Archives for December 2021

Unik! Kuih Bentuk Lesung, Resipi Asli Kuih Cecemek

MENURUT laman web orangperak.com, kuih cecemek merupakan salah satu sajian tradisional negeri Perak yang sukar ditemui lagi.

Ini kerana menu berkenaan tidak diperturunkan kepada generasi baharu atau muda zaman sekarang menganggap cara adunannya terlalu leceh.

Terdapat sesetengah yang berpendapat, kuih cecemek mirip kepada kuih sampan atau limas kerana rupa bentuknya lebih kurang sama.

Dari segi ramuannya pula, ia dikatakan sama dengan teknik membuat kuih badak berendam. Kedua-dua menggunakan tepung pulut sebagai bahan utama.

Baru-baru ini, SinarPlus berjaya mengorek rahsia di sebalik resepi kuih istimewa itu daripada seorang pembikin juadah istimewa berkenaan yang juga anak jati Parit Buntar, Perak.

Zuraini Alias ketika dihubungi menerangkan, perbezaan antara kuih cecemek dan badak berendam adalah dari segi bentuk.

Zuraini.

Maklum Zuraini, jika kuih badak berendam berbentuk bulat, kuih cecemek pula kerap ‘digayakan’ dengan bentuk lesung (berlubang di tengah) dan bunga durian (bersegi di atas).

“Orang zaman dulu sangat rajin dan memang teliti. Sebab itu bentuk bersegi seperti bunga durian menjadi pilihan mereka.

“Atas faktor peredaran zaman, bentuk kuih cecemek juga telah divariasikan. Saya suka buat bentuk lesung kerana lebih mudah dan senang. Ada juga yang hanya memilih bentuk bulat sahaja,” ungkapnya.

Selain itu, ujar wanita yang lembut bicaranya, warna pada bebola doh pun turut diberi perhatian.

“Resipi asal (original) kuih cecemek memang hanya warna putih sahaja. Untuk kuih hasil air tangan saya, saya menambah pewarna hijau. Jika hendak lebih sedap, boleh gunakan air daripada ekstrak daun pandan. Barulah lebih umphh,” kata tenaga pengajar kelas memasak secara dalam talian itu.

Berkongsi mengenai tip membuat kuih cecemek, beritahu Zuraini, tempoh masa untuk mengukusnya perlu tepat.

“Bukan apa, jangan kukus terlalu lama kerana ia akan menyebabkan santan yang digunakan akan pecah lemak, nanti rasanya pun kurang sedap. Pastikan tidak lebih dari 10 minit,” pesannya.

PROFIL

  • Nama: Zuraini Alias
  • Umur: 52 tahun
  • Asal: Parit, Perak
  • Menetap: Bangi, Selangor
  • Facebook: Zuraini Alias ll
  • Instagram: Dapurkakzu

RESIPI KUIH CECEMEK

Bahan- bahan

  • 2 cawan tepung pulut
  • 1 1/3 cawan santan
  • Sedikit garam
  • Sedikit air
  • Daun pisang

Cara penyediaan:

  1. Bancuh dan uli doh dan dibentuk menjadi bulat.
  2. Selepas itu, bentukkan lubang seperti lesung pada tengah doh.
  3. Susun doh-doh tersebut di atas loyang yang telah dialaskan dengan daun pisang.
  4. Kemudian, masukkan gula pasir ke dalam lubang dan di tepi kuih cecemek.
  5. Masukkan santan bersama sedikit garam.
  6. Akhir sekali, kukus kuih cecemek lebih kurang 10 minit.

Sumber: Zuraini Alias

Sakit Belakang, Leher Bila Bekerja Dari Rumah? Kedudukan Kerusi, Komputer, Kurang Bergerak Antara Punca

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, lebih sejuta pekerja pejabat telah menerima arahan bekerja dari rumah (BDR).

Duduk dalam jangka masa yang lama bermesyuarat dalam talian dan menyelesaikan tugasan, ramai yang meluahkan sakit pinggang dan leher sejak menjadikan rumah mereka sebagai pejabat sementara.

Masalah ini boleh mengganggu prestasi kerja dan boleh berlarutan menjadi sakit kronik jika tidak ditangani dengan baik.

Menurut Pakar Perunding Intervensi Sakit, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Mohd Fahmi Zakariah sakit belakang dan leher yang dialami para pekerja yang bekerja dari rumah berpunca daripada faktor berikut:

1) Persekitaran kerja di rumah yang kurang ergonomik
Kebanyakan kita menggunakan perabot sedia ada di rumah seperti meja dan kerusi makan, sofa ataupun katil sebagai ruang kerja. Kebanyakan pekerja menggunakan komputer riba, tablet ataupun telefon pintar.

Menurut Dr Mohd Fahmi, faktor ergonomik yang kurang ideal di rumah boleh menyumbang kepada postur yang tidak betul seperti membongkok. Postur badan dan leher yang tidak neutral ini memberikan tekanan berlebihan kepada struktur badan lalu menyumbang kepada kesakitan.

2) Kurang pergerakan
Apabila bekerja di pejabat, kita cenderung untuk melakukan pergerakan semasa perjalanan pergi dan balik atau berjalan sekitar kawasan pejabat. Bagaimanapun, apabila bekerja dari rumah, kebanyakan kita kurang bergerak dan lebih banyak duduk di sesuatu posisi untuk jangkamasa yang lama. Ini menyebabkan bebank kepada struktur tulang belakang dan leher semakin bertambah dan menimbulkan
kesakitan.

3) Stres dan tidur yang tidak menentu
Kata Dr Mohd Fahmi, stres juga menjadi punca kesakitan pada bahagian leher dan belakang.

“Ramai pekerja yang mengadu bahawa tempoh bekerja mereka menjadi tidak menentu ketika bekerja dari rumah.

“Ada juga yang mengadu akan tekanan kerja yang bertambah kerana terpaksa membahagikan kerja dan tugas menjaga anak-anak yang turut menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Stres yang berlebihan dan tidur yang tidak menentu boleh menyumbang kepada sakit kronik,” katanya.

Cara mengatasi sakit belakang dan leher ketika bekerja dari rumah

1) Mengamalkan postur dan ergonomik kerja yang betul
Postur yang betul ketika bekerja adalah amat penting untuk mengelakkan sakit belakang dan leher. Korang boleh melaburkan sedikit wang untuk persekitaran ergonomik kerja yang baik.

Dr Mohd Fahmi menegaskan tidak semestinya perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk tujuan ini. Kerusi ‘lumbar support’ dan meja kerja yang boleh diubah ketinggiannya adalah ideal untuk postur yang betul.

Korang boleh membuat ubahsuai tempat kerja dengan menggunakan apa yang ada di rumah dengan ciri-ciri ergonomik yang disarankan seperti berikut:

●Kerusi
Ketinggian kerusi yang ideal memadankan paras siku dengan meja kerja. Kaki patut terletak di atas lantai atau tempat rehat kaki. Menurutnya, kerusi yang baik mempunyai ciri “lumbar support” ketika bersandar.
Namun jika kerusi korang tiada “lumbar support”, korang boleh menggunakan bantal kecil atau tuala yang digulung untuk sebagai sokongan tulang belakang.

●Meja kerja
Meja kerja perlu mempunyai ketinggian yang sesuai agar bahu dan siku berada dalam postur yang neutral.

●Komputer / komputer riba
Tinggikan paras skrin komputer ribaagar sama dengan paras mata anda. Korang boleh menggunakan buku atau kotak untuk mengubah ketinggian skrin.

Gunakan ‘external keyboard’ dan ‘mouse’ apabila skrin laptop ditinggikan supaya kedudukan bahu lebih selesa dan siku bengkok lebih kurang 90 darjah.

Dekatkan ‘external keyboard’ dan ‘mouse’ dengan badan agar tidak membongkok ketika bekerja.

2) Banyakkan pergerakan ketika bekerja di rumah
Setiap 30 minit bekerja sambil duduk, amalkan bangun dari tempat duduk dan bergerak selama lima minit. Ini akan membantu mengurangkan beban yang berlebihan akibat postur yang statik.

3) Amalkan gaya hidup sihat
Amalan gaya hidup sihat seperti bersenam, ambil makanan berkhasiat, mengawal stres dan tidur yang cukupi adalah penting untuk meningkatkan daya tahan tubuh badan.

Aktiviti fizikal seperti ‘brisk walking’ dapat membantu pengaliran darah dan nutrisi kepada struktur belakang seperti cakera tulang belakang (intervertebral disc).

Senaman seperti ‘McGill Big 3 exercises’ juga dapat membantu menguatkan kestabilan otot belakang.

Mendapatkan berat badan ideal dan berhenti merokok juga sangat penting kerana kajian menunjukkan bahawa obesiti dan tabiat merokok menyebabkan risiko sakit belakang lebih tinggi.

Menurut Dr Mohd Fahmi, selalunya sakit belakang dan leher boleh dikawal sendiri dengan langkah-langkah di atas.

Namun korang dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor pakar apabila mempunyai tanda-tanda seperti berikut:

● Tempoh sakit berlarutan sehingga lebih daripada enam minggu.
● Sakit yang terlalu kuat dan kerap.
● Lemah otot, tidak boleh berjalan atau mengalami masalah membuang air kecil atau besar.

Katanya pakar akan membuat pemeriksaan terperinci untuk mengenalpasti punca sakit tersebut dan memberi pelan rawatan yang sesuai.

Justeru, korang yang terseksa sakit belakang dan leher dengan tiga ciri diatas usah berlengah untuk mendapatkan rawatan pakar dengan segera.

Pesakit PCOS Disaran Turunkan Berat Badan, Itu Cara Mudah Untuk Hamil

BAGI kaum Hawa, apabila didiagnosis memiliki penyakit seperti cyst, kanser serviks waima sindrom ovari polisistik (PCOS), ia sudah bikin kegentaran.

Tiada lain yang mereka fikirkan selain bimbang tidak dapat melahirkan zuriat sekiranya berkahwin kelak.

Bercakap mengenai PCOS, sebenarnya ramai dalam kalangan wanita yang mengalaminya sama ada sedar atau tidak.

Jika anda salah seorang penghidap, jangan risau kerana masalah tersebut mampu dirawat dan terdapat beberapa metodologi untuk merendahkan risiko penyakit berkenaan.

Bagi mendasari lebih lanjut tentang PCOS, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Ampang, Dr Sai Sudha Ram Moorthi berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dalam program Doktor dan Anda (DNA) terbitan SinarPlus baru-baru ini.

Dr Sai Sudha.

Ujar Dr Sai Sudha, PCOS adalah satu keadaan endokrin yang sangat kompleks dan biasa terjadi dalam kalangan wanita yang berada dalam lingkungan umur reproduktif iaitu antara 15 hingga 49 tahun.

Pun demikian, beritahu pakar terbabit, remaja yang baru belasan tahun juga boleh mempunyai masalah tersebut.

“Namun, penyakit itu tidak dapat dikesan kerana kadangkala pada peringkat permulaan kedatangan haid seseorang wanita, berkemungkinan besar ia aturan haid masih belum teratur dan tidak menentu,“ jelasnya.

Secara asasnya, sindrom PCOS tertakluk kepada tiga kriteria utama iaitu:

i) Pengeluaran telur yang kurang atau tiada langsung.

ii) Hormon lelaki yang tinggi.

iii) Terdapat banyak folikel atau cyst pada ovari.

Genetik

Ketika ditanya apakah punca utamanya terjadinya PCOS, Dr Sai Sudha berkata, sebab-sebabnya masih tidak dapat diketahui sehingga ke detik ini.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah itu terjadi. Antaranya berpunca daripada ketidakstabilan hormon dan bersangkutpaut dengan obesiti.

“Dengan adanya tisu lemak itu (disebabkan obesiti), hormon estron yang dikeluarkan akan mengakibatkan hormon ovulasi (hormon penggalak folikel) rendah dan berkurang.

“Wanita yang obes juga mempunyai lemak yang banyak sehingga ‘mengacau‘ kitaran hormon yang berlaku.

“Jadi, suka untuk saya ingatkan sekali lagi, golongan itu sangat berisiko tinggi untuk dijangkiti PCOS, selain berkecenderungan besar untuk menghidap penyakit kronik lain seperti kencing manis, serangan jantung dan darah tinggi,“ ungkapnya.

Selain itu, beritahu pakar terbabit, faktor lain yang boleh mencetus penyakit PCOS adalah keturunan atau genetik keluarga.

“Kira-kira 5 hingga 6 peratus wanita yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit itu sama ada ibu atau adik-beradik perempuan lain, mereka juga berkemungkinan bakal menghadapi masalah yang serupa,“ tambah beliau.

Potensi memiliki zuriat

Mengenai simptom-simptom PCOS, Dr Sai Sudha berkata, ia meliputi gejala jangka masa pendek dan panjang.

“Antara simptom jangka masa pendek yang biasa berlaku adalah seperti kitaran haid yang tidak menentu, masalah rambut atau bulu yang tumbuh secara berlebihan (hirsutism) pada muka dan celah-celah tangan (lengan), paha, bawah pusat dan pada bahagian belakang.

“Selain itu, berlaku juga masalah kesuburan, misalnya mengalami kesukaran untuk hamil,“ katanya.

Simptom jangka masa panjang pula adalah seperti kencing manis, masalah berdengkur, risiko kanser rahim dan hilang keyakinan diri sehingga menyebabkan kemurungan.

Namun, soalan popular yang kerap ditanya, adakah mereka yang mempunyai PCOS sememangnya tidak boleh mengandung?

Tenang menjawab soalan itu, ujar pakar terbabit, sebenarnya pesakit dengan PCOS boleh dibantu untuk hamil, sekali gus memiliki cahaya mata sendiri.

Berdasarkan pengalaman peribadinya juga, peluang untuk wanita PCOS mengandung tetap ada.

“Memang ada cara-caranya seperti memberi simulasi kepada kilang-kilang telur untuk mengeluarkan telur dan bantuan ubat-ubatan bagi mengurangkan hormon lelaki.

“Namun terdapat satu rawatan semula jadi untuk merawat PCOS iaitu dengan mengurangkan berat badan. Dengan pendekatan itu, ia sekali gus dapat membantu seseorang untuk memperbetulkan masalah kesuburannya,“ ujarnya.

Pun demikian, terang beliau, terdapat beberapa kes, wanita yang hamil, kemudian akan mengalami keguguran.

“Jadi, dalam kes sebegini, mereka memerlukan intervensi dengan mengambil ubat-ubatan iaitu melibatkan ubat makan sehinggalah suntikan bagi membuka peluang untuk menggalakkan pengeluaran telur,“ ungkapnya.

Pesan Dr Sai Sudha, sebelum mengambil apa sahaja jenis ubat-ubatan termasuklah ubat bagi membetulkan kitaran haid (ubat perancang), pastikan kaum ibu mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

“Ini penting kerana ia (ubat) boleh membawa komplikasi tersendiri seperti takungan air di dalam paru-paru dan perut. Oleh sebab itu, pengambilan ubat perlu dipantau dengan rapi,“ katanya.

Jaga makan, waktu tidur

Sementara itu, Pakar Pemakanan dan Pengasas Jomsayheart Nutrition Consultancy, Syaza Lyana Idris turut melontarkan pandangannya.

Syaza Lyana.

Katanya ketika dihubungi baru-baru ini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan wanita yang menghadapi PCOS sukar menurunkan berat badan mereka.

“Kekangan tersebut adalah berpunca daripada ketidakseimbangan hormon, rintangan insulin dan keradangan.

“Sekiranya berat badan seorang wanita dapat diturunkan sedikit walau setakat 5 peratus sahaja, ia dapat memperbaiki rintangan insulin, tahap hormon, kitaran haid, kesuburan dan kualiti hidup wanita yang menghidap PCOS,“ jelasnya.

Berikut lapan tip untuk menurunkan berat badan bagi wanita dengan masalah penyakit itu:

  • Kurangkan pengambilan karbohidrat yang tinggi indeks glisemik (skala melebihi 70). Pengambilan karbohidrat disarankan sebanyak 40 hingga 45 peratus. Dengan mengamalkan diet rendah indeks glisemik, kadar insulin dapat dikurangkan dan seterusnya membantu mengurangkan berat badan. Antara contoh makanan yang boleh dihadam pada kadar sederhana ialah nasi putih, roti putih dan kentang.
  • Cukupkan pengambilan protein. Makan makanan berprotein (25 peratus) seperti ikan, ayam (tanpa kulit) dan telur. Ia dapat membantu menstabilkan gula dalam darah, meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan hormon lapar atau ‘mengidam‘ sesuatu makanan.
  • Tingkatkan pengambilan lemak baik. Wanita yang mengalami PCOS disaran mengambil lemak sebanyak 30 hingga 35 peratus. Memakan lebih lemak baik dalam diet seperti kekacang, alvokado dan telur dapat membantu menzahirkan rasa puas selepas makan dan berupaya menurunkan berat badan.
  • Lebihkan serat dalam diet. Diet tinggi serat dapat mengurangkan rintangan insulin dan lemak badan yang berlebihan kerana sifatnya yang membuat seseorang itu rasa kenyang lebih lama. Oleh yang demikian, amalkan pengambilan sayur-sayuran dan buahbuahan segar serta ulam-ulaman dalam set hidangan ketika makan pada setiap hari.
  • Hadkan pengambilan makanan yang diproses dan gula berlebihan. Makanan yang diproses juga perlu dielakkan seperti nuget, sosej dan sebagainya. Bukan itu sahaja, menu yang mempunyai gula tambahan juga perlu dijauhi kerana ia akan meningkatkan risiko rintangan insulin yang dikaitkan dengan masalah obesiti.
  • Jangan kurang makan. Makan kalori yang terlalu sedikit pada jangka masa panjang boleh mengurangkan metabolisme badan dan seterusnya akan memudahkan peningkatan berat badan.
  • Bersenam secara berkala. Melakukan senaman kardio dan aktiviti bebanan berintensiti rendah dan sederhana sebanyak tiga kali seminggu dapat menurunkan lemak badan. Ia juga berpotensi meningkatkan sensitiviti insulin selain mengurangkan hormon stres.
  • Perlu cukup tidur dan kawal stres. Tidur tidak cukup (kurang daripada enam jam) sering dikaitkan dengan obesiti dan stres. Lebih membimbangkan, kesannya juga akan dilihat pada peningkatan rintangan insulin dan lemak perut.

“Jangan lupa minum air kosong secukupnya iaitu minimum lapan gelas sehari. Segelas susu rendah lemak sahaja boleh diamalkan oleh wanita yang mengalami PCOS. Ingat, diet yang betul dapat menstabilkan hormon dan seterusnya mampu meningkatkan tahap kesuburan,“ ujarnya.

Terkejut didiagnos penyakit PCOS seawal usia 19 tahun

NUR SUHAIMA AHMAD (bukan nama sebenar) tidak menyangka senggugut yang dialaminya secara berterusan sejak dibangku sekolah membawa petanda dirinya mengalami masalah sindrom ovari polisistik (PCOS).

Kata Nur Suhaima, dirinya mengalami pendarahan yang teruk dan berpanjangan setiap kali datang haid hingga menjangkau 15 atau 16 hari lamanya.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya beberapa kali membuat pemeriksaan, namun doktor hanya memaklumkan tiada apa yang perlu dirisaukan. Ia mungkin disebabkan oleh masalah hormon tidak stabil sahaja,“ ujar pekerja swasta itu.

Pun demikian, pada suatu hari, Nur Suhaima mengalami pendarahan yang sangat tidak terkawal sehingga pitam di tempat kerjanya.

“Saya terus dibawa ke hospital. Namun, tanpa disangka doktor membawa khabar hiba. Pada usia 19 tahun, saya didiagnos dengan PCOS!

“Ya ALLAH, pada masa itu saya rasa dunia sangat gelap sebab memang tidak pernah dengar perkataan PCOS. Selepas membuat pencarian melalui beberapa laman web, barulah saya lebih memahaminya,“ imbaunya yang sudah dua tahun berkahwin.

Kepada SinarPlus, Nur Suhaima memberitahu, dokto telah memberinya pelbagai jenis ubat untuk penyakit wanita itu.

“Sebenarnya, ada macam-macam jenis ubat, tetapi satu perkara yang pasti, ubat-ubatan itu telah menaikkan berat badan saya,“ katanya sambil memberitahu sudah berkali-kali menukar ubat hormon.

Menjawab satu soalan lain, beliau mengakui, ada di antara ahli keluarganya memiliki penyakit PCOS.

“Doktor juga ada beritahu bahawa pesakit PCOS akan berhadapan masalah sukar untuk mengandung.

“Bagaimanapun, saya tetap ikhtiar kerana mak cik saya yang juga pesakit PCOS dalam kategori kronik boleh hamil dan bersalin dengan selamat,“ ujarnya optimis.

Sebelum mengakhiri perbualan, Nur Suhaima sempat berkongsi pesanan doktor buat dirinya.

“Doktor ada cakap kepada saya, jaga pemakanan. Paling penting jangan kerap makan makanan berminyak selain selalu bersenam,“ katanya.

Bosan Menu Ayam Goreng Biasa? Cuba Resipi Sedap Ini Tanpa Serbuk Kunyit

Bosan menu ayam goreng biasa? Cuba resipi sedap ini tanpa serbuk kunyit

AYAM goreng merupakan salah satu menu kegemaran rakyat Malaysia.

Bukan sahaja digemari anak-anak, malah golongan dewasa pun boleh berebut dibuatnya.

Selain ringkas untuk disediakan, ia juga pelengkap hidangan bersama lauk utama lain seperti masak lemak, gulai, tumis air, sambal belacan dan sebagainya.

Namun penggunaan serbuk kunyit bersama garam itu kadang-kadang boleh mendatangkan bosan juga kan?

Apa kata kita cuba resipi ayam goreng sedap ini tanpa menggunakan serbuk kunyit.

Bahan-bahannya;

  • Ayam – potong kecil dan bersihkan
  • 5-6 ulas bawang putih – tumbuk halus
  • 5 biji bawang merah kecil – tumbuk halus
  • 2 inci halia – tumbuk halus
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • Garam secukup rasa
Bosan menu ayam goreng biasa? Cuba resipi sedap ini tanpa serbuk kunyit

Cara membuatnya;

1. Tumbuk semua bahan sehingga lumat. Kemudian masukkan garam dan serbuk cili. Gaul rata.

2. Lumurkan ayam dengan bahan tumbuk hingga rata. Perap selama 10 minit.

3. Panaskan minyak dan goreng hingga garing serta ayam masak sepenuhnya.

4. Toskan minyak dan sedia untuk dinikmati.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Mleisya Scaft

‘Ada Yang Mencebik Bibir, Lap Tangan Selepas Bersalam Dengan Saya’ -Luahan Penghidap Hiperhidrosis

SEORANG pesakit hiperhidrosis atau tangan berpeluh, Mohd Ariff Zakri, 32, berkata, beliau menghidap penyakit berkenaan sejak kecil lagi.

Pun demikian, lelaki itu tidak menyangka, anak sulungnya kini mewarisi ‘kesengsaraannya‘.

“Saya pula mendapat hiperhidrosis daripada ahli keluarga saya sendiri. Tak payah ceritalah betapa seksanya saya menanggung penyakit ini sejak zaman kanak-kanak.

“Bayangkan setiap hari, saya akan Google cara atasi penyakit ini sebelum berjaya membiasakan diri dengan situasi serba tak kena ini,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pun demikian, Mohd Ariff bersyukur kerana isterinya tidak pernah mengeluh, merungut, apatah lagi menunjukkan rasa geli untuk memegang tangan beliau.

Ditanya bagaimana menyesuaikan diri dengan orang sekeliling yang mungkin perasan dengan situasi sulit yang dihadapinya?

Dengan nada tenang, lelaki itu berkata: “Terlalu banyak ragam yang telah saya temui. Ramai di antara mereka yang berpelajaran dan berpangkat besar pun sanggup mengeluarkan kata-kata yang menghiris dan memalukan saya.

“Lebih menyedihkan, mereka tertawa berdekah-dekah, kononnya penyakit tangan berpeluh saya ini sesuatu yang sangat kelakar. Saya sendiri tak faham kenapa mereka berfikiran sedemikian rupa.“

Bukan itu sahaja, beritahu Mohd Ariff, keadaan yang paling mencabar adalah ketika perlu bersalam-salaman.

“Ada yang mencebik bibir dan terdapat juga yang terus cepat-cepat lap tangan selepas berjabat tangan dengan saya. Paling teruk, ada yang siap tunjukkan reaksi geli-geleman,“ tutur anak jati Melaka itu penuh kesal.

Disebabkan selalu berdepan dengan keadaan itu yang sememangnya meragut emosinya, Mohd Arif lebih rela mendiamkan diri dan tidak kisah jika dianggap sombong kerana memencilkan diri.

“Saya jadi trauma dengan reaksi berlebihan mereka. Jadi, saya ambil pendekatan tidak bersalaman kecuali dengan keluarga rapat sahaja,“ tambahnya.

Jangan Label Anak Dengan Perkataan Negatif. Ini 5 Perkara Yang Perlu Mak Ayah Kena Elak

Contoh kepada anak-anak

SETIAP usia anak memerlukan tumbesaran dan perkembangan yang berbeza-beza.

Bermula daripada mereka bayi sehinggalah bergelar kanak-kanak yang mampu mengurus diri sendiri.

Selain perkembangan fizikal, aspek emosi juga tidak boleh diketepikan, apatah lagi masing-masing di antara kita masih bergelut dengan wabak pandemik Covid-19.

Berikut beberapa perkara yang perlu ibu bapa elak agar kesihatan emosi anak-anak kecil berkembang dengan sihat menurut Pegawai Perubatan Pediatrik, Hospital Muar, Dr Redza Zainol:

Dr Redza Zainol.

i) Anak bukan trofi.

Apabila keputusan anak cemerlang, maka pencapaian anak dicanang pada saudara mara dan kawan pejabat.

Sebaliknya, jika anak merekodkan markah yang tidak berapa bagus, keputusannya pula termangu-mangu melihat telatah mak ayah.

“Jadi, anak-anak akan terfikir beliau cuma akan disayangi apabila berjaya di sekolah sahaja,” tambah Dr Redza.

ii) Melabel anak dengan perkataan negatif.

“Saya selalu berjumpa dengan mak ayah yang gelar anak sendiri pemalas, lembab dan degil.

“Kesannya, anak akan faham dirinya sentiasa ada kekurangan dan kerap menyalahkan diri sendiri,” ujarnya.

Sakiti dan mendera anak
SEBAGAI ibu bapa, kita hendaklah menjalankan tanggungjawab terhadap anak dengan sebaiknya dan jangan menyakiti mereka walaupun anak nakal.

iii) Sarkastik dengan anak kecil.

– Anak kecil hanya boleh melihat dunia dari pandangan mereka sahaja (one viewpoint).

“Oleh itu, mereka belum dapat melihat dunia daripada kaca mata orang lain.

“Saya yakin, sebab itulah mereka gagal memahami dengan perlian atau bahasa sarkastik,” ungkapnya.

iv) Mengugut.

Apabila kita suka ugut anak kecil, mereka akan mengikut cakap kita kerana takut.

“Namun, apabila anak-anak semakin dewasa, lagi besar ugutan yang ibu bapa kena guna supaya beliau mendengar kata.

“Ia akan menjadi satu vicious cycle yang tidak berkesudahan. Lebih parah, sampai satu masa, anak akan mengugut kita semula,” tuturnya.

v) Silent treatment.

Terdapat satu kajian yang menyatakan silent treatment akan mengaktifkan bahagian otak yang mengesan kesakitan secara fizikal.

“Ia satu proses yang ‘menyakitkan’ meskipun tanpa perlu memukul.

“Anak diperlaku seolah-olah dirinya tidak wujud dan kadang-kadang tanpa mereka faham kesilapan yang dilakukan,” tambah beliau.

Oleh itu, perkara-perkara tersebut hanya akan membuatkan anak-anak merasai penderitaan yang sangat dasyat.

Akhirnya, meraka akan merasakan diri masing-masing tidak berguna (worthless), penuh dengan kesilapan (flawed) dan tidak diperlukan lagi (unwanted).

Jadi, buat ibu bapa di luar sana berinteraksilah secara berkesan dan ajar cara terbaik untuk mereka meluahkan perasaan sama ada sedang sedih, marah, kecewa dan sebagainya.

Masalah Peluh Berlebihan (Hiperhidrosis) Boleh Membuatkan Seseorang Stres Dan Kemurungan. Berikut Tip Terbaik Yang Boleh Dilakukan Pesakit

KETIKA masih menuntut di institusi pengajian tinggi, penulis mempunyai seorang rakan yang kuat berpeluh.

Walaupun cuaca tidaklah terlalu panas, peluh akan membasahi wajahnya dan sapu tangan termasuk segulung tisu sentiasa dibawa ke mana sahaja.

Pun demikian, penulis dan beberapa rakan lain menjadi hairan apabila tangannya juga kerap basah, meskipun tidak ada kerja berat yang dilakukan. Beliau sekadar menulis dan menaip pada papan kekunci komputer sahaja.

Disebabkan mahu menjaga hati dan tidak ingin menyisihkannya, kami lima sekawan tidaklah bertanya lanjut. Selepas masing-masing memasuki alam pekerjaan, barulah kami tahu rupa-rupanya beliau menderita penyakit hiperhidrosis atau istilah lebih mudah, peluh berlebihan.

Menurut laman web perubatan antarabangsa, healthline.com, dianggarkan seramai 15.3 juta daripada keseluruhan penduduk di Amerika Syarikat menderita dengan masalah kesihatan itu.

Daripada jumlah tersebut, 70 peratus individu berpeluh teruk di satu-satu bahagian badan. Pun demikian, separuh daripada pesakit tidak mahu berterus terang atau malu mengaku hal itu dan tidak mendapatkan rawatan lanjut.

Sebenarnya, apakah punca seseorang boleh mengalami hiperhidrosis? Adakah ia ada kaitan dengan masalah genetik?

Bagi menjawab pelbagai pertanyaan mengenai topik yang ingin dikupas pada minggu ini, SinarPlus mendapatkan pandangan Pengamal Perubatan Am terkenal negara, Dr Zubaidi Ahmad.

Dr Zubaidi.

Terlebih dulu kata pegawai perubatan itu, hiperhidrosis adalah merujuk kepada seseorang yang menghasilkan peluh yang lebih banyak berbanding dengan individu normal. Hal berkenaan kata beliau, sememangnya boleh mengganggu aktiviti harian penderita.

“Hiperhidrosis boleh berlaku seawal peringkat usia kanak-kanak atau remaja. Bahagian anggota badan yang boleh mengalami masalah berpeluh yang banyak adalah seperti pada tapak tangan (hiperhidrosis palmar), tapak kaki (hiperhidrosis plantar), ketiak (hiperhidrosis axillary) dan muka.

“Memang benar, masalah tersebut boleh membawa kepada tekanan perasan, selain wujud perasaan malu untuk bersosial. Pada peringkat yang lebih rumit, ia boleh mengganggu prestasi kerja penderita lebih-lebih lagi jika lebihan peluh berlaku pada tapak tangan,“ beritahunya.

Tiada rawatan spesifik

Mengulas lanjut, Dr Zubaidi berkata, hiperhidrosis pada keseluruhan bahagian badan berlaku disebabkan oleh masalah saraf autonomi yang melibatkan saraf simpatetik.

“Saraf simpatetik merupakan saraf yang berperanan menyediakan badan seseorang supaya berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berlawan atau berlari.

“Jadi, ketika berada dalam situasi seperti tersebut, denyutan nadi akan semakin bertambah, gula dalam darah juga akan meningkat dan mental pula akan menjadi lebih fokus. Pada ketika ini, secara tidak langsung ia akan merangsang kelenjar peluh untuk mengeluarkan peluh,“ ujarnya.

Kongsi Dr Zubaidi lagi, masalah berpeluh juga boleh dipengaruhi dengan situasi lain seperti demam dan kerisauan atau penyakit kronik lain seperti kanser termasuk lemah jantung.

“Bukan itu sahaja, ia juga boleh tercetus disebabkan isu metabolik seperti hipertiroid, hipoglisemia atau gout, pengambilan ubat seperti propanolol, physostigmnine atau pilocarpine.

“Golongan gemar minum alkohol dan mengalami ketagihan yang kronik juga berpotensi mendapat hiperhidrosis,“ jelasnya.

Bagi kategori mereka yang mengalami peluh berlebihan pada bahagian tapak tangan dan tapak kaki, ia lazimnya berpunca daripada faktor keturunan atau genetik.

Kepada SinarPlus, Dr Zubaidi berkata, keadaan seseorang yang mengalami masalah berpeluh berlebihan akan menjadi semakin teruk apabila mereka berada dalam keadaan ketakutan ataupun ketika hendak ‘berlawan‘.

Adakah hiperhidrosis boleh dirawat? Menjawab persoalan itu, Dr Zubaidi berkata, tiada rawatan khusus untuk mengatasinya secara spesifik dan efektif.

“Namun, ia tidaklah sampai membawa kepada kematian. Bagaimanapun saya tidak nafikan, mereka yang mengalami masalah tersebut akan berasa bahawa kehidupan mereka menjadi terganggu.

“Ini kerana berpeluh adalah keadaan yang memalukan, boleh mengotorkan pakaian, mengganggu hubungan sosial dan menjadikan komunikasi menjadi lebih sukar.

“Bagi kes yang kronik, ia mungkin akan menyebabkan penderita sulit untuk menulis, memegang stereng kereta atau berjabat tangan dengan orang lain,“ katanya.

Suntikan botoks

Sementara itu, Pegawai Perubatan di Klinik Bazilah, Bangi, Selangor, Dr Shazni Mahirah Zulbakri yang dihubungi turut berkongsi pengetahuannya tentang hiperhidrosis.

Dr Shazni Mahirah.

Ujar Dr Shazni Mahirah, berpeluh memang satu keperluan kepada badan agar sistem tubuh tidak menjadi terlalu panas.

“Namun, apabila seseorang mengalami hiperhidrosis, ia adalah satu situasi mereka berpeluh di luar daripada keperluan fisiologinya,“ katanya.

Menjawab persoalan adakah terdapat amalan tertentu atau pemakanan tertentu untuk mengurangkan dilema kesihatan itu, berikut jawapan beliau: “Pesakit dinasihati supaya menghindarkan diri daripada mengambil makanan atau minuman yang diketahui boleh menyebabkan peluh berlebihan seperti alkohol, makanan pedas dan kafein.“

Ketika diwawancara, pegawai perubatan itu turut membicarakan tentang pendekatan atau rawatan yang sesuai untuk penghidap hiperhidrosis.

“Dari sudut perubatan, ia bergantung kepada punca terjadinya hiperhidrosis. Sebagai contoh, jika ia berlaku disebabkan kelenjar peluh terlampau aktif, terdapat beberapa rawatan yang boleh dipraktikkan.

“Saya akui, sesetengah kaedah (rawatan) ini mungkin tidak boleh merawat simptom itu 100 peratus, tetapi boleh membuatkan kualiti hidup pesakit lebih baik,“ katanya.

Berikut antara kaedah yang boleh digunakan oleh penghidap hiperhidrosis seperti yang disenaraikan oleh Dr Shazni Mahirah:

  1. Ubat sapuan: Lazimnya, ubat sapuan yang mengandungi aluminium klorida heksahidrat selalu digunakan.
  2. Lontophoresis: Rawatan ini menggunakan air yang mempunyai arus elektrik yang rendah dengan melibatkan bahagian kulit yang mempunyai masalah peluh berlebihan. Ia (rawatan) mengambil masa selama 30 minit pada setiap hari.
  3. Suntikan botoks: Suntikan botoks mengandungi bahan yang dinamakan sebagai toksin botulinum yang berfungsi sebagai perencat kepada kelenjar peluh dalam menghasilkan peluh.
  4. Pembedahan: Oleh kerana masalah berpeluh adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan fungsi saraf simpatetik, pesakit boleh mendapatkan rawatan pembedahan untuk membuang sebahagian saraf tersebut.

Dari segi amalan harian, Dr Shazni Mahirah mengingatkan pesakit agar kerap mencuci tangan dan membersihkan diri bagi mengelakkan masalah badan berbau ataupun masalah penyakit kulit.

“Pada masa sama, jika mempunyai tanda-tanda hiperhidrosis, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan pengesahan diagnosis penyakit tersebut.

“Berdasarkan pada penilaian, doktor akan menentukan sama ada pesakit memerlukan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti penyebabnya,“ pesannya.

Susu Pekat Tinggi Kandungan Gula! Lebih Baik Guna Susu Sejat Sahaja. Ini Penjelasan Pakar

BARU-BARU ini, tular seorang pelayar Facebook berkongsi cara beliau memasak tomyam dengan menambah satu sudu susu pekat sebelum dihidangkan.

Tindakan itu telah mencetus pelbagai persoalan terutamanya kuantiti gula ‘tersembunyi’ sehingga mendapat perhatian Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim.

Tulisnya di Facebook, susu pekat manis merupakan susu yang dihasilkan daripada membuang lebih daripada 60 peratus kandungan air dalam susu lembu dan kemudiannya ditambahkan gula (45 peratus) dan ditinkan agar tahan lama.

“Kebanyakan susu pekat manis yang berada di pasaran juga ditambah dengan lemak kelapa sawit untuk mengurangkan penggunaan susu lembu dan boleh dijual dengan harga yang lebih murah (biasanya dilabel ‘filled milk’).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Setiap 1 Oz (30 mililiter) susu ini mengandungi sekitar 15 gram (g) gula (sukrosa dan laktosa), 2.5g lemak (lebih separuh lemak tepu) dan 2.2g protein. Ia juga mengandungi kalsium, natrium, fosforus, selenium, riboflavin, vitamin B12 (biasanya ditambah vitamin A dan D3) dan choline,” terang Dr Fatimah.

Jika diamati, susu pekat manis sangat popular digunakan dalam pelbagai jenis minuman dan makanan.

Sebenarnya, pengambilan susu pekat manis secara kerap dan berlebihan boleh membawa kepada pelbagai risiko kesihatan seperti diabetes yang menjadi pemangkin kepada penyakit kronik lain.

“Disebabkan tinggi kandungan gula, alternatif yang lebih bagus adalah dengan menggantikannya dengan susu sejat.

“Ini kerana susu sejat juga dibuat daripada pepejal susu namun tiada penambahan gula,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr Fatimah turut berkongsi cara untuk menghasilkan susu pekat manis sendiri di rumah.

“Caranya, campurkan satu bahagian susu sejat dengan 1 1/4 bahagian gula. Kemudian, panas dan kacau di atas api sehingga gula cair (susu bertekstur pekat dan sejukkan). Selain itu, boleh juga didihkan susu dengan gula sehingga ia menjadi pekat (60 peratus kandungan air meruap),” ujarnya.

ANEKDOT

  • Susu pekat manis yang sudah dibuka perlu disimpan dalam peti sejuk kerana jangka hayatnya berkurangan sekitar dua minggu.
  • Krimer manis/sejat berbeza dengan susu pekat manis/sejat. Ini kerana krimer diperbuat daripada lemak minyak kelapa sawit yang sangat minima atau tiada langsung kandungan susu.

Oleh itu, buat semua pembaca SinarPlus, sebaik-baiknya baca label pada bungkusan luar produk terlebih dahulu sebelum membeli.

Sedap, Berkhasiat! Ini Resipi Paling Mudah Buat Sendiri Nugget Ayam

Sedap, berkhasiat! Ini resipi paling mudah buat sendiri nugget ayam

MEMANG tidak dinafikan makanan ringan seperti nugget merupakan juadah yang anak-anak paling suka.

Pun begitu, jika terlalu kerap makan nugget yang ada di pasaran, boleh mengundang bahaya kerana ia dalam kategori makanan yang diproses.

Kandungan garam yang tinggi adalah punca kepada peningkatan tekanan darah dan pengambilan kalori tinggi nugget juga boleh menyebabkan kegemukan.

Oleh itu, apa kata korang cuba resipi nugget ayam yang ‘homemade’ ini, tak perlu guna penambah rasa pun!

Sihat dan bersih pula untuk dinikmati seisi keluarga.

Boleh juga dijadikan sebagai sejuk beku makanan sihat untuk anak-anak sambil beraktiviti masak-masak bersama mereka bagi mengisi masa lapang yang ada.

Bahan-bahannya;

  • Isi ayam (3 ketul)
  • serbuk roti (5 sudu)
  • Telur (1 biji)
  • Lobak merah ( optional)
  • Tepung ubi( 1 sudu)
  • Garam ( 1 sudu kecil)
  • Serbuk lada hitam (1 sudu kecil)
AWAS pencinta Nugget, bukan hanya mampu menggemukkan, malah ia diperbuat daripada lemak dan tulang ayam sahaja!

Cara-cara membuatnya;

1. Isi ayam dikisar atau ditumbuk sehingga lumat.

2. Campurkan isi ayam bersama tepung ubi, garam, serbuk lada hitam dan lobak merah yang telah dicincang. Gaul sebati.

3. Kemudian bentukkan ia ikut kesukaan masing-masing.

4. Masukkan ke dalam peti sejuk selama 20 minit.

5. Selepas itu baru salutkan dengan telur dan serbuk roti.

6. Goreng dengan api sederhana sehingga masak. Sedia dihidang.

Selamat mencuba! Semoga bermanfaat.

Sumber: Hawa Aziz

Covid-19: Hati-Hati, Pejabat Dengan Ruang Tertutup, Penghawa Dingin Mudahkan Virus Merebak Dengan Mudah

SEJAK Mac lepas hingga sekarang, kluster tempat kerja kekal menjadi penyumbang utama peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Tiada siapa boleh menidakkannya kerana Kementerian Kesihatan telah melaporkan bahawa hingga Ogos lepas, kluster tempat kerja mewakili 53.2 peratus atau 1,549 daripada keseluruhan kluster.

Keadaan tempat kerja terutamanya di dalam bangunan tertutup dikenal pasti berisiko tinggi menjadi ‘sarang’ penularan virus seperti Covid-19.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah menyatakan sebelum ini bahawa risiko penularan Covid-19 di dalam bangunan tertutup dengan sistem pengudaraan yang tidak baik adalah lebih tinggi berbanding di luar bangunan.

KAJIAN PENYELIDIK TEMPATAN

Perkara tersebut turut dibuktikan oleh kajian penyelidik tempatan yang menunjukkan virus maut itu mampu terampai lama di udara dan tersebar sejauh lebih dua meter, malah boleh melangkaui 6 meter dalam ruang tertutup tanpa pengaliran udara segar.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir mendapati, ruang tertutup dan operasi pendingin hawa yang mengitar semula udara akan memudahkan penyebaran virus dalam udara melalui aerosol.

Dr Mohd Shahrul.

Kajian kedua oleh pakar simulasi udara dalaman dari Universiti Tuanku Abdul Rahman, Prof Madya Dr Bernard Saw Lip Huat dan Pakar Toksikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Leo Bey Fen pula mendapati, virus Covid-19 sukar dikawal penyebarannya kerana zarah virus itu boleh berada di udara selama lebih lapan jam.

“Oleh itu, sangat penting mempunyai pengudaraan yang baik dengan membuka tingkap dan pintu di rumah atau pejabat bagi membolehkan udara segar masuk. Bagaimanapun, bagi pejabat atau kilang tertutup yang tingkapnya tidak boleh dibuka, penyenggaraan pendingin hawa dan sistem pengudaraan sangat penting.

“Pengabaian pengudaraan yang baik serta ketiadaan penyenggaraan pendingin hawa membawa kebarangkalian tinggi untuk mencetuskan kluster tempat kerja sekiranya ada pesakit Covid-19 datang ke pejabat.

“Ini kerana individu itu berisiko tinggi menyebarkan virus kepada rakan sekerja lain melalui bawaan udara,” jelas Mohd Shahrul kepada Bernama.

KLUSTER TEMPAT KERJA

Hasil kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal tersohor Nature Scientific Reports pada Januari lepas, tidak boleh dipandang remeh, sementelah melihat trend kadar jangkitan di tempat kerja yang membimbangkan sekarang.

Di sebalik kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang semakin menghampiri imuniti kelompok, keadaan semasa pandemik boleh bertambah buruk sekiranya majikan mengabaikan aspek sistem pengudaraan dan prosedur operasi standard (SOP) lain, lebih-lebih lagi pelbagai sektor ekonomi sudah dibenarkan kembali beroperasi.

Ini kerana mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19 dan juga boleh menjangkiti orang lain.

Namun yang dibimbangi adalah masih ada golongan yang belum menerima vaksin dan mereka berisiko mendapat kesan yang lebih teruk jika dijangkiti.

“Kajian saya di hospital sebelum ini mendapati jururawat yang telah divaksinasi positif Covid-19 sebanyak dua kali. Cuma kesan jangkitan virus itu lebih minimum, antara kategori 1 dan 2 sahaja berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin, berisiko untuk sampai ke peringkat 3 hingga 5.

“Berdasarkan kajian kami yang meneliti pergerakan virus itu di dalam bangunan, SOP seperti kerap membasuh tangan dan menjaga jarak tidak cukup untuk memberi perlindungan terhadap titisan zarah mikro pernafasan yang membawa virus yang disebarkan ke udara oleh orang dijangkiti. SOP itu harus dibantu dengan sistem pengudaraan yang baik,” katanya.

LEBIH BAHAYA

Mengulas lanjut mengenai keberadaan virus menerusi udara, beliau berkata, keadaan itu berlaku apabila titisan cairan, sama ada melalui bersin, bercakap atau batuk, daripada seseorang yang positif Covid-19 melekat pada zarah (habuk) terutama yang bersaiz 1 mikrometer.

“Sekiranya tidak ada pengaruhan aliran udara, virus tersebut yang melekat pada zarah akan terampai selama lapan jam, namun bagi zarah virus Covid-19 yang lebih halus, kurang daripada satu mikrometer, ia boleh berada lebih lapan jam di udara,” katanya.

Sementara itu, Dr Bernard dalam kajiannya selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober tahun lepas (2020), mendapati kira-kira 50 peratus virus Covid-19 tersebar dalam lingkungan diameter 1 meter, manakala sebahagian lagi melangkaui 2 hingga 6 meter (m).

Kajian itu dilakukan ke atas seorang pesakit Covid-19 yang ditempatkan di dalam sebuah wad di hospital.

“Wad sepanjang 6m ini menggunakan pendingin hawa jenis ‘cassette air conditioner’ yang hanya mengitar semula udara dan tidak ada kemasukan udara luar. Berdasarkan kajian yang dilakukan menggunakan pengiraan dinamik bendalir, didapati virus SARS-CoV-2 tidak keluar dari wad tersebut.

“Ia berada di dalam bilik berkenaan dan boleh terampai di udara di mana-mana sahaja kerana tidak ada pengaliran udara segar untuk membersihkan virus tersebut,” katanya.

SANITASI?

Mengulas lebih lanjut, Dr Bernard berkata, tahap risiko seseorang itu boleh dijangkiti melalui bawaan udara bergantung pada jumlah virus yang tersebar di dalam sesebuah bangunan tertutup.

Jika virus itu yang tersebar melalui bersin, bercakap dan bernafas adalah banyak, maka ada kemungkinan seseorang yang dijangkiti akan mengalami jangkitan teruk.

Lebih membimbangkan sekarang adalah kehadiran varian baharu virus SARS-CoV-2 iaitu varian Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi seperti varian Delta yang mampu menjangkiti dalam tempoh 15 saat sahaja, selain peningkatan kes sporadik oleh mereka yang positif Covid-19 tetapi tidak bergejala.

Setakat 17 Ogos lalu, negara merekodkan 710 kes VOI (varian yang perlu diperhatikan) dan varian yang membimbangkan (VOC) dan daripada jumlah itu, 467 adalah kes varian Delta (VOC).

“Tidak ada cara lain lagi. Kepentingan kualiti udara dalaman wajar diambil perhatian jitu oleh majikan. Sebenarnya, pihak majikan yang kebanyakannya menggunakan sistem pendingin hawa berpusat, boleh membenarkan udara segar masuk ke dalam sesebuah bangunan mereka secara berkala.

“Ini dilakukan di China iaitu tiga kali sehari, lebih kurang 30 minit. Mereka melakukannya dengan cara mengawal sistem pendingin hawa untuk membenarkan kemasukan udara segar ke dalam bangunan tertutup bagi proses ‘flushing’ udara.

Sanitasi di rumah untuk elak Covid-19 perlu atau tidak? Ini apa kata pakar

“Namun, tidak ramai majikan yang mahu membuatnya kerana melibatkan kos. Bil elektrik akan tinggi apabila mereka melakukan fungsi ini kerana kompresor pendingin hawa akan bekerja lebih banyak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, amalan sanitasi pejabat tanpa penyenggaraan pendingin hawa juga tidak membawa manfaat kerana risiko penyebaran tetap wujud sekiranya individu positif Covid-19 datang ke pejabat selepas dua hari tempat kerja disanitasi.

Ini kerana katanya, sanitasi hanya membersihkan virus tersebut pada hari berkenaan sahaja dan tidak berkekalan hingga hari-hari seterusnya.

Justeru, beliau berpandangan penggunaan pembersih udara yang mempunyai penapis udara HEPA (sejenis penapis udara mekanikal yang berfungsi dengan memaksa udara melalui jaringan halus yang memerangkap zarah berbahaya seperti kuman dan sebagainya) antara alternatif yang boleh dilakukan majikan bagi meningkatkan kualiti pengudaraan dalaman.

BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN

Hakikatnya, ancaman Covid-19 bawaan udara di dalam bangunan tidak dipandang remeh oleh kerajaan apabila Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan membangunkan satu Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) bagi membantu mengurangkan penularan virus tersebut melalui udara.

Objektif panduan itu adalah memaklumkan kepada masyarakat mengenai kaedah bagi menambah baik pengudaraan dan kualiti udara dalaman di tempat kerja, kemudahan kesihatan, kediaman dan tempat awam dengan tujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara.

Panduan tersebut yang perlu dirujuk bersama SOP terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan langkah kawalan lain dalam mengurangkan penularan wabak, menyarankan peningkatan kadar pengudaraan, mengurangkan jumlah penduduk di dalam bangunan, membuka tingkap atau pintu, menggunakan pembersih udara boleh alih dan meningkatkan kemasukan udara segar dari luar bangunan.

Mengulas mengenai isu itu, Timbalan Presiden I Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Mohamad Aliasman Morshidi berkata, selain panduan IAQ, majikan juga sebenarnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 sekiranya gagal menyediakan tempat kerja yang selamat dan ini termasuk kualiti pengudaraan di dalam bangunan.

Mohamad Aliasman.

“Secara umumnya terdapat beberapa peruntukan dalam AKKP 1994 seperti Seksyen 15 dan Seksyen 17 yang menerangkan kewajipan majikan untuk memastikan mereka menyediakan tempat kerja yang selamat dan tanpa risiko kesihatan kepada pekerja.

“Di sinilah pihak majikan mesti membuktikan mereka telah mengambil langkah terbaik dalam mengurangkan jangkitan Covid-19 di tempat kerja dengan melakukan penaksiran risiko dengan betul dan meletakkan langkah kawalan yang efektif dengan merujuk kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sekiranya majikan atau pemilik bangunan gagal mematuhi ICOP IAQ atau Kod Tataamalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman 2010, mereka memang boleh didakwa di bawah AKKP 1994,” katanya.

Menyedari akan kepentingan majikan menyediakan pengaliran udara dalaman yang baik, beliau berkata MSOSH sebagai persatuan yang aktif dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia, telah menganjurkan pelbagai program kesedaran mengenainya.

Ini penting memandangkan lebih ramai yang akan kembali bekerja di pejabat, kilang dan sebagainya apabila lebih banyak sektor dibuka kelak berikutan negara juga dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober ini selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

“Banyak perkara positif yang kita boleh belajar daripada pandemik Covid-19. Selain isu berkaitan kesihatan awam, isu berkaitan KKP (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) di tempat kerja menjadi perhatian utama selepas kita dapat melihat kenaikan kes wabak berkenaan berpunca daripada kluster tempat kerja.

“Di sinilah (pentingnya) peranan proaktif pihak majikan (yang) bertanggungjawab dalam memastikan risiko jangkitan Covid-19 diurus dengan baik, efektif mengikut tahap risiko di tempat kerja dan juga dari segi pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.