Archives for December 2021

Menu Dendeng Sedap Dan Mudah, Penggemar Daging Wajib Cuba!

Menu dendeng sedap dan mudah, penggemar daging wajib cuba!

DAGING dendeng merupakan resipi yang berasal dari Indonesia, menu istimewa warga Minangkabau.

Cara penyediaannya yang mudah serta rasa yang sangat enak sudah tentu menjadikan ia sajian digemari ramai.

Sedap! Bukan hanya untuk disajikan pada hari raya, korang boleh cuba masak untuk sajian makan tengah hari atau malam keluarga.

Daging dendeng ini juga tahan lebih lama kerana tidak menggunakan santan dan dimasak hingga kering.

Rasanya yang seakan rendang kering tapi mempunyai rasa yang luar biasa sudah pasti makan pun berselera,
pengemar daging mesti cuba!

tip daging

Bahan-bahan;

  • Bawang rose (digoreng)
  • Daging (diperap dengan kicap manis)
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Cili giling
  • Rempah 3 sekawan
  • Garam
  • Gula
  • Cuka
  • Daun limau purut (penambah aroma)
Tidak makan daging, ini manfaat untuk kesihatan

Cara-caranya membuatnya;

1. Goreng garing bawang ros. Goreng daging yang diperap dengan kicap.

2. Setelah digoreng, tumbuk kasar daging. Kisar bawang putih, bawang merah dan halia.

3. Tumiskan cili giling bersama rempah tiga sekawan dan bahan kisar. Masukkan daging, bawang goreng,
garam, gula dan sedikit cuka.

4. Boleh tambahkan daun limau purut untuk aroma. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Sumber: Rosidah Binti Ahmad

Panaroma Indah Laman Tebu Aidil, Destinasi Unik Sajikan Mi Kari Udang Lipan Dan Punten

warung dalam ladang tebu

PERNAHKAH pembaca SinarPlus terfikir untuk menjamu selera di tengah-tengah ladang tebu yang terbentang luas? Bukan itu sahaja, mata turut ‘disajikan‘ dengan keindahan sawah padi yang menghijau sambil disapa angin sepoi-sepoi bahasa.

Panaroma indah itu bukan satu khayalan, sebaliknya ia boleh ditemui di Laman Tebu Aidil yang terletak di Sungai Besar, Selangor.

Destinasi unik berkenaan telah diusahakan oleh pasangan suami isteri, Aidil Mohamad, 50, dan Syahrizan Azrina Sabudin, 39, sejak Julai tahun lalu. Ia menjadi buah mulut ramai pengunjung yang rata-ratanya terpesona dengan ‘dekorasi‘ semula jadi ciptaan-NYA.

warung dalam ladang tebu

Berkongsi kisah di sebalik pembukaan tempat makan viral tersebut, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, beliau sebenarnya tidak menyangka jualan ‘suka-suka’ semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu membuka rezeki buat mereka sekeluarga.

“Sebenarnya, saya tidak pernah terlintas untuk buka gerai di dalam kebun tebu, asalnya hanya jual air tebu dan 10 bungkus nasi lemak sahaja untuk mengisi masa lapang sambil-sambil jual bunga orkid, tetapi alhamdulillah sambutan cukup menggalakkan.

“Daripada hanya air tebu, saya tambah dengan pilihan air lain seperti mangga kuini, tembikai, nanas dan cendol, selain memperbanyakan menu termasuk laksa, mi kari udang lipan, nasi impit kuah kacang, tongkeng dan kepak madu,” ujarnya yang turut menjual lebih 15 jenis kuih kampung termasuk kuih tradisi Jawa, punten.

warung dalam ladang tebu

Aidil berkata, premisnya dijaga penuh teliti, selain menitikberatkan aspek keselamatan.

“Kawasan makan sepanjang 1 kilometer saya telah simenkan dan mengikat rapi pokok tebu. Untuk memudahkan penghantaran sajian ke meja makanan pula, saya bahagikan meja ikut kategori tebu.

“Misalnya meja satu saya namakan tebu kapur dan meja seterusnya sebagai tebu madu, tebu gula dan tebu telur. Jika semua meja penuh, saya bawa  pelanggan duduk di bawah pokok durian dan taman orkid berdekatan,” katanya.

Apa yang pasti, bukan sahaja pemandangan yang mengagumkan dan menu yang lazat, Aidil turut menyediakan perkhidmatan lain.

warung dalam ladang tebu

“Di sini terdapat saluran air yang dipanggil palong. Biasanya para pelanggan terutama yang menginap di inap desa berhampiran akan membawa anak mereka bermandi-manda atau berkubang,” katanya.

Akur dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun lalu, Aidil hanya membuka jualan dengan konsep bungkus bermula jam 8 pagi hingga 7 malam.

Laman Tebu Aidil

  • Alamat: Parit 3 1/2, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 7 malam
  • Menu signatur: Tongkeng dan kepak madu
  • Harga: Bermula RM1.50 hingga RM3
  • Facebook: Laman Tebu Aidil
warung dalam ladang tebu

Untuk bersaing dengan banyak pengusaha makanan yang sudah stabil tidak mudah sebenarnya.

Itu sebab kebanyakan peniaga baharu mencari idea bernas bagaimana untuk menarik perhatian orang ramai singgah ke premis mereka.

Seperti yang dilakukan oleh Aidil Mohamad yang membangunkan Laman Tebu Aidil, beberapa pengusaha lain turut terpanggil untuk mentransformasi ladang, kebun atau sawah padi menjadi sebuah destinasi makan yang menarik.

Justeru, pada minggu ini SinarPlus kongsikan empat lagi lokasi unik yang boleh anda singgah jika berada di lokasi berdekatan.

warung dalam kebun

Warung Kelapa Sawit

  • Alamat: Jalan Tok Kangar, Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
  • Waktu operasi: 9 pagi hingga 3.30 petang
  • Menu signatur: Set bawal
  • Harga: Bermula RM5 hingga RM12
  • Facebook: Warung Kelapa Sawit Kampung Tok Kangar

warung dalam kebun

Warung Selera Kampung Kebun Getah

  • Alamat: Kampung Bendang Panjang, Kuala Kangsar, Perak
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 5 petang
  • Menu signatur: Nasi goreng kambing
  • Harga: Bermula RM1 hingga RM14.90
  • Facebook: Warong Selera Kampung Bendang Panjang

warung dalam kebun

Warung Makan Ladang Nipah Khipli

  • Alamat: Ladang Nipah Khipli, Sanglang, Perlis
  • Waktu operasi: 1 petang hingga 7 malam
  • Kawasan penghantaran: Simpang 4 dan sekitar Sanglang
  • Menu signatur: Air nira nipah
  • Harga: Bermula RM8
  • Facebook: Ladang Nipah Khipli

warung dalam kebun

Warung D‘ Baroh Pok Ripin

  • Alamat: Jalan Kampung Padang Maras, Kuala Nerus, Terengganu
  • Waktu operasi: Bermula jam 3 petang
  • Menu signatur: Roti canai
  • Harga: Bermula RM1
  • Facebook: Kedai Roti Canai Pok Ripin Maras

Pastil, Menu Istimewa Di Sabah. Karipap Berintikan Bihun

BENTUKNYA saling tidak tumpah dengan karipap, namun intinya bukanlah kentang, ayam atau ubi kentang. Sebaliknya, ia padat dengan bihun goreng.

Mungkin di Semenanjung, sajian itu dianggap agak pelik. Pun demikian, dalam kalangan penduduk Sabah, itulah salah satu pencuci mulut kegemaran mereka pada waktu petang yang dikenali sebagai kuih pastil.

Haruja Jikeron.

Masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk pula dikatakan yang paling handal membuat kuih berkenaan.

Seorang penduduk negeri di Bawah Bayu itu yang juga mahir membuat sajian berkenaan, Haruja Jikeron berkata, kuih pastil sangat terkenal di beberapa buah daerah di Sabah.

“Ia wajib dijual di gerai-gerai dan kalau sekolah beroperasi, pihak kantin pasti membuat kuih berkenaan,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Cikgu di salah sebuah sekolah di ibu kota itu memberitahu, untuk menyediakan pastil atau istilah mudahnya mi, ia bergantung kepada penyediaan air lada yang biasanya dijadikan sos penyedap inti pastil.

“Air lada biasanya cair. Untuk membuatnya, kita hanya perlukan air panas dan disatukan dengan bawang putih, cili padi, cuka, gula dan garam. Ia akan menghasilkan rasa manis, masam dan pedas.

“Air lada kemudian akan dituang ke dalam inti pastil, lagi banyak air lada, lagi sedap rasanya kuih itu,” katanya.

Selari dengan peredaran zaman dan memenuhi cita rasa pelanggann yang pelbagai, kebanyakan peniaga sudah mempelbagaikan inti bihun dengan menambah bahan lain seperti isi ayam, daging, sayur atau telur, ujar Haruja.

“Terpulang kepada si pembuat, tidak salah jika berbuat demikian, tapi kalau menurut resipi asalnya, bihun hanya digoreng kosong diperasakan dengan aneka sos dan kicap sahaja,” katanya.

PROFIL

  • Nama: Haruja Jikeron
  • Umur: 48 tahun
  • Asal: Lahad Datu, Sabah
  • Menetap: Cheras, Kuala Lumpur

RESIPI PASTIL

Bahan-bahan kulit pasti

  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 cawan air
  • 1/4 cawan marjerin atau minyak masak
  • Sedikit garam

Bahan-bahan bihun

  • 1/2 bungkus bihun
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang merah atau bawang besar
  • 3 sudu kicap manis
  • 3 sudu sos tiram
  • 2 sudu sos cili
  • Garam secukupnya
  • Sedikit peras
  • Minyak masak
  • Sedikit air

Bahan-bahan air lada

  • 1 ulas bawang putih
  • 5 biji cili padi
  • 2 sudu cuka
  • 1 sudu gula
  • 1 sudu kecil garam
  • 2 cawan air panas

Cara penyediaan kulit pastil:

  1. Masukkan kesemua bahan dan uli sehingga sebati dan tidak melekat pada jari.
  2. Rehatkan adunan selama 30 minit.
  3. Canai nipis doh (wajib nipis) dan letakkan bihun (inti) lalu kelim menggunakan acuan karipap.
  4. Goreng sehingga kulit pastil bertukar warna kekuningan.

Cara penyediaan bihun:

  1. Rendam bihun sehingga lembut.
  2. Kemudian, tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.
  3. Masukkan kicap manis, sos tiram dan sos cili.
  4. Selepas itu, masukkan bihun dan gaul sehingga sebati.
  5. Masukkan air sedikit demi sedikit jika bihun masih keras lalu perasakan dengan garam.

Cara penyediaan air lada:

  1. Tumbuk bawang putih, cili padi, gula dan garam.
  2. Kemudian, masukkan cuka dan air panas.
  3. Gaul sebati kesemua bahan.
  4. Masukkan kicap jika perlu.

Sumber: Haruja Jikeron         

ANEKDOT

RESIPI PENJARAM

Bahan-bahan

  • 1 bungkus tepung beras
  • 1/2 kilogram tepung gandum
  •  1/2 kilogram gula pasir
  • 200 gram gula melaka
  • 500 mililiter air sejuk
  • Minyak untuk menggoreng

Cara penyediaan:

  1. Ayak tepung beras bersama tepung gandum.
  2. Kemudian, masukkan gula pasir dan gaul rata.
  3. Selepas itu, masukkan gula melaka yang sudah dibancuh dengan air dan tapis.
  4. Seusai itu, gaul bersama tepung tadi sehingga rata.
  5. Biarkan selama 6 hingga 8 jam lalu adunan boleh digoreng.

Sumber: sabahanresipi6126.blogspot.com

Pelamin Angan Ku Musnah Kerana Talasemia

DI MALAYSIA, setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga diwajibkan melakukan ujian saringan (HIV). Selain itu, mereka sangat digalakkan menjalani ujian talasemia.

Sesetengah daripada kita mungkin berpendapat hanya ujian saringan HIV lebih relevan, namun hakikatnya talasemia juga sangat signifikan demi menjamin kebahagiaan dan masa depan yang cerah bagi sesebuah keluarga.

Peri penting ujian berkenaan telah mendorong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan talasemia untuk pelajar Tingkatan Empat dilakukan sejak tahun 2016 lagi.

Memetik kenyataan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kesihatan Sekolah, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM, Dr Don Ismail Mohamed berkata, pendekatan itu merupakan langkah tepat untuk memberi kesedaran kepada remaja sebelum berkahwin dan memperoleh cahaya mata.

Berdasarkan Laporan Talasemia Malaysia, KKM 2019, seramai 8,042 individu di negara ini telah direkodkan sebagai pesakit dan juga pembawa talasemia. Menurut myhealth.gov.my pula, lebih kurang 600,000 hingga 1 juta orang adalah pembawa talasemia. Angka itu nampaknya bukan kecil.

Untuk mengulas lebih mendalam definisi penyakit itu dan impaknya kepada masyarakat, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Hematologi Hospital Columbia Asia di Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor, Dr Habibah Abdul Halim.

Ujar Dr Habibah, talasemia merupakan penyakit yang berkaitan dengan penghasilan darah merah yang tidak efektif. Ia diwarisi daripada ibu atau bapa kepada anak melalui baka.

“Talasemia terjadi apabila mutasi berlaku pada hemoglobin (protein dalam sel darah merah yang memberikan warna pada darah dan membawa oksigen) sama ada jenis Alfa, Beta globulin atau Beta talasemia.

“Kebanyakan mutasi ini akan diturunkan kepada generasi seterusnya. Kadangkala, percampuran atau pertambahan mutasi daripada ibu bapa yang merupakan pembawa talasemia boleh menyebabkan keadaan pesakit semakin serius,“ terangnya.

Secara asasnya, penyakit genetik itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Alpha dan Beta. Alpha terdiri daripada empat jenis iaitu Alpha thalassemia trait, Hemglobin H disease (HbH), Hydrops fetalis (Alpha thalassemia major) dan Silent carier. Sementara Beta pula terbahagi kepada dua iaitu Beta thalassemia minor dan Beta thalassemia major atau lebih dikenali sebagai Cooley anemia.

Uniknya tentang penyakit tersebut, ia berfokus kepada kumpulan etnik tertentu. Menerusi penyelidikan bertajuk Kajian Pemerhatian Mengenai Status Talasemia Semasa di Malaysia: Laporan daripada Pendaftaran Talasemia Malaysia, sebilangan besar pesakit dilaporkan dari negeri Sabah (22.72 peratus); kumpulan umur terbesar yang terjejas adalah 5 hingga 24.9 tahun (64.45 peratus).

Sementara, kumpulan etnik terbesar yang terlibat adalah kaum Melayu (63.95 peratus) dan diagnosis utama adalah hemoglobin E/Beta talasemia (34.37 peratus).

Banyak komplikasi

Menurut laman web perubatan terkemuka Amerika Syarikat, Medline Plus, simptom-simptom talasemia biasanya mudah dikesan kepada mereka yang mengalami Beta thalassemia major dan HbH Disease.

Antaranya mata mereka akan kekuningan, muka pucat, perut membesar dan perubahan pada tulang seperti dahi yang membonggol, di samping tulang gigi yang tumbuh dengan tidak sekata.

“Mereka yang menghidap Alpha thalassemia major boleh menyebabkan kematian kepada bayi yang sedang dikandung atau pada peringkat akhir kehamilan.

“Kanak-kanak yang dilahirkan dengan Cooley anemia pula biasanya nampak normal semasa dilahirkan, tetapi mengalami anemia teruk pada tahun pertama kehidupannya,“ kata Medline Plus.

Komplikasi akibat talasemia bukan sembarangan. Tanpa rawatan, jantung pesakit akan gagal berfungsi, selain berdepan dengan masalah hati. Hal tersebut akan menjadikan seseorang lebih cenderung untuk menghidap jangkitan.

“Transfusi darah dapat membantu mengawal beberapa gejala, tetapi membawa (risiko) kesan sampingan dari segi zat besi yang terlalu banyak,“ kata laman web itu lagi.

Berdasarkan informasi daripada healthline.com pula, antara kesan sampingan lain adalah tumbesaran pesakit akan terencat, gigi akan rosak, hipotiroid (kelenjar tiroid tidak aktif), selain mengalami anemia dan kencing manis.

Bagaimana pula dengan rawatannya? Laman web perubatan itu menjelaskan, ia bergantung kepada jenis dan keseriusan penyakit. Antara yang dicadangkan adalah kaedah transfusi darah, pemindahan sumsum tulang ubat, embekalan makanan tambahan dan berkemungkinan penghidap perlu melalui pembedahan untuk membuang limpa atau pundi hempedu.

Dalam pada itu, Dr Habibah berkata, pesakit talasemia memerlukan rawatan susulan dan pemerhatian klinikal daripada pakar darah.

“Ia juga bergantung kepada tahap penyakit dan jenis talasemia. Rawatan susulan adalah berbeza bagi setiap individu. Ini kerana keperluan rawatan pesakit bergantung kepada simptom anemia, keperluan transfusi, komplikasi daripada talasemia seperti terlebih zat besi dan penyakit-penyakit kronik lain yang berkaitan.

“Oleh itu, nasihat saya, sebaik sahaja disahkan ada talasemia, pesakit dinasihatkan untuk mengikut saranan rawatan dan memenuhi temu janji,“ katanya.

Pilih pasangan sesuai

Bercakap tentang transfusi darah, SinarPlus mewawancara Ketua Bahagian Transfusi Pusat Darah Negara, Dr Nor Hafizah Ahmad.

Ujar beliau, berdasarkan taburan pesakit talasemia, negeri Sabah memerlukan bekalan darah tertinggi disebabkan rata-rata pesakit yang mendapatkan rawatan memiliki kadar bacaan hemoglobin rendah.

Menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2016, dianggarkan kurang daripada 6,000 pesakit talasemia memerlukan bekalan darah pada setiap bulan di Malaysia. Dianggarkan sebanyak 17 hingga 20 peratus bekalan darah daripada jumlah keseluruhan bekalan darah di seluruh negara setiap tahun perlu diperuntukkan untuk mereka, beritahu Dr Nor Hafizah.

Dalam pada itu, ujar beliau, pesakit yang perlu menerima darah secara kerap boleh terdedah kepada pelbagai komplikasi sama ada dari segi jenis akut atau kronik.

“Contoh reaksi akut adalah suhu badan boleh naik secara mendadak dan pesakit akan mengalami seram sejuk dan menggigil. Tindak balas ini dinamakan Febrile non-hemolytic transfusion reaction.

“Tindak balas protein di dalam darah yang dimasukkan ke dalam badan dengan sistem imun pesakit juga boleh merangsang (tindak balas) alergi iaitu pesakit akan mengalami ruam kulit, kegatalan di seluruh badan dan dalam kes yang serius, mereka boleh mengalami sesak nafas,“ katanya.

Di samping itu, kekerapan transfusi darah juga akan memberi kesan jangka panjang yang mana tubuh akan menghasilkan antibodi akibat daripada tindak balas kepada darah penderma yang diterima.

“Proses penghasilan antibodi ini akan mendedahkan pesakit kepada Reaksi Hemolisis Akut. Ia adalah satu keadaan yang serius. Jika tidak dirawat dengan segera, pesakit berpotensi mengalami kegagalan buah pinggang dan boleh menyebabkan kematian (jika berada pada tahap serius),“ jelasnya.

Persoalannya, adakah pesakit talasemia boleh sembuh? Menurut seorang pakar pediatrik terkenal Indonesia, Dr M Dejandra Rasnaya, meskipun terdapat kaedah transfusi darah dan transplantasi tulang, namun pesakit masih memiliki kesan sampingan terhadap kesihatan pesakit, misalnya kegagalan pada ginjal dan hati.

“Akibatnya, kualiti kehidupan penghidap talasemia menurun. Lazimnya mereka boleh hidup dalam lingkungan usia 20 hingga 30 tahun. Namun demikian, ada juga yang bertahan hingga mencapai umur 50 tahun,“ katanya.

Ya, talasemia sememangnya boleh dibendung sekiranya kita berusaha menjejak genetik pasangan kita.
Cinta sejati sememangnya penting dalam perhubungan, namun faktor kesihatan juga memainkan peranan yang besar.

Jika kombinasi genetik mempunyai talasemia, ibu bapa pasti akan mewariskan penyakit berbahaya kepada anak-anak. Fikir-fikirkanlah.

Tunang angkat kaki lepas tahu hal sebenar

NADIA MUHAMMAD, 38, (bukan nama sebenar) seorang penghidap talasemia. Kata wanita itu, beliau menderita penyakit itu sejak kecil.

Bukan sahaja dirinya, seorang adiknya turut terkesan. Ironinya, mereka berdua akan bersama-sama melakukan transfusi darah sebulan sekali.

“Ibu saya seorang pembawa talasemia, sementara bapa saya tidak. Namun, baka ibu itu diwarisi oleh kami berdua,“ ujar Nadia yang juga rakan penulis.

Kepada SinarPlus Nadia berkata, beliau menganggap dirinya seorang yang malang.

“Tunang saya telah meninggalkan saya sebaik mengetahui saya pembawa talasemia. Pada awalnya saya tak beritahu dia kerana tak sanggup berpisah, namun rahsia itu pecah apabila rakan saya sendiri bongkarkan kebenaran. Cincin pertunangan telah dipulangkan selepas dua tahun kami bertunang.

“Katanya, dia tak mahu nanti bakal anak kami akan mendapat macam-macam penyakit. Saya sangat tertekan kerana saya juga mahu bahagia seperti orang,“ kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu sambil menangis teresak-esak.
Sejak peristiwa pahit itu, Nadia yang mengalami masalah kemurungan telah diberhentikan kerja gara-gara prestasi kerjanya yang tidak memberangsangkan.

Dalam pada itu, seorang pakar kaunseling, Nur Liyana Abdullah yang turut berkhidmat dengan Talian Kasih berkata, sokongan moral sangat penting untuk pesakit talasemia.

“Di samping itu, pesakit juga perlu memiliki keazaman yang tinggi untuk sembuh. Benar, apabila disahkan menghidap penyakit kronik, ia bukan satu kenyataan yang mudah untuk diterima. Namun, kena sentiasa berfikiran positif dan reda dengan takdir,“ katanya.

Kenali Lebih Mendalam Tentang Technostress Dan Sebab-Sebab Tercetusnya Masalah Tersebut

SEGALANYA kini semua di hujung jari sahaja.

Daripada kelas yang diadakan secara maya, pencarian resipi, permohonan kerja, malah sesi temuduga juga sudah banyak dilakukan secara virtual.

Jika diamati medium dalam talian juga muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Sudah terlalu banyak penggunaan aplikasi dan platform maya sehinggakan ada segelintir daripada kita yang gagal mengurusnya dengan baik.

Menyentuh tentang perkara itu, Aiman Psikologi yang banyak menulis tentang masalah kesihatan mental tampil berkongsi pandangannya di Twitter rasminya, @AimanPsikologi.

Tulis beliau, keadaan itu dipanggil technostress iaitu keadaan tertekan seseorang kerana terbeban untuk adaptasi dengan teknologi (tidak pandai guna) atau penggunaan teknologi secara berlebihan.

“Hasilnya tetap sama iaitu gangguan emosi, fizikal, kognitif dan sebagainya. Namun, technostress bukan penyakit mental ya,” beritahu beliau.

Aiman turut berkongsi perbezaan antara masalah kesihatan mental dan penyakit mental iaitu:

i) Masalah kesihatan mental – Melibatkan simptom atau sesuatu yang menganggu kesihatan mental seseorang.

ii) Penyakit mental – Diagnosis yang dibuat oleh pakar lepas melakukan penilaian secara mendalam.

Technostress tidak didaftarkan atau direkodkan sebagai apa-apa jenis kecelaruan atau penyakit mental dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental Edisi Ke-5 atau Semakan Klasifikasi Penyakit Antarabangsa Ke-10,” tambah beliau.

Pun demikian, kata Aiman, technostress tersebut ibarat stres.

“Jadi, apabila stres digabungkan dengan teknologi, maka terhasilkan terma technostress,” jelas beliau.

Antara petanda seseorang itu berdepan technostress adalah seperti berikut:

1. Fizikal.

– Sakit kepala, pening-pening sebab selalu pandang skrin, mata rasa tegang dan kadangkala terbawa-bawa ke tidur (susah tidur atau susah bangun tidur).

– Otot juga boleh terkesan antaranya lenguh leher, belakang dan pinggang.

2. Kognitif.

– Pemikiran dan fungsi otak terkesan sehingga susah fokus semasa kerja, banyak menunda-nunda tugasan, motivasi hilang, rasa penat atau lesu otak dan sampai terlalu kerap buat silap.

“Paling dahsyat, sampai kita tak suka pada teknologi (sebab teringat-ingat betapa seksanya menghadap skrin),” katanya.

3. Emosi.

– Selalu rasa resah, gelisah dan menyebabkan panik kerana rasa banyak sangat benda kena lakukan sehingga pemikiran itu berlegar-legar dalam kepala.

4. Kesan lain.

– Otak selalu rasa serabut, susah untuk membuat keputusan, daya kreativiti jatuh, semangat belajar atau kerja hilang (sebab faktor teknologi, bukan faktor ilmu atau tanggungjawab).

“Jadi, antara penyebab terbesar kepada wujudnya technostress dan burnt-out berkaitan online ini adalah pendedahan mata kepada skrin yang dekat secara berlebihan, sampai sakit kepala, mata, leher dan rasa tegang, ” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Aiman turut memaklumkan technostress juga boleh berlaku kerana selalu nampak diri sendiri dan orang lain melalui skrin sahaja.

“Bukan in real life. Kita manusia semuanya perlu ada connection berbentuk real life. Kita ‘dahagakan’ input emosi, sentuhan fizikal, bunyi orang bercakap dan sebagainya. Berbeza dalam skrin, semua rasa ‘computerized‘,” ungkap beliau.

Sebenarnya, ujar Aiman, technostress bukan benda baharu.

“Sudah lama diperkenalkan sejak tahun 1984 lagi. Cuma pada waktu itu, ‘teknologi’ tidak semestinya merujuk komputer atau laptop semata-mata tetapi teknologi apa yang ada waktu zaman itu dan membebankan kepada penggunanya,” katanya.

Oleh itu, saran beliau, technostress perlu diuruskan sebaiknya.

“Bukan apa, takut kalau melarat, keadaan itu akan buka ‘pintu-pintu’ baharu ke arah masalah kesihatan mental yang lain,” ujar beliau.

Wow! Cincin Pintar Kesan Tekanan, Kadar Oksigen Dalam Darah

Wow! Cincin pintar kesan tekanan, kadar oksigen dalam darah

LAZIMNYA ditawarkan di pasaran adalah jam pintar yang berupaya mengesan dan memantau tekanan darah badan.

Pada masa sama, turut hadir dengan fungsi asas mengira langkah harian sehingga teknologi membaca apa yang terjadi ketika seseorang sedang tidur.

Seperti yang kita sudah maklum, tekanan darah tinggi antara penyakit pembunuh di Malaysia. Kadangkala individu tidak perasan bahawa mereka mengalami penyakit tersebut.

Justeru, bagi memudahkan individu mengesan tekanan dan kadar oksigen dalam darah, Fitbit mempatenkan satu produk berupa cincin pintar.

Cincin tersebut dikatakan mempunyai sensor yang diiktiraf untuk penggunaan perubatan membaca kadar oksigen dalam darah ataupun tekanan darah.

Ia akan dikawal melalui aplikasi dan sambungan secara NFC untuk kemaskini perisian atau juga tambatan pada jam tangan.

Wow! Cincin pintar kesan tekanan, kadar oksigen dalam darah

Bagaimanapun, ciri dan fungsi lain pada cincin pintar berkenaan masih belum diperincikan termasuk sama ada akan menjadi produk komersial ataupun tidak.

Pun begitu, penggunaan cincin pintar dalam dunia kecergasan bukanlah sesuatu yang baharu.

Tahun lepas Amazon hadir dengan Echo Loop, tetapi produk itu sudah dihentikan kerana gajet berteknologi seumpama itu memerlukan rekaan tebal.

Pada masa sama, didapati tidak efisien berbanding jam tangan pintar.

Sama-sama kita nantikan pengeluaran cincin pintar keluaran Fitbit iaitu sebuah syarikat produk kecergasan pintar seperti penjejak kesihatan, jam tangan pintar dan penimbang pintar.

Sumber: Amanz

Makan Cili Boleh Sebabkan Punca Apendiks? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Makan cili boleh sebabkan punca apendiks? Ini yang anda perlu tahu

RADANG apendiks (atau istilah perubatannya apendisitis) biasanya menyerang golongan muda sekitar
usia 10 hingga 30 tahun.

Sejak kecil kita sering dimomokkan dengan kata-kata jangan makan cili atau biji jambu batu kerana
boleh menyebabkan apendiks.

Larangan ini sering bermain dalam fikiran sehingga wujud rasa takut setiap kali ingin mengambil
makanan pedas.

Sebenarnya tiada kajian saintifik membuktikan apendiks disebabkan pemakanan apatah lagi dikaitkan
dengan cili dan jambu batu.

Mungkin ia hanya petua masyarakat terdahulu yang melarang pengambilan cili dan jambu batu kerana
boleh menyebabkan sakit perut. Namun dari sudut perubatan ia tidak dapat dibuktikan.

Malah sesiapa saja berisiko mengalaminya walaupun tidak makan biji makanan seperti yang dinyatakan.

Hakikatnya, segala makanan yang keras seperti biji cili dan sebagainya akan hancur di dalam perut
disebabkan oleh asid perut.

cili

Selepas hancur sepenuhnya, barulah ia akan masuk ke usus untuk proses pembuangan najis.

Jadi, pemakanan bukanlah punca radang apendiks. Tetapi, apakah punca sebenar ia berlaku?

Radang apendiks bukanlah sejenis penyakit tetapi satu keadaan di mana pundi apendiks (vermiform
apendiks) tersumbat.

Untuk korang yang belum tahu, ia adalah satu struktur berbentuk tiub yang terletak pada bahagian
pemulaan usus besar.

Walaupun begitu, fungsi sebenar organ ini masih belum dapat diketahui dengan tepat.

Mengapa ia boleh tersumbat jika bukan sebab pemakanan?

Ia adalah disebabkan oleh bukaan apendiks menuju ke tiub besar atau sekum tersekat.

Sekatan ini mungkin berlaku akibat lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis keras daripada
tiub besar termasuk ke pundi apendiks. Inilah punca sebenar radang apendiks berlaku.

Selain itu, keadaan ini juga boleh berlaku berpunca daripada jangkitan bakteria.

Ia sering menyerang golongan muda. Jadi, jangan sesekali beranggapan bahawa orang yang masih muda
tidak boleh mengalaminya.

Untuk merawatnya, doktor hanya akan beri pesakit antibitiotik untuk melegakannya. Jika masih tidak
pulih, cara terbaik untuk menghilangkannya adalah melalui pembedahan membuang pundi apendiks.

Khasiat jambu batu yang awesome... 4 kali lebih banyak vitamin C berbanding oren

Sekiranya kita telah terkena radang apendiks, cara yang terbaik untuk menghilangkan kesakitan yang
dialami adalah dengan melakukan pembedahan apendiks kerana ia juga adalah satu-satunya teknik yang
telah diperakui oleh kebanyakan pakar kesihatan.

Untuk pengetahuan korang, pembedahan ini turut dikenali sebagai appendectomy.

Caranya, doktor boleh melakukannya dengan dua cara iaitu pembedahan membelah perut secara terbuka
dan laparoskopi (membelah perut dengan ukuran yang kecil dan memasukkan kamera untuk melihat ke
dalam).

Namun, ia bergantung kepada saiz tumor pada bahagian apendiks itu sendiri. Sekiranya ia terlalu
besar, pembedahan major terpaksa dilakukan dalam usaha untuk membuangnya.

Justeru, punca sebenar radang apendiks ini adalah penyumbatan di dalam saluran apendiks seperti
yang dinyatakan.

Walaupun begitu, pemakanan tidak boleh dianggap sebagai antara punca utamanya kerana masih tidak
ada kajian kukuh yang mengatakan sedemikian.

Sumber: Dr Zubaidi Ahmad

Tak Perlu Risau Lagi, Teknologi Pembungkusan ‘Tamper-Evident’ Beri Jaminan Pada Roti, Standard Keselamatan Yang Tinggi.

MASSIMO jenama yang terkenal dengan produk roti menyihatkan dan selamat untuk dimakan baru-baru ini melancarkan pembungkusan roti tamper-evident yang pertama di Malaysia bagi memberi lebih keyakinan kepada pengguna menerusi standard keselamatan makanan yang lebih tinggi.

Pembungkusan inovatif yang merupakan satu kemajuan besar dalam industri pembuatan roti komersil itu diperkenalkan sebagai respons kepada kebimbangan yang kerap disuarakan oleh pengguna mengenai keselamatan produk makanan semasa wabak Covid-19.

Pengarah Urusan The Italian Baker Sdn Bhd, Jeremy Goon berkata, pembungkusan pengedap keselamatan tamper-evident diperkenalkan pada kesemua produk roti Massimo.

Jeremy berkata, The Italian Baker Sdn Bhd telah melabur RM1 juta ke dalam teknologi pembungkusan pengedap keselamatan laser-seal tamper-evident dari Amerika Syarikat bagi memastikan produk-produknya selamat untuk pengguna.

Ujar beliau, teknologi tersebut antara lain memberi amaran kepada pengguna jika sesuatu produk makanan itu sudah diusik dan ia boleh dilihat dengan jelas pada produk.

“Pengguna produk Massimo terutama sekali penggemar roti kami kian bertambah semasa wabak ini kerana rakyat Malaysia jarang keluar rumah dan lebih banyak makan di rumah.

“Kebimbangan pengguna mengenai makanan yang sudah diusik sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan juga turut meningkat semasa pandemik ini.

Justeru, pengenalan pembungkusan pengedap keselamatan tamper-evident yang pertama di Malaysia oleh Massimo ini menjadi jawapan dan mengurangkan kebimbangan ini serta memberi lebih keyakinan menerusi peningkatan integriti produk dan dan keselamatan makanan,” jelas Jeremy.

Ujar beliau, beg roti yang ditutup menggunakan laser akan mendedahkan sebarang cubaan pengubahan pada saat pembelian.

Sehubungan itu, pengguna seharusnya memastikan pateri pengedap keselamatan tamper-evident berada dalam keadaan baik kerana ia dipateri untuk keselamatan, pesan beliau.

Jika pateri bukan dalam keadaan asal, pengguna seharusnya memilih bungkusan lain supaya lebih yakin dan bagi mengelakkan pencemaran yang tidak disengajakan.

“Sentiasa pastikan pembungkusan tamper-evident roti sandwic Massimo anda masih dalam keadaan baik semasa membeli. Jika tidak dalam keadaan asal, pilih bungkusan lain. Setelah dibuka, gunakan tag untuk menutup beg roti bagi mengekalkan kesegaran dan perisanya,” tambah beliau.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Massimo telah menjadi makanan harian Malaysia, memberikan kebaikan menyeluruh  dari pelbagai roti termasuk roti sandwic, roti sandwic dengan germa gandum, roti gandum penuh 100 peratus, roti fine wholemeal, roti Ricco Chocolato dan roti Kurma dan Susu.

 Roti sandwic dengan germa gandum Massimo yang terkenal dengan kebaikan semula jadi germa gandum bagus dimakan untuk kesihatan jantung.

Germa gandum kaya akan vitamin E, asid lemak Omega-3, serat semula jadi, protein, B1, B2, B6, magnesium, fosforus dan zink.

Stail Makan Berhidang Dalam Talam, Rumah Makan Nasi Talam Wajib Dikunjungi

nasi talam taiping

BUDAYA menikmati makanan dalam talam, nampaknya semakin jarang dilihat.

Namun sekali-sekala apabila pulang ke kampung halaman, menjamah sajian dengan cara itu sambil bersila beramai-ramai di atas tikar mengkuang memang seronok dan membangkitkan nostalgia lama.

Jika diamati, konsep berkenaan juga jarang dipraktikkan oleh pengusaha makanan di negara ini.

nasi talam taiping

Pun demikian, jika pembaca SinarPlus berkunjung ke Taiping, Perak pada suatu hari nanti, Rumah Makan Nasi Talam yang terletak di Batu 5, Jalan Kuala Kangsar, Changkat Jering menyediakan itu semua.

Pengurusnya, Muhammad Afiq Safuan Mohd Sukri berkata, pihaknya berbesar hati dan berbangga kerana dapat mengetengahkan idea berkenaan di tengah bandar Taiping.

Menariknya lagi ujar pemuda berusia 23 tahun itu, mereka bukan sahaja menyediakan lauk kampung warisan keluarganya, malah turut menghidangkan masakan autentik Indonesia.

nasi talam taiping

“Di Rumah Makan Nasi Talam, kami mengambil sedikit ilham cara peniaga di Padang, Indonesia yang meletakkan macam-macam lauk di atas piring.

“Sebagai tambah nilai, lauk-pauk itu akan disusun kemas atas talam bagi ‘mencantikkan’ lagi persembahan juadah,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, pinggan ‘orang lama-lama’ dan bekas nasi yang diperbuat daripada rotan paling menambat hati ramai.

“Elemen itu kami jadikan sebagai daya penarik tambahan dan tak sangka pendekatan itu membuatkan kedai ini dikenali ramai dan viral,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Selain Muhammad Afiq, abangnya, Muhammad Arif Safuan, 25; bapa tirinya, Adywarno, 57, dan bapa saudaranya, Mohammad Farez Wahidi Ismail, 29, turut membantunya mengusahakan Rumah Makan Nasi Talam itu yang dibuka sejak tahun 2017.

nasi talam taiping

Ditanya siapakah tukang masak di premis itu? Kata peniaga muda itu, ibunya, Umi Kalsum Ismail, 45, telah bertungkus-lumus selama setahun lamanya mempelajari menu masakan Padang.

“Beliau juga mendalami ilmu bagaimana mahu membuat rempah sendiri. Jadi, rempah yang kami guna bukannya jenis segera, tetapi dihasilkan dengan cara menggiling untuk menjadikan rasanya lebih sedap dan tahan lama.

“Sebab itu, antara menu paling laris di sini adalah seperti Gulai Rempah Giling Ikan Sembilang. Kesedapannya memang susah nak cakap,” selorohnya sambil tertawa.

Bukan itu sahaja, Muhammad Afiq turut mengesyorkan lebih 30 jenis lauk lain. Antara yang wajib dicuba adalah seperti Kambing Bakar Bumbu Padang dan Ikan Talapia Gepuk Berlado.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi Rumah Makan Nasi Talam ditutup, namun juadah lauk-pauk viral dijual di tapak Pasar Malam Air Kuning, Taman Mas, Taiping, Perak bermula jam 11 pagi hingga 6 petang.

nasi talam taiping

Rumah Makan Nasi Talam

  • Alamat: Batu 5, Jalan Kuala Kangsar, Changkat Jering, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Gulai Rempah Giling Ikan Sembilang, Kambing Bakar Bumbu Padang dan ikan Talapia Gepuk Berlado
  • Harga: Set talam bermula RM20 hingga RM85.90
  • Facebook: Rumah Makan Nasi Talam Taiping

Taiping, Perak bukan sahaja terkenal dengan destinasi pelancongan, bahkan turut dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik global dalam Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia.

Sekiranya berpeluang untuk berkunjung ke bandar bersejarah itu, perjalanan anda pastinya tidak lengkap jika tidak singgah di beberapa destinasi makanan popular di sana.

Selain Rumah Makan Nasi Talam yang terletak di Changkat Jering itu, terdapat premis lain yang wajib diserbu.

Berikut empat lagi lokasi yang boleh dipertimbangkan oleh pembaca SinarPlus jika anda berpeluang berkunjung di Taiping selepas tamat larangan merentas negeri nanti.

port makan-makan taiping

The Train

  • Alamat: 1, Jalan Stesen, Bangunan keratapi lama, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 2 petang hingga 8 malam
  • Menu signatur: Kepak ayam dan sandwich
  • Harga: Bermula RM7 hingga RM19
  • Facebook: The TRAIN

port makan-makan taiping

Cheeky Summer

  • Alamat: 92, Jalan Barrack, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Smoothie bowl
  • Harga: Bermula RM12 hingga RM15.90
  • Facebook: Cheeky Summer

port makan-makan taiping

Bismillah Cendol

  • Alamat: 233, Jalan Barrack, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Cendol, laksa penang dan pasembor
  • Harga: RM1.60 hingga RM3.60
  • Facebook: Bismillah Cendol

port makan-makan taiping

Le’pak Kitchen

  • Alamat: Jalan Taman Kaya, Taman Sungai Mas, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 1 petang hingga 7 malam
  • Menu signatur: Nasi goreng chicken chop
  • Harga: Bermula RM9.90 hingga RM19.90
  • Facebook: Le’pak Kitchen

4 Kaedah Terbaik Menangi Hati Anak Kecil. Tak Susah Pun

APABILA si kecil tidak mendengar cakap atau hanya buat tidak tahu tatkala ditegur, pasti ibu bapa akan tertekan dan berasa geram.

Jika situasi sebegitu sering terjadi, mak ayah lazimnya akan melenting tidak tentu fasal. Maka, keluarlah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Jika sudah tidak mampu lagi menahan kesabaran, kebanyakan ibu atau ayah akan meninggikan suara dan mengherdik si anak. Lebih memburukkan keadaan, ada yang sanggup merotan atau mengenakan denda sehingga zuriat mereka dilingkari perasaan trauma dan menyimpan dendam.

Namun, pepatah Melayu menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ringkas kata, jika anak-anak dididik dengan cara yang betul, kanak-kanak yang baru mahu mengenal dunia ini mendengar kata.

Berbincang mengenai topik anak-anak enggan mendengar cakap penjaga, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar (Pelawat) Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Johor, Dr Nor Rahidah Abd Rahim.

Dr Nor Rahidah.

Ujar Dr Nor Rahidah, proses mendidik anak-anaknya sebenarnya bermula dari peringkat awal dan ia perlu dilakukan tanpa henti.

“Segala masalah boleh diatasi dengan syarat ibu bapa perlu tahu punca mengapa anak tidak mahu mendengar kata. Selepas itu, mereka (ibu bapa atau penjaga) mesti juga bersedia untuk berubah,” katanya.

Terdapat empat pendekatan yang perlu diberi penekanan untuk  memenangi hati anak-anak. Berikut adalah perinciannya seperti yang dikongsikan oleh pakar itu:

1. Wujudkan konsep ‘perlekatan’.

Ujar Dr Nor Rahidah, ibu bapa perlu membina ikatan atau hubungan erat dengan anak-anak kecil dengan seoptimum mungkin.

“Anak-anak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun sangat memerlukan ruang untuk ibu bapa memahami mereka.

“Oleh itu, ibu bapa harus bijak membina emosi agar anak-anak akan berasa selesa dan akhirnya timbul kepercayaan dalam diri si kecil,” tambah beliau.

2. Peka perkembangan psikososial anak.

Kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun banyak menghabiskan masa di sekolah bersama guru-guru dan mereka sudah mula mempunyai kecenderungan untuk bertindak sendiri (dari segi kelakuan).

“Jadi, pada waktu itu, anak-anak akan lebih percaya dan akan melihat perhubungan di luar pertalian kekeluargaan sebagai ikutan mereka.

“Biasanya, mereka akan mesra dan mudah berkongsi luahan hati bersama orang yang memberi mereka pengajaran dan ilmu. Sebab itu, kadangkala ibu bapa akan mempersoalkan mengapa anak kecil sangat mudah mendengar arahan daripada guru di sekolah, namun ia tidak berlaku di rumah,” kata beliau.

3. Gaya keibubapaan.

Dalam konteks berkenaan, Dr Nor Rahidah berkongsi mengenai gaya keibubapaan khalifah.

Ujarnya, ia perlu disesuaikan dengan umur kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah akan dilayan seperti ‘raja’ iaitu penuh dengan kasih sayang.

“Apabila mereka mencapai umur tujuh hingga 14 tahun pula, mereka perlu dilayan seperti ‘khadam’ iaitu meminta anak-anak melakukan tugas harian di rumah agar hidup berdikari.

Hasilnya, ujar pakar itu, mereka akan menerima teguran dan faham bahawa nasihat itu demi kebaikan diri.

“Pada sama sama, ibu bapa perlu tahu, anak-anak generasi kini segalanya sudah tersedia dan mereka sangat pandai. Jadi, ibu bapa juga perlu pandai ‘mengayat’ bagi memenangi hati anak kecil,” sarannya.

Pada masa sama, proses mendidik perlu dilakukan secara berterusan.

“Jika pada usia masih bayi hingga 7 tahun, anak-anak sudah diasuh dengan betul, saya yakin peringkat perkembangan berikutnya tidak akan mempunyai sebarang masalah. Mereka boleh menerima teguran dan nasihat yang diberikan,” jelas beliau.

4. Memahami keperluan anak.

Bukan itu sahaja, ujar Dr Nor Rahidah, ibu bapa juga perlu arif dalam mendalami jiwa dan keadaan anak masing-masing memadai dengan menjadi penjaga yang baik dan bukan impikan ibu bapa yang sempurna.

“Saya yakin, ada di antara ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak syurga (seperti autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif) yang memerlukan pemantauan perkembangan yang lebih spesifik.

“Ibu bapa kategori ini memerlukan kaedah yang berbeza. Ia tidak sama seperti memberi arahan kepada anak kecil lain yang normal,” ujarnya.

Apakah pendekatan paling efisien? Beritahu beliau,  ibu bapa perlu bermula dengan hubungan mata terlebih dahulu.

“Seterusnya, barulah cuba memberi arahan yang pendek sahaja kerana kanak-kanak dengan masalah spesifik mempunyai kekangan untuk mengingati arahan yang panjang dan berbelit-belit,” ujarnya.

Pun demikian, tutur Dr Nor Rahidah, mak ayah juga perlu peka dengan ‘kemajuan’ tumbesaran anak-anak.

“Ini kerana secara saintifiknya ada sesetengah kanak-kanak memiliki perkembangan tubuh badan yang tidak seiring dengan perkembangan pada struktur otaknya.

“Bila hal ini berlaku, mereka gagal untuk berfikir secara logik dan tidak tahu menahu akan sebab dan akibat mengenai sesuatu perkara yang berlaku,” jelas beliau.

Bagi Dr Nor Rahidah, tiada ‘terapi’ asas bagi mengatasi masalah anak tidak mahu mendengar cakap, melainkan mak ayah sedaya upaya cuba memahami dan mendalami isi hati si manja.

“Kuncinya, bina terlebih dahulu emosi yang betul dan stabil agar anak kita arif dalam menyampaikan perasaan yang dirasai sama ada sedang marah, sedih atau kecewa,” katanya.