Apa itu Asid Benzoik?
Asid benzoik adalah antara bahan pengawet digunakan untuk mengawal pertumbuhan kulat, bakteria dan yis bagi memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan.
Asid benzoik juga dikenali sebagai asid fenilformik atau asid benzena karboksilik wujud dalam bentuk semula jadi, tetapi biasanya disediakan secara sintetik. Ianya dalam bentuk pepejal berhablur tanpa warna.
Bahan tambah ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk terbitan seperti natrium benzoat (E211), kalium benzoat (E212), kalsium benzoat (E213) atau bentuk benzoat yang lain seperti para-hidroksibenzoat. Asid benzoik dan terbitannya terutamanya natrium benzoat digunakan secara meluas sebagai bahan pengawet antimikrob.
Asid benzoik juga terdapat secara semulajadi di dalam buah-buahan, khususnya buah beri.
Penggunaan dalam Makanan
Umumnya, Asid benzoik serta terbitannya terutamanya natrium benzoat digunakan secara meluas sebagai bahan pengawet di dalam beberapa sediaan makanan yang tidak tahan lama seperti cili boh, mayonis, sos tiram, sos cili, kicap, santan kelapa, jem, buah atau sayur yang ditinkan, buah yang dikeringkan dan minuman ringan.
Pada amnya bahan pengawet ini selamat untuk digunakan sebagai bahan tambah di dalam makanan, tetapi pada kepekatan yang dibenarkan. Mengikut Akta Makanan (1983), kepekatan asid benzoik atau natrium benzoat yang dibenarkan adalah dalam julat 350 mg/kg hingga 2000 mg/kg.
Kesan Pengambilan Asid benzoik kepada Kesihatan Manusia
Walaupun Asid benzoik dianggap sebagai tambahan yang sangat selamat dan berkesan, namun ianya boleh mengakibatkan beberapa kesan sampingan yang kecil. Kesan-kesan sampingan yang mungkin: kesukaran bernafas, asma, bengkak pada muka, bibir, lidah, atau tekak dan alahan.
Tubuh badan manusia tidak mengumpul Asid benzoik dan terbitannya (natrium benzoate). Sebaliknya, akan dimetabolismakan dan dikeluarkan dalam bentuk urin dalam masa 24 jam.
Nasihat kepada pengguna
- Pengguna dinasihatkan untuk selalu membaca label makanan sebelum membeli makanan. Bagi pengguna yang mempunyai masalah asma atau alah terhadap makanan atau bahan tambah tertentu amatlah penting untuk membaca senarai ramuan pada label makanan dan mengenal pasti makanan atau aditif yang perlu dihindari yang boleh memberikan alahan.
- Baca arahan penyimpanan pada label jika ada keperluan untuk disimpan di dalam peti sejuk dingin (chiller) setelah bungkusan atau botol dibuka. Ini untuk mengekalkan kualiti dan jangkahayat makanan tersebut.
- Bersihkan sekeliling mulut dan penutup botol bagi sos atau kicap yang disimpan di dalam suhu bilik untuk mengelakkan pertumbuhan kulat disebabkan oleh kadar kelembapan udara yang tinggi pada suhu bilik dan serangga. Penutup botol juga perlu ditutup rapat.
Speak Your Mind