Ubat Antibiotik Jenis Tetracycline, Beri Kesan Buruk Pada Gigi Anak-Anak

gigi

BUAT ibu-ibu yang tengah sarat mengandung atau ibu sedang merancang untuk mengandung dan ibu bapa yang mempunyai anak bawah 12 tahun, sedikit sebanyak perlu ambil tahu mengenai penggunaan ubat antibiotik jenis tetracycline ini.

Itulah pesan yang diungkap oleh doktor gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Kasim melalui Facebooknya semalam.

Dr Azila Mohd Kasim.

Sebenarnya, apakah kegunaan tetracycline?

Tulis Dr Azila, tetracycline adalah antibiotik yang digunakan untuk merawat sejumlah jangkitan termasuklah jerawat, kolera, brucellosis, wabak, malaria dan sifilis.

“Ia diambil melalui mulut.

Tetracycline adalah pilihan antibiotik pada beberapa jangkitan bakteria yang mengancam nyawa,” beritahu Dr Azila.

Namun demikian, maklum Dr Azila, tetracycline mempunyai kesan buruk.

Ujarnya, wanita hamil harus mengelak daripada mengambil tetracycline kerana ubat berkenaan mempunyai kemampuan untuk melintasi plasenta (uri) dan mengganggu pembentukan gigi janin yang sedang berkembang.

“Proses pembentukan gigi susu bermula pada usia kandungan enam hingga lapan minggu, manakala proses pembentukan gigi kekal bermula pada usia 12 minggu kandungan janin.

Tetracycline boleh mengakibatkan pewarnaan pada gigi susu bayi. Bukan itu sahaja, tetracycline juga tidak boleh diberikan kepada anak-anak di bawah usia 12 tahun kerana boleh memberi kesan negatif pada gigi kekal mereka,” tegasnya.

Kongsi Dr Azila lagi, sebilangan kecil kanak-kanak yang diberi tetracycline untuk merawat pelbagai penyakit bakteria menunjukkan bukti perubahan warna gigi.

“Pewarnaan berkadar terus dengan usia individu, dos dan jangka masa penggunaan tetracycline.

“Oleh kerana kesan buruk kekal pada gigi anak, ibu bapa harus mengelakkan penggunaan tetracycline kecuali telah dipreskripsi (surat ubat) oleh pengamal perubatan (keadaan yang jarang berlaku),” ujar Dr Azila.

Pun demikian, kata doktor gigi itu, sekiranya gigi terkena tetracycline (sama ada di dalam atau di luar utero) pada masa mineralisasi gigi atau kalsifikasi, tetracycline akan mengikat ion kalsium pada gigi.

“Sekiranya ini berlaku sebelum erupsi gigi melalui gingiva (gusi), ia akan menyebabkan perubahan warna kuning pendarfluor awal (initial fluorescent yellow discoloration).

“Tindak balas ini berlaku kerana tetracycline mengikat kalsium fosfat dan membiarkan ubat diserap oleh gigi. Situasi tersebut bakal merosakkan enamel gigi dan menyebabkan perubahan warna coklat atau kuning, berlubang dan boleh menyebabkan gigi mudah berkaviti,” kata Dr Azila.Bagaimanapun, ujar Dr Azila memutihkan gigi yang ada stain akibat mengambil tetracycline, merupakan proses yang sangat mencabar.

“Fakta ringkasnya ialah molekul warna tetracycline tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya dari gigi. Pesakit dengan gigi tetracycline akan melihat perubahan selepas rawatan, namun hasilnya berbeza-beza bergantung pada keterukan stain.

“Sebilangan pesakit akan mendapat manfaat rawatan pemutihan di rumah sehingga sebulan atau lebih lama. Oleh itu, jumlah pemutihan yang dapat dicapai ketika menggunakan sistem pemutihan khas adalah terhad,” tambah Dr Azila.

Meskipun kajian terbukti bahawa penggunaan tetracycline belum dapat dielakkan sepenuhnya, tetapi ia tetap diambil kerana mungkin kurangnya kesedaran dalam kalangan golongan perubatan.

“Anda harus menjadualkan lawatan ke doktor gigi setiap enam bulan sekali untuk memeriksa kesihatan mulut. Ini adalah kaedah terbaik untuk memerhatikan kesan sampingan oral tetracycline dan ubat lain,” pesan Dr Azila.

Oleh yang demikian, doktor gigi akan mencadangkan rawatan yang tepat untuk perubahan warna gigi dan membantu anda menghilangkan ‘noda’ tetracycline dalam masa yang singkat. Semoga bermanfaat.ANEKDOT

TERDAPAT empat kategori gigi berstrain tetracycline iaitu:

1. Mild tetracycline staining

  • Minimum, warna stain secara seragam, warna kuning muda, coklat muda atau kelabu muda dan terhad pada bahagian insisal gigi.

2. Moderate tetracycline staining

  • Pewarnaan lebih berbeza dari segi kuantiti dan lokasi, mulai dari kuning pekat hingga coklat atau kelabu. Prognosis rawatan berubah-ubah kerana bergantung sepenuhnya pada intensiti stain.

3. Severe tetracycline staining

  • Pewarnaan coklat gelap, kelabu gelap, ungu atau biru, dengan jalur yang jelas. Prognosis untuk hasil yang efisien dan estetik tidak baik.

4. Intractable tetracycline staining (tidak dapat ditangani)

  • Pigmentasi yang kuat menggabungkan noda yang sangat gelap dengan jalur yang sangat ketara. Pemutihan tidak mencukupi rawat dalam kes seperti ini.

Sumber: Doktor gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Kasim.

Speak Your Mind

*