AKTIVITI berbasikal menjadi pilihan orang ramai untuk mengisi masa lapang.
Lihat sahaja apabila tiba hujung minggu, pasti akan terlihat kelibat pengayuh basikal berada di mana-mana jalan raya seluruh negara.
Bahkan, bermacam jenis basikal menjadi pilihan untuk beriadah dan antara yang paling mendapat tempat di hati peminatnya adalah basikal lipat (folding).
Basikal lipat kini menjadi alternatif yang cukup praktikal terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Selain sangat selesa digunakan, ia juga mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja dengan fungsi lipatnya.
Bagi korang yang mungkin ingin berjinak-jinak dengan basikal lipat, ada beberapa perkara perlu diketahui;
1. Saiz kecil, senang disimpan
Selain boleh dilipat, kebanyakannya boleh disimpan di dalam beg khas lalu menyenangkan untuk dibawa ke mana saja.
Basikal lipat sangat sesuai bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan singkat melalui jalan-jalan bandar dan memerlukannya untuk pergi ke tempat kerja atau mengangkutnya masuk ke dalam pengangkutan awam.
Di rumah pula, ia boleh disimpan di mana-mana sudut kecil dan tidak memakan ruang yang besar.
2. Kenderaan mobil
Disebabkan saiznya yang kecil dan boleh dilipat, basikal jenis ini boleh menjadi teman setia buat mereka yang tinggal di bandar besar.
Melakukan perjalanan singkat kurang 10 kilometer bukan menjadi masalah besar.
Begitu juga untuk ke tempat kerja yang berhampiran dengan tempat tinggal.
Ia juga boleh menjimatkan wang berbanding menggunakan kereta kerana tidak memerlukan peruntukan untuk membayar tempat meletak kenderaan. Hanya kayuh, lipat dan simpan.
3. Lebih praktikal
Basikal lipat juga jauh lebih mudah dikendalikan daripada basikal konvensional yang lain kerana ia mempunyai berat badan lebih ringan dari segi roda dan bingkai.
Usah risau tentang kerusi atau tongkat kerana ia boleh diselaraskan tanpa sebarang masalah menyesuaikannya dengan tahap yang diperlukan.
4. Sesuai untuk semua peringkat usia dan jantina (lelaki, wanita, remaja lelaki atau anak gadis, warga emas)
5. Mudah untuk dipasang serta untuk dilipat.
6. Boleh dibawa menggunakan kenderaan awam setelah basikal dilipat.
Selain itu, basikal jenis lipat ini sesuai untuk;
1. Newbies dan keluarga
2. Fokus untuk senaman ringan dengan berkayuh
3. Menggunakan pengangkutan awam
4. Kayuhan jarak pendek
5. Berkayuh di taman-taman rekreasi
Namun ia juga ada kelemahannya seperti sering menjadi kerisauan ramai pengayuh basikal adalah strukturnya yang lemah.
Disebabkan ia lebih ringan, maka sesetengah jenis basikal lipat menawarkan ketahanan lebih rendah berbanding jenis basikal lain.
Selain itu, kemampuan untuk membawa muatan lebih banyak menggunakan basikal lipat adalah rendah.
Sebenarnya, ini bukanlah satu masalah kerana fungsi basikal lipat pada dasarnya bukanlah untuk membawa muatan yang banyak.
Disebabkan itulah kebanyakan basikal lipat tidak menyokong beban berat yang banyak kerana roda dan struktur itu sendiri sangat rapuh.
Sumber: Astro Awani, Maskulin, pedalaktif