Hias Rumah Untuk Raya, 6 Tip Ini Jadikan Ruang Tamu Elegan Dan Tenang

HARI raya bakal menjelang lebih kurang dua minggu lagi. Walau pun amalan kunjung mengunjung tidak dapat dilakukan kali ini bagi mengelakkan penularan Covid-19, korang mesti mahu ruang kediaman tetap kemas dengan mood mengalu-alukan.

Berikut adalah antara faktor dan elemen dekorasi yang boleh diwujudkan untuk mencipta suasana ruang tamu yang tersusun dan menarik. Jom mengemas dan deko deko!

PENCAHAYAAN

Ruang yang berperanan untuk menyambut tetamu pastinya memerlukan pencahayaan yang berbeza berdasarkan mood semasa. Pencahayaan putih (day light) untuk urusan-urusan yang penting dan rasmi atau teknikal manakala bagi mood santai anda boleh menggunakan menggunakan pencahayaan kuning (warm light).

Sebagai langkah selamat, pasangkan dua jenis lampu pada kediaman. Sebagai contoh, lampu siling atau halogen bercahaya putih, manakala candeliar, lampu meja dan lampu berdiri pula dilengkapi mentol bercahaya kuning. Jika tidak memasang lampu dengan pelaras cahaya (dimmer) anda boleh memilih mentol berkuasa rendah yang memberikan cahaya yang lembut pada ruang tamu.

LUKISAN

Lukisan atau gambar berbingkai adalah elemen hiasan dinding yang boleh digunakan untuk menimbulkan mood yang tenang. Lukisan pemandangan di tepian pantai misalnya membawa imaginasi kita menyelami pemandangan dalam lukisan tersebut dan berasa seolah-olah berada di tepi pantai.

Foto-foto kenangan sewaktu korang masa kecil juga boleh dibingkaikan dan dipamerkan pada dinding dalam pola susunan yang menarik.

FABRIK KAYA TEKSTUR

Gunakan fabrik yang bertekstur seperti baldu, tafetta, jacquard atau sutera untuk sesetengah perkakas kemasan lembut. Sebagai contoh, kusyen pada sofa, langsir atau upholsteri sofa.

WARNA

Gunakan warna cat dinding yang mencetuskan mood tenang dan mencetuskan ambiens yang mesra. Warna-warna seperti kelabu muda, pastel dan cerah. Korang juga boleh gunakan kertas dinding tetapi pastikan motifnya tidak terlalu ‘serabut’. Pilihlah yang motif yang tidak ketara dan warna yang tidak terlalu terang.

SUSUNAN PERABOT

Susunan perabot memainkan peranan penting dalam mencipta ruang yang mesra. Peletakan perabot secara berkelompok membentuk suasana yang mesra perbincangan. Sofa hendaklah diletakkan berdekatan antara satu sama lain agar tetamu berasa tidak terasing atau tersisih. Ambil kira trafik agar letakan perabot tidak mengganggu lalu lintas keluar masuk ke ruang tamu.

AROMA

Aspek bau-bauan tidak boleh dipandang enteng dalam mencipta mood yang mengalu-alukan di ruang tamu. Cetusan bau-bauan yag menyenangkan akan menambah keselesaan dan ketenangan. Nyalakan lilin aroma terapi atau bakar minyaknya menggunakan bekas khas bagi mendapatkan kesan bauan yang optimum. Penyembur wangian yang boleh dijadualkan semburannya kini membanjiri pasaran dengan pilihan wangian yang variasi. Letakkan satu di ruang tamu agar suasana sentiasa harum dan segar.

BUNYI-BUNYIAN

Bunyi-bunyian, walau pun tidak boleh dilihat tetapi tetap memainkan peranan penting dalam mencipta mood di ruang tamu. Agar suasana ruang tamu relak, cuba wujudkan water feature kecil di sudut ruang tamu anda. Manusia sentiasa mahu rapat dengan alam untuk mendapatkan ketenangan. Maka bunyi air air mengalir ibarat terapi minda yang memberikan kerehatan pada minda.

Speak Your Mind

*