Archives for December 2021

Buah Aprikot Boleh Halang Kanser Daripada Merebak. Kajian Universiti Terkemuka Buktikan Kesahihannya

KAJIAN tentang peranan pemakanan dan kanser amat luas. Ilmu pengetahuan berkaitan dengannya semakin bertambah hari demi hari dengan penyelidikan yang terus memainkan peranan penting dalam pemakanan berkaitan kanser.

Menurut TK Farmas Solution & Industries, American Institute for Cancer Research dan World Cancer Research Fund menganggarkan bahawa 30 hingga 40 peratus daripada semua jenis kanser boleh dicegah melalui diet seimbang, aktiviti fizikal dan pemantauan berat badan yang ideal.

Jelasnya, kesan diet terhadap risiko kanser telah diperoleh daripada kajian ke atas kaitan antara corak pemakanan dan kadar kanser di populasi yang berlainan di seluruh dunia.

“Ia telah dicatatkan sejak tahun 1970-an lagi di mana negara-negara maju di Barat seperti Amerika dan Eropah mempunyai diet yang tinggi dengan produk haiwan, lemak dan gula, telah menyumbang kepada kadar kanser yang tinggi terutamanya kanser kolorektum, payudara dan prostat.

“Sebaliknya negara membangun pula biasanya mempunyai diet berdasarkan satu atau dua makanan ruji berkhasiat, pengambilan makanan daripada sumber haiwan yang rendah, serta kurang lemak dan gula.

“Ini menghasilkan kadar kanser yang rendah berbanding negara maju berdasarkan kajian TJ Key dan rakan dari Unit Epidemiologi Penyelidikan Kanser UK, University of Oxford, Oxford, UK yang menemui kadar kanser negara membangun adalah 20 peratus lebih rendah berbanding negara maju,” kata TK Farmas Solution & Industries.

Secara umumnya, tidak kira jenis kanser atau kecenderungan genetik, diet seimbang, ditambah dengan senaman yang teratur adalah amat penting untuk pencegahan dan rawatan kanser.

Pengambilan nutrisi berkhasiat dapat mengurangkan risiko kanser dan juga penting bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.

Sesetengah pesakit bimbang bahawa antioksidan seperti Vitamin C, E dan beta-karoten mungkin mengurangkan keupayaan membunuh tumor ketika menjalani rawatan kimoterapi dan radiasi. Ini sebenarnya tidak berlaku.

Berdasarkan kajian oleh Pengarah Pusat Kerjasama WHO dalam Perubahan Global, Alam Sekitar dan Kesihatan Awam yang diterbitkan American Journal of Clinical Nutrition, dalam kedua-dua kajian manusia dan haiwan, antioksidan meningkatkan keberkesanan kimoterapi serta radiasi untuk membunuh tumor sambil melindungi tisu badan daripada kerosakan.

Menurut kajian tersebut, antioksidan amat bermanfaat kepada kimoterapi dan radiasi.

Walaupun kedua-dua rawatan dapat mengurangkan tumor, ia juga boleh menjejaskan tisu-tisu normal seperti jantung, buah pinggang, lapisan usus dan sumsum tulang.

Mujurlah, antioksidan seperti vitamin dapat melindungi tisu normal daripada kerosakan tersebut.

Sebagai contoh, kajian ke atas haiwan oleh Wang dan rakan di dalam jurnal Cancer Research menunjukkan bahawa Vitamin E melindungi hati terhadap kesan rawatan kimoterapi doxorubicin sambil meningkatkan keupayaan ubat untuk meneruskan kesannya ke atas kanser.

Berdasarkan kajian tersebut, Vitamin E juga mempunyai aktiviti antikanser yang unik. Seterusnya kajian oleh Shklar dan rakan dari Universiti Harvard pada tikus yang mempunyai kanser hati, vitamin C dan K meningkatkan keberkesanan membunuh sel kanser sambil mengurangkan kerosakan organ daripada enam jenis rawatan kimoterapi yang berbeza.

Menurut kajian Taper dan rakan di dalam International Journal of Cancer pula, Vitamin A (isotretinoin) meningkatkan keupayaan membunuh tumor bagi rawatan kimoterapi vincristine dan daunorubicin dalam 24 pesakit dengan leukemia limfoblastik akut.

Dalam kajian klinikal Pieters dan rakan dari Jabatan Sains Farmaseutikal, Universiti Antwerp, Belgium terhadap haiwan, suntikan Vitamin C sebelum radioterapi memberikan perlindungan kepada badan haiwan tanpa menjejaskan pembunuhan tumor, justeru menunjukkan bahawa Vitamin C diberikan sebelum radioterapi dapat membantu pesakit bertolak ansur dengan rawatan.

KEBAIKAN VITAMIN B17

Namun, masih ramai yang tidak mengetahui akan kebolehan vitamin B17. Vitamin B17 atau dikenali sebagai Laetrile merupakan salah satu bahan aktif utama di dalam biji aprikot liar organik. Vitamin B17 Laetrile telah dilaporkan mempunyai sifat antioxidatif, antibakteria, antiradang dan imunoregulatori.

Ini telah dibuktikan secara saintifik oleh Minaiyan dan rakan dari Jabatan Farmakologi, Pusat Penyelidikan Fakulti Farmasi dan Sains Farmaseutikal, Universiti Sains Perubatan Isfahan, Iran yang mana biji aprikot liar mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk menghapuskan radikal bebas serta melindungi membran lipid sel daripada teroksidasi.

Selain itu, biji aprikot liar juga kaya dengan sebatian polifenol yang berfungsi untuk melawan keradangan atau antiradang.

Menurut kajian Research in Pharmaceutical Sciences, vitamin B17 Laetrile mampu melindungi lapisan mukosa usus daripada kecederaan kimia dan enzim proteolitik sekali gus melindungi kesihatan usus pesakit kanser ketika menjalani rawatan.

Malahan, hasil kajian Zheng dan rakan pada 2019 ini juga menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu mengurangkan tahap sel-sel imunosupresif atau faktor berkaitan keradangan untuk memusnahkan permukaan tumor, menghalang tumor daripada merebak dan merencatkan pertumbuhan tumor.

Vitamin B17 Laetrile yang mempunyai kebolehan antiradang ini juga sangat penting terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit seperti ekzema, psoriasis, alahan dan asma kerana ia mampu mengurangkan keradangan dan iritasi pada kulit dan paru-paru.

Tambahan lagi, banyak kajian berkaitan vitamin B17 Laetrile telah dijalankan menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu meningkatkan sistem imunisasi badan.

Kajian yang dijalankan Baroni dan rakan dari Universiti Campania Luigi Vanvitelli, Naples, Itali mendapati vitamin B17 Laetrile dapat meningkatkan fungsi imun dengan cara meningkatkan penghasilan T-limfosit dan mengurangkan penghasilan protein yang terlibat dalam pembesaran tumor T-limfosit merupakan sejenis sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem imun badan.

T-limfosit dihasilkan di tulang sum-sum dan melindungi badan daripada jangkitan dan dikatakan mampu melawan sel kanser.

Penggunaan vitamin B17 Laetrile telah lama diamalkan oleh pesakit kanser sebagai pelengkap kepada rawatan mereka disamping menjalani rawatan konvensional seperti kimoterapi dan radioterapi.

Kebolehan vitamin B17 Laetrile untuk melawan kanser juga telah dibuktikan melalui banyak kajian di seluruh dunia.

Kajian dilakukan oleh Makarevic dan rakan (2014) dari Jabatan Urologi, Hospital Universiti Goethe, Frankfurt am Main, Jerman membuktikan vitamin B17 Laetrile mampu mengurangkan pertumbuhan dan pembiakan sel kanser pundi kencing.

Selain itu, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Immunopharmacology and Immunotoxicology oleh Y. Chen dan rakan dari Jabatan Patogenobiologi, Bethune College of Medicine, Universiti Jilin, China pada 2013 juga menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu membunuh sel-sel tidak normal yang boleh menyebabkan penyakit kanser, cyst, fibroid serta tumor sekali gus mampu menggalakkan perkembangan sel sihat.

Malahan kajian terbaru mengenai kelebihan vitamin B17 Laetrile bukan sahaja mampu membunuh sel kanser, tetapi juga mampu merencatkan pertumbuhan endometriosis.

Ini dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh Hu dan rakan (2019) di Hospital Wilayah HuBei, China.

Endometriosis adalah penyakit yang seringkali menyakitkan di mana tisu yang serupa dengan tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim, iaitu endometrium tumbuh di luar rahim. Endometriosis paling kerap melibatkan ovari, tiub fallopio dan tisu yang melapisi pelvis.

Berdasarkan ini, Dr Ismail Lasa, Pakar Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan berpendapat Vitamin B17 Laetrile ini mampu membantu menggalakkan perkembangan sel sihat di dalam tubuh badan sekali gus mampu mengurangkan risiko penyakit kanser dan penyakit metabolik selain dapat meningkatkan kecergasan seseorang khususnya bagi mereka yang sedang menjalani rawatan terapi.

Bagaimanapun, Dr Ismail Lasa juga tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikhuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantarannya ke Malaysia.

Ini amat berisiko kepada kesihatan badan apabila boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan seperti cirit-birit, muntah, sakit kepala, demam dan sebagainya.

Menurut pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM yang juga Pengasas Farmas Health, Prof Dr Syed Zainal Husin Wafa, lambakan produk berasaskan biji aprikot di pasaran kini cukup merisaukan kerana kebanyakan produk tersebut menggunakan biji aprikot yang tidak berkualiti dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Justeru itu, bagi mendapatkan keberkesanan vitamin B17 Laetrile terhadap pemulihan kanser dan penyakit metabolik yang lain perlu dipastikan bahawa vitamin B17 Laetrile adalah daripada biji aprikot liar yang organik serta perlu mengambilnya dengan dos yang mencukupi.

Oleh sebab itu, beliau menasihati pengguna agar memilih produk berasaskan biji aprikot ini dengan berhati-hati.

Produk tersebut perlulah diproses mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi, melalui penyediaan klinikal, mempunyai status HALAL dan paling penting adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Patutlah Tular! Resipi Sambal Hitam Ekspress Dr Kamarul Dikongsi 14 Ribu Warganet

Patutlah tular! Resipi sambal hitam ekspress Dr Kamarul dikongsi 14 ribu warganet
Patutlah tular! Resipi sambal hitam ekspress Dr Kamarul dikongsi 14 ribu warganet

SEBUT sahaja sambal hitam Pahang, pasti terbayang sambal yang cukup rasa dengan masam belimbing buluhnya, masin serta manis.

Ia sangat sesuai dimakan dengan apa jua hidangan. Namun, jika makan dengan nasi putih hanya berlaukkan sambal ini sahaja sudah cukup menyelerakan.

Aduh, terliur pula apabila sambal hitam ini sentiasa lalu depan mata di media sosial kan!

Kata orang, proses membuatnya memakan masa berejam lamanya baru menjadi.

Tapi sesekali teringin juga nak makan sambal hitam ni. Kalau ikut resipi sambal hitam original sememangnya kena masak belimbing tu berjam-jam.

Tapi kalau dah teringin sangat dan susah pula nak ada masa untuk buat macam tu, boleh cuba cara ekspres macam yang ditunjukkan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.

Resipi beliau turut menjadi tular dan sehingga kini telah mendapat lebih 14,000 perkongsian di Facebook.

Bahan-bahan;

  • 1 kg belimbing buluh
  • 2 genggam ikan bilis
  • 10-15 biji cili padi
  • 15 biji bawang merah (kecil)
  • Garam secukup rasa

Cara-cara membuatnya;

1. Mula-mula, bersihkan belimbing buluh. Buang jambul dia. Belimbing buluh ni rasa dia sangat masam, manis, dan ada kelat-kelat sedikit. Makan begitu sahaja memang merembes air liur, mencurah-curah.

2. Masak dalam periuk tekanan eletrik. Sebab guna periuk tekanan, hanya perlu 10 minit sahaja. Letak air setengah cawan, set pada ‘High Pressure’ untuk 10 minit. On! Lepas tu biarkan periuk tu buat kerja sendiri. Tak payah tunggu.

3. Sementara tu, kita urus ramuan lain. Masukkan ikan bilis, bawang dan cili dalam pengisar dan kisar sebaiknya.

4. Selepas kisar, tumis bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak. Dalam 5-10 minit dah selesai. Ngam-ngam periuk tekanan pun dah berbunyi.

SEBUT sahaja sambal hitam Pahang, pasti terbayang sambal yang cukup rasa dengan masam belimbing buluhnya, masin serta manis.

5. Lepaskan stim periuk tekanan sampai habis, dan buka! Ni dia belimbing buluh kita, dah gelap sikit tapi masih basah. Lebihan air ni saya cedok dan buang.

6. Untuk lagi kering, saya set periuk tekanan kepada fungsi ‘Stir Fry’. Jangan lupa kacau belimbing buluh ketika ni, kalau tidak ia akan hangus.

7. Selepas 15-20 minit, kebanyakan air dah tersejat. Boleh sambung keringkan dalam periuk tekanan jika mahu.

8. Jadi alihkan semua belimbing tadi dalam kuali yang berisi bahan tumisan. Gaul rata. Kita sambung keringkan di dalam kuali.

9. Kacau kacau kacau, sampai hancur belimbing buluh itu. Ada orang suka sambal hitam yang belimbingnya betul-betul lumat, ada pula yang suka ada kasar-kasar. Ikutlah citarasa masing-masing. Jangan lupa letak garam jika tak cukup masin, dan sambung masak.

10. Selepas 15-20 minit, dia akan jadi warna macam gelap. Barulah sesuai dengan sambal hitam. Ada orang buat basah sedikit, ada orang buat kering terus. Kalau betul-betul kering, boleh tahan lama sikit.

Masak cara bandar ni, kurang satu jam dah selesai. Siap! Selamat mencuba.

Tidak Fokus, Kurang Sabar Antara Simptom ADHD Pada Kanak-Kanak. Ibu Bapa Kena Peka Ciri-Ciri Ini

PERASAN atau tidak, ada di antara kita yang suka mengganggu perbualan atau kerap memotong percakapan apabila sedang bersembang?

Ya! Itu adalah salah satu ciri-ciri mereka yang mengalami masalah sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau attention deficit hyperactive disorder (ADHD) .

Namun demikian, jangan sesekali memberi kecaman kepada kelompok berkenaan kerana kadangkala ada di antara mereka yang tidak tahu mempunyai ADHD sehinggalah menjengah usia dewasa.

Public Health Malaysia menerusi entri Facebooknya berkata, ADHD adalah salah satu masalah sikap yang disebabkan oleh perkembangan neuro atau otak yang tidak normal.

Jom kenali ADHD ☺️.

Posted by Public Health Malaysia on Thursday, March 18, 2021

Dikatakan hampir 4.3 peratus pesakit yang menghidap penyakit itu di Malaysia yang mana lazimnya terjadi kepada mereka yang berusia lima ke 15 tahun.

Sebenarnya, terdapat tiga jenis keadaan ADHD iaitu kurang tumpuan, hiperaktif dan impulsif (menurut kata hati).

Menurut Barkley, pada tahun 1990, ADHD merupakan salah satu kecelaruan pemikiran yang paling umum dalam kalangan si kecil.

Lahey pada tahun 1997 pula menyifatkan ADHD adalah masalah kanak-kanak yang mempunyai kesukaran untuk menumpukan perhatian kerana kebolehannya yang terhad untuk memberi tumpuan dan sering menunjukkan tingkah laku tidak sabar.

“Gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan berlaku dengan begitu ketara pada sesetengah kanak-kanak terutamanya pada peringkat prasekolah dan juga murid-murid sekolah rendah.

“Gejala ini mengakibatkan kanak-kanak yang mengalaminya sukar mengawal tingkah laku mereka dalam memberi tumpuan yang sepenuhnya,” beritahu Lahey.

Berikut perincian tiga ciri-ciri utama seseorang mempunyai masalah ADHD:

i) Hiperaktif.

  • Apabila duduk sering menggeliat dan gelisah.
  • Kerap bangun untuk berjalan dan berlari.
  • Lari dan memanjat pada keadaan yang tidak sesuai.
  • Terdapat masalah jika melakukan kerja dalam keadaan senyap.
  • Banyak bercakap.

ii) Tidak fokus.

  • Sukar fokus di dalam kelas atau semasa waktu bekerja.
  • Selalu menunda kerja, tidak siap kerja dan menukar-nukar kerja yang tidak siap.
  • Tidak teratur.
  • Kerap terlupa (mesyuarat, janji temu dan tertinggal barang.
  • Senang terganggu dengan bunyi yang mana orang lain tidak mempedulikannya.

iii) Impulsif.

  • Tidak sabar.
  • Sukar menahan daripada mula bercakap dan memberi reaksi.
  • Sukar ikut giliran.
  • Selalu memotong percakapan atau pertanyaan orang lain.

Pun demikian, pengetahuan ADHD dalam kalangan rakyat Malaysia sangat rendah.

Oleh yang demikian, buat ibu bapa di luar sana yang melihat simptom-simptom awal pada anak anda, bawalah mereka berjumpa doktor.

Pastinya, dengan pengesanan awal, rawatan boleh dimulakan lebih cepat dan proses untuk ibu bapa mengenali anak masing-masing juga lebih mudah dilakukan.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.

Stres Punca Sukar Tidur, Alami Kemurungan Melampau

DI SEBALIK penyakit kanser payudara, kanser ovari, autoimun dan hati, wanita di negara ini juga berdepan dengan kemelut terbesar iaitu mengalami gangguan sukar untuk tidur.

Bunyinya seperti tidak berapa serius, namun implikasinya cukup besar.

Berdasarkan satu kajian sahih, sebanyak 89 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah tersebut termasuk para wanita.

Ini bermakna, tiga perempat daripada kita sebenarnya sedang berdepan isu kesihatan yang sama. Penemuan tersebut sebenarnya agak mengejutkan.

Bagi berbincang secara serius tentang topik sukar untuk tidur khususnya dalam kalangan kaum Hawa, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Dr Nurul Yaqeen memulakan hujahnya dengan berkongsi hasil kaji selidik mengenai Kesihatan Tidur oleh Syarikat The Nielsen 2018.

Ujar beliau, daripada dapatan penyelidikan, sembilan daripada 10 orang atau masyarakat di negara ini mengalami satu atau lebih masalah tidur.

“50 peratus rakyat Malaysia menilaikan kualiti tidur mereka sebagai biasa, manakala 63 peratus yang berusia antara 25 dan 49 tahun menyatakan memerlukan lebih daripada 30 minit untuk tidur,” beritahu beliau.

Hasil kajian juga mendapati, 35 peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah tidur sekali ataupun dua kali seminggu, sementara 20 peratus lagi menghadapi masalah tidur tiga atau empat kali seminggu.

Penyelidikan itu juga bertambah menarik apabila 70 peratus responden menyedari bahawa masalah tekanan merupakan antara penyebab utama mereka berdepan dengan isu sukar untuk melelapkan mata.

Cetus banyak penyakit kronik

Tegas pakar perubatan terkenal itu, tidur merupakan suatu proses fisiologi badan untuk merehatkan organ dan tubuh, menggantikan sel-sel rosak dan mati serta menjana tenaga untuk persediaan menghadapi hari yang baharu pada keesokan harinya.

“Sekiranya tidur tidak mencukupi, maka proses rejuvenasi sel, organ dan tubuh akan terjejas dan ini menyebabkan penyakit kronik lebih mudah terjadi,” jelas beliau sambil memberitahu waktu tidur yang mencukupi untuk seorang wanita dewasa adalah antara tujuh hingga lapan jam setiap hari.

Dr Nurul Yaqeen.

Dalam pada itu, Dr Nurul Yaqeen memberitahu, antara punca wanita di negara ini tidak dapat tidur dengan baik adalah disebabkan imsonia.

Insomnia adalah perasaan subjektif yang mana seseorang itu merasakan  bahawa mereka masih kekurangan tidur atau rasa tidak puas walaupun telah mendapat peluang untuk tidur dengan secukupnya.

Justeru, tidak keterlaluan untuk disifatkan bahawa masalah sukar untuk tidur boleh dikategorikan sebagai kritikal memandangkan ia berupaya mencetuskan pelbagai jenis masalah kesihatan dan mental. Hal itu turut diakui oleh Dr Nurul Yaqeen.

“Ya, antaranya seseorang akan lebih mudah untuk mendapat penyakit-penyakit kronik seperti alzheimer, kencing manis, darah tinggi, serangan jantung dan strok tidak kira lelaki atau wanita.

“Orang yang tidak cukup tidur juga lebih mudah menghidapi penyakit mental seperti depresi dan kerisauan. Keadaan ini sekali gus boleh membawa kepada masalah sosial seperti pergaduhan suami isteri dan keruntuhan rumah tangga dan institusi kekeluargaan,” katanya.

Selain itu, ujar Dr Nurul Yaqeen, kekurangan tidur juga boleh melemahkan sistem imunisasi badan sekali gus menyebabkan seseorang itu lebih mudah dijangkiti penyakit seperti jangkitan virus dan bakteria.

“Ia dibuktikan dengan satu kajian yang mana tidak cukup tidur juga boleh mempercepatkan proses penuaan dan menyebabkan seseorang itu lebih mudah mendapat masalah seperti kanser,” katanya.

Kata pakar itu lagi, wanita yang tidak cukup tidur sudah semestinya akan berhadapan masalah produktiviti dan prestasi di tempat kerja dan sekolah yang kurang baik.

“Kajian Kalmbach pada tahun 2018 mendedahkan, disebabkan faktor itu, wanita akan mudah berasa letih dan fokus semasa di tempat kerja dan sekolah juga akan menurun.

“Rentetan itu juga, timbul beberapa masalah lain, antaranya keinginan seksual yang rendah dan memori seseorang itu turut akan lemah,” katanya.

Dr Nurul Yaqeen menambah, terdapat timbunan kes impak daripada krisis sulit untuk lena.

Antara yang paling kerap dilaporkan adalah kemalangan di jalan raya dan di tempat kerja.

“Kes-kes tumpahan minyak di laut juga banyak dilaporkan berpunca daripada pekerja pengendali yang tertidur ketika bertugas disebabkan tidak cukup tidur pada malam sebelumnya. Satu kes letupan reaktor nuklear di Chernobyl, Rusia beberapa tahun lepas juga dilaporkan berpunca daripada masalah sama,” ungkap beliau.

Mental, murung

Dari sudut psikologi, SinarPlus menghubungi Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail pula.

Dr Nurul Nadia.

Dr Nurul Nadia menjelaskan, secara asasnya, perbuatan perbuatan tidur itu boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

i) Rapid eye movement sleep (REM)

ii) Non-rapid eye movement sleep (NREM)

Jelas beliau, tidur NREM pula dipecahkan kepada tiga peringkat dan  setiap satu daripadanya mempunyai peranannya masing-masing.

“Bagaimanapun, cukup untuk diketahui bahawa tidur NREM itu adalah yang mana keadaan kita mula berasa tenang, pergerakan fisiologi seperti saraf simpatatik dan pergerakan otot-otot pernafasan serta suhu badan berada pada keadaan yang lebih rendah berbanding keadaan semasa kita berjaga.

“Tidur jenis ini juga mempunyai fungsi yang tertumpu kepada pembinaan dan pertumbuhan sel-sel badan termasuk, otot, tulang dan imun badan,” katanya.

Sementara tidur jenis REM jelasnya, penting untuk pembentukan daya ingatan, emosi dan mental yang baik dan kekal stabil. Justeru, secara konklusinya, kata Dr Nadia, tidur memang sangat signifikan bagi semua orang tidak kira jantina mahupun usia.

“Bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa tidur seseorang wanita itu lebih mudah terkesan atau terganggu jika golongan itu berada dalam perhubungan yang kompleks. Antaranya seperti terperangkap dalam keganasan rumah tangga.

“Kajian juga menunjukkan bahawa lebih ramai wanita mempunyai kemurungan klinikal, kecelaruan keresahan. Ini bermakna, mereka lebih berisiko mempunyai masalah mental seperti pasca kecelaruan trauma,” terangnya lagi sambil memberitahu ramai dalam kalangan kaum Hawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan nasihat gara-gara berdepan dengan simptom-simptom dan gangguan untuk tidur dengan sempurna.

Dr Nurul Nadia juga memberitahu SinarPlus, penyakit-penyakit mental juga mempunyai perhubungan dua hala dengan fisiologi tidur seseorang.

“Lazimnya, tidur yang terganggu boleh menyebabkan pembentukan penyakit mental. Mereka yang dikesan mempunyai kemurungan klinikal memang mempunyai kaitan dengan gangguan tidur,” katanya.

Kesukaran untuk melelapkan mata mempunyai tiga peringkat iaitu:

i) Jika dalam keadaan normal, seseorang hanya memerlukan lima hingga 15 minit sahaja untuk tidur. Namun, mereka yang bermasalah, mengambil masa lebih dari dua jam.

ii) Kerap terjaga semasa sedang tidur.

iii) Gangguan tidur pada peringkat akhir iaitu mereka akan bangun dua jam lebih awal berbanding waktu normal.

“Fakta menarik yang ingin saya kongsikan adalah golongan wanita perlu tidur di antara 11 ke 20 minit lebih lama berbanding lelaki.

“Mungkin ia kedengaran agak kelakar. Namun demikian, kajian tersebut menunjukkan data berkenaan kerana dipercayai wanita lebih banyak menggunakan fikiran di tempat kerja,” tambah Dr Nadia.

Bagaimana untuk mengatasi kemelut berkenaan? Berikut saranan pakar tersebut:

i) Mengatur tatatertib semasa tidur.

ii) Melakukan senaman ringan pada siang hari.

iii) Elak mengambil kafein selepas jam 6 petang dan amalkan minum susu panas atau air suam.

iv) Melakukan pekerjaan yang tidak melibatkan keterujaan emosi seperti membaca buku motivasi.

v) Tidak menggunakan gajet dua jam sebelum masuk tidur.

vi) Tidak menonton cerita yang boleh menyebabkan emosi terganggu.

vii) Mempraktikkan teknik pernafasan relaksasi sebelum tidur.

ANEKDOT

8 TIP lain yang boleh dilakukan jika alami masalah tidur yang tidak mencukupi:

  1. Kekalkan jadual waktu tidur.

Tidur pada waktu yang sama, setiap hari malah pada hujung minggu dan hari cuti. Konsistensi itu akan membuatkan badan terbiasa dengan kitaran jadual tidur tersebut.

  1. Perhatikan makan dan minum.

Jangan masuk tidur jika berasa lapar atau terlampau kenyang. Rasa tidak selesa akan membuatkan seseorang itu kerap terjaga. Kesan rangsangan nikotina, kafein dan alkohol yang mengambil masa berjam-jam untuk hilang juga akan mengganggu tidur.

  1. Cipta ritual waktu tidur.

Lakukan perkara yang sama setiap malam sebelum tidur seperti mandi air panas, membaca buku atau mendengar muzik yang menenangkan sebagai peringatan kepada badan untuk berehat. Elakkan menggunakan peralatan elektronik dalam ritual waktu tidur.

  1. Berada dalam keadaan selesa.

Hias bilik tidur dengan gaya yang sesuai untuk tidur seperti lampu tidur yang malap dan warna cat bilik yang menenangkan serta pilih tilam dan bantal mengikut keselesaan.

  1. Had tidur waktu siang.

Tidur pada waktu siang yang panjang boleh mengganggu waktu tidur yang sepatutnya terutama penghidap insomnia. Hadkan waktu tidur siang selama 10 hingga 30 minit sahaja dan sebaik-baiknya pada waktu tengahari.

  1. Lakukan aktiviti fizikal dalam rutin seharian.

Aktiviti fizikal secara berkala boleh membuatkan seseorang itu mendapat tidur yang berkualiti dan lebih cepat tidur. Namun, tidak digalakkan bersenam ketika menghampiri waktu tidur kerana ditakuti akan mengganggu waktu tidur.

  1. Pengurusan tekanan.

Tekanan terutamanya di tempat kerja boleh menyebabkan seseorang susah untuk tidur kerana banyak berfikir. Belajar untuk menguruskan tekanan di sekeliling seperti menjadi seorang yang lebih teratur dalam hidup dengan membahagikan perkara yang penting dan kurang penting.

  1. Temui doktor.

Hampir semua orang kadang-kadang mengalami masalah untuk tidur tetapi jika ia terlalu kerap berlaku sehingga mengganggu kualiti hidup, ia mungkin tanda penyakit atau masalah-masalah lain. Oleh itu, segara dapatkan bantuan doktor.

Sumber: Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Farah Husna alamai depresi melampau, terpaksa ambil cuti 3 bulan rehatkan minda

FARAH HUSNA ALAMI, 26, bukannya seorang individu yang mengalami penyakit kronik. Pun demikian, katanya, beliau berdepan dengan masalah kemurungan gara-gara tidak cukup tidur.

Wanita itu memberitahu, pola waktu tidurnya cukup caca-merba pada setiap hari sejak beberapa bulan lalu.

“Bayangkan, setiap malam saya akan terjaga hampir lima atau enam jam. Saya memang mudah sangat terjaga. Walaupun adik saya hidupkan suis lampu di bilik sebelah, saya dengar dan terus susah mahu tidur kembali,” kata pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta itu.

Melihat keadaan itu, Fatin Husna berkata, beliau dapat berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinnya.

“Mula-mula saya fikir itu adalah perkara biasa, tetapi saya dapat rasakan ia satu yang luar biasa kerana fikiran saya akan bercelaru pada keesokan harinya dek kerana tak dapat tidur dengan baik. Saya sangat letih menahan emosi sebegitu.

“Badan saya sentiasa lesu tak bermaya. Saya rasa situasi saya ini agak tidak elok kerana memberi impak kepada perasaan saya. Mengapa? Saya lihat diri saya menjadi kurang sabar kalau mendengar adik bongsu saya yang berusia empat tahun menangis, menjerit apatah lagi melalak. Saya jadi takut kerana saya mungkin boleh mencederakannya,” akuinya kepada SinarPlus ketika dihubungi baru-baru ini.

Perubahan dirinya sangat dibimbangi oleh ibu bapanya. Atas nasihat,  Farah Husna berkata, beliau pergi mendapatkan nasihat daripada doktor.

“Saya tidak percaya apabila doktor menerangkan simptom yang saya alami itu menunjukkan saya berdepan dengan masalah tekanan melampau.

“Itu semua lantaran tidak cukup tidur, tidak cukup rehat ditambah dengan bebanan kerja di ofis,” katanya yang masih dalam proses rawatan dan pemantauan di salah sebuah hospital di Lembah Klang.

Bagi meredakan keadaan, wanita itu turut disarankan oleh pakar untuk mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan.

Farah Husna turut berterus-terang bahawa beliau kini sedang bergelut mencari identiti dirinya semula.

“Justeru, nasihat saya, jangan ambil mudah dengan masalah tidur kerana ia akan menjejaskan diri dan buktinya apa yang terjadi kepada saya.

“Buat orang ramai di luar sana, jika berhadapan masalah yang sama seperti saya, jangan berlengah lagi dan segera dapatkan rawatan. Hanya diri anda yang mampu mengubahnya,” pesannya sebelum mengakhiri perbualan.

Potong Kuku Terlalu Pendek, Pakai Kasut Terlampau Ketat Punca Berlaku Cagu

CAGU atau di sesetengah tempat dikenali sebagai cengkam adalah keadaan yang mana kuku jari menumbuh ke sisi dan menekan tisu pada bahagian tepi jari.

Sebagai tindak balas, tisu pada sisi kuku mengalami keradangan dan menjadi tebal.

Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman melalui Facebooknya berkata, keadaan itu paling kerap berlaku pada ibu jari kaki.

“Kerap kali pula ia dijangkiti kuman dan mengeluarkan nanah sehingga menyebabkan pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat,” katanya.

Pun demikian, lebih parah lagi keadaan itu juga akan mengakibatkan gangguan emosi terhadap pesakit akibat bau yang kurang menyenangkan dan pesakit tidak boleh memakai kasut akibat kesakitan.

“Sebenarnya, cagu atau onychocryptosis sangat berbeza dengan paronychia.

“Paronochia pula jangkitan kuman pada jaringan tisu kulit tepi kuku (soft tissue infection) manakala cagu ini adalah masalah jangkitan kuman bakteria,” terang Dr Arisman.

Kongsi pakar itu, berikut antara penyebab terjadinya cagu iaitu:

i. Potong kuku terlalu pendek (improper grooming and trimming of the nail).

ii. Pakai kasut yang ketat dihujungnya.

iii. Traumatik.

iv. Kuku yang besar untuk jari kaki disebabkan penyakit daripada lahir atau congenital abnormality.

Bagaimanapun, mengikut pengamatan Dr Arisman, paling kerap penyebab cagu adalah masalah potong kuku yang terlalu pendek (terutama pada bahagian tepi kuku) dan memakai kasut yang ketat.

Memperincikan mengenai gejala dan tandanya, beliau memberitahu cagu akan menyebabkan bengkak yang sakit, kemerah-merahan, bernanah dan demam (jarang sekali berlaku).

Oleh yang demikian, saran pegawai perubatan itu, berikut antara rawatan yang boleh membantu pesakit yang berhadapan masalah itu:

1. Berjumpa dengan doktor untuk dapatkan ubat makan antibiotik, krim antibiotik dan ubat tahan sakit jika perlu.

2. Lakukan prosedur partial nail avulsion (buang kuku separuh pada bahagian yang dijangkiti) dan buang nanah (drainage).

3. Pastikan anda menjaga kebersihan kaki setiap hari.

4. Rendamkan kaki dalam air suam antara 3 ke 4 kali sehari dan biarkan kering selepas itu.

5. Jangan pakai kasut bertutup sementara waktu (dalam rawatan) dan elakkan pakai kasut ketat dihujungnya.

Oleh itu, tegas Dr Arisman sekali lagi, cegahlah masalah cagu dengan tidak memotong kuku dengan ada lekuk (rounding the corners) pada hujung tepi kuku dan pastikan kasut yang dipakai sedikit longgar.

Apa-apapun yang paling penting adalah kita mengetahui cara-cara memotong kuku dengan betul.

Ingat, hujung kuku kaki perlu dipotong secara lurus mulai daripada sisi kuku dan elakkan daripada memotong kuku secara menyerong pada bucu kuku kerana ia boleh menyebabkan cagu berlaku.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca SinarPlus.

Jus Tembikai Bersama Lemon Dan Laici Segarkan Tekak

Jus tembikai bersama lemon dan laici segarkan tekak

KORANG sedang mencari resipi jus buah yang menyegarkan tekak?

Cuaca yang panas kadangkala membuatkan kita mudah terasa haus. Apabila tekak terasa kering, mulalah teringat minuman-minuman manis.

Apa kata korang ubah cita rasa kepada jus buah yang lebih sihat seperti jus tembikai bersama lemon dan laici.

Jus ini menggabungkan tiga jenis buah yang kaya dengan vitamin C. Rasa manis dan masam setiap buah ini memang seimbang, dijamin sedap!

Ramadan juga tidak lama lagi akan menjelma. Setiap kali berbuka puasa, mesti teringin minum air sedap-sedap kan?

Setelah seharian menahan dahaga, dapat minum air sejuk-sejuk memang padu!

Jom buat air tembikai lemon laici ini untuk berbuka nanti. Dijamin puas hati dan menyegarkan!

Aduhai nikmatnya tembikai! Selain segar tinggi khasiatnya

Bahan-bahan;

  • 1 kg tembikai (ditimbang bersama kulit)
  • 1 tin laici
  • Jus atau air lemon

Cara-cara membuatnya;

1. Kisarkan tembikai bersama air lemon. Buang hampas dan buih dengan menapisnya.

2. Tambahkan air laici dan boleh letakkan ais. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Sumber: Ben Safwan

Aduhai nikmatnya tembikai! Selain segar tinggi khasiatnya

Obses Untuk Kelihatan Putih, Pilih ‘Whitening Drip’ Sehingga Derita Kerosakan Organ

KINI, ramai wanita di luar sana yang terlalu taksub untuk kelihatan cantik dengan hanya memiliki kulit yang putih.

Kata mereka, kulit yang putih menyerlahkan lagi keanggunan pada wajah mereka.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah ada yang sanggup berkorban apa sahaja termasuklah dari segi wang ringgit dan rawatan yang tidak diiktiraf.

Salah satu daripadanya adalah teknik whitening drip yang mana sudah acap kali kesan buruknya dikongsikan, namun masih ramai yang berkeras dan tetap memilih kaedah itu.

Baru-baru ini, percubaan seorang wanita untuk memutihkan kulitnya telah memakan diri apabila sebahagian daripada organ dalamannya tidak dapat berfungsi dengan baik.

Perkongsian yang didedahkan oleh pemilik akaun TikTok, Eylaa Mazlan agak mengejutkan.

Beliau mendapati pesakitnya telah membeli set peralatan lengkap whitening drip dan rawatan itu dilakukan secara sendiri.

Tulis beliau yang juga merupakan seorang jururawat, kelengkapan untuk ajen pemutih itu sangat mudah didapati kerana banyak dijual secara online.

“Oleh kerana terlalu taksub untuk putih, gadis berkenaan akhirnya dikejarkan bagi menerima rawatan lanjut selepas tidak sedarkan diri dan pada masa sama beliau perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan,” beritahu beliau.

Lebih mendukacitakan, gadis tersebut terpaksa melakukan rawatan dialisis pada usia yang sangat muda.

Dalam pada itu, menjejaki ke ruangan komen, rata-rata orang ramai sangat terkejut dan tidak menyangka dengan perkongsian tersebut.

Ada yang turut berduka dengan insiden yang menimpa gadis itu, malah ada yang menitipkan pesanan agar kejadian itu menjadi titik kesedaran kepada orang ramai terutamanya orang muda di luar sana.

Bagaimanapun, bersyukurlah dengan nikmat yang sihat yang ALLAH telah kirimkan.

Ingat, tidak salah untuk kelihatan cantik sebaliknya jangan terlalu terikut-ikut dengan trend terkini sehingga boleh menjejaskan kesihatan diri.

Hanya 34 Peratus Rakyat Malaysia Simpati Dengan Anak Sindrom Down

DI AMERIKA SYARIKAT, kira-kira 6,000 bayi dilahirkan dengan masalah sindrom Down, menurut portal perubatan antarabangsa, healthline.com.

Kata portal itu lagi, wanita yang mempunyai zuriat sindrom Down berkecenderungan memiliki anak yang memiliki situasi yang sama.

Secara matematiknya, jika seorang ibu mempunyai satu anak dengan keadaan tersebut, risiko untuk mendapat anak kedua adalah sekitar satu daripada 100 hingga usia 40 tahun.

“Sekiranya, genetik datang daripada keluarga ibu, risiko itu sekitar 10 hingga 15 peratus, sementara daripada sebelah bapa, sekitar tiga peratus sahaja,” kata laman web itu.

Dalam pada itu, Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ezura Madiana Md Monoto berkata, peningkatan umur ibu sering dikaitkan dengan kehamilan anak sindrom Down.

“Risiko ini meningkat dengan pesat kerana pada usia ibu 35 tahun, prevalens trisomi 21 adalah satu kes dalam 270 kehamilan.

“Kanak-kanak sindrom Down biasanya mempunyai keupayaan kognitif yang lebih rendah dan perkembangan fizikal mereka juga agak perlahan. Golongan itu juga berisiko tinggi diserang masalah jantung kongenital, penyakit gastroesophageal reflux, masalah tiroid dan kanser darah seperti leukemia,” ujarnya.

Kepada SinarPlus, Dr Ezura berkata, menjaga kanak-kanak khas itu tidak mudah.

Dr Ezura Madiana.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam mengawal emosi masing-masing semasa menjaga dan mendidik mereka,” katanya yang turut memiliki seorang anak syurga dan sangat bersyukur dengan kurniaan itu.

Menyambung hujah, pakar itu berkata, sukar untuk menafikan perasaan ibu bapa atau penjaga yang sentiasa gusar dengan stigma masyarakat. Bukan itu sahaja, mereka pasti akan dihambat emosi bimbang tentang masa depan anak-anak istimewa itu.

“Cara terbaiknya untuk atasi hal itu adalah ibu bapa digalakkan mendapatkan dorongan daripada kumpulan sokongan seperti khidmat persatuan-persatuan aktif. Ia adalah kerana kelompok berkenaan akan menjadi rujukan dan tulang belakang serta tidak akan membiarkan ibu bapa berkeseorangan dalam membesarkan permata hati masing-masing,” katanya.

Pun demikian, dalam satu kajian yang dijalankan oleh United Nations Children’s Fund yang bertajuk Kanak-kanak Kurang Upaya di Malaysia: Kajian Mengenai Pengetahuan, Sikap dan Amalan (2017) menyaksikan, masyarakat pada masa kini dilihat semakin terbuka.

Output hasil temu bual mendapati 34 peratus rakyat di Malaysia bersimpati dengan anak sindrom Down, 28 peratus menyatakan hasrat untuk membantu golongan itu sementara 17 peratus daripada responden mengaku yang mereka bersyukur tidak mempunyai tidak keupayaan.

Fikir Dahulu Sebelum Muat Naik Foto Anak, Ini 4 Kesannya

KADANGKALA keterujaan ibu bapa memuat naik gambar si comel di platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter malah melalui aplikasi Whatsapp boleh mengundang padah.

Tidak salah untuk berkongsi kegembiraan atau memberitahu dunia tentang perkembangan anak-anak masing-masing, namun jangan keterlaluan!

Mengakui pandangan SinarPlus itu ada kebenarannya, Pakar (Pelawat) Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Dr Nor Rahidah Abd Rahim menasihatkan agar ibu bapa perlu berhati-hati.

“Jangan sewenang-wenangnya berkongsi gambar-gambar anak kecil dalam mana-mana platform pun terutama dalam media sosial,” katanya.

Sebelum meneruskan rentetan artikel, SinarPlus ingin mengajak pembaca mengimbau tentang satu kes yang berlaku pada tahun 2015 yang melibatkan penuntut Malaysia yang dipenjara lima tahun oleh Southwark Crown Court, United Kingdom.

Pelajar yang ketika itu berusia 23 tahun telah ditangkap dan kemudian mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki, menghasilkan dan mengedar 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di bawah umur.

Lebih mengejutkan, sebanyak 601 keping daripada jumlah itu adalah imej dan video kategori A iaitu kategori yang membabitkan foto dan video memaparkan aktiviti persetubuhan dengan kanak-kanak.

Mengambil pengajaran daripada kisah tersebut, Dr Nor Rahidah berkata, budaya memuat naik foto anak-anak dalam pelbagai ragam dan aksi perlu difikirkan semula.

“Mereka kena cakna dengan kesan-kesannya, jika ibu bapa tidak peka, ia boleh mengganggu perkembangan emosi, fizikal dan mental anak mereka itu nanti,” katanya.

Dr Nor Rahidah.

Berikut antara implikasi yang bakal berlaku sekiranya penjaga berkongsi gambar si kecil secara meluas tanpa pertimbangan yang wajar:

i) Privasi terganggu.

Sebelum memuat naik sebarang gambar anak di platform media sosial, pastikan ibu bapa berbincang atau mendapatkan kebenaran daripada anak terlebih dahulu sama ada mereka suka atau tidak gambar tersebut.

Jika mereka masih terlalu kecil, fikirkan sejenak akan perasaan mereka sekiranya melihat gambar itu dalam beberapa tahun akan datang.

Pada pandangan ibu bapa, gambar yang ingin dikongsi kelihatan comel, namun mungkin tidak pada mereka dan ia mungkin akan mendatangkan aib apabila mereka dewasa kelak.

Oleh itu, hormati keputusan dan pertimbangkan keizinan anak-anak.

ii) Sukar dikawal dan dilupuskan

Perlu diketahui bahawa gambar atau video yang telah direkod lalu dimuat naik menerusi media sosial bersifat tahan lama.

Sebagai contoh, paparan gambar yang tidak sepatutnya yang sudah tersebar, pastinya sangat sukar untuk dipadam secara keseluruhannya.

Apatah lagi, mustahil untuk melupus atau menghilangkan gambar-gambar tersebut daripada tatapan khalayak ramai secara langsung.

iii) Gambar disalah guna.

Terdapat risiko penyalahgunaan gambar terutamanya foto yang memalukan anak kecil tersebut.

Ia boleh dianggap sebagai perlakuan buli yang pastinya akan memberi impak negatif kepada emosi si anak.

Lebih parah, keadaan tersebut akan memberi kesan kepada tahap kesihatan mereka. Tidak mustahil mereka akan mengalami masalah kemurungan dan keresahan.

iv) Identiti dicuri.

Secara amnya, apabila ibu bapa membuat keputusan untuk berkongsi gambar anak, ia seakan-akan menjadi ‘avatar‘ kepada perkara-perkara di luar jangkaan sehingga ada yang tidak masuk akal.

Misalnya, gambar-gambar berkenaan akan menjadi ‘perhatian‘ golongan-golongan yang berfikiran songsang seperti pedofilia dan pornografi. Pastinya, mereka akan ‘memanfaatkan‘ sepenuhnya peluang tersebut.

Oleh itu, kepada ibu bapa di luar sana, Dr Nor Rahidah berpesan agar sentiasa mengawal diri daripada memuat naik gambar anak-anak yang dirasakan mampu mendatangan ‘ancaman‘ kepada mereka.

“Sebenarnya, pilihan berada di tangan ibu bapa sendiri. Fikir-fikirkanlah, ibu bapa mana yang tak mahu orang memuji anaknya comel, cantik dan cerdik. Pada masa sama, ibu bapa juga tak mahu dan tak boleh tidur malam jika dapat tahu gambar anak menjadi bahan hiburan golongan tidak bertanggungjawab.

“Sebagai ‘pencipta kandungan‘ ibu bapa perlu bijak dan menilai setiap keping potret yang ingin dikongsikan di media sosial kerana impaknya akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang,” pesannya.

TIGA situasi gambar anak kecil yang tidak sesuai dikongsi ibu bapa dalam media sosial:

1. Gambar yang menampakkan anak individu lain.

Sekiranya ibu bapa hendak memuat naik gambar anak yang turut menampakkan anak individu lain, berhubung terlebih dahulu dengan ibu bapa mereka. Walaupun bagi penjaga gambar tersebut tidak mempunyai apa-apa masalah, pandangan ibu bapa lain kadangkala berbeza.

2. Gambar anak kecil sedang mandi atau tidur.

Gambar ketika anak sedang mandi tidak sepatutnya dimuat naik. Ini kerana ketika sedang mandi ata tidur, mereka mungkin akan berada dalam keadaan bogel atau separuh bogel.

3. Gambar lokasi si manja selalu berada.

Jangan sesekali mendedahkan lokasi yang sering mereka kunjungi sama ada di rumah, sekolah, taska, taman permainan atau lokasi lain anak kecil selalu berada.

Sumber: hellodoctor.com

Jangan Goncang Susu Beku Yang Telah Dicairkan Sebelum Diberikan Kepada Bayi

PASTINYA, persediaan untuk menyambut kelahiran bayi adalah sesuatu yang menggembirakan.

Sebelum mengambil keputusan tentang jenis penyusuan untuk bayi, penting untuk ibu memberi pertimbangan kepada penyusuan susu ibu kerana ia memberi kebaikan kepada ibu dan anak.

Kongsi portal MyHEALTH.com, untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu, mereka digalakkan memberi susu ibu sepenuhnya hingga bayi berumur enam bulan dan diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.

“Pemberian susu ibu sepenuhnya bermaksud bayi tidak diberi makanan atau minuman tambahan yang lain selain daripada susu ibu,” tulisnya.

Pun demikian, masih ramai ibu yang ingin mengetahui kaedah terbaik untuk memberi susu perahan kepada si manja masing-masing.

Prihatin dengan keadaan itu, Doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak ada tipnya.

“Pertama sekali, ibu-ibu yang mengamalkan pemberian susu perahan, apabila membuka peti sejuk rujuk tarikh yang terpapar pada botol terlebih dahulu.

“Sebenarnya, yang mana satu disimpan dahulu, botol itulah yang perlu dicairkan dahulu dengan mengalihkan susu beku dari peti sejuk ke bahagian bawah (fridge) lalu dibiarkan semalaman,” ujar beliau.


Selain itu, kata Dr Izzat, cara lainnya adalah mengalirkan air paip di bahagian atas bekas mengandungi susu beku itu.

“Bila agak-agak sudah cair sedikit, boleh alirkan air suam untuk cairkan keseluruhan susu itu atau tatacara mudahnya, rendam terus bekas berisi susu beku dalam mangkuk berisi air suam,” beritahu beliau.

Namun demikian, pesannya, jangan sesekali goncang (dengan bersungguh-sungguh) susu yang sudah cair itu.

“Sebaliknya, hanya pusing bekas tersebut secara aturan melawan jam dan mengikut jam secara perlahan-lahan sahaja,” katanya.

Pun demikian, tegas Dr Izzat juga, jangan cairkan susu pada suhu bilik dan tidak boleh panaskan susu beku di atas dapur atau menggunakan ketuhar gelombang mikro kerana boleh menjejaskan kualitinya.

Oleh yang demikian, penting untuk diingatkan kepada para ibu, pastikan susu yang dicairkan diberi kepada bayi dihabiskan dan jangan sesekali simpan atau bekukan semula tau!

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua ibu-ibu di luar sana.