PLATFORM berteknologi untuk dagangan kenderaan terpakai di Malaysia, myTukar Sdn Bhd baru-baru ini mengumumkan kejayaannya dalam mengesan kecatatan pada kereta dalam tempoh 3 saat berdasarkan sistem Kecerdasan Buatan (AI).
AI antara lain dapat mengesan kecacatan kenderaan seperti kemek, calar dan kemerosotan cat, selain dapat mengurangkan kesilapan manusia hingga 80 peratus.
Ketua Pengarah Eksekutifnya, Fong Hon Sum berkata, myTukar AI yang inovatif itu dibangunkan hasil daripada semangat untuk mentransformasi industri kenderaan terpakai agar memberi manfaat kepada pelanggan.
Selain dapat menjimatkan masa, ia turut melindungi privasi dan keselamatan pelanggan yang memanfaatkan inovasi tersebut, katanya.
Dalam pada itu, Hon Sum berkata, myTukar mengumumkan pembukaan dua hab pemeriksaan myTukar yang pertama di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Memandangkan misi myTukar adalah untuk memudahkan proses penjualan secara digital menggunakan platform myTukar, pihak kami yakin ini merupakan masa terbaik untuk memasuki pasaran yang belum lagi diterokai di Malaysia Timur. Platform myTukar yang inovatif ini dapat memberi sokongan yang diperlukan oleh pengedar kenderaan di sana dan seterusnya dapat meningkatkan jualan mereka melalui ekosistem yang cepat, efisien dan menjimatkan,“ katanya.