Tabiat Kepit Pin Tudung Pada Bibir Boleh Undang Maut. Ini Reaksi Pakar

KEBANYAKAN wanita biasanya sangat gemar mengepit pin pada bibir semasa memakai tudung. Betul atau tidak? Jawapannya, mesti ya kerana ia bagaikan satu habit bukan?

Masakan tidak, pin tudung boleh diibaratkan seperti sahabat baik wanita terutamanya mereka yang berhijab.

Penulis turut mengakui kadangkala tidakan itu berlaku secara spontan sahaja.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap perbuatan tersebut normal dan memudahkan cara tetapi, adakah anda tahu ia sebenarnya sangat bahaya jika pin atau kerongsang itu termasuk ke dalam rongga mulut secara tidak sengaja?

Jangan pandang mudah ya. Buktinya tahun lalu, seorang wanita terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital bagi mengeluarkan sebatang pin dari paru-paru kirinya melalui prosedur rigid bronchoscopy.

Perkara berkenaan turut mendapat perhatian Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang melalui ciapan Twitternya baru-baru ini.

Dr Ahmad Samhan.

Katanya, kaum Hawa janganlah memandang enteng dengan situasi itu. Tabiat kepit pin tudung pada bibir boleh bawa maut, katanya.

Mengakui kes tertelan pin tudung sudah banyak kali terjadi, Dr
Ahmad Samhan menjelaskan bagaimana keadaan itu boleh terjadi.

Bagaimana si pemakai boleh tertelan pin tudung tersebut?

“Sebenarnya, ia terjadi diluar kawalan. Lazimnya akan berlaku akibat terbatuk, terbersin, semasa menarik nafas atau terlucut dari bibir.

“Pin tudung ini sama ada akan masuk ke salur makanan (esofogus) seterusnya ke perut atau masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke paru-paru,” jelas Dr Ahmad Samhan.

Mengulas lanjut, katanya, jika masuk ke dalam salur makanan, berkemungkinan pin tersebut akan keluar bersama najis jika ia tidak tersekat.

Sebaliknya, jika masuk ke salur pernafasan, ia akan tersekat pada paru-paru dan boleh mengakibatkan pendarahan yang serius atau pneumomediastinum seterusnya boleh membawa maut. Takutnya!

Memperincikan mengenai rawatan, Dr Ahmad Samhan mengutarakan, kes sebegitu akan dirawat menggunakan kaedah rigid bronchoscopy iaitu dengan memasukkan kamera ke dalam saluran pernafasan sebelum menarik keluar objek berkenaan.

“Jika tidak berjaya, pesakit tidak mempunyai pilihan lain selain menjalani pembedahan yang mana dada terpaksa dibelah untuk keluarkan objek berkenaan,” tambah beliau.

Jadi, bagi mengelak kejadian tersebut berlaku, berikut saranan yang diusulkan oleh Dr Ahmad Samhan:

i) Cucuk pin pada lengan baju atau atas tudung.
ii) Pakai tudung instant (segera).
iii) Gunakan pin jenis magnet atau kepit.
iv) Elak membuat urusan lain ketika melaram.

Sehubungan itu, beliau menasihati para hijabis agar meninggalkan tabiat tersebut serta-merta kerana ia sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa. Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan peringatan kepada anda.