Pengambilan Garam Berlebihan Beri Impak Sangat Buruk Pada Kesihatan, Hati-Hati!

GARAM merupakan sebatian bukan organik yang mengandungi mineral penting yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam jumlah yang kecil.

Ia turut dikenali sebagai natrium klorida dengan menggunakan simbol NaCl.

Menurut pakar pemakanan, Adibah Zakaria, natrium pula adalah mineral yang terkandung dalam garam.

Tulisnya di Facebook, sebenarnya, natrium dijumpai dalam kebanyakan makanan.

“Satu sudu teh garam bersamaan dengan 5 gram (g) garam membekalkan sebanyak 2000 miligram (mg) atau 88 milimol seliter sodium.

“Selain dalam bentuk natrium klorida, natrium juga hadir dalam bentuk monosodium glutamate, sodium nitrate dan sodium benzoate,” beritahu beliau.

Walaupun garam adalah penting untuk metabolisme tubuh, pengambilan garam yang berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.

Persatuan Kesihatan Dunia melaporkan, seramai 1.13 bilion orang seluruh dunia menghidap penyakit hipertensi.

Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan keadaan kesihatan yang bahaya dan menjadi faktor utama kematian utama seluruh dunia.

Lazimnya, beritahu Adibah, natrium dijumpai secara semula jadi dalam pelbagai jenis makanan seperti susu, daging dan makanan laut.

“Ia juga terdapat dalam makanan terproses seperti roti, biskut, daging terproses dan makanan ringan (jajan).

“Dalam pencicah atau perasa (condiments) juga mengandungi kandungan natrium yang tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, diet yang mengandungi banyak makanan terproses dan kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan segar juga mengandungi kandungan natrium yang tinggi.

Dalam pada itu, pada tahun 2012, tinjauan terhadap petugas kesihatan di Malaysia mendapati pengambilan garam sehingga 8.7g setiap hari, melebihi 1.75 kali lebih banyak daripada saranan pengambilan 5g setiap hari. Bahaya!

Tinjauan berkenaan juga menunjukkan banyak garam tersembunyi dalam perasa seperti sos dan kicap (termasuk kicap, sos tiram, stok ayam, perasa, sambal dan pes) yang menyumbang kepada 60 peratus garam dan makanan terproses menyumbang sehingga 37 peratus.

Selain itu, menurut kajian MySalt (2019), secara amnya seramai 79 peratus orang Malaysia yang mengambil lebih dari 2000 mg natrium atau 1 sudu teh garam setiap hari.

Oleh itu, berikut saranan pengambilan garam menurut Unit Pemakanan Daerah Hulu Langat Selangor:

i) Pastikan pengambilan garam kanak-kanak dan bayi lebih rendah berbanding orang dewasa.

Ia adalah kerana buah pinggang mereka masih tidak matang untuk memproses jumlah garam yang berlebihan.

Sekiranya seseorang bayi menyusu susu ibu, bayi tersebut akan mendapat jumlah garam yang mencukupi dari susu ibu sahaja.

“Pada masa sama, tidak digalakkan menambah garam pada makanan bayi dan memberi makanan yang bukan dikhaskan untuk bayi kerana kebiasaannya mengandungi kandungan garam yang tinggi,” tambahnya.

ii) Gantikan garam dengan perasa semula jadi seperti rempah ratus dalam masakan.

iii) Elak makanan segera yang tinggi kandungan natrium seperti kentang goreng, nugget, burger, pizza, mi segera, sup segera dan keropok lekor.

iv) Kurangkan makan di luar.

Ia kerana makanan di luar selalunya mengandungi garam yang lebih tinggi dari masakan di rumah.

v) Kawal pengambilan makanan jeruk atau asin.

Perasa seperti sambal, sos, cencaluk dan budu juga harus diambil secara sederhana.

Pengambilan makanan terproses juga perlu dikurangkan lebih baik makan makanan yang dibuat sendiri di rumah.

Pilih sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar berbanding yang dijeruk.

“Ingat, tidak perlu menambah serbuk asam atau kicap semasa mengambil buah-buahan,” pesannya.

Pun demikian, jika mengambil makanan dalam tin, lebih baik ditoskan terlebih dahulu air garam dalam tin berkenaan.

Jika mengambil makanan kering seperti ikan bilis, ikan masin atau udang kering pula, makanan tersebut boleh direndam terlebih dahulu untuk mengurangkan kandungan garam sebelum dimasukkan ke dalam masakan.

“Paling penting, selalu amalkan memilih produk makanan yang ada label kurang garam atau tiada garam.

“Oleh itu, tidak susah pun, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Senang kan,” kata Adibah.

Speak Your Mind

*