Wanita Lebih Berisiko Tinggi Alami Kecelaruan Keresahan. Ini Fakta-Faktanya

PENYAKIT mental adalah satu situasi yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang mana boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang.

Ia juga akan merencatkan seseorang itu untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kata Pakar Psikiatri dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria, terdapat 297 jenis penyakit mental yang tersenarai dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Ke-5 (DSM-5) yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association.

Dr Rozanizam Zakaria.

“Daripada banyak-banyak penyakit berkenaan, gangguan kecelaruan keresahan (anxiety disorder) adalah penyakit yang paling banyak berlaku di dunia fana ini,” tulisnya di Twitter @DrRozanizam.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, satu daripada empat manusia di muka bumi ALLAH ini, pada satu-satu ketika dalam hidup mereka, mereka mengalami keadaan yang mana pesakit memenuhi satu daripada kriteria anxiety disorder.

“Ia bermaksud, pada tahun-tahun tertentu, 17 peratus manusia menghidapi masalah berkenaan.

“Secara umumnya, wanita lebih berisiko mendapat gangguan kecelaruan keresahan kecuali diagnosis tertentu seperti kecelaruan panik yang menyaksikan peratusannya sama (seimbang) melibatkan kedua-dua jantina,” beritahu Dr Rozanizam.

Apakah itu gangguan kecelaruan keresahan?

Menurut portal kesihatan antarabangsa healthline.com, gangguan kecelaruan keresahan adalah serangan ‘kecemasan’ perasaan seperti cemas, bimbang, tertekan atau takut.

Bagi kebanyakan orang, serangan gangguan kecelaruan keresahan berlaku secara perlahan.

Ia mungkin akan lebih bertambah buruk ketika peristiwa lalu (trauma) menghampiri diri pesakit.

Antara gejala umum serangan kecelaruan keresahan adalah:

i. Berasa ingin pengsan atau pening.
ii. Sesak nafas.
iii. Mulut kering.
iv. Berpeluh-peluh.
v. Menggigil-gigil.
vi. Kebimbangan melampau.
vii. Kegelisahan.
viii. Ketakutan.
ix. Mati rasa atau kesemutan.

Dalam sesetengah keadaan, serangan panik dan gangguan kecelaruan keresahan akan berkongsi beberapa simptom biasa, tetapi ia adalah penyakit yang berbeza.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk membuat diagnosis masalah kecelaruan mental dengan cepat dan tepat bagi mengelakkan gejala berpanjangan dan rawatan yang betul dapat diberikan.

Ingat, rawatan pada peringkat awal dapat mencegah kecelaruan mental daripada menjadi bertambah teruk dan mempunyai potensi penyembuhan yang lebih tinggi. Semoga bermanfaat.