Golongan muda Arab kini mula menyimpan

Tidak ramai golongan muda Arab yang mempunyai minat untuk melabur sebelum ini. - Foto AFP

DIBESARKAN di Timur Tengah tetapi kurang menyimpan wang dan tidak mengamalkan budaya melabur merupakan antara ciri-ciri golongan muda Arab.

Namun, kini semakin ramai golongan itu mula menggunakan aplikasi perkhidmatan perbankan online untuk membantu mereka mengesan perbelanjaan dan bajet kewangan masing-masing.

Ketika seorang wanita, Mayar Akrameh yang berusia 29 tahun dibesarkan di Lubnan, nasihat kewangannya adalah mudah iaitu bekerja bagi tempoh lama, bekerja keras dan menyasarkan untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang tinggi.

Wanita tersebut yang kini bertugas sebagai perunding pengurusan adalah salah seorang daripada ramai golongan muda Arab yang beralih kepada penggunaan teknologi kewangan atau dikenali sebagai ‘fintech’ untuk membantu mereka menyimpan dan membuat pelaburan.

Amalan itu sebenarnya telah diabaikan di negara-negara Timur Tengah.

“Kami diajar bahawa jika anda bekerja dan menghasilkan wang yang cukup, walaupun anda membenci pekerjaan anda itu, anda ialah seorang yang baik,” katanya kepada AFP.

Akrameh berpindah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 2019 iaitu semasa peringkat awal Lubnan dilanda krisis kewangan.

Nilai mata wang Lubnan kemudian jatuh ke paras yang terendah dengan ramai orang berhadapan dengan kawalan perbankan yang ketat di negara itu.

Ketidakstabilan ekonomi di rantau itu yang diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 telah mendorong ramai orang beralih menggunakan perbankan online dan aplikasi kewangan.

Akrameh, yang tidak tahu bagaimana cara melabur dan menjimatkan wang ketika dia mula menjana pendapatan kini telah menggunakan satu aplikasi kewangan untuk mengesan perbelanjaannya.

“Ini bukan hanya untuk tujuan persaraan nanti. Ini adalah mengenai hidup yang lebih baik, mempunyai impian, mempunyai masa untuk bernafas,” katanya.

Sejak setahun lalu, pakar-pakar ekonomi mula melihat terdapat perubahan tingkah laku dalam kalangan golongan muda Arab. - Foto AFP

Sejak setahun lalu, pakar-pakar ekonomi mula melihat terdapat perubahan tingkah laku dalam kalangan golongan muda Arab. – Foto AFP

PERUBAHAN TINGKAH LAKU

Ketua Pegawai Eksekutif Sarwa iaitu sebuah firma perunding kewangan automatik yang berpusat di Dubai, UAE, Mark Chahwan berkata, beliau telah melihat perubahan tingkah laku kewangan pada tahun lalu.

Ini adalah disebabkan oleh Covid-19 yang menghancurkan banyak industri dan ramai orang kehilangan pekerjaan.

Chahwan berkata, rata-rata penggunanya masih baru dengan idea pelaburan untuk jangka panjang dengan ramai orang Arab masih teragak-agak untuk menunggu keuntungan yang akan diperoleh mereka berbanding daripada membuat keuntungan dengan cepat.

Dalam pada itu, menurut kumpulan pemikir Milken Institute, sektor ‘fintech’ di Timur Tengah didapati sedang berkembang.

Namun, banyak negara di Timur Tengah dan Afrika Utara mencatatkan pelaburan dan kadar simpanan jangka panjang yang rendah dalam kalangan golongan muda.

Ini diperkuatkan lagi dengan statistik yang menyatakan hanya tujuh peratus orang dewasa di rantau itu yang menabung untuk bersara, menurut laporan ‘Saving for Old Age’ atau Menyimpan Ketika Usia Tua keluaran Bank Dunia pada tahun 2016.

Sebahagian negara Arab Teluk yang kaya dengan minyak termasuk pengeksport minyak mentah Arab Saudi telah lama melaksanakan skim pemberian pencen yang ditaja oleh kerajaan kepada warganegara masing-masing.

Bagaimanapun, menurut agensi berita Bloomberg, skim itu mungkin tidak akan berterusan ketika Riyadh berusaha mempelbagaikan ekonominya supaya ia tidak bergantung dengan minyak.

Tambahan pula, pencen itu tidak diberikan kepada warga asing.

SIMPAN DAN LABUR

Kebanyakan warga asing merupakan tenaga kerja yang murah dan membentuk sebahagian besar penduduk di negara-negara Teluk.

Isu lain yang berlaku di negara-negara Arab tentang pelaburan ialah ia terhad kepada individu yang mempunyai aset cair yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya sebanyak AS$1 juta (RM4.18 juta).

“Sekiranya seseorang ingin melabur AS$1,000 (RM4,185) atau AS$10,000 (RM41,850), tidak banyak (pilihan) pelaburan yang ada,” kata Haitham Juma iaitu seorang pengurus penyelesaian pelaburan di Bank Negara Fujairah yang berpusat di UAE.

Beliau menyatakan pelabur-pelabur yang mempunyai pelaburan kecil memerlukan pilihan pengurusan kekayaan yang dilihat mempunyai lebih banyak ketelusan, aksesibiliti dan kecairan sekali gus membantu membantu mereka membina pasaran pelaburan di rantau ini.

“Kami masih di peringkat awal,” kata Juma ketika bank dan firma tempatan berusaha untuk membuat platform online yang mendidik para pengguna dan memudahkan mereka membuat pelaburan.

Menjadikan proses lebih mudah, dan menyeronokkan adalah kunci untuk menarik pelabur baharu, seperti yang digariskan oleh Lune iaitu platform kewangan UAE yang dilancarkan pada bulan Julai lalu.

Alexandre Soued iaitu pengasas bersama aplikasi itu berkata, tumpuan platform itu adalah mengenai langkah-langkah awal mengurus, menyimpan dan kemudian melabur dan menggalakkan penggunaan aplikasi dalam talian yang mudah.

Soued berkata, para pelanggan Lune tidak lama lagi akan dapat membandingkan simpanan mereka dengan orang lain yang mempunyai umur yang sama.

“Orang ramai mula mahu menjadi lebih berdikari sejak usia muda,” katanya kepada AFP.

Speak Your Mind

*