SIMPTOM demam dan pada masa sama menggigil-gigil biasanya akan dikaitkan dengan penyakit demam kura oleh masyarakat kita tanpa mengira peringkat usia.
Sebenarnya, apakah itu penyakit demam kura dan adakah ia mempunyai kaitan dengan kura-kura?
“Ramai di antara kita yang menggunakan istilah demam kura menggangap penyakit itu adalah demam terketar-ketar sehingga dinamakan seperti demikian kerana pergerakan kura-kura yang digambarkan (terketar-ketar).
“Ia sebenarnya tidak tepat sama sekali,” ulas Pakar Kesihatan dan Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan melalui entri Facebooknya.
Sebenarnya, kesilapan istilah itu terjadi kerana masyarakat kini tidak tahu maksud perkataan kura dan kura-kura.
Kura-kura merupakan sejenis binatang reptilia yang mempunyai cengkerang yang keras di belakangnya dan dapat hidup di air dan di darat.
Buat pengetahuan semua pembaca SinarPlus, kura juga bermaksud bahagian belakang tangan dan limpa (spleen).
Perkataan kura dalam istilah demam kura merujuk kepada maksud ketiga (perkataan itu) iaitu organ yang menjalankan fungsi kawalan kualiti darah.
Memperincikan lebih mendalam mengenai penyakit itu, ujar Dr Kamarul Ariffin, sel darah merah yang rosak dan mikroorganisma akan disaring keluar daripada peredaran darah.
Bahan binaan darah daripada sel darah yang rosak akan disimpan untuk tujuan kitar semula.
Jika berlaku kehilangan darah, limpa akan cuba menggantikan kehilangan tersebut dengan bekalan darah dalam simpanannya.
Oleh itu, deman kura sebenarnya adalah istilah khusus untuk demam malaria iaitu penyakit yang disebabkan oleh jangkitan plasmodium (protozoa parasit), yang menular melalui gigitan nyamuk tiruk.
Menjawab satu soalan lain, Dr Kamarul Ariffin menjelaskan, simptom-simptom demam malaria adalah seperti demam, menggeletar, sakit sendi, muntah-muntah dan kekejangan.
Antara tanda-tanda fizikalnya pula adalah pembengkakan limpa (splenomegaly) dan hati (hepatomegaly).
“Ya, itulah kaitannya! Demam kura adalah demam yang diringi dengan bengkak kura (limpa).
“Lepas ini jangan kaitkan lagi demam menggeletar dengan kura-kura. Haiwan itu tidak bersalah. Haiwan yang bersalah adalah nyamuk tiruk,” tulis Dr Kamarul Ariffin berseloroh.
Justeru, buat orang ramai di luar sana, jika kalian mempunyai simptom-simptom seperti yang disebutkan tadi, dinasihatkan agar segera dapatkan pemeriksaan doktor. Ingat, demam kura boleh bawa maut jika tidak dirawat!
Pun demikian, cara paling berkesan bagi mengelak demam malaria adalah dengan cegah pembiakan nyamuk.
“Dengan cara cegah pembiakan nyamuk, jangan kata malaria, denggi dan zika pun boleh dicegah sekali,” pesan Dr Kamarul Ariffin. #kitajagakita