MOHD Jazli Jasmin, 39, tidak menyangka, batuk yang berlarutan hingga beberapa bulan lamanya merupakan petanda beliau menghidap kanser paru-paru tahap 3.
Kata bapa kepada dua orang anak itu, ujian itu amat berat baginya kerana beliau sudah hampir beberapa tahun meninggalkan tabiat merokok.
“Pada awalnya, saya fikir batuk yang agak lama itu hanyalah batuk biasa sahaja. Namun demikian, selepas dipujuk oleh isteri, saya membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” ujarnya yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di Pasir Gudang, Johor itu.
Selepas pemeriksaan dilakukan, Mohd Jazli mengakui sangat terkejut dan sukar menerima hakikat bahawa dirinya didiagnos sebagai seorang penghidap kanser paru-paru pada tahun 2019.
Mohd Jazli memberitahu SinarPlus, beliau mengakui pengetahuannya tentang penyakit berisiko itu memang agak kurang.
Lagipun, keputusannya meninggalkan tabiat merokok itu pun selepas pemergian arwah abangnya yang menderita kanser mulut kira-kira sembilan tahun lalu.
Setelah ‘diaudit’ kembali, lelaki itu berkata, punca dirinya mengalami kanser berkenaan berkemungkinan besar atas faktor asap rokok selain faktor genetik.
“Meskipun saya sudah lama tidak merokok, saya masih terdedah dengan asap rokok terutamanya ketika bersama rakan sekerja lain.
“Saya terima ketentuan takdir ALLAH. Mohon doakan agar saya dapat bertahan dan cepat sembuh daripada kanser ini dan boleh kembali bekerja seperti sediakala.
“Saya juga kini sedang mengikuti jadual rawatan yang telah ditetapkan oleh pihak hospital dan keadaan saya masih baik-baik lagi,” ujarnya pada akhir perbualan.
Speak Your Mind