Jangan Tahan Bersin, Boleh Cederakan Organ Dan Saluran Darah

in itu bagus atau sebenarnya ia memudaratkan?

Bercakap mengenai bersin, terdapat satu kes berkenaan dengan perkara itu seperti yang dilaporkan dalam kebanyakan portal antarabangsa.

Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 34 tahun di England telah dimasukkan ke wad kecemasan di Leceister Royal Infirmary Hospital selepas beliau tanpa sedar, telah memecahkan saluran pernafasan sendiri.

Ia berlaku hanya kerana lelaki tersebut cuba menahan bersin.

Media antarabangsa juga melaporkan, lelaki itu seperti terasa letupan kecil pada bahagian tekaknya, disusuli dengan rasa kesakitan yang mendalam selepas dirinya menahan bersin.

Rentetan daripada situasi itu, lelaki berkenaan mengadu mengalami kesukaran untuk menelan atau bercakap.

Pemeriksaan lanjut doktor mendapati terdapat kesan bengkak yang ketara pada bahagian tekak dan lehernya.

Lebih parah, imbasan X-ray menunjukkan tekaknya telah pecah dan angin yang disedut telah melepasi rekahan pada saluran pernafasan dan terus ke tisu berhampiran.

Disebabkan situasi itu, lelaki tersebut terpaksa makan dan minum melalui tiub bagi membolehkan tisu yang terjejas kembali pulih.

Pakar kesihatan di hospital itu berkata, tindakan menahan bersin dengan cara menutup hidung adalah sesuatu yang sangat merbahaya dan perlu dielakkan.

Tutup mulut, guna sapu tangan

Dalam pada itu, kejadian yang menimpa lelaki berkenaan turut mendapat perhatian Public Health Malaysia (PHM).

Menurut PHM, berdasarkan kajian, semasa bersin kita akan mengeluarkan lebih banyak titisan air liur iaitu sebanyak 40,000 berbanding semasa batuk (dianggarkan sebanyak 3,000 titisan air liur dikeluarkan).

“Bersin adalah satu mekanisme tubuh untuk menyingkirkan habuk, kuman atau apabila ada iritasi pada hidung dan ia melibatkan tekanan di dalam dada yang sangat kuat dan laju.

“Apabila ditahan dengan sengaja, tekanan itu akan merosakkan saluran darah pada otak, mencederakan organ dan saluran pernafasan,” tulis PHM dalam entri mereka.

Bukan itu sahaja, antara kesan lain apabila seseorang itu menahan bersin adalah gegendang telinga akan pecah, berlaku jangkitan pada telinga, risiko patah tulang rusuk dan mencederakan diafragma dan tekak.

SEORANG lelaki berusia 34 tahun telah dimasukkan ke wad kecemasan selepas dia tanpa sedar, telah memecahkan saluran…

Posted by Public Health Malaysia on Friday, January 15, 2021

Oleh itu, jika anda ingin bersin, jangan tahan, bersin pada lengan atau manfaatkan peranan sapu tangan. Semoga perkongsian di atas bermanfaat kepada pembaca.

ANEKDOT

Etika batuk dan bersin yang betul:

1. Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan ketika batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dengan serta-merta. Kuman pada tisu boleh terus hidup untuk beberapa jam.
2. Jika tidak ada tisu atau sapu tangan, gunakan lengan untuk menutup hidung serta mulut apabila bersin atau batuk.
3. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih untuk menghalang penyebaran bakteria.
4. Pakai pelitup mulut dan hidung (facemask), terutamanya jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.
5. Elakkan berada di tempat awam jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.
6. Gunakan cecair pembasmi kuman jika tidak dapat membasuh tangan dengan sabun dan air.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/