membuat kuih cecemek, beritahu Zuraini, tempoh masa untuk mengukusnya perlu tepat.
“Bukan apa, jangan kukus terlalu lama kerana ia akan menyebabkan santan yang digunakan akan pecah lemak, nanti rasanya pun kurang sedap. Pastikan tidak lebih dari 10 minit,” pesannya.
PROFIL
- Nama: Zuraini Alias
- Umur: 52 tahun
- Asal: Parit, Perak
- Menetap: Bangi, Selangor
- Facebook: Zuraini Alias ll
- Instagram: Dapurkakzu
RESIPI KUIH CECEMEK
Bahan- bahan
- 2 cawan tepung pulut
- 1 1/3 cawan santan
- Sedikit garam
- Sedikit air
- Daun pisang
Cara penyediaan:
- Bancuh dan uli doh dan dibentuk menjadi bulat.
- Selepas itu, bentukkan lubang seperti lesung pada tengah doh.
- Susun doh-doh tersebut di atas loyang yang telah dialaskan dengan daun pisang.
- Kemudian, masukkan gula pasir ke dalam lubang dan di tepi kuih cecemek.
- Masukkan santan bersama sedikit garam.
- Akhir sekali, kukus kuih cecemek lebih kurang 10 minit.
Sumber: Zuraini Alias
Speak Your Mind