PADA tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun di Filipina mengejutkan ibunya apabila meniru aksi seperti membunuh diri selepas si kecil itu menonton satu video menerusi laman Tik Tok.
The Northern Mindanao Times melaporkan, menerusi rakaman itu, si cilik berkenaan dilihat bersembunyi di sebalik langsir di dalam bilik rumahnya dan mengikat leher dengan menggunakan tali lalu melompat-lompat.
“Tindak tanduk itu umpama perlakuan seseorang membunuh diri. Mujur tindakan itu disedari ibunya dan segera dihentikan. Setelah siasatan dilakukan, kanak-kanak tersebut mengakui tindakan itu meniru satu video melalui laman TikTok,“ lapor akhbar berkenaan.
Berbanding dengan aplikasi media sosial lain, Tik Tok menjadi medium terkini yang sangat diminati generasi muda disebabkan ciri-cirinya yang lebih istimewa, trendy dan menyeronokkan.
Boleh dimuat turun secara percuma, pengguna boleh melakukan pelbagai bentuk gerakan mulut, tarian atau lakonan ringkas menggunakan latar belakang bunyi atau nyanyian kegemaran mereka.
Menurut sensortower.com, aplikasi TikTok berada di tangga kelima yang banyak dimuat turun selain berada di carta pertama di App Store dan kedudukan ke-9 di Google Play Store (2018). Di Malaysia pula, aplikasi TikTok berada di kedudukan ke-22 sama dengan hampir 4 juta pengguna.
Aplikasi berkenaan yang diasaskan oleh Zhang Yiming dari China sebenarnya mempunyai banyak kelebihan jika digunakan dengan sebaiknya.
Sebagai contoh, trend terkini menyaksikan Tik Tok dijadikan medium untuk berdakwah, mengajar resipi mahupun menyalurkan ilmu pengetahuan.
Persoalannya, adakah platform berkenaan memberi implikasi tidak elok pada kanak-kanak sehingga boleh mengancam keselamatan golongan itu?
Tetapkan had masa
Bagi merungkai persoalan itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Psikiatri dan Timbalan Dekan (Klinikal), International Medical School, Management and Science University (MSU), Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi.
Ujar Dr Muhammad Najib, tidak salah menjadikan TikTok sebagai alternatif untuk berseronok. Pun demikian, tempoh penggunaan dan kandungan yang ditonton oleh kanak-kanak mestilah dipantau dan ditapis oleh ibu bapa.
“Semua sedia maklum, terdapat elemen-elemen lucah dalam sesetengah rakaman TikTok yang tidak sesuai untuk tatapan kanak-kanak. Jadi, perkara yang paling utama adalah keupayaan ibu bapa untuk mengawal tempoh penggunaan dan kandungan aplikasi itu,“ ujarnya.
Menjawab satu soalan lain, beliau berkata, anak-anak yang terlalu leka dengan teknologi itu boleh mendorong kepada masalah ketagihan yang akhirnya boleh mengalihkan tumpuan si cilik untuk belajar.
“Ketika era pandemik ini, (ketagihan) TikTok boleh memberi kesan buruk kepada pembelajaran kelas dalam talian memandangkan ia boleh dibuka serentak ketika sesi pembelajaran rasmi dijalankan jika anak-anak ini tidak dipantau,“ ujarnya.
Jika terlalu obses dengan TikTok, ia secara tidak langsung menyebabkan golongan itu gagal berenggang dengan gajet, kata Dr Muhammad Najib.
“Kita lihat sekarang ini, kanak-kanak zaman sekarang biasanya sangat pantas dan ‘pandai‘ mengemudi sebarang aplikasi. Macam-macam yang boleh dilayari mereka termasuk video kurang sihat atau lucah. Ia secara tak langsung akan memberi kesan negatif kepada perkembangan minda dan tingkah laku mereka,“ beritahu beliau.
Justeru, apakah pendekatan terbaik dalam menangani situasi sedemikian? Jawa Dr Muhammad Najib, ibu bapa disyorkan agar mengehadkan tempoh masa penggunaan aplikasi tersebut.
“Ramai pakar mencadangkan, had maksimum untuk kanak-kanak bermain dengan gajet adalah tidak melebihi dua jam sehari. Jadi, gajet boleh ditetapkan (setting) menjadi autokunci selepas tempoh yang dibenarkan bermain TikTok berakhir,“ kata pakar berkenaan.
Selain itu, ibu bapa juga boleh menerapkan pendekatan dengan hanya membenarkan penggunaan TikTok jika si anak berjaya melakukan sesuatu seperti yang diminta.
“Misalnya, si anak tadi diminta membantu ibu di dapur, sebagai reward (hadiah), mereka dibenarkan bermain TikTok selama sejam,“ katanya.
Pun demikian, Dr Muhammad Najib berkata, adalah lebih baik kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti yang boleh merangsang kreativiti dan daya fikir seperti permainan papan, aplikasi permainan yang bercorak pendidikan atau permainan yang memerlukan aktiviti fizikal seperti Wii.
“Jika ada kesempatan, lebih bagus jika melakukan aktiviti riadah lain seperti bermain di taman permainan.
“Ibu bapa perlu menggunakan skil komunikasi yang ada dengan berbincang dengan anak-anak bahaya internet dan sesetengah aplikasi tidak elok,“ ujar beliau.
ANEKDOT
5 IMPLIKASI penggunaan TikTok kepada kanak-kanak jika tiada pengawalan daripada ibu bapa:
1. Kanak-kanak boleh menjadi sasaran pemangsa.TikTok membolehkan pengguna menghubungi sesiapa sahaja yang mereka mahu. Sudah tentu, kelebihan itu sangat membahayakan.
2. Kandungan yang tidak sesuai.Walaupun tetapan akaun diubah kepada peribadi, kanak-kanak mungkin masih terdedah kepada kandungan seksual atau ganas yang dihantarkan ke suapan awam.
3. Menyumbang kegelisahan.Pengguna TikTok dapat menggunakan fungsi ‘reactions‘ untuk video yang digemari dengan aksi rakaman diri sendiri. Dalam hal itu, mereka mungkin berdepan tekanan untuk menghasilkan kandungan video yang lebih banyak dan menarik.
4. Pengguna mungkin menjadi mangsa buli siber.Tidak seperti Twitter atau Facebook, aplikasi TikTok mungkin tidak selamat untuk kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan buli siber dan trolling. Dalam aplikasi itu, mana-mana individu boleh membuat banyak akaun palsu dan menggunakannya dengan menyasarkan kepada mereka yang tidak disukai.
5. Anak boleh gunakan TikTok tanpa mendaftar akaun.Mereka mungkin tidak boleh membuat hantaran video tanpa akaun, tetapi mereka boleh membuat carian dan menonton hampir kesemua video yang terdapat dalam aplikasi TikTok.
Sumber: hellodoktor.com
Speak Your Mind