RAMAI di antara kita yang mempunyai masalah kelemumur yang boleh mengganggu aktiviti seharian gara-gara kegatalan yang berlaku pada kulit kepala.
Apatah lagi ia sering menghantui para wanita yang berhijab sehingga terpaksa menggaru-garu meskipun berada di khalayak ramai.
Pastinya, banyak iklan syampu yang dipaparkan sama ada di media sosial atau media elektronik, namun ia mungkin hanya berkesan untuk sebilangan orang sahaja.
Mengulas mengenai situasi berkenaan, SinarPlus berkongsi pandangan seorang pegawai perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.
Menerusi ciapan Twitternya @DIskandarmirza, tulisnya, masalah kelemumur berlaku apabila kulit pada badan atau kepala menjadi keruping.
“Ia tidak berjangkit atau merupakan sakit yang serius.
Namun, ia boleh mengurangkan tahap keyakinan diri seseorang apabila berjumpa kenalan di luar,” beritahu Dr
Iskandar Mirza.
Sebenarnya, kelemumur yang sedikit boleh diatasi dengan menggunakan syampu setiap hari.
“Jika ia tidak berkesan, orang ramai boleh mencuba syampu yang mengandungi ubat.
“Walaupun jika dalam suatu masa kelemumur itu sudah hilang, ia juga mempunyai kemungkinan untuk datang semula,” terangnya.
Kata pakar itu lagi, antara simptom biasa yang boleh dilihat adalah keruping pada kulit badan dan kepala, kulit kepala gatal serta bersisik.
“Bagaimanapun, ada simptom tersebut menjadi lebih teruk semasa seseorang itu berhadapan tekanan (stres) dan ketika musim sejuk dan kering,” tambah beliau.
Berikut adalah antara penyebab kelemumur:
i) Kulit sensitif dan berminyak.
ii) Tidak menggunakan syampu dengan kerap.
iii) Terdapat jangkitan kulat pada kulit kepala.
iv) Kulit yang kering.
v) Kulit sensitif terhadap produk.
v) Sakit kulit kronik seperti psoriasis dan ekzema.
Oleh itu, Dr Iskandar Mirza menyarankan agar sesiapa yang mempunyai masalah kelemumur boleh mencuba beberapa rawatan seperti menggunakan pyrithione zinc shampoo seperti Head and Shoulders atau DermaZinc.
Selain itu, mereka juga boleh mencuba mengaplikasikan tar-based shampoo iaitu Neutrogena T/Gel yang mana boleh memperlahankan kematian sel-sel kulit pada kepala daripada menjadi keruping.
“Syampu yang mempunyai salicylic acid (Neutrogena T/sal, Baker’s P&S) juga membantu membuang sisik kelemumur,” tambah beliau.
Namun demikian, jika ia masih tidak berkesan, cubalah syampu yang mempunyai selenium sulphide dan ketoconazole kerana ia mempunyai unsur antikulat dan dapat membunuh kulat pada kulit kepala.
Oleh itu, jika anda mempunyai masalah untuk memilih jenis rawatan termasuklah syampu yang bersesuaian, segeralah berjumpa dengan pakar kulit.
“Insya-ALLAH, mereka dapat membantu anda,” katanya.
Speak Your Mind