Archives for December 2021

Siram Pokok Salah Masa Punca Tanaman Tak Menjadi, Elakkan Waktu-Waktu Ini

BERKEBUN adalah hobi yang menyihatkan dan menguntungkan kerana hasil tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menjimatkan kos barang dapur.

Dalam proses penanaman pokok, salah satu elemen penting yang memastikan pokok tumbuh segar dan sihat ialah air.

Melalui teknik siraman yang betul, tanaman akan tumbuh segar dan tidak mudah mati. Lebih-lebih lagi bagi tanaman jenis sayuran.

Berbicara mengenai teknik siraman, ia mungkin nampak macam mudah sahaja. Namun jika silap caranya pokok yang ditanam bukan sahaja akan mati, malah berisiko diancam serangan serangga.

Justeru, perkongsian daripada jurutera, Syamimah Binti Ismail ini boleh membantu korang menyiram tanaman dengan baik.

“Selalu dengar orang kata, tanaman perlu disiram dua kali sehari. Tapi, bilakah waktu terbaik untuk menyiramnya?” kata Syamimah.

Beliau menyenaraikan dua tempoh yang sesuai untuk menyiram tanaman seperti berikut:

– Jam 6.00 hingga 8.00 pagi.
Ini adalah waktu terbaik untuk menyiram tanaman. Korang perlu memastikan siraman dibuat sehingga air keluar dari bahagian bawah pasu.

– 5.00 – 6.00 petang
Pada waktu ini korang boleh menyiram pokok namun kuantiti air siraman perlu minimum, hanya sekadar melembapkan tanah.

Syamimah juga berkongsi dua tempoh lagi  yang tidak digalakkan sama sekali untuk menyiram pokok atas sebab-sebab tertentu yang memudaratkan iaitu:

– 11.00 – 3.00 petang.
Waktu ini korang perlu elakkan dari membuat siraman kerana ia adalah waktu kemuncak atau paling panas.

– 6.00 petang ke atas.
Dari jam 6.00 petang ke atas, elakkan menyiram pokok dan tanaman kerana ia adalah waktu untuk pokok berehat. Tambahan pula bimbang tanah yang terlalu lembap akan mengundang kulat dalam tanah dan seterusnya boleh mengakibatkan keosakan akar.

Justeru, mengetahui waktu menyiram pokok yang terbaik sangat penting supaya air dapat diserap sepenuhnya dan digunakan untuk proses fotosintesis. Semoga bermanfaat.

Cantiknya Roti Jala Bentuk Bunga Dan Kek, Ibu Dan Anak Ini Kreatif Hasilkan Sajian Menawan

roti jala jelitaria hipster

ROTI jala memang terkenal sebagai salah satu sajian minum petang. Di negeri-negeri utara, ada yang menjadikan kuih itu sebagai sarapan pagi.

Sajian berkenaan akan bertambah enak sekiranya dicicah dengan kari ayam atau daging yang pekat, selain rendang, serawa durian atau kaya perisa pandan.

Lazimnya, roti jala asli yang dibuat dan dijual berwarna kuning.

roti jala hipster

Namun, revolusi pembuatan kudapan itu kini semakin berubah seiring dengan cita rasa masyarakat yang menginginkan sesuatu yang unik, tetapi masih mengekalkan keenakannya.

Justeru, seiring dengan selera semasa itu, seorang peniaga, Salmiah Saari bersama anak perempuannya tampil dengan kekreatifannya tersendiri.

Gulungan roti jala yang diusahakannya telah ditransisikan menjadi bentuk kek berwarna-warni.

Selain itu, kuih berkenaan juga dijadikan gubahan bunga ros atau kekwa yang sekali pandang, nampak seperti jambangan bunga yang asli.

roti jala hipster

Wanita berusia 47 tahun yang juga seorang tukang jahit berkata, pada awalnya, beliau dan anaknya, Nur Izzati Rohaizat, 22, hanya melakukannya secara suka-suka.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan, tempahan baju berkurangan. Kebetulan pada masa itu, ada kelas dalam talian membuat roti jala dan saya sangat tertarik dengan reka bentuk yang lain daripada kebiasaan.

“Maka, wujudlah Roti Jala Jelitaria,” katanya yang menetap di Puncak Alam, Selangor.

Beritahu Salmiah, bukan mudah untuk menghasilkan bancuhan kuih dengan sukatan tepat. Beliau sendiri mencuba beberapa kali sebelum berhasil mendapatkan urat jala yang cantik.

“Namun, bagi saya, paling penting kuih itu mampu bertahan lama dan lembut dalam tempoh 24 jam.

roti jala hipster

“Alhamdulillah, olahan resipi saya sendiri, ditambah dengan kari ayam istimewa berjaya menambat hati pelanggan,” katanya.

Ujar usahawanita itu lagi, untuk membentuk roti jala menjadi gubahan bunga atau kek mengambil masa yang agak lama.

“Selepas ‘menjala’ di atas dapur, saya peruntukkan lebih kurang dua jam untuk menggubahnya.

“Biasanya, pelanggan menjamu ‘kek roti jala’ pada majlis hari jadi atau keraian,” katanya yang turut mengambil tempahan secara online di luar kawasan Puncak Alam.

Roti Jala Jelitaria

  • Lokasi: Puncak Alam, Selangor
  • Waktu operasi: Bermula jam 8 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Roti Jala Jelita dan kari ayam
  • Harga: RM50 hingga RM70
  • Facebook Jelitaria
roti jala hipster

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan ini, nampaknya para peniaga semakin kreatif menghasilkan sesuatu yang berbeza pada kuih berkenaan. Antaranya seperti yang dilakukan oleh Roti Jala Jelitaria.

Sebenarnya, dalam hal ini, terpulang kepada selera masing-masing.

Ada segelintir yang masih menggemari warna asli roti jala, namun lebih ramai sukakan transformasi kuih tersebut yang diubah kepada beberapa bentuk dan warna yang pelbagai. Tepuk dada, tanya selera.

Justeru, pada minggu ini SinarPlus senaraikan empat lagi peniaga yang mengusahakan roti jala dengan cara mereka tersendiri.

roti jala hipster

Roti Jala Bunga Cinta

  • Alamat: No. 8, Jalan Sungai Agas 3, Off Jalan Kampung Batu 3, Klang
  • Waktu operasi: Tempahan dua hari sebelum tarikh penghantaran
  • Menu signatur: Roti Jala Bunga2 Cinta vs kari ayam meletup
  • Harga: Rm65
  • Facebook: Zurila Ghani
  • Instagram: Dapurkakmeks

roti jala hipster

Roti Jala Serawa Durian

  • Alamat: Ardence Labs, Eco Ardence, Setia Alam, Selangor
  • Waktu operasi: 10 pagi hingga 8 malam
  • Harga: Bermula RM90
  • Facebook: Arieni’s Roti Jala
  • Instagram: @arienisrotijala

roti jala hipster

Roti Jala Coklat

  • Alamat: Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor
  • Waktu operasi: Tempahan dua hari sebelum tarikh penghantaran
  • Harga: Bermula RM60
  • Facebook: VaNessa Khalid
  • Instagram: @jalabonita

roti jala hipster

Roti Jala Hipster

  • Alamat: The Zizz Damansara North, Petaling Jaya, Selangor
  • Waktu operasi: Tempahan dua hari sebelum tarikh penghantaran
  • Menu signatur: Roti jala cheesy, chicken floss dan butterscotch
  • Harga: Bermula RM20 hingga RM45
  • Facebook: Roti Jala Hipster
  • Instagram: @rotijalahipster

Imsonia, Kemurungan Boleh Tercetus Gara-Gara Masalah Kejang Kaki

SIAPA di antara kita yang tidak pernah mengalami kejang pada betis kaki? Mesti masing-masing berpengalaman dan mungkin hal itu kerap terjadi sehingga mengganggu waktu tidur.

Ya, impaknya, bukan sembarangan. Masakan tidak, ia boleh membuatkan seseorang berdepan masalah insomnia yang akhirnya menjadikan seseorang lesu dan letih pada keesokan harinya.

Melalui artikel yang disiarkan di Medical News Today, laman web perubatan itu memetik laporan daripada Pakar Perubatan Amerika tentang kemelut itu. Menerusi satu kajian, sebanyak 60 peratus orang dewasa, 40 peratus wanita hamil dan 7 peratus kanak-kanak mengalami kekejangan kaki pada waktu malam.

“Kekejangan kaki adalah (kekejangan) otot yang tidak disengajakan pada anggota kaki, tetapi yang paling biasanya berlaku adalah pada betis. Semestinya apabila otot tegang, seseorang akan rasa tidak selesa dan sakit,“ kata laporan berkenaan sebagaimana dipetik.

SinarPlus kemudian mendapatkan pandangan Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Selangor, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.

Dr Arisman.

Katanya, kejang pada kaki juga dikenali sebagai penyakit Willis-Eksbom.

“Secara asasnya, mereka yang mengalaminya akan berasa sakit sehingga gagal menggerakkan kaki. Ia biasanya akan terjadi pada waktu malam dan kerap menyerang ketika seseorang sedang berehat seperti duduk dan berbaring di tempat tidur,“ jelas beliau.

Meskipun nampak seperti tiada apa-apa, Dr Arisman menegaskan, masalah kekejangan kaki sama sekali tidak boleh diambil mudah.

“Ini kerana kekejangan kaki tahap sederhana ataupun teruk yang tidak dirawat boleh menyebabkan penurunan produktiviti kerja sekitar 20 peratus. Lebih parah, ia boleh mencetuskan masalah kemurungan dan kegelisahan,“ katanya.

Kepada SinarPlus, pegawai perubatan itu memaklumkan, lebih 80 peratus mereka yang berdepan masalah itu akan mengalami pergerakan tidur anggota badan secara berkala (PLMS).

“PLMS dicirikan oleh pergerakan kaki dan kadangkala juga berlaku pada lengan yang tidak disengajakan atau gerakan menyentak semasa tidur yang biasanya berlaku setiap 15 hingga 40 saat,“ terang beliau.

Mengenai punca kekejangan kaki, ia masih belum diketahui.

“Namun, ada kajian yang mengaitkannya dengan faktor genetik atau keturunan,“ tambah beliau.

Dalam pada itu, berdasarkan beberapa pandangan, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan masalah kekejangan kaki. Antaranya seperti:

  1. Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan sedang menjalani rawatan hemodialisis.
  2. Mereka yang berhadapan masalah kekurangan zat besi.
  3. Penggunaan alkohol, nikotin dan kafein secara berlebihan.
  4. Kehamilan terutamanya pada trimester terakhir.
  5. Neuropati (kerosakan saraf).
  6. Bersukan pada tahap keterlaluan.
  7. Berdiri terlalu lama.
  8. Posisi duduk yang salah.
  9. Kekurangan mineral dan elektrolit dalam tubuh badan.
  10. Mengambilan ubat-ubatan tertentu seperti:

i) Kompazin (ubat tahan muntah).

ii)Fenotiazin (ubat antipsikotik).

iii) Fluoxetine (ubat antidepresi yang meningkatkan serotonin).

iv) Diphenhydramine (ubat alergi dan mengandungi antihistamin).

“Oleh itu, bagi mereka yang mengalami gejala yang dinyatakan, sila dapatkan konsultasi doktor atau pakar jika simptom itu kerap berlaku dan semakin mengganggu rutin tidur. Banyak rawatan yang boleh membantu untuk kembali pulih,“ kata Dr Arisman.

Salur Darah Paru-Paru Tersumbat Darah Beku, Pulmonary Embolism ‘Pembunuh Senyap’ Wanita Selepas Bersalin

KERAP kali mendengar kematian wanita selepas bersalin akibat sesak nafas.

Sesak nafas, mungkin asbab kematian yang kelihatan umum tetapi ia berkemungkinan besar disebabkan oleh Pulmonary Embolism.

Pulmonary embolism ialah keadaan di mana kehadiran darah beku secara tiba-tiba di dalam saluran darah ke paru-paru.

Ia merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian wanita hamil dan selepas bersalin iaitu dalam masa kira-kira enam minggu selepas bersalin. Selain darah tinggi dan tumpah darah, pulmonary embolism ialah antara penyumbang tertinggi kematian wanita selepas bersalin.

Ketika hamil, darah adalah lebih pekat daripada biasa. Pembesaran bayi dalam kandungan juga akan menekan saluran darah utama yang terdapat pada badan ibu menyebabkan aliran darah menjadi kurang lancar.

Ini akan menyebabkan darah beku akan terbentuk di saluran darah pada betis (deep vein thrombosis). Selain itu, terdapat juga beberapa sebab lain seperti melahirkan melalui pembedahan juga boleh menyebabkan darah beku terbentuk kerana kurangnya pergerakan selepas bersalin.

Apabila darah beku berkumpul pada bahagian betis, si ibu akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan berasa sakit pada betis ketika berjalan.

Gejala ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberi rawatan awal. Jika tidak, darah beku di dalam saluran darah di bahagian kaki si ibu boleh ‘dislodge’ dan bergerak bila-bila masa dan menyangkut di saluran darah yang halus di paru-paru.

Ia seterusnya boleh menyebabkan saluran darah di dalam paru-paru tersumbat akibat darah beku atau pulmonary embolism dan ibu boleh maut secara tiba- tiba.

Hampir semua ibu hamil dan selepas bersalin mempunyai risiko untuk mendapat penyakit pulmonary embolism.

Risiko untuk mengalami pulmonary embolism semasa dan selepas bersalin meningkat sekiranya mereka mempunyai faktor seperti berikut:

1. Mempunyai berat badan melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2.
2. Bersalin menerusi pembedahan caesarean.
3. Berumur lebih daripada 35 tahun.
4. Melahirkan kandungan kembar.
5. Mengalami masalah air ketuban banyak atau polihidramnios.
6. Mengalami dehidrasi atau kurang air dalam badan.
7. Mendapat penyakit darah beku sebelum dan semasa mengandung atau pada kandungan terdahulu.
8. Tumpah darah semasa bersalin (melebihi satu liter).
9. Menjalani prosedur transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin.
10. Mempunyai enyakit yang menyebabkan darah menjadi likat seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome.
11. Mempunyai sejarah pembedahan semasa mengandung atau selepas bersalin seperti pembedahan appendisitis, pembedahan berkaitan patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
12. Ibu hidap penyakit pra eklampsia (iaitu darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein) semasa hamil dan berterusan selepas bersalin.

Menyedari bahaya situasi bahaya yang meragut nyawa ini, para ibu yang dalam tempoh minggu pertama selepas bersalin terutamanya yang berisiko tinggi perlu berwaspada dan peka tanda-tanda awal pulmonary embolism.

Simptom awal pulmonary embolism 

• Kembang atau bengkak kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya pada sebelah kaki kiri)
• Sukar untuk bernafas.
• Sakit dada.
• Batuk berdarah.
• Denyutan nadi yang sangat laju.

Sekiranya mempunyai simptom ini, korang perlu segera dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan.

Doktor yang merawat biasanya akan menjalankan pemeriksaan untuk melihat sama ada ibu tersebut berisiko tinggi untuk mendapat pulmonary embolism.

Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin akan dilakukan segera.

Kebanyakan wanita selepas bersalin yang mengalami pulmonary embolism maut sebelum sempat sampai ke hospital.

Justeru, sekiranya ada yang berisiko tinggi, rujuk kepada doktor dengan segera terutamanya jika mengalami simptom awal.

Sekiranya korang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, lakukan tiga langkah ini untuk mencegah pulmonary embolism.

 1. Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi.

 2. Aktif bergerak dan berjalan. Jangan hanya berbaring di katil!

 3. Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stocking iaitu stoking khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh.

Justeru, ibu dalam fasa berpantang perlu berhati-hati bagi mengelakkan pulmonary embolism terutamanya yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi. Usah abaikan tanda-tanda awal, dapatkan rawatan segera.

5 Bahan Mudah Buat Tart Oreo. Tak Perlu Guna Oven!

BOLEH dikatakan hampir setiap peringkat usia pastinya gemar menikmati hidangan manis seperti kek ataupun aiskrim.

Selain dijadikan sebagai pencuci mulut ataupun sekadar suka-suka.

Tak mengira masa, sama ada makan di kedai atau membuat pesanan penghantar makanan, menu sebegitu tetap menjadi pilihan.

Kadang-kala, beli di kedai itu tidak salah, tetapi apa kata jika buat sendiri sahaja di rumah.

Kali ini resipi mudah yang ingin SinarPlus kongsi ialah tart Oreo.

Kepada yang runsing sekiranya tidak memiliki oven, jangan risau kerana hidangan ini anda tidak memerlukannya.

Menerusi perkongsian yang dikongsikan oleh influencer media sosial di Instagram Arianna.kitchen, hanya menggunakan lima bahan ini sudah cukup untuk membuat tart Oreo.

Bahan-bahan

200 gram Oreo
100 gram mentega
250 gram krim keju
4 sudu teh gula kastor
100 mililiter susu cair

Cara-cara

Adunan pertama

-Kisar biskut Oreo menggunakan pengisar.
-Kemudian masukkan mentega yang telah dicairkan ke dalam adunan biskut Oreo.
-Gaul sehingga sebati dan kemudian tuangkan ke dalam loyang. Pilih loyang yang memiliki kunci di bahagian sisi agar mudah dibuka.

Adunan kedua

-Campur krim keju, inti biskut Oreo, gula kastor dan susu cair.
-Gaul adunan sehingga sebati dan kemudian letakkan di atas adunan pertama.
-Letakkan dalam peti sejuk sekitar dua jam.

Pilihan hiasan

Boleh gunakan coklat Nutella atau taburkan biskut Oreo yang telah dikisar di bahagian permukaan atas tart.

Selamat mencuba!

3 Sebab Telur Mentah Membahayakan Kesihatan Kita. Ini Fakta Yang Kita Perlu Tahu


SARAPAN
 dengan menikmati telur separuh masak memang best.

Namun, ada sesetengah daripada kita yang berani ‘menelan’ telur mentah.

Mereka yang berbuat demikian selalunya dalam kalangan atlet atau abang-abang sado termasuk mereka yang sentiasa kekal dan kerap beraktiviti.

Sama seperti telur yang dimasak, telur mentah juga mempunyai rekod pemakanan yang baik.

Antaranya kaya dengan protein, lemak sihat, vitamin, mineral, antioksidan dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, telur mentah juga tinggi lutein dan zeaxanthin.

Dua antioksidan itu penting dalam melindungi mata dan menurunkan risiko penyakit mata yang berkaitan dengan usia.

Pun demikian, menurut healthline.com, selain manfaatnya kepada tubuh badan, menikmati telur mentah juga dapat menyebabkan masalah kesihatan.

Berikut beberapa impaknya:

i) Mengurangkan penyerapan protein.

Satu kajian kecil mengatakan bahawa memakan telur mentah dapat mengurangkan protein berkualiti dalam bentuk 9 asid amino penting.

Buktinya, kajian itu telah membandingkan penyerapan protein daripada telur masak dengan telur mentah dalam kalangan lima individu.

Hasilnya, 90 peratus protein dalam telur yang dimasak diserap, sementara hanya 50 peratus protein telur mentah yang diserap.

Masalah penurunan penyerapan protein tersebut perlu dipertimbangkan sekiranya telur adalah sumber protein utama.

ii) Menghalang penyerapan biotin.

Biotin adalah vitamin B7 yang terlibat dalam penghasilan glukosa dan asid lemak dalam badan.

Selain itu, nutrien berkenaan juga penting semasa kehamilan.

Protein telur mentah putih yang mengikat biotin dalam usus kecil sehingga menghalang penyerapannya.

Bagaimanapun, kemungkinan kekurangan biotin akibat memakan telur mentah sangat kecil kecuali jika diminum secara berkala setiap hari.

iii) Berpotensi dicemari bakteria.

Telur mentah dan telur rebus mungkin mengandungi salmonella iaitu bakteria yang berbahaya.

Makan telur mentah yang dicemari dengan bakteria itu boleh menyebabkan keracunan makanan dengan gejala kekejangan perut, cirit-birit, muntah dan demam.

Simptom tersebut biasanya muncul enam jam hingga enam hari setelah dijangkiti jangkitan itu dan boleh berpanjangan selama empat hingga tujuh hari.

Jika diamati, sebilangan orang yang mengalami keracunan makanan salmonella cepat sembuh, tetapi terdapat sesetengah individu yang berisiko tinggi mengalami gejala yang lebih teruk.

Mereka terdiri daripada warga emas, ibu mengandung, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan kanak-kanak.

Jadi, bagaimana ingin mencegah daripada bakteria jahat itu?

Lapor Medical News Today, cara untuk mengawal atau mencegah Salmonella adalah dengan menggunakan kaedah pasteurisasi dan penyinaran.

Pasteurisasi melibatkan pemanasan telur dengan air atau udara panas untuk jangka masa yang sangat spesifik.

Jadi, telur disyorkan dipanaskan pada suhu sekurang-kurangnya 60 darjah Celcius selama 6.2 minit.

Dalam pada itu, pasteurisasi pula dapat mengurangkan pencemaran Salmonella dengan ketara.

Namun, ia tidak mempengaruhi kualiti pemakanan atau rasa telur.

Apa-apapun, semua jenis makanan yang dimakan haruslah diambil secara sederhana.

Ingat, setiap yang berlebihan pasti membawa kemudaratan.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca SinarPlus.

Kanak-Kanak Juga Sakit Buah Pinggang, Dikenali Sebagai Sindrom Nefrotik

JIKA dibuat undian secara rawak, ramai yang akan memberi pandangan bahawa masalah buah pinggang hanya berlaku pada golongan dewasa. Namun, penyakit itu sebenarnya boleh menyerang kanak-kanak.

Justeru, kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil, mereka sememangnya dinasihatkan supaya lebih peka terhadap kesihatan si kecil yang sedang membesar. Menurut portal perubatan antarabangsa emedicine.medscape.com, penyakit buah pinggang atau turut dikenali sebagai sindrom nefrotik sudah boleh dikesan sejak bayi dalam kandungan lagi.

Portal itu juga menerangkan, sindrom berkenaan terjadi antara dua hingga tujuh kes per 100,000 ini dengan nisbah 2:1 bagi lelaki dan perempuan di seluruh dunia.

Untuk menjawab beberapa pertanyaan popular mengenai penyakit berkenaan, Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Ampang, Dr Yamuna Ramadas yang dijemput sebagai panel dalam program Doktor dan Anda (DNA) terbitan SinarPlus mempunyai huraian lanjut.

Dr Yamuna.

Dr Yamuna memberitahu, sindrom nefrotik adalah satu keadaan buah pinggang yang mana seorang kanak-kanak akan kehilangan protein dalam air kencing sehingga menyebabkan aras protein dalam darah turut berkurangan.

“Apabila aras protein dalam darah rendah, ia akan menyebabkan pembengkakan di sekitar mata, kaki dan perut,” katanya.

Ujar pakar itu, kes-kes kanak-kanak yang didiagnos dengan sindrom nefrotik lebih tinggi di negara-negara Asia, berbanding di negara Barat lain.

“Di Malaysia, pada setiap tahun, berkemungkinan purata jangkitan kes baharu adalah dianggarkan sebanyak dua hingga 15 kes daripada 100,000 orang kanak-kanak,” ungkapnya.

Mengulas lanjut, kata Dr Yamuna, sindrom nefrotik biasanya berlaku tanpa sebab apabila seseorang kanak-kanak itu berumur satu hingga 12 tahun. “Namun demikian, ada juga beberapa kes yang merekodkan pesakit yang datang dalam kalangan mereka yang berumur kurang daripada satu tahun, tetapi ia direkodkan jenis kontigental,” terang pakar itu.

Menjawab pertanyaan apakah tanda-tanda seorang kanak-kanak boleh mendapat sindrom nefrotik, Dr Yamuna menjelaskannya secara terperinci.

“Antara tanda-tanda kanak-kanak diserang sindrom nefrotik adalah berlaku pembengkakan yang sangat ketara pada bahagian anggota badan.

“Bengkak (oedema) sindrom nefrotik biasanya berlaku sekitar kaki, sekeliling mata (sembap) dan perut. Mungkin ada juga kanak-kanak yang mana air kencingnya akan mengalami perubahan seperti kelihatan berbuih atau kuantiti air kencingnya berkurang,” katanya.

Bagi kanak-kanak yang lebih tinggi usianya termasuk orang dewasa, penyakit itu boleh tercetus ekoran daripada masalah perubatan lain seperti diabetes atau lupus eritematosus sistemik.

“Dalam erti kata lain, nefrotik boleh berlaku pada semua peringkat umur, namun demikian, ia kerap berlaku pada kanak-kanak,” katanya.

Kemunculan semula

Kepada ibu bapa di luar sana, Dr Yamuna memberi peringatan tegas. Katanya, ibu bapa perlu membawa anak mereka mendapatkan rawatan dan dilarang menunggu sehingga bengkak sudah melarat.

“Kita lihat, kebanyakan ibu bapa membawa anak berjumpa pakar setelah kaki dan perut membengkak dengan teruk. Ingat, pembengkakan itu boleh merebak kepada paru-paru kanak-kanak tersebut,” maklumnya.

Mengenai rawatan pencegahan pula, Dr Yamuna berkata, doktor lazimnya akan akan memberikan ubat steroid iaitu prednisolone. Dos ubat dikira berdasarkan berat dan tinggi kanak-kanak.

“Prednisolone ialah ubat kortikosteroid yang sering kali digunakan untuk merawat gejala sindrom nefrotik. Ubat ini akan diberi untuk durasi antara 30 hari hingga tiga bulan atau lebih, bergantung kepada respons pesakit.

“Biasanya, kebanyakan pesakit sindrom nefrotik akan menunjukkan respons positif dengan rawatan ubat prednisolone. Pun demikian, penyakit berkenaan kerap berlaku semula atau istilah yang sentiasa disebut, relapse,” katanya.

Beritahu pakar itu, antara tanda utama keberkesanan ubat berkenaan adalah tiada protein dalam air kencing. Simptom awal pertama relapse pula, merujuk kepada kemunculan semula protein (dalam air kencing). “Oleh itu, pemantauan air kencing di rumah setiap hari dengan menggunakan urine dipstick adalah amat penting untuk mengetahui keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang relapse,” jelasnya.

Dr Yamuna turut menyenaraikan beberapa kesan sampingan pengambilan steroid dalam jangka masa pendek. Antaranya:

i) Selera makan akan meningkat.

ii) Kanak-kanak menjadi lebih aktif.

iii) Sakit perut.

“Jika pengambilan ubat jenis itu diambil lebih panjang dengan dos yang lebih tinggi pula, kanak-kanak tersebut mungkin berhadapan masalah selaput mata, tekanan darah meningkat, mengalami kesakitan pada otot dan jerawat akan tumbuh,” ujarnya.

90 peratus pulih

Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Am, Hospital KPJ Rawang, Dr Shafira Datuk Dr Mohamad Sha turut melontarkan pandangannya.

Ujarnya, untuk individu normal, sepatutnya tiada kandungan protein (0 gram) dalam air kencing seseorang. “Biasanya, lebihan protein di dalam air kencing pesakit sindrom nefrotik akan melebihi 3.5 gram sehari. Bukan itu sahaja, keadaan itu juga memerlukan kriteria seperti kurang albumin dalam darah. Biasanya, kadar albumin dalam darah adalah 3.5 hingga 5.9 gram/desiliter,” jelasnya.

Kata beliau, kedua-dua ciri yang dinyatakan itu adalah penting untuk mengesahkan seseorang berdepan dengan gejala berkenaan.

“Namun demikian, jangan khuatir kerana hampir 90 peratus pesakit berjaya bebas, meskipun ada kes berulang direkodkan,” katanya

Seperti kata Dr Yamuda, Dr Shafira memberitahu, secara umumnya, sebab mengapa berlakunya sindrom nefrotik dalam kalangan kanak-kanak tidak diketahui atau dalam bahasa perubatannya dikenali sebagai idiopatik.

Namun demikian, terdapat kajian yang mendapati berkemungkinan besar penyakit berkenan berkait rapat dengan sistem imun badan.

Pada masa sama, sindrom nefrotik juga dikatakan tidak diwarisi dalam keluarga (tiada elemen genetik sindrom nefrotik) dan ia turut tidak disebabkan oleh jangkitan yang khusus ataupun pemakanan yang salah, kata beliau.IKLAN

Menjawab satu soalan, masalah kesihatan itu kata Dr Shafira boleh disahkan melalui beberapa kaedah selain pemeriksaan air kencing.

Antaranya:

i) Pemeriksaan kuantitatif kandungan protein yang hilang dalam air kencing dalam sehari.

  • Air kencing boleh dikumpul dalam masa 24 jam bagi kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa. Bagi kanak-kanak yang kecil, satu sampel air kencing secara rawak pada waktu pagi boleh diambil.

ii) Ujian darah untuk paras protein (albumin) dalam badan, fungsi buah pinggang dan paras kolesterol.

  • Paras kolesterol biasanya tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik.

iii) Ujian makmal lain yang perlu dilakukan bergantung kepada gejala klinikal kanak-kanak tersebut atau ditentukan oleh pakar.

“Justeru, jika anak kecil menunjukkan gejala-gejala kepada masalah sindrom nefrotik, usah berlengah lagi. Segeralah dapatkan pemeriksaan lanjut,” sarannya.

Sangkaan awal Wildan Ahmad digigit nyamuk, alami alergi meleset

Wildan Ahmad.

PADA awalnya, Puteri Nazrahtul Omar menganggap badan anaknya, Wildan Ahmad Mohd Shazli, 3, menjadi bengkak dek digigit nyamuk atau serangga sahaja.

Jika tidak pun, kemungkinan si kecil itu mungkin berhadapan dengan alahan kepada apa-apa jenis makanan atau persekitaran.

Namun demikian, dari semasa ke semasa keadaan Wildan Ahmad semakin bertambah parah, kata Puteri Nazrahtul.

“Mata anak bongsu saya menjadi sangat sembap dan kakinya juga membengkak. Apabila saya tekan kakinya, ia seolah-oleh menunjukkan seperti berlaku bengkak air. Tanpa membuang masa, saya terus membawanya untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya yang turut memaklumkan ukuran saiz lampin pakai buang anaknya naik ke saiz yang lebih besar dalam tempoh dua minggu sahaja.

Bercerita mengenai insiden yang berlaku pada tahun 2018 itu, Puteri Nazratul berkata, dirinya terkejut apabila zuriatnya disahkan mempunyai prognosis kepada sindrom nefrotik selepas membuat ujian air kencing.

“Pada masa itu, protein dalam air kencing anak saya menghampiri 3 gram. Jujur saya cakap, itulah kali pertama saya dengar mengenai sindrom nefrotik ketika beliau barusia satu tahun lima bulan,” katanya.

Berdasarkan rekod, tiada seorang pun ahli keluarga wanita itu mempunyai sindrom nefrotik.

Ungkap ibu kepada tiga orang anak itu, beliau kemudian secara berterusan membuat pembacaan bagi mendalami dan memahami apa itu sindrom yang dideritai Wildan Ahmad.

Justeru, bagi memastikan kondisi Wildan Ahmad sentiasa terjaga, beliau telah membuat satu diari khas yang mencatatkan segala rutin harian anaknya.

“Saya menulis semuanya setiap hari. Saya juga kena sentiasa peka keadaannya terutama melibatkan dos ubat yang dimakannya, berat badan yang dicatatkan dan bacaan air kencingnya.

“Sebenarnya, dalam hal ini, ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap sindrom nefrotik perlu ‘tangkap’ lebih awal sebelum anak mereka relapse atau sebelum membengkak dengan memeriksa bacaan air kencing anak setiap hari,” ujarnya.

Setakat artikel ini ditulis, beritahu Puteri Nazrahtul, anak kesayangannya itu masih menerima rawatan secara biopsi. Sebelum ini, Wildan Ahmad pernah diminta makan ubat prednisolone.

“Selepas setahun, sindrom itu nampaknya menyerang kembali dan kali ini lebih kerap berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Anak Tantrum: Jangan Panik, Ini 4 Cara Tenangkan Mereka

  • Dr Muhammad Salehuddin SulaimanPakar Pediatrik, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Terengganu

SOALAN 1

DOKTOR, anak saya kini berusia dua tahun dan beliau baru sahaja mendapat adik beberapa bulan lepas. Saya sebagai ibunya mendapati sikap dan tingkah lakunya berubah apabila sering memecahkan barang-barang dan berkelakuan ganas. Doktor, apakah yang perlu saya lakukan apabila anak saya tantrum terutamanya di tempat awam?

– IBU MUDA, 28, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG.

JAWAPAN:

TERIMA kasih atas soalan yang diajukan. Puan, tantrum atau bahasa mudahnya mengamuk biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil iaitu sekitar satu hingga tiga tahun.

Kanak-kanak tersebut menzahirkan ledakan emosi (emotional outburst) sama ada dengan suara iaitu menangis dan menjerit atau dengan perbuatan atau tingkah laku seperti menendang, memecahkan barang dan mencakar.

Puan, jika anak sedang mengamuk, ia tidak bermaksud disebabkan oleh kegagalan ibu bapa, tetapi ia merupakan salah satu tahap perkembangan yang penting.

Sebenarnya, jika tantrum diurus dengan baik, ia boleh membantu kanak-kanak belajar mengawal emosi mereka.

Menjawab kepada persoalan puan, perkara yang paling penting adalah ibu bapa perlu tenang dan tidak membalas tantrum anak dengan menengking atau memukul.

Ya, senang disebut, tetapi sukar untuk dibuat, terutama sekali jika anak mengamuk di tempat awam. Jadi, ada ibu bapa yang akan mengalah dan menurut kehendak anak sahaja.

Contohnya, anak mengamuk kerana mahukan mainan, lalu ibu bapa membeli mainan tersebut untuk memujuk beliau supaya berhenti mengamuk.

Perbuatan berkenaan sebenarnya menghantar isyarat kepada anak seperti ‘jika saya mengamuk, saya akan dapat apa yang saya hajati.‘

Jadi, tantrum yang pada asalnya merupakan suatu yang berlaku tanpa sedar (involuntary) akan berubah menjadi sesuatu yang sengaja dibuat untuk mereka mendapatkan apa yang dihajati. Seterusnya, perkara yang paling penting selepas itu adalah mengesahkan emosi anak.

Ia membawa maksud ibu bapa cuba meletakkan diri dalam posisi anak, memahami dan seterusnya menamakan emosi tersebut dengan perkataan dan perbuatan.

Sebagai contoh ‘Adik marah ya?‘ atau ‘Maryam mahukan aiskrim?‘.

Pengesahan itu akan memberi isyarat bahawa ibu bapa faham apa yang mereka cuba sampaikan jika (ibu bapa) berada di pihak mereka.

Dalam situasi puan, saya berpendapat anak puan berkelakuan sedemikian kerana inginkan perhatian. Beliau mungkin berasa iri hati dan tidak dapat menterjemahkan perasaan berkenaan.

Jika berlaku di tempat awam, puan boleh cuba beberapa perkara seperti:

  • Tarik perhatian kepada benda lain.
  • Peluk anak.
  • Bawa anak ke tempat lain contohnya ke bilik persalinan bayi atau ke dalam kereta.
  • Berkomunikasi iaitu sahkan emosi anak dan beritahu beliau bahawa puan tidak menyukai tingkah laku tersebut bukannya diri beliau.

Kanak-kanak umur 10 tahun pun masih boleh alami tantrum

SOALAN 2

Doktor, anak saya kini sering mengalami masalah tantrum terutamanya selepas mengikut kelas dalam talian. Soalan saya, mengapa anak saya berdepan dengan masalah itu? Bagaimana saya ingin membantunya doktor? Lagi satu, kebiasaannya anak akan mengalami tantrum sehingga umurnya berapa? Terima kasih doktor.

– INGIN TAHU, 31, KUALA KANGSAR, PERAK

JAWAPAN:

Tuan, pada pandangan saya, anak tuan menunjukkan perilaku sedemikian kerana kesukarannya untuk memahami atau menyiapkan tugasan, terutama apabila pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Pada hemat saya, berkemungkinan tuan boleh mencuba dengan mengesahkan terlebih dahulu emosi anak dengan menyebut ‘ayah rasa abang susah untuk faham belajar subjek matematik tadi‘ atau ‘abang susah nak siapkan kerja yang cikgu beri?‘

Ingin saya tegaskan, ibu bapa perlu tahu punca anak alami tantrum kerana ia lebih mudah untuk dikendalikan.

Apa-apapun, saya nasihatkan agar bersabar dan sentiasa positif semasa ‘melayani‘ anak kecil yang sedang mengamuk.

Tuan, tantrum lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil, tetapi ada juga kanak-kanak yang lebih besar iaitu peringkat umur bawah 10 tahun yang masih mengalaminya.

Selalunya tantrum berlaku kerana kanak-kanak pada peringkat umur bawah dua tahun kerana mengalami masalah untuk menyampaikan perasaan mereka, terutama rasa kecewa apabila mereka tidak mendapat apa yang dihajati.

Sebaliknya, tantrum dalam kalangan kanak-kanak tiga hingga lima tahun pula terjadi apabila mereka menghadapi masalah untuk memahami sesuatu perkara atau menyiapkan kerja atau tugas.

Hati-Hati Penggunaan Bonjela, Ubat Ulser Mulut Tidak Sesuai Untuk Kanak-Kanak

LAZIMNYA, ramai ibu bapa yang kadangkala berfikir semua ubat-ubatan yang digunakan oleh mereka juga boleh diaplikasikan pada anak-anak.

Namun, ingatlah, bukan semuanya sesuai kerana ia boleh mendatangkan komplikasi kesihatan yang sangat serius.

Antaranya adalah penggunaan bonjela yang merupakan ubat yang digunakan untuk mengurangkan kesakitan ulser mulut.

Kejadian yang tidak enak didengar itu telah berkali-kali berlaku di luar negara.

Terbaharu, seorang bayi dari New Zealand hampir maut setelah mengalami salicylate overdose setelah disapu cecair bonjela berulang kali dalam tempoh masa yang singkat.

Bayi berusia tujuh bulan itu dilaporkankan berhenti bernafas lalu dikejarkan ke hospital.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi laman Facebooknya berkata, walaupun kejadian tersebut berlaku di negara luar, mungkin ada baiknya ibu bapa di negara ini mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan perkara sama daripada berlaku.

“Produk itu (bonjela) mengandungi salicylate salts iaitu bahan kimia mempunyai kesan yang sama dengan aspirin.

“Oleh itu, kanak-kanak yang berusia 16 tahun ke bawah ditegah daripada mengambil aspirin kerana terdapat risiko sindrom Reye iaitu satu komplikasi yang boleh menyebabkan kegagalan hati, kerosakan otak dan kematian,” beritahu PHM.

Medicines and Healthcare Products Regulatory Agency juga telah mengeluarkan amaran sama sejak tahun 2006 lagi.

Berikut beberapa tip bagi penggunaan ubat-ubatan itu kepada kanak-kanak:

i) Rujuk profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi sebelum guna.

Anak lambat bercakap, doktor ini kongsi apa ibu bapa perlu buat

ii) Untuk keselamatan, kanak-kanak tidak digalakkan untuk menggunakan cecair berkenaan.

  • Sekiranya masih diperlukan, sila ikut arahan dan elakkan penggunaan secara berlebihan.

iii) Sentiasa patuh kepada dos yang disarankan.

  • Ini kerana pemberian dos berlebihan boleh menyebabkan risiko keracunan.

Foto: Facebook Public Health Malaysia

3 Tip Cegah Batu Karang, Rawatlah Sebelum Melarat

MASALAH batu karang pada buah pinggang merupakan komplikasi yang biasa terjadi yang membebankan penghidapnya.

Menurut Pakar Perubatan Umum Pengkhususan Perubatan Nutrisi, Dr Norman Mohd Norawi, lazimnya, kaum lelaki lebih ramai mengalami masalah berkenaan berbanding wanita.

Dr Norman.

“Ia adalah satu penyakit yang sangat menyeksakan kerana ia menyebabkan rasa sakit yang teruk pada bahagian pinggang hingga ke ari-ari. Jika keadaan ini tidak di rawat dengan baik, ia boleh menyebabkan kerosakan kekal buah pinggang,“ beritahunya.

Terdapat beberapa tanda khusus masalah batu karang pada buah pinggang iaitu:

Rasa sakit yang sangat kuat bahagian belakang hingga ke kawasan ari-ari. Ia akan datang dan hilang secara berulang-ulang.

Air kencing menjadi keruh, berdarah dan berbau kuat.

Warna air kencing boleh juga menjadi keperangan atau merah jambu akibat kandungan darah di dalamnya.

Rasa hendak buang air kecil yang kerap, tetapi tidak mengeluarkan jumlah air kencing yang banyak.

Rasa loya, perut memulas dan muntah-muntah terutama semasa sakit yang teruk.

Rasa seperti hendak demam dan menggigil.Dalam pada itu, kata Dr Norman, penyakit batu karang buah pinggang mempunyai beberapa jenis. Antaranya:

1. Batu karang kalsium fosfat.

  • Sangat biasa berlaku dan senang untuk dipecahkan serta dilarutkan dalam air kencing yang diasidkan dengan vitamin C.

2. Batu karang kalsium oksalat.

  • Batu karang jenis ini lebih keras dan juga sangat biasa terjadi, tetapi ia tidak mudah larut dalam air kencing yang diasidkan.

3. Batu karang magnesium ammonium fosfat (struvite).

  • Ia jarang berlaku dan selalunya kesan daripada jangkitan kuman dalam saluran kencing serta boleh larut dengan mudah dalam air kencing yang diasidkan dengan vitamin.

4. Batu karang asid urik.

  • Berlaku kepada pesakit gout yang kronik yang mempunyai paras asid urik yang sentiasa tinggi. Asid berkenaan akan menjadi kristal di dalam air kencing, lalu membentuk batu karang di dalam buah pinggang dan pada saluran kencing.

5. Batu karang cystine.

  • Batu karang jenis ini sangat jarang berlaku. Ia terjadi akibat faktor genetik kerana kegagalan buah pinggang menyerap semula bahan cystine. Selalunya, ia lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak.

Suplemen terbaik

Dalam pada itu, kata pakar berkenaan, terdapat kajian menunjukkan magnesium mempunyai fungsi yang penting untuk mencegah terjadinya penyakit batu karang pada buah pinggang.

“Pengambilan suplemen magnesium sekurang-kurangnya dengan dos 300 hingga 400 miligram sehari adalah disarankan. Nisbah yang baik adalah di antara magnesium dan kalsium adalah 1:1 dari segi dosnya,“ saran beliau.

Pun demikian, terdapat pelbagai jenis suplemen magnesium seperti magnesium citrate, chelate, malate atau chloride.

“Suplemen magnesium oksida adalah yang paling murah dan mudah didapati, tetapi hanya 5 peratus sahaja yang akan diserap oleh tubuh dan selebihnya akan menjadikan najis lawas atau mungkin menyebabkan masalah cirit-birit.

“Suplemen magnesium citrate adalah yang paling baik. Selain harganya yang berpatutan, ia juga mudah untuk didapati di farmasi atau klinik,“ katanya.

Dalam pada itu, portal kesihatan antarabangsa, Healthline turut menyenaraikan beberapa tip mencegah pembentukan batu karang secara semula jadi.

Antaranya:

  • Ambil air dengan kuantiti yang mencukupi.

Pembentukan batu karang boleh terjadi daripada kencing yang terlalu pekat disebabkan oleh kurangnya minum air.

Cecair berkenaan bukan sahaja mengeluarkan toksin, tetapi juga membantu menggerakkan batu dan ‘menggosok‘ saluran kencing. Jadi, disarankan minum air antara lapan hingga 12 gelas sehari.

  • Minuman jus asli.

Jus buah-buahan atau daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan seperti lemon, limau, jus delima, saderi dan selasih boleh diambil kerana ia dapat mengelakkan pembentukan batu karang. Buah-buahan itu bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah kuantiti air kencing, malah mengandungi potassium dan asid sitrik yang tinggi.

  • Minyak ikan.

Minyak ikan mempunyai lemak omega-3 yang tinggi, sekali gus boleh mencegah batu karang. Ia akan bertindak meminimumkan perkumuhan kalsium melalui buah pinggang dan juga meningkatkan kandungan sitrat dalam air kencing.

Antara contoh ikan yang kaya dengan lemak omega-3 ialah salmon, tuna, mackerel dan sardin.