Rekomendasi 5 Basikal Elektrik Terbaik, Trend Terbaharu Gaya Hidup Sihat Masyarakat Dunia

BASIKAL ELEKTRIK

TREND berbasikal kini menjadi semakin popular bukan sahaja di Malaysia, tetapi hampir seantero dunia.

Untuk itu, kita dapat melihat variasi reka bentuk dan warna yang dibuat bukan sahaja khusus untuk orang dewasa, malah untuk kanak-kanak juga.

Jadi, tidak hairanlah wujudnya geng berbasikal di merata-rata tempat. Ada yang memilih untuk menjalani aktiviti di atas jalan raya, tidak kurang pula yang memilih lokasi yang lebih mencabar seperti dalam hutan.

Demi amalan gaya hidup sihat dan aktif, ramai yang sanggup melabur beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan sebuah basikal yang harganya lebih mahal berbanding sebuah motosikal atau kereta. Malah, ada yang membuat pinjaman bank.

basikal elektrik

Melihat kepada situasi berkenaan, beberapa jenama kenderaan terkemuka nampaknya mengikut kecenderungan selera penduduk dunia.

Mereka bukan sahaja mencipta basikal yang mempunyai spesifikasi canggih dan menyokong kelestarian alam, malah melancarkan basikal elektrik.

basikal elektrik

Kerancakan perlumbaan jenama-jenama itu telah menarik perhatian penggemarnya dan dunia automatif kini semakin berwarna-warni. Sehubungan itu, pada minggu ini Turbo berkongsi lima jenama basikal elektrik yang mungkin ada boleh miliki.

BMW Active Hybrid e-Bike

  • Harga: RM15,031.36
  • Buatan: Jerman
  • Keluaran: BMW

Model basikal elektrik versi terbaharu yang didatangkan dengan kapasiti bateri 600 watt yang lebih besar berbanding model sedia ada, bahkan fitur baharu itu ditambah baik dengan ciri canggih termasuk rekaan lebih moden.

basikal elektrik

Desain yang lebih stailo dengan pek bateri disimpan di bingkai aluminium hidroform, selain dilengkap dengan brek cakera hidraulik di bahagian depan dan belakang.

Tempat duduknya bukan sahaja selesa untuk ditunggang, malah direka khas dengan lebih ergonomik.

E-Traverse

  • Harga: RM5,656.66 hingga RM10,905.31
  • Buatan: Jepun
  • Keluaran: Fuji Bikes

Antara model dengan kualiti premium yang sudah melakar sejarahnya sendiri sejak tahun 1899. Jenama itu juga cukup gah dalam setiap trek perlumbaan berbasikal dunia.

basikal elektrik

E-Traverse juga menjadi salah satu fitur basikal elektrik dwisukan yang boleh melalui jalan tidak berturap dan cemerlang memacu di kawasan bandar dengan sistem bantuan pedal bermotor yang mampu memecut sehingga 125 kilometer (km).

Lengkap dengan brek cakera hidraulik dan kapasiti bateri 250 watt, pemanduan cemerlang dengan model itu memang tidak dinafikan cukup memberikan kelainan dengan bingkai aluminium cukup ringan.

IO

  • Harga: RM3,297.72
  • Buatan: Indonesia
  • Keluaran: United Bike

Basikal boleh lipat tersebut lebih ringan dan mudah dibawa ke mana-mana. Salah satu koleksi e-Series yang lengkap dengan enjin 250 watt dan mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 35km perjam sekali cas.

basikal elektrik

Rangka dengan kualiti magnesium yang nampak lebih moden dan tahan lasak telah membuatkan basikal elektrik tersebut menjadi pilihan ramai, bahkan ada kelebihan pada brek cakeranya.

Verve+ 2

  • Harga: RM2,222.23
  • Buatan: Amerika Syarikat
  • Keluaran: Trek Bicycle

Model terbaharu tahun 2021 ini memang menarik. Antara basikal hibrid elektrik yang cukup praktikal dengan sistem bantuan pedal Bosch yang mampu memecut kelajuan sehingga 32 km/perjam, selain ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Harga pun tidak terlalu mahal.

basikal elektrik

Selain memiliki reka bentuk yang fleksibel, tayarnya lebih lebar demi kestabilan penunggang.

Terdapat kemudahan lampu pada bahagian depan dan belakang dan model dengan kapasiti bateri 250 watt itu sesuai untuk kawasan berbukit.

Star Hopper Hybrid

  • Harga: RM2,099
  • Buatan: Malaysia
  • Keluaran: Star Wheels Electronic

Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Difahamkan, basikal hibrid itu antara pilihan paling laris dalam negara sehingga dikatakan sering kehabisan stok. Ia hanya seberat 15 kilogram.

basikal elektrik

Ia dilengkapi brek cakera di bahagian depan dan belakang, selain paparan skrin LED.

Ada dua pilihan yang ditawarkan iaitu mod elektrik yang mampu bergerak sejauh 40km, manakala mod hibrid pula sejauh 70km.

Apa yang lebih menarik, tahap kelajuan basikal elektrik berkenaan boleh dipertingkatkan secara automatik ketika berada kawasan berbukit. Kapasiti penunggang pula sehingga 100 kilogram.