BERSAMA
Pegawai Perubatan,
Klinik Ajwa Shah Alam,
Dr Arisman Wenge Abdul Rahman
SOALAN 1
DOKTOR, apakah diet yang paling sesuai untuk pesakit yang berhadapan masalah keradangan salur darah atau vaskulitis? Ia kerana salah seorang daripada keluarga saya baru sahaja didiagnos mempunyai penyakit itu, mohon penjelasan daripada doktor.
– INGIN TAHU, ROHAINA MD RASHID, 41, Bukit Kayu Hitam, Kedah.
JAWAPAN:
Pertama sekali, nasihat saya, puan perlu membuat rundingan dengan pakar diet terlebih dulu bagi mendapatkan cadangan mereka.
Namun demikian, pesakit disarankan agar memilih diet yang mengandungi banyak kandungan antiradang dan mengelak mengambil makanan yang menyumbang kepada keradangan.
Puan, berikut saya senaraikan makanan-makanan antiradang bagi memudahkan urusan pemilihan makanan dilakukan untuk pesakit vaskulitis:
1. Buah-buahan dan sayur-sayuran
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa sayur-sayuran berdaun kaya dengan vitamin K seperti bayam dan kangkung yang boleh mengurangkan keradangan. Begitu juga dengan sayur brokoli dan buah-buahan seperti ceri dan rasberi.
2. Biji-bijian
Oatmeal, beras merah, roti gandum dan biji-bijian lain yang tinggi serat turut dapat membantu.
3. Kekacang
Kekacang memiliki serat yang tinggi ditambah dengan sifat antioksidannya.
4. Ikan
Salmon, tuna, dan sardin semuanya mempunyai banyak asid lemak omega-3 yang boleh melawan keradangan.
5. Herba dan rempah
Kunyit yang terdapat dalam serbuk kari mengandungi curcumin yang bertindak sebagai antioksidan baik. Begitu juga dengan bawang putih yang mengekang kemampuan tubuh badan untuk membuat sesuatu yang meningkatkan keradangan.
Berkisar mengenai diet yang harus dielakkan oleh pesakit vaskulitis pula, pastikan mereka mengelak makan makanan yang mempunyai karbohidrat halus seperti roti putih dan pastri serta makanan bergoreng seperti kentang goreng.
Selain itu, mereka juga perlu mengelak mengambil marjerin, minuman bersoda (minuman manis) dan daging merah seperti burger, stik dan daging yang diproses, contohnya sosej.
Sekiranya pesakit mempunyai masalah kurang selera makan atau penurunan berat badan yang tidak dirancang, cuba makan setiap dua jam walaupun hanya beberapa suapan dengan memberi fokus kepada makanan berkalori tinggi dan mempunyai protein tinggi.
Pada masa sama, pesakit vaskulitis juga disarankan memilih minuman dengan kalori seperti susu, jus, minuman isotonik atau smoothie.
Paling penting, ambil minuman di antara waktu makan, bukannya semasa makan.
Hindari juga makanan berlemak, berminyak, makanan pedas atau makanan yang sangat manis.
Sekiranya pesakit diberitahu bahawa sel darah putih sangat rendah dan berisiko tinggi mendapat jangkitan, pastikan mereka mengelak makan daging mentah, ikan mentah termasuk sushi, telur mentah atau susu yang tidak dipasteur.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada data yang mampu membuktikan kesan pemakanan terhadap mekanisme dalam kes vaskulitis itu sendiri.
‘Belum ada data jelas terapi alternatif vaskulitis sehingga kini‘
SOALAN 2:
Doktor, saya ingin bertanya, adakah terdapat beberapa pendekatan lain yang boleh dilakukan pesakit vaskulitis agar penyakit itu tidak berulang dan tanpa perlu mengambil ubat secara berterusan?
-INSAN BUNTU, ILHAM MUNIR HADZRI, 29, Kuala Terengganu, Terengganu.
Jawapan:
Tuan, sebenarnya sangat sukar untuk doktor menjawab pertanyaan tersebut kerana terdapat banyak jenis vaskulitis dan perbezaan dari segi rawatan dan prognosisnya.
Ada jenis yang ringan dan ada juga yang dikategorikan sebagai kes berat sehingga timbul komplikasi terhadap organ lain yang mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat atau boleh mengancam nyawa.
Pada pendapat saya, jika ingin tahu mengenai terapi alternatif selain bergantung dengan ubat semata-mata, jawapanya adalah tidak ada data yang jelas mengenai terapi alternatif untuk vaskulitis sehingga kini.
Tuan, pencetus kes vaskulitis berulang atau relapse adalah masih tidak diketahui dengan jelas. Walaupun sudah banyak persoalan telah diajukan mengenai faktor-faktor seperti jangkitan kuman baharu dan tekanan, namun tidak ada hubungan yang pasti di antara faktor itu atau pencetus lain yang mungkin terkait dengan serangan vaskulitis yang berulang-ulang.
Konsep lebih jelas untuk mendapatkan kesembuhan bagi mengelakkan komplikasi dan penyakit itu berulang dengan kerap adalah dengan mendapatkan rawatan awal.
Sebagai contoh, kes kerosakan saraf atau nerve damage. Kajian menunjukkan semakin awal vaskulitis dikenal pasti dan dirawat, semakin besar kemungkinan pemulihan daripada kerosakan saraf.
Speak Your Mind