SEMUA orang mahukan sihat sepanjang hayat, justeru ramai yang mula melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Pastinya, senaman dengan cara yang sederhana mempunyai manfaat kepada tubuh badan.
Namun demikian, bagaimana pula jika seseorang berhadapan masalah yang tidak dijangka dan sakit kepala selepas bersenam?
Mengulas mengenai situasi berkenaan, SinarPlus berkongsi pandangan seorang pegawai perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.
Menerusi ciapan Twitternya @DIskandarmirza, sakit kepala selepas bersenam biasanya akan berlaku selepas melakukan senaman berat seperti:
i) Berlari
ii) Bermain tennis
iii) Berkayak
iv) Berenang
v) Mengangkat berat
Secara umumnya, kata Dr Iskandar, doktor akan mengklasifikasikan sakit kepada selepas bersenam kepada dua kategori utama iaitu sakit kepala primer (primary exercise headache) dan sekunder (secondary exercise headache).
“Sakit kepala kategori primer selepas bersenam tidak merbahaya dan tidak berkait dengan masalah kesihatan lain. Rawatannya adalah dengan mengambil ubat tahan sakit sahaja.
“Sebaliknya, sakit kepala kategori sekunder pula disebabkan oleh masalah serius pada otak seperti pendarahan atau tumor. Ia juga boleh dikaitkan dengan masalah luar otak seperti masalah jantung,” terang Dr Iskandar sambil memberitahu, individu dalam kategori itu perlu perhatian serius daripada doktor yang merawatnya.
Memperincikan lebih lanjut mengenai simptom awal sakit kepala kategori primer, Dr Iskandar berkata, lazimnya seseorang akan mengalami sakit kepala yang berdenyut-denyut selepas bersenam dan melibatkan kedua-dua
bahagian kepala.
“Simptom bagi sakit kepada sekunder pula seakan-akan sakit kepala primer tetapi akan disusuli dengan muntah-muntah, hilang tahap kesedaran, penglihatan menjadi kabur dan berbayang dan sakit pada bahagian leher,” tambah Dr Iskandar lagi.
Mengulas mengenai tempoh masa masalah sakit kepala selepas bersenam, kata Dr Iskandar, biasanya ia akan berlanjutan dari 5 minit sehingga 48 jam bagi kategori sakit kepala primer.
“Sakit kepada sekunder pula akan mengambil masa antara satu hari hingga ke beberapa hari dalam tempoh-tempoh tertentu,” katanya.
Menjawab kepada satu soalan lain, Dr Iskandar menjelaskan, punca sakit kepala primer masih tidak diketahui.
Namun demikian, ada teori yang mengaitkannya dengan pengembangan salur darah pada otak selepas melakukan senaman berat.
“Sebaliknya, punca berlakunya sakit kepala sekunder amat jelas sekali.
“Ia berlaku kerana terdapatnya pendarahan pada otak, salur darah tidak normal pada otak, masalah kanser (benign atau malignant), pengaliran cecair serebrospinal tersekat, jangkitan kuman pada bahagian sinus dan struktur tidak normal pada leher, kepala atau tulang belakang,” ungkapnya panjang lebar.
Oleh itu, bagi mengelak risiko itu, Dr Iskandar menyarankan agar kita tidak bersenam ketika cuaca panas melampau dan tidak melibatkan kawasan yang tinggi seperti bukit atau gunung.
“Paling penting, lakukan aktiviti panaskan badan (warm-up) terlebih dahulu sebelum melakukan senaman berat kerana ia dapat mengelakkan masalah sakit kepala selepas bersenam,” pesan Dr Iskandar.
Jadi, jika sudah terbukti mempunyai simptom-simptom sakit kepala selepas bersenam terutamanya kategori sekunder, segeralah berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh.
Ingat, rawat sebelum parah! Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.
Foto: Twitter @DIskandarmirza