Archives for December 26, 2021

Wanita Lebih Berisiko Tinggi Alami Kecelaruan Keresahan. Ini Fakta-Faktanya

PENYAKIT mental adalah satu situasi yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang mana boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang.

Ia juga akan merencatkan seseorang itu untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kata Pakar Psikiatri dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria, terdapat 297 jenis penyakit mental yang tersenarai dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Ke-5 (DSM-5) yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association.

Dr Rozanizam Zakaria.

“Daripada banyak-banyak penyakit berkenaan, gangguan kecelaruan keresahan (anxiety disorder) adalah penyakit yang paling banyak berlaku di dunia fana ini,” tulisnya di Twitter @DrRozanizam.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, satu daripada empat manusia di muka bumi ALLAH ini, pada satu-satu ketika dalam hidup mereka, mereka mengalami keadaan yang mana pesakit memenuhi satu daripada kriteria anxiety disorder.

“Ia bermaksud, pada tahun-tahun tertentu, 17 peratus manusia menghidapi masalah berkenaan.

“Secara umumnya, wanita lebih berisiko mendapat gangguan kecelaruan keresahan kecuali diagnosis tertentu seperti kecelaruan panik yang menyaksikan peratusannya sama (seimbang) melibatkan kedua-dua jantina,” beritahu Dr Rozanizam.

Apakah itu gangguan kecelaruan keresahan?

Menurut portal kesihatan antarabangsa healthline.com, gangguan kecelaruan keresahan adalah serangan ‘kecemasan’ perasaan seperti cemas, bimbang, tertekan atau takut.

Bagi kebanyakan orang, serangan gangguan kecelaruan keresahan berlaku secara perlahan.

Ia mungkin akan lebih bertambah buruk ketika peristiwa lalu (trauma) menghampiri diri pesakit.

Antara gejala umum serangan kecelaruan keresahan adalah:

i. Berasa ingin pengsan atau pening.
ii. Sesak nafas.
iii. Mulut kering.
iv. Berpeluh-peluh.
v. Menggigil-gigil.
vi. Kebimbangan melampau.
vii. Kegelisahan.
viii. Ketakutan.
ix. Mati rasa atau kesemutan.

Dalam sesetengah keadaan, serangan panik dan gangguan kecelaruan keresahan akan berkongsi beberapa simptom biasa, tetapi ia adalah penyakit yang berbeza.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk membuat diagnosis masalah kecelaruan mental dengan cepat dan tepat bagi mengelakkan gejala berpanjangan dan rawatan yang betul dapat diberikan.

Ingat, rawatan pada peringkat awal dapat mencegah kecelaruan mental daripada menjadi bertambah teruk dan mempunyai potensi penyembuhan yang lebih tinggi. Semoga bermanfaat.

Sindrom Treacher Collins Jarang Berlaku, Ini Fakta Penting Yang Perlu Ambil Tahu

treacher collins

SINDROM Treacher Collins (TCS) barangkali asing dan kurang didengari oleh rakyat di negara ini.

Berdasarkan emedicine.medscape.com, TCS mempengaruhi satu daripada 50,000 bayi yang dilahirkan di dunia.

Kira-kira 60 peratus daripada angka itu mendapat penyakit berkenaan bukan daripada genetik keluarga dan bakinya diperoleh daripada keturunan ibu atau ayah. Di Malaysia, tiada statistik rasmi yang dikeluarkan setakat ini.

Secara ringkasnya, TCS terjadi disebabkan gangguan genetik yang mempengaruhi perkembangan tulang dan jaringan lain pada wajah. Lazimnya, bayi dilahirkan dengan cacat pada telinga, kelopak mata, tulang pipi ataupun tulang rahang.

treacher collins

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya, SinarPlus menghubungi Penyelidik Genetik Manusia, Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Suhaili Abu Bakar@Jamaludin.

Penyelik itu menjelaskan, gangguan genetik yang dikaitkan dengan perubahan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia itu boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira bayi lelaki ataupun perempuan.

“Kes TCS ini sebenarnya jarang-jarang berlaku, namun sejak lima tahun kebelakangan ini, beberapa kes telah dilaporkan di Malaysia.

Treacher Collins
SUMBER Foto Facebook Elif’s Treacher Collins Syndrome Journey.

“Jika dibandingkan dengan kes sindrom yang lain seperti Sindrom Down, Patau dan Edward yang sering didengari, TCS agak asing. Pun demikian, ia masih boleh berlaku dalam populasi kita tanpa disedari,“ ujarnya.

Berdasarkan Jurnal Pediatrik Sains Perubatan Universiti Babol, Iran yang disiarkan baru-baru ini, lebih 250 kes TCS direkodkan di seluruh dunia.

Penemuan kajian dalam jurnal itu antara lain menyatakan, kes yang dikaitkan dengan TCS disebabkan beberapa faktor luaran. Antaranya terdedah dengan radiasi berbahaya sepanjang tempoh kehamilan termasuk amalan diet yang terlampau ketat.

treacher collins

Adakah dua elemen yang dinyatakan berkenaan mempunyai perkaitan dengan kes yang berlaku di Malaysia? Menjawab pertanyaan itu, Dr Suhaili berkata, belum ada kajian saintifik yang konkrit menunjukkan punca sebenar berlakunya gejala tersebut.

“Dalam majoriti kes kajian, kebanyakannya mengarah kepada mutasi yang berlaku kepada beberapa gen yang tertentu contohnya TCOF1, POLR1C atau POLR1D. Mutasi TCOF1 adalah yang paling kerap ditemui sebagai penyebab sindrom TCS ini.

“Pun begitu, masih kurang kajian kukuh untuk menentukan penyebab berlakunya mutasi tersebut jika dikaitkan dengan kesan radiasi atau diet yang ekstrem, tetapi kajian lanjut wajar dilaksanakan,“ terangnya.

Genetik keluarga

Bagaimana pula kesahihan fakta yang mengatakan TCS disebabkan oleh genetik keluarga?

“Terdapat kajian dan bukti sains menunjukkan bahawa sindrom itu juga boleh berlaku disebabkan gen bermutasi yang diwarisi oleh ibu atau bapanya atau kedua-duanya sekali.

“TCS menunjukkan corak pewarisan autosomal dominan apabila dikaji menggunakan DNA ahli keluarga. Sebab apa dikatakan dominan? Meskipun hanya satu gen sahaja bermutasi yang diterima, ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi gen tersebut dalam pembentukan struktur muka,“ jelasnya.

Ujar pensyarah berwibawa itu, rata-rata bayi atau kanak-kanak yang menderita TCS akan berdepan dengan kecacatan pada muka kerana gen TCOF1 mempunyai peranan penting dalam pembentukan tulang, rahang dan dagu.

treacher collins

Mengulas lanjut, Dr Suhaili berkata, pengumpulan data melalui penyelidikan menyeluruh terhadap struktur genetik dan DNA rakyat Malaysia dilihat sangat membantu dalam kajian kes genetik seperti TCS sebagai langkah awal kawalan dan persediaan untuk generasi akan datang.

“Pada pandangan saya, kajian kes sindrom yang jarang ditemui ini wajar diberikan tumpuan terutamanya di Malaysia di samping kes-kes lain.

“Justeru, dengan memiliki data genetik dalam kalangan penduduk Malaysia yang berbilang etnik ini, perbandingan profil genetik dan pewarisan gen dapat dilakukan bagi membantu penyelidik mencari kaitan antara gen tersebut dengan sindrom yang muncul,“ katanya.

Sukar dikesan

SinarPlus turut mendapatkan komentar Pengarah Perubatan Hospital UMRA, Datuk Dr Mohamed Rafi Mohammed Feizal yang berkata kelainan genetik yang mendorong kepada TCS pada bayi sebenarnya sukar dikesan dari peringkat awal kandungan.

treacher collins

“Lazimnya, waktu yang sesuai untuk membuat imbasan terperinci bagi keseluruhan badan bayi adalah pada usia kandungan 18 hingga 28 minggu. Pun begitu, keabnormalan postur muka sukar dikesan berbanding kelainan pada jantung dan otak.

“Sebab itu, ada kes sebaik sahaja bayi dilahirkan, barulah doktor nampak kelainan pada wajah bayi kerana TCS ini menjejaskan perkembangan tulang dan otot muka,“ jelasnya kepada SinarPlus ketika ditemui baru-baru ini.

Merujuk rarediseases.info.nih.gov, selain ciri-ciri yang dinyatakan Dr Mohamed Rafi, terdapat ‘kelainan‘ lain pada bayi TCS.

Golongan itu turut akan mengalami kesukaran bernafas disebabkan kekurangan tulang muka yang menyekat saluran udara, selain mata condong ke bawah dan bulu mata jarang.

Treacher Collins
KISAH anak TCS yang pernah ditayangkan pada tahun 2017, Wonder turut mendapat perhatian dunia.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi itu mengiyakan fakta yang didedahkan laman web berkenaan dan menambah, bayi TCS akan berdepan dengan masalah pendengaran, penglihatan termasuk pertuturan.

“Apabila pembentukan struktur muka tidak sempurna seperti telinga tidak simetri dan tiada tulang osikel pada bahagian tengah telinga, ia akan menyebabkan gangguan pendengaran konduktif. Jika berdepan dengan komplikasi kritikal, bayi itu memerlukan pembedahan serta-merta,“ katanya.

Seperti kata Dr Suhaili, Dr Mohamed Rafi memberi harapan kepada keluarga yang mempunyai anak TCS.

“Masalah genetik yang sangat-sangat jarang berlaku ini masih boleh dirawat berbanding Sindrom Edward dan Patau yang lebih kritikal lantaran tidak mampu hidup lama akibat komplikasi pada otak dan jantung,“ katanya.

treacher collins

Memperincikan proses rawatan secara ringkas, pakar itu memberitahu, lazimnya bayi TCS akan didiagnos diikuti dengan pemeriksaan rapi termasuk ujian darah sebelum kes dipanjangkan kepada jabatan berkaitan.

Kepentingan asid folik

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah faktor kelahiran pramatang mendorong keabnormalan bayi TCS, Dr Mohamed Rafi menegaskan, itu adalah kuasa ALLAH SWT.

“Banyak kes bayi pramatang tidak berdepan masalah kesihatan dengan bantuan teknologi canggih masa kini. Jika bayi pramatang tersebut disahkan TCS, itu barangkali kebetulan. Semua kena faham bahawa TCS ini penyakit genetik yang jarang-jarang jumpa di Malaysia dan ia bergantung kepada tahap kelainan pada bayi tersebut, ada yang sederhana dan ada yang kronik.

treacher collins

“Teknologi perubatan canggih masa kini boleh membantu bayi pramatang untuk hidup meskipun dilahirkan hanya pada berat 500 hingga 800 gram jika tidak berdepan sebarang masalah. Jika ada masalah seperti TCS, ia memerlukan pemantauan lebih rapi dan kos lebih tinggi,“ katanya.

Lazimnya, kes TCS sering dirujuk ke Pakar Genetik Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Hospital Pulau Pinang.

Berkongsi pandangannya terhadap ibu bapa yang berdepan masalah anak TCS, Dr Mohamed Rafi mengakui, rata-rata ibu bapa berdepan dengan tekanan apabila anak mereka mengalami kecacatan pada muka meskipun tiada masalah pada perkembangan otak.

treacher collins

“Pada pandangan saya, jika anak TCS ini masih boleh menghisap susu atau mengunyah makanan sendiri tanpa bergantung pada tiub, itu satu perkembangan positif. Ada kes mereka panjang umur walaupun bergantung hidup dengan kerusi roda.

“Justeru itu, saya sering menasihatkan para ibu yang cuba untuk hamil, amalkan pemakanan asid folik lebih awal untuk perkembangan janin yang sihat dan sempurna. Kalau boleh, sertai kaunseling prakehamilan untuk membendung risiko tertentu sepanjang hamil,“ nasihatnya.

Noly Urut Pipi Bantu Anak Mengunyah, Amal Diet Sesuai

treacher collins

MENJAGA anak istimewa yang menderita Sindrom Treacher Collins (TCS) memang tidak mudah. Masalah terbesar yang sering dihadapi si cilik itu adalah sukar untuk mengunyah makanan.

Kemelut berkenaan diakui oleh Noly Erma Rosli, 34, yang mempunyai anak TCS, Muhammad Aisy Miqael atau nama manjanya, Aisy.

Sebelum bercerita lanjut, ibu tabah itu memberitahu, beberapa hari selepas Aisy dilahirkan, beliau mengalami muntah hijau akibat tersedak susu selain susah bernafas ketika tidur dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

treacher collins

Pun begitu, Noly Erma berkata, Aisy yang kini sudah berusia enam tahun dijaga dengan penuh rapi berpandukan saranan doktor pakar dan jururawat yang banyak berkongsi ilmu.

“Sebelum ini, Aisy tidak boleh mengunyah dan berdepan masalah penghadaman. Memang saya susah hati sebab dari kecil, Aisy terpaksa menggunakan tiub untuk minum susu.

“Kemudian, saya mengamalkan urutan pada kedua pipinya, berkat tunjuk ajar seorang jururawat ketika Aisy ditahan wad di NICU, Hospital Kuala Lumpur (HKL). Alhamdulillah, Aisy sudah boleh menghisap susu sendiri. Selera makannya juga semakin meningkat dan boleh minum susu tambahan sebanyak empat kali,“ ceritanya yang melakukan amalan urutan secara lembut pada pipi Aisy itu mengikut arah lawan jam setiap hari.

treacher collins

Selain itu, beliau juga mempraktiskan pengambilan diet pemakanan yang sesuai mengikut umur Aisy.

“Seperti yang disarankan Pakar Dietatik dan Nutrisi, Hospital Serdang, saya diminta menyediakan makanan yang memiliki sumber protein, karbohidrat dan vitamin. Sebagai contoh, nasi bubur dan isi ikan, sayur dan minyak masak satu sudu,“ katanya.

Pun demikian, suri hati kepada Mohd Hilmi Ramli, 37, memaklumkan, Aisy masih berdepan dengan masalah penghadaman dan sembelit yang kronik selain masih bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

“Jika tiada halangan, Aisy akan dimasukkan wad pada awal Februari nanti bagi memantau kadar oksigen dalam badan memandangkan sejak kebelakangan ini, Aisy terpaksa bergantung kepada alat Continuous Positive Airway Pressure untuk tidur.

“Pada masa sama, Aisy masih menjalankan rawatan secara berterusan dengan beberapa doktor pakar di HKL dan Hospital Serdang,“ katanya yang memohon agar masyarakat mendoakan kesejahteraan anaknya.

Kesan Kecacatan Kereta Hanya 3 Saat Dengan MyTukar AI

PLATFORM berteknologi untuk dagangan kenderaan terpakai di Malaysia, myTukar Sdn Bhd baru-baru ini  mengumumkan kejayaannya dalam mengesan kecatatan pada kereta dalam tempoh 3 saat berdasarkan sistem Kecerdasan Buatan (AI).

AI antara lain dapat  mengesan kecacatan kenderaan seperti kemek, calar dan kemerosotan cat, selain dapat mengurangkan kesilapan manusia hingga 80 peratus.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Fong Hon Sum berkata, myTukar AI yang inovatif itu dibangunkan hasil daripada semangat untuk mentransformasi industri kenderaan terpakai agar memberi manfaat kepada pelanggan.

KETUA Pegawai Teknologi myTukar Sdn Bhd, David Voo.

Selain dapat menjimatkan masa, ia turut melindungi privasi dan keselamatan pelanggan yang memanfaatkan inovasi tersebut, katanya.

Dalam pada itu, Hon Sum berkata, myTukar mengumumkan pembukaan dua hab pemeriksaan myTukar yang pertama di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Memandangkan misi myTukar adalah untuk memudahkan proses penjualan secara digital menggunakan platform myTukar, pihak kami yakin ini merupakan masa terbaik untuk memasuki pasaran yang belum lagi diterokai di Malaysia Timur. Platform myTukar yang inovatif ini dapat memberi sokongan yang diperlukan oleh pengedar kenderaan di sana dan seterusnya dapat meningkatkan jualan mereka melalui ekosistem yang cepat, efisien dan menjimatkan,“ katanya.

Jangan Pandai-Pandai Ambil Ubat Tahan Sakit Ponstan, Ada Kesan Sampingan Jika Terlebih

Jangan pandai-pandai ambil ubat tahan sakit ponstan, ada kesan sampingan jika terlebih

BAGI wanita yang pernah mengalami masalah sakit period, pasti tahu dengan ubat penahan sakit yang dikenali sebagai ponstan.

Ia merupakan ubat yang mengandungi bahan aktif asid mefenamik yang tergolong dalam kumpulan anti radang bukan steroid (NSAID).

Selain daripada sakit period, ramai orang mengambil ubat tahan sakit ponstan bagi sakit otot atau sendi seperti terseliuh dan radang tendon, sakit gigi, sakit kepala serta sakit disebabkan oleh patah tulang atau tulang beralih.

Namun, korang perlu tahu bahawa ubat tahan sakit seperti ponstan, ia tidak menyembuhkan penyakit.

Ia hanya mengawal simptom sakit dan radang bagi memberikan keselesaan kepada pesakit.

Oleh itu, korang perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika perlu.

Menurut hellodoktor, seperti ubat yang lain, ponstan boleh menyebabkan kesan sampingan dan tindak balas alergi bagi segelintir individu.

Oleh sebab itulah ubat ini dikategorikan sebagai ubat terkawal dan seharusnya dipreskripsikan oleh doktor atau ahli farmasi yang bertauliah.

Ia hanya boleh digunakan sekiranya kebaikan pengambilannya mengatasi risiko kesan sampingan atau alergi yang boleh dialami pesakit.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah farmasi, ubat ini boleh dibeli oleh pesakit walaupun mereka tidak mempunyai sebarang preskripsi.

Keadaan ini menggalakkan pesakit tersebut menggunakan ponstan secara kronik sehinggakan ia tidak dapat mengurangkan rasa sakit yang dialami.

Ubat ini tidak boleh diambil sekiranya seseorang alergi kepada;

  • Asid mefenamik atau sebarang bahan yang digunakan untuk membuat ubat tersebut
  • Individu yang alergi pada ubat aspirin
  • Mereka yang alergi kepada ubat NSAID termasuklah penghalang COX-2

Bagi mereka yang mengalami tindak balas alergi, mereka boleh mendapat simptom seperti;

  • Asma, bunyi nafas bising atau sesak nafas
  • Muka, lidah atau bibir bengkak
  • Sukar untuk menelan
  • Ruam gegata
  • Pengsan

Selain alergi, korang tidak boleh mengambil ponstan jika;

  1. Pernah alami cirit-birit selepas mengambil ubat ini.
  2. Mempunyai ulser perut atau pernah mengalaminya.
  3. Mempunyai atau pernah mengalami radang atau ulser pada permukaan usus.
  4. Mereka yang menghidap penyakit buah pinggang.
  5. Mereka yang alami kegagalan jantung teruk.
  6. Penghidap kegagalan hati.
  7. Wanita hamil dan ibu yang menyusu badan.
  8. Bakal menjalani pembedahan pintasan arteri koronari.
  9. Kanak-kanak di bawah usia 14 tahun.

Secara amnya, ubat ponstan sering dipasarkan dalam dua dos:

  • Kapsul berwarna biru kehijauan atau kuning keputihan (250 mg)
  • Kapsul berwarna kuning dan berbentuk lonjong (500 mg)

Kebiasaannya, ubat ini perlu diambil 3 kali sehari (500 mg) selepas makan.

Namun, bergantung kepada sebab ubat ini dipreskripsikan, dos mungkin dilaraskan oleh doktor supaya sesuai dengan keadaan pesakit.

Sekiranya mengambil ponstan secara berlebihan, korang boleh mengalami simptom seperti;

  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Sawan
  • Kekeliruan
  • Pening kepala
  • Halusinasi

Walaupun ubat ponstan sangat popular dan berkesan dalam melegakan simptom sakit, ia perlu digunakan secara berhati-hati.

Jika mengalami sebarang simptom berkait dengan tindak balas alergi atau kesan sampingan ubat, dapatkan nasihat doktor untuk langkah seterusnya.

Sekiranya mendapati sebarang simptom keracunan (ambil secara berlebihan) selepas mengambil ponstan, teruslah ke hospital dengan kadar segera.

Kanser Payudara, Kolorektal, Paru-Paru Paling Kerap Menyerang Rakyat Malaysia

KANSER merupakan salah satu penyakit kronik yang ditakuti dan boleh memberi impak negatif yang tinggi bukan sahaja kepada pesakit, keluarga malah kepada negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod, pada tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 11 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit itu berbanding tahun 2007 hingga tahun 2011.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA.

“Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19 peratus) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus),” katanya dalam kenyataan media kepada SinarPlus baru-baru ini.

Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku.

Menurut Health Facts terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada tahun 2019, kanser adalah penyebab kematian utama di hospital-hospital swasta iaitu sebanyak 33.19 peratus dan keempat utama di hospital kerajaan (12.18 peratus).

Mengulas lanjut mengenainya, Dr Noor Hisham berkata, satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu:

i) Berat badan yang berlebihan.
ii) Kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
iii) Kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok.
iv) Pengambilan alkohol.

Daripada empat faktor itu, pengambilan tembakau merupakan pencetus kanser utama iaitu menyumbang sebanyak 22 peratus kematian.

“Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit kronik yang lain. Sebagai langkah pencegahan, kementerian sentiasa komited dalam menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Di samping itu, ujar Dr Noor Hisham, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk murid sekolah perempuan di tingkatan satu bagi mencegah kanser serviks dan imunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati.

Pun demikian, ujar beliau, pengesanan awal dan rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

Bagaimanapun, peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (tahap 3 dan 4) meningkat daripada 58.7 peratus pada tahun 2001 hingga tahun 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 hingga tahun 2016.

“Bagi mengelak kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh lebih baik, orang ramai diminta untuk melakukan ujian saringan.

“Selain itu, penting untuk seseorang mengenali tanda dan gejala awal kanser,” katanya.

Orang ramai juga diminta memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma seperti yang ditawarkan oleh KKM.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan saringan kanser juga boleh didapati di fasiliti-fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu, kata Dr Noor Hisham.

Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari tahun ini mengekalkan tema I Am and I Will (Saya Akan dan Saya Boleh) yang mengajak semua individu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal kanser di negara ini.

Haid Normal 7 Hari, Ini 9 Punca Jika Pendarahan Lebih 15 Hari

Haid normal 7 hari, ini 9 punca jika pendarahan lebih 15 hari

KEBIASAANNYA darah haid yang normal adalah lebih kurang 7 hari.

Namun ada wanita yang mengalami pendarahan haid melebihi 15 hari sehingga menyebabkan wajah menjadi pucat dan cepat penat, sehingga rutin seharian terganggu.

Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad dalam perkongsiannya di Facebook mengatakan keadaan ini dinamakan Menorrhagia apabila kedatangan haid yang berpanjangan dan kehilangan darah yang banyak.

Banyak punca berlaku keadaan seperti ini, antaranya;

1. Ketidakseimbangan hormon.

Dalam kitaran haid yang normal, keseimbangan di antara hormon estrogen dan progesteron akan menyebabkan lapisan dalam rahem (endometrium) menjadi tebal, kemudian akan runtuh menjadi darah haid.

Jika ketidakseimbangan hormon berlaku, endometrium berkembang secara berlebihan dan akhirnya menyebabkan pendarahan haid yang banyak.

2. Kegagalan fungsi ovari.

Jika ovari tidak berfungsi dengan baik, ia tidak melepaskan telur dan ovulasi tidak berlaku.

Ini mengakibatkan tubuh gagal menghasilkan hormon progesteron, dan akhirnya membawa kepada ketidakseimbangan hormon dan boleh menyebabkan pendarahan haid yang banyak.

3. Fibroid rahim.

Fibroid rahim boleh menyebabkan pendarahan haid yang lebih banyak dan berpanjangan dari biasa.

4. Polip.

Ia adalah ketumbuhan yang kecil dan tidak berbahaya yang muncul pada permukaan dalam rahem dan boleh menyebabkan pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan.

Polip rahim sering berlaku pada usia wanita 30an akibat penghasilan kadar hormon yang tinggi.

5. Adenomyosis.

Keadaan ini berlaku apabila kelenjar pada lapisan dalam rahem (endometrium) menjadi tertanam di dalam otot rahim, biasanya menyebabkan pendarahan berlebihan dan haid yang menyakitkan.

Adenomyosis sering berlaku pada wanita pertengahan umur yang telah mempunyai anak.

Haid normal 7 hari, ini 9 punca jika pendarahan lebih 15 hari

6. Alat perancang kehamilan dalam rahim (IUD).

Menorrhagia merupakan kesan sampingan apabila seorang wanita menggunakan alat perancang kehamilan IUD yang tidak mempunyai tambahan hormon. Jika IUD
adalah penyebab pendarahan haid yang berlebihan, maka dinasihatkan agar alat ini dikeluarkan.

7. Kanser.

Kanser rahim, kanser ovari dan kanser pangkal rahim juga boleh menyebabkan pendarahan haid yang berlebihan, tetapi jarang berlaku.

8. Penyakit keturunan berkaitan dengan gangguan pembekuan darah.

Penyakit seperti penyakit Von Willebrand, suatu keadaan di mana pembekuan darah sukar berlaku, ia boleh menyebabkan pendarahan haid yang tidak normal.

9. Ubat-ubatan.

Ubat-ubatan tertentu, termasuk ubat-ubatan tahan sakit dan pencair darah boleh menyumbang kepada masalah pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan.

Menurutnya, antara rawatan adalah termasuk ubat-ubatan dan pembedahan.

Alat kontraseptif dalam rahim Levonorgestrel (LNG-IUD) – Mirena iaitu alat kontraseptif yang mengandungi hormon progestogen ini dimasukkan ke dalam rahim oleh pegawai perubatan. Hormon yang dilepaskan boleh membantu menstabilkan lapisan rahim bagi mengurangkan pendarahan haid yang berat.

Selain itu ialah ubat tanpa hormon. Contoh ubat yang boleh digunakan termasuk asid tranexamic dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS).

Ubat-ubat ini tidak mengandungi hormon maka ia tidak akan menjejaskan tahap kesuburan pesakit.

Ubat hormon pula termasuk pil kontrasepsi gabungan yang mengandungi estrogen dan progestogen atau tablet progestogen boleh membetulkan ketidakseimbangan hormon bagi mengurangkan pendarahan haid yang berat.

Ubat-ubat ini juga merupakan kontraseptif yang boleh mencegah kehamilan daripada
berlaku.

Bagi rawatan pembedahan pula termasuk pembedahan membuang rahim (hysterectomy) atau membuang selaput rahim (endometrium).

Prosedur membuang selaput rahim ini dipanggil reseksi endometrium.

Ia merangkumi pembakaran dengan tenaga elektrik atau gelombang mikro.

Mereka yang menjalani pembedahan hysterectomy tidak akan mengalami pendarahan haid lagi, akan tetapi keperluan membuat pembedahan ini perlu diimbang dari segi kosnya yang mahal dan juga kesan sampingan lain.

Reseksi endometrium adalah pilihan yang baik jikalau pesakit tidak mahu menjalani pembedahan histerektomi.

Rawatan reseksi endometrium boleh dibuat di kebanyakan hospital besar di Malaysia.

Jadi, jika korang ada mengalami pendarahan lebih 15 hari, seeloknya terus berjumpa doktor ya!

Semoga bermanfaat!

Sakit Kepala Selepas Bersenam, Petanda Badan Tidak Normal

SEMUA orang mahukan sihat sepanjang hayat, justeru ramai yang mula melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Pastinya, senaman dengan cara yang sederhana mempunyai manfaat kepada tubuh badan.

Namun demikian, bagaimana pula jika seseorang berhadapan masalah yang tidak dijangka dan sakit kepala selepas bersenam?

Mengulas mengenai situasi berkenaan, SinarPlus berkongsi pandangan seorang pegawai perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.

Dr Iskandar Mirza.

Menerusi ciapan Twitternya @DIskandarmirza, sakit kepala selepas bersenam biasanya akan berlaku selepas melakukan senaman berat seperti:

i) Berlari
ii) Bermain tennis
iii) Berkayak
iv) Berenang
v) Mengangkat berat

Secara umumnya, kata Dr Iskandar, doktor akan mengklasifikasikan sakit kepada selepas bersenam kepada dua kategori utama iaitu sakit kepala primer (primary exercise headache) dan sekunder (secondary exercise headache).

“Sakit kepala kategori primer selepas bersenam tidak merbahaya dan tidak berkait dengan masalah kesihatan lain. Rawatannya adalah dengan mengambil ubat tahan sakit sahaja.

“Sebaliknya, sakit kepala kategori sekunder pula disebabkan oleh masalah serius pada otak seperti pendarahan atau tumor. Ia juga boleh dikaitkan dengan masalah luar otak seperti masalah jantung,” terang Dr Iskandar sambil memberitahu, individu dalam kategori itu perlu perhatian serius daripada doktor yang merawatnya.

Memperincikan lebih lanjut mengenai simptom awal sakit kepala kategori primer, Dr Iskandar berkata, lazimnya seseorang akan mengalami sakit kepala yang berdenyut-denyut selepas bersenam dan melibatkan kedua-dua
bahagian kepala.

“Simptom bagi sakit kepada sekunder pula seakan-akan sakit kepala primer tetapi akan disusuli dengan muntah-muntah, hilang tahap kesedaran, penglihatan menjadi kabur dan berbayang dan sakit pada bahagian leher,” tambah Dr Iskandar lagi.

Mengulas mengenai tempoh masa masalah sakit kepala selepas bersenam, kata Dr Iskandar, biasanya ia akan berlanjutan dari 5 minit sehingga 48 jam bagi kategori sakit kepala primer.

“Sakit kepada sekunder pula akan mengambil masa antara satu hari hingga ke beberapa hari dalam tempoh-tempoh tertentu,” katanya.

Menjawab kepada satu soalan lain, Dr Iskandar menjelaskan, punca sakit kepala primer masih tidak diketahui.

Namun demikian, ada teori yang mengaitkannya dengan pengembangan salur darah pada otak selepas melakukan senaman berat.

“Sebaliknya, punca berlakunya sakit kepala sekunder amat jelas sekali.

“Ia berlaku kerana terdapatnya pendarahan pada otak, salur darah tidak normal pada otak, masalah kanser (benign atau malignant), pengaliran cecair serebrospinal tersekat, jangkitan kuman pada bahagian sinus dan struktur tidak normal pada leher, kepala atau tulang belakang,” ungkapnya panjang lebar.

Oleh itu, bagi mengelak risiko itu, Dr Iskandar menyarankan agar kita tidak bersenam ketika cuaca panas melampau dan tidak melibatkan kawasan yang tinggi seperti bukit atau gunung.

“Paling penting, lakukan aktiviti panaskan badan (warm-up) terlebih dahulu sebelum melakukan senaman berat kerana ia dapat mengelakkan masalah sakit kepala selepas bersenam,” pesan Dr Iskandar.

Jadi, jika sudah terbukti mempunyai simptom-simptom sakit kepala selepas bersenam terutamanya kategori sekunder, segeralah berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh.

Ingat, rawat sebelum parah! Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

Foto: Twitter @DIskandarmirza

Sosej Telur Hancur Mudah, Penuhi Selera Anak-Anak

Sosej telur hancur mudah, penuhi selera anak-anak

JIKA sebut sosej dan daging burger, anak-anaklah yang paling teruja.

Biasanya menu lauk harian seperti ayam, daging, ikan, sotong, udang dan sebagainya.

Apa kata kali ini kita ubah sedikit membuat menu mudah hanya menggunakan telur dan sosej.

Selain boleh dimakan bersama roti, ia juga boleh dijadikan lauk untuk dinikmati bersama nasi putih.

Ia hanya menggunakan bahan yang mudah didapati, cara membuatnya juga cukup senang.

Menu ini sangat sesuai dengan mama moden yang sibuk sepanjang hari.

Jimat masa mama dan anak-anak pun pasti sangat berselera.

Sosej telur hancur mudah, penuhi selera anak-anak

Bahan-bahan:

  • Minyak masak (sedikit)
  • Mentega
  • Sosej
  • Bawang merah (hiris)
  • Cili padi
  • Telur
  • Sos cili

Cara-cara membuat;

1. Masukkan minyak masak, mentega, hirisan bawang merah, cili padi, telur (pecahkan duluan ya), tumis sehingga nampak kekuningan dan akhir masukkan sosej dan sos cili.

2. Jangan lupa tambahkan serbuk perasa dan garam.

Sumber : Yatie Owner

Sosej telur hancur mudah, penuhi selera anak-anak

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile Untuk Pesakit Kanser Dan Penyakit Metabolik

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik

KAJIAN tentang peranan pemakanan dan kanser amat luas. Ilmu pengetahuan berkaitan dengannya semakin bertambah hari demi hari dengan penyelidikan yang terus memainkan peranan penting dalam pemakanan berkaitan kanser.

Menurut TK Farmas Solution & Industries, American Institute for Cancer Research dan World Cancer Research Fund menganggarkan bahawa 30 sehingga 40 peratus daripada semua jenis kanser boleh dicegah melalui diet seimbang, aktiviti fizikal, dan pemantauan berat badan yang ideal.

Jelasnya, kesan diet terhadap risiko kanser telah diperolehi dari kajian ke atas kaitan antara corak pemakanan dan kadar kanser di populasi yang berlainan di seluruh dunia.

“Ia telah dicatatkan sejak tahun 1970-an lagi di mana negara-negara maju di Barat seperti Amerika dan Eropah mempunyai diet yang tinggi dengan produk haiwan, lemak dan gula, telah menyumbang kepada kadar kanser yang tinggi terutamanya kanser kolorektum, payudara dan prostat.

“Sebaliknya negara membangun pula biasanya mempunyai diet berdasarkan satu atau dua makanan ruji berkhasiat, pengambilan makanan dari sumber haiwan yang rendah, serta kurang lemak dan gula.

“Ini menghasilkan kadar kanser yang rendah berbanding negara maju berdasarkan kajian TJ Key dan rakan dari Unit Epidemiologi Penyelidikan Kanser UK, University of Oxford, Oxford, UK yang menemui kadar kanser negara membangun adalah 20% lebih rendah berbanding negara maju,” kata  TK Farmas Solution & Industries.

Secara umumnya, tidak kira jenis kanser, atau kecenderungan genetik, diet seimbang, ditambah dengan senaman yang teratur adalah amat penting untuk pencegahan dan rawatan kanser.

Pengambilan nutrisi berkhasiat dapat mengurangkan risiko kanser dan juga penting bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.

Sesetengah pesakit bimbang bahawa antioksidan seperti Vitamin C, E dan beta-karoten mungkin mengurangkan keupayaan membunuh tumor ketika menjalani rawatan kimoterapi dan radiasi. Ini sebenarnya tidak berlaku.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Antioksidan meneutralkan radikal bebas.

Berdasarkan kajian oleh Pengarah Pusat Kerjasama WHO dalam Perubahan Global, Alam Sekitar dan Kesihatan Awam yang diterbitkan American Journal of Clinical Nutrition, dalam kedua-dua kajian manusia dan haiwan, antioksidan meningkatkan keberkesanan kimoterapi serta radiasi untuk membunuh tumor sambil melindungi tisu badan dari kerosakan.

Menurut kajian tersebut, antioksidan amat bermanfaat kepada kimoterapi dan radiasi. Walaupun kedua-dua rawatan dapat mengurangkan tumor, ia juga boleh menjejaskan tisu-tisu normal seperti jantung, buah pinggang, lapisan usus dan sumsum tulang.

Mujurlah, antioksidan seperti vitamin dapat melindungi tisu normal dari kerosakan tersebut.

Baca juga Sakit kepala selepas bersenam, petanda badan tidak normal

Sebagai contoh, kajian ke atas haiwan oleh Wang dan rakan di dalam jurnal Cancer Research menunjukkan bahawa Vitamin E melindungi hati terhadap kesan rawatan kimoterapi doxorubicin sambil meningkatkan keupayaan ubat untuk meneruskan kesannya ke atas kanser.

Berdasarkan kajian tersebut, Vitamin E juga mempunyai aktiviti anti-kanser yang unik. Seterusnya kajian oleh Shklar dan rakan dari Universiti Harvard pada tikus yang mempunyai kanser hati, Vitamin C dan K meningkatkan keberkesanan membunuh sel kanser sambil mengurangkan kerosakan organ dari enam jenis rawatan kimoterapi yang berbeza.

Menurut kajian Taper dan rakan di dalam International Journal of Cancer pula, Vitamin A (isotretinoin) meningkatkan keupayaan membunuh tumor bagi rawatan kimoterapi vincristine dan daunorubicin dalam 24 pesakit dengan leukemia limfoblastik akut.

Dalam kajian klinikal Pieters dan rakan dari Jabatan Sains Farmaseutikal, Universiti Antwerp, Belgium terhadap haiwan, suntikan Vitamin C sebelum radioterapi memberikan perlindungan kepada badan haiwan tanpa menjejaskan pembunuhan tumor, justeru menunjukkan bahawa Vitamin C diberikan sebelum radioterapi dapat membantu pesakit bertolak ansur dengan rawatan.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Biji aprikot liar kaya dengan vitamin B17.

Namun masih ramai yang tidak mengetahui akan kebolehan Vitamin B17. Vitamin B17 atau dikenali sebagai Laetrile merupakan salah satu bahan aktif utama di dalam biji aprikot liar organik. Vitamin B17 Laetrile telah dilaporkan mempunyai sifat antioxidatif, antibakteria, anti-radang, dan imunoregulatori.

Ini telah dibuktikan secara saintifik oleh Minaiyan dan rakan dari Jabatan Farmakologi, Pusat Penyelidikan Fakulti Farmasi dan Sains Farmaseutikal, Universiti Sains Perubatan Isfahan, Iran, di mana biji aprikot liar mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk menghapuskan radikal bebas serta melindungi membran lipid sel daripada teroksidasi.

Selain itu, biji aprikot liar juga kaya dengan sebatian polifenol yang berfungsi untuk melawan keradangan atau anti-radang.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Bagaimana B17 bertindak terhadap sel kanser.

Menurut kajian di dalam Research in Pharmaceutical Sciences, vitamin B17 Laetrile mampu melindungi lapisan mukosa usus daripada kecederaan kimia dan enzim proteolitik sekaligus melindungi kesihatan usus pesakit kanser ketika menjalani rawatan.

Malahan, hasil kajian Zheng dan rakan pada 2019 ini juga menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu mengurangkan tahap sel-sel imunosupresif atau faktor berkaitan keradangan untuk memusnahkan permukaan tumor, menghalang tumor dari merebak dan merencatkan pertumbuhan tumor.

Vitamin B17 Laetrile yang mempunyai kebolehan anti-radang ini juga sangat penting terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit seperti ekzema, psoriasis, alahan dan asma kerana ianya mampu mengurangkan keradangan dan iritasi pada kulit dan paru-paru.

Tambahan lagi, banyak kajian berkaitan vitamin B17 Laetrile telah dijalankan menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu meningkatkan sistem imunisasi badan.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Kelebihan Polifenol.

Kajian yang dijalankan Baroni dan rakan dari Universiti Campania “Luigi Vanvitelli”, Naples, Itali mendapati vitamin B17 Laetrile dapat meningkatkan fungsi imun dengan cara meningkatkan penghasilan T-limfosit dan mengurangkan penghasilan protein yang terlibat dalam pembesaran tumor.

T-limfosit merupakan sejenis sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem imun badan. T-limfosit dihasilkan di tulang sum-sum dan melindungi badan daripada jangkitan dan dikatakan mampu melawan sel kanser.

Penggunaan vitamin B17 Laetrile telah lama diamalkan oleh pesakit kanser sebagai pelengkap kepada rawatan mereka disamping menjalani rawatan konvensional seperti kimoterapi dan radioterapi. Kebolehan vitamin B17 Laetrile untuk melawan kanser juga telah dibuktikan melalui banyak kajian di seluruh dunia.

Kajian dilakukan oleh Makarevic dan rakan (2014) dari Jabatan Urologi, Hospital Universiti Goethe, Frankfurt am Main, Jerman membuktikan vitamin B17 Laetrile mampu mengurangkan pertumbuhan dan pembiakan sel kanser pundi kencing.

Selain itu, kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Immunopharmacology and Immunotoxicology oleh Y. Chen dan rakan dari Jabatan Patogenobiologi, Bethune College of Medicine, Universiti Jilin, China pada 2013 juga menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu membunuh sel-sel tidak normal yang boleh menyebabkan penyakit kanser, cyst, fibroid serta tumor sekaligus mampu menggalakkan perkembangan sel sihat.

Malahan kajian terbaru mengenai kelebihan vitamin B17 Laetrile bukan sahaja mampu membunuh sel kanser, tetapi juga mampu merencatkan pertumbuhan endometriosis.

Ini dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh Hu dan rakan (2019) di Hospital Wilayah HuBei, China. Endometriosis adalah penyakit yang seringkali menyakitkan di mana tisu yang serupa dengan tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim, iaitu endometrium tumbuh di luar rahim. Endometriosis paling kerap melibatkan ovari, tiub fallopio dan tisu yang melapisi pelvis.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik

Berdasarkan ini, Dr. Ismail Lasa, Pakar Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan berpendapat Vitamin B17 Laetrile ini mampu membantu menggalakkan perkembangan sel sihat di dalam tubuh badan sekaligus mampu mengurangkan risiko penyakit kanser dan penyakit metabolik selain dapat meningkatkan kecergasan seseorang khususnya bagi mereka yang sedang menjalani rawatan terapi.

Bagaimanapun, Dr. Ismail Lasa juga tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikhuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantarannya ke Malaysia.

Ini amat berisiko kepada kesihatan badan apabila boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan seperti cirit-birit, muntah, sakit kepala, demam dan sebagainya.

Menurut pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM yang juga Pengasas Farmas Health, Profesor Dr. Syed Zainal Husin Wafa, lambakan produk berasaskan biji aprikot di pasaran kini cukup merisaukan kerana kebanyakan produk tersebut menggunakan biji aprikot yang tidak berkualiti dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Justeru itu, bagi mendapatkan keberkesanan vitamin B17 Laetrile terhadap pemulihan kanser dan penyakit metabolik yang lain perlu dipastikan bahawa vitamin B17 Laetrile adalah dari biji aprikot liar yang organik serta perlu mengambilnya dengan dos yang mencukupi.

Oleh sebab itu, beliau menasihati pengguna agar memilih produk berasaskan biji aprikot ini dengan berhati-hati. Produk tersebut perlulah diproses mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi, melalui penyediaan klinikal, mempunyai status HALAL dan paling penting adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia.