SATU kajian yang dilakukan oleh Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat sebelum ini telah merekodkan lebih 6 juta rakyat Malaysia menghidap masalah tidur berdengkur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA).
Sebenarnya, apakah sebab-sebab dengkur boleh terjadi dan apakah ia mempunyai perkaitan rapat dengan trend hidup manusia zaman kini?
Mengulas mengenai situasi berkenaan, SinarPlus berkongsi pandangan seorang pegawai perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.
Menerusi ciapan Twitternya @DIskandarmirza, beliau berkata, berdengkur adalah bunyi yang kuat dan garau berlaku semasa udara melalui bahagian sempit saluran pernafasan pada bahagian tekak dan menyebabkan bahagian tersebut bergetar semasa bernafas.
Perlu diketahui bahawa sesetengah pesakit boleh mendapat masalah dengkur kronik. Bahaya!
“Berdengkur kebiasaan berkait rapat dengan masalah OSA yang mana pemeriksaan akan dilakukan dengan lebih terperinci oleh doktor,” beritahu Dr Iskandar Mirza.
Berikut antara simptom-simptom OSA yang perlu diberi perhatian oleh seseorang:
i. Tersedar pernafasan berhenti semasa tidur.
ii. Terlalu mengantuk pada waktu pagi.
iii. Susah untuk memberi perhatian.
iv. Sakit kepala pada waktu pagi.
v. Sakit tekak semasa bangun tidur.
vi. Tidur yang tidak berkualiti.
vii. Terasa tercekik atau mengah pada waktu malam.
viii. Tekanan darah tinggi.
ix. Berdengur terlalu kuat sehingga mengganggu tidur pasangan.
Pun demikian, nasihat Dr Iskandar Mirza, jika pembaca mempunyai beberapa simptom seperti disebutkan di atas, segeralah membuat temu janji bersama doktor kerana diagnosis akan dilakukan secara pemeriksaan menyeluruh dan akan melakukan pengimejan diagnostik dan melakukan ujian tidur.
Dalam pada itu, Dr Iskandar Mirza turut menyenaraikan penyebab-penyebab kepada masalah berdengkur iaitu:
1. Anatomi mulut iaitu palate lembut (lelangit) yang tebal dan rendah boleh menyempitkan ruangan pernafasan.
2. Mengambil alkohol sebelum tidur akan membuat otot pada tekak menjadi lemah dan merendahkan sistem pertahan semula jadi untuk melawan masalah salur pernafasan sempit.
3. Masalah nasal iaitu masalah selesema yang kronik atau masalah nostril yang tidak normal boleh menyebabkan berdengkur.
4. Tidur yang tidak mencukupi kerana ia akan menyebabkan otot pada tekak menjadi lemah.
5. Posisi tidur kerana apabila tidur dalam posisi baring melintang, kesan graviti adalah paling tinggi terhadap tekak dan menyebabkan bahagian pernafasan menyempit.
Menghuraikan risiko untuk mendapat masalah berdengkur, Dr Iskandar Mirza berkata, mereka mungkin datang dalam kalangan orang lelaki yang mempunyai masalah obesiti, individu yang mempunyai masalah anatomi pernafasan, individu yang mengambil alkohol, terdapatnya gangguan nasal selain mempunyai sejarah keluarga untuk penyakit OSA.
“Jangan ambil mudah dengan masalah tidur berdengkur kerana komplikasinya sangat merbahayakan kesihatan diri.“Antara (komplikasinya) adalah mengantuk pada waktu pagi, selalu berasa hampa atau marah, susah untuk memberi perhatian, risiko tekanan darah tinggi (strok) dan risiko untuk berlaku kemalagan jalan raya kerana terlalu mengantuk,” jelasnya.Mengenai rawatan pula, beritahu Dr Iskandar Mirza, jika pesakit mempunyai masalah OSA, terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan seperti rawatan oral appliances dengan membuatkan salur pernafasan sentiasa terbuka semasa tidur.
Selain itu, rawatan continuous positive airway pressure (CPAP) juga boleh diberikan kepada pesakit dengan tekanan daripadanya boleh membuka ruangan sempit pada bahagian tekak semasa tidur selain rawatan upper airway surgery yang dilakukan oleh pakar bedah telinga, hidung dan tekak (ENT).
ANEKDOT
RAWATAN tidur berdengkur yang boleh diamalkan di rumah:
1. Tukar cara dan gaya hidup seharian.
2. Kurangkan berat badan.
3. Mengelak mengambil alkohol sebelum tidur.
4. Merawat masalah selesema kronik.
5. Elak daripada kurang tidur dan tidur secara melintang.
Sumber: Pegawai Perubatan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.
Speak Your Mind