SETELAH penat bekerja seharian, waktu malam merupakan waktu yang paling sesuai untuk berehat.
Namun demikian, ada di antara kita lebih gemar berjaga hingga larut malam atas alasan-alasan tertentu seperti bermain permainan video atau menonton televisyen.
Ketahuilah bahawa tabiat berjaga sehingga lewat malam sebenarnya memberi impak yang negatif kepada kesihatan diri seseorang individu itu.
Lazimnya, orang dewasa memerlukan 6 hingga 8 jam tidur sehari. Kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang, manakala golongan warga usia emas memerlukan masa yang lebih pendek di antara 4 hinga 5 jam sehari.
Menurut Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail, gangguan tidur merujuk kepada perubahan pada corak tidur.
Beliau berkata, terdapat beberapa tanda dan gejala jika seseorang itu mempunyai masalah gangguan tidur, antaranya:
i) Tidur yang terlalu banyak (hypersomnia).
ii) Tidur yang terlalu sedikit (insomnia).
iii) Kelakuan yang luar biasa semasa tidur contohnya, berjalan dalam tidur (sleep walking), bangun tiba-tiba dalam ketakutan (sleep terror), kisaran gigi (tooth-grinding) dan sebagainya.
Terdapat tiga kategori gangguan tidur jenis insomnia iaitu:
i) Insomnia sementara yang hanya berlaku dalam beberapa hari.
ii) Insomnia jangka pendek iaitu berlangsung daripada beberapa hari hingga tiga minggu.
iii) Insomnia kronik iaitu gangguan yang terjadi daripada beberapa bulan sehingga beberapa tahun dan ia akan lebih parah sekiranya insomnia jangka pendek tidak ditangani dengan baik.
Sementara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Twitternya, @KKMPutrajaya berkata, kerap berjaga sehingga lewat malam tidak baik untuk kesihatan.
Tabiat berjaga sehingga lewat malam boleh memberikan 4 kesan utama seperti berikut:
1. Gangguan fungsi kognitif, pelupa dan tiada daya tumpuan.
Ia boleh menyebabkan penyusutan ‘white matter’ pada otak yang penting bagi proses pembelajaran.
2. Obesiti dan diabetes.
Gangguan pada metabolism badan dan perubahan hormon (insulin dan kortisol) yang menyebabkan individu lapar dan berkeinginan mencari makanan berkarbohidrat atau gula daripada biasa.
3. Emosi terganggu.
Kurang tidur akan menyebabkan kawasan otak yang mengawal aktiviti membuat keputusan dan membuat perancangan teratur berhenti berfungsi. Jadi, ia akan merangsang gerak hati dan kelakuan yang berisiko.
4. Impak kesihatan
Impak kesihatan terhadap imuniti badan boleh menyebabkan infeksi badan seperti selsema dan lain-lain kerana ianya boleh membawa kepada kanser.
Jadi, ingatlah, walaupun hanya satu malam sahaja anda ‘berjaga’, ia akan menjejaskan jam biologikal asal dan seterusnya akan mengganggu regulasi gula dalam darah.
Oleh itu, diharapkan dengan perkongsian tersebut, kita akan lebih menghargai waktu malam dengan melakukan perkara berfaedah dan mendapatkan rehat yang secukupnya.