NAMPAKNYA, semangat orang ramai untuk meraikan Aidilfitri memang berkobar-kobar tahun ini.
Ramai yang mengharapkan situasi ‘terkurung’ dalam rumah tidak berulang sekali lagi.
Justeru, dua minggu sebelum lebaran tiba, pastinya sudah ramai golongan kaum Adam terutamanya sudah melayari internet untuk mencari ilham mengecat kediaman.
Daripada banyak sudut, ruang utama lazimnya yang akan diberi penekanan khusus.
Justeru, hari ini SinarPlus ingin berkongsi pemilihan rona warna yang tepat sebelum mengecat.
Pastinya, tidak boleh sembarangan dan tidak boleh praktikkan sikap ‘asalkan boleh’ jika mahu menaikkan seri ruang.
Oleh itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Mohd Husaini Hassan yang mengendalikan Hassan Hardware Sdn Bhd mengenai panduan pemilihannya.
Ujar Mohd Husaini, terdapat beberapa ciri yang perlu difahami oleh pemilik kediaman untuk memulakan proses mengecat ruang tamu.
“Tak semestinya warna yang disukai mereka, sesuai untuk ‘dicurahkan’ ke dinding rumh. Ia perlu mengambil kira beberapa kriteria penting, jika tak ruang akan menjadi caca-merba,” katanya.
Antaranya ciri-ciri yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:
i. Perwatakan.
Pilihan warna cat rumah adalah pilihan peribadi pemilik rumah.
Warna yang dipilih secara tidak langsung membolehkan para tetamu mengetahui watak kita.
Jika memutuskan untuk memilih nuansa yang terang dan berani, tetamu akan membuat kesimpulan bahawa tuan rumah adalah orang yang ceria dan peramah.
ii. Nilai tarikan.
Warna cat dinding adalah salah satu magnet utama yang akan menarik perhatian sesiapa ketika memasuki sesuatu ruang.
Pemilihan warna yang kemas dan sesuai dapat berfungsi melenyapkan suasana suram yang barangkali menyelubungi ruang sebelum itu.
iii. Manipulasi.
Warna juga boleh memanipulasi ruang. Sebagai contoh, cat berwarna putih di ruang tamu dapat memberikan kesan luas dan lapang berbanding warna-warna lain.
iv. Psikologi.
Setiap satu daripada warna yang ada mempunyai kesannya tersendiri sehingga mampu mempengaruhi mood, fikiran, tubuh dan emosi seseorang.
Berikut adalah lima warna terbaik yang disyorkan bagi menampakkan ruang tamu lebih luas:
1. Putih.
Warna putih akan memantulkan cahaya dan memberi kesan lebih terang dan terbuka pada sesetengah ruang di dalam rumah.
Lebih mudah, pemilihan warna putih juga membantu pemilik rumah menyesuaikan hiasan rumah dengan warna kegemaran tanpa sebarang batasan kerana sifatnya yang neutral terutamanya di ruang tamu.
Jika warna putih bukan menjadi pilihan, cubalah memilih warna kelabu pucat.
Warna itu akan memberi kesan luas apabila cahaya memantul di ruang tamu.
3. Coklat muda.
Selain itu, cuba gunakan warna coklat muda yang lembut di seluruh permukaan dinding dan siling di ruang tamu.
Pastinya, pemilik rumah akan mendapat kesan bilik yang lebih luas dengan serta-merta.
4. Biru muda.
Warna biru muda sangat sinonim dengan benda semula jadi seperti laut, pantai dan langit.
Warna cat biru untuk ruang tamu juga dapat membuatkan penghuni di dalam rumah berkenaan terasa segar kerana menimbulkan suasana yang sejuk dan mendamaikan.
5. Kuning lembut.
Pilihan warna kuning juga mampu membuat ruang tamu nampak lebih ceria dan luas.
Bukan itu sahaja, warna kuning lembut sebenarnya alternatif terbaik jika ingin digabungkan bersama cat putih.
Kaedahnya, cuba elakkan daripada memilih warna kuning yang terlampau terang pada ruang tamu yang sempit.
Kata Mohd Husaini, kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelanggannya adalah salah memilih tona warna pada ruang yang sempit.
“Cara mudahnya, pilihlah apa sahaja warna lembut dan ringan kerana ia menambah seri kediaman terutamanya melibatkan ruang dalaman yang tertutup seperti ruang tamu,” katanya sambil menambah pemilihan warna cat juga perlu diserasikan dengan saiz ruang, warna perabot, langsir dan jubin.
ANEKDOT
7 KESILAPAN yang sering dilakukan semasa mengecat rumah:
1. Memilih warna tidak sama seperti dalam sampel.
2. Terlebih atau terkurang kuantiti cat.
3. Cat dicampurkan dengan air atau thinner.
4. Tidak menggunakan peralatan yang betul.
5. Mengaplikasikan teknik mengecat yang salah.
6. Tidak menutup atau mengalas kawasan yang berhampiran agar tidak terkena cat.
7. Tidak membersihkan permukaan dinding yang hendak dicat.
Sumber: pointnpaint.blogspot.com
Speak Your Mind