Karies: Cegah atau Rawat?

Karies dan Pandemik Covid-19

Pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah memberi impak yang agak besar dalam bidang kesihatan termasuk pergigian. Temujanji pesakit terpaksa dihadkan dan keutamaan rawatan diberikan kepada kes-kes kecemasan sahaja. Ini berlaku bagi menggelakkan hubungan secara dekat dan langsung antara pesakit dan perawat.

Memandangkan pemeriksaan gigi secara berkala terpaksa dihadkan, maka beberapa kajian telah dijalankan untuk melihat impak pandemik ini kepada kesihatan mulut di kalangan masyarakat. Hasil kajian menunjukkan kekerapan menggosok gigi telah menurun dengan alasan mereka hanya berada di rumah dan tiada aktiviti sosial, maka kebersihan mulut tidak diutamakan. Malah kadar pengambilan makanan juga meningkat dan kualiti tidur juga turut terjejas. Secara tidak langsung, keadaan ini telah menyumbang kepada peningkatan peratus karies di kalangan masyarakat.

Karies adalah perkataan yang agak sinonim dan lebih dikenali sebagai ‘gigi berlubang’ di kalangan masyarakat kita. Tahukah anda maksud sebenar karies? Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan karies sebagai kerosakan atau keadaan busuk pada gigi dan tulang. Sejak kecil, kita selalu disajikan dengan iklan mengenai kepentingan penggunaan ubat gigi berfluorida untuk mengelakkan pembentukan kaviti pada permukaan gigi. Karies bukan hanya memberi masalah pada gigi tetapi boleh memberi kesan kepada kesihatan badan. Apabila gigi sakit, keupayaan untuk makan akan menurun dan menyebabkan kekurangan zat nutrisi kepada badan. Ini akan menyebabkan sistem ketahanan badan berada pada tahap yang rendah dan tidak mampu melawan jangkitan virus dan bakteria.

Masalah gigi berlubang boleh dialami oleh semua golongan masyarakat tidak kira kanak-kanak atau dewasa. Ianya boleh berlaku pada gigi susu atau gigi kekal. Tahukah anda yang pembentukan karies bukan bermula hanya apabila terjadinya kaviti pada permukaan gigi tetapi ianya bermula daripada pembentukan tompokan putih yang dikenali sebagai “white spot lesions“.

Bagaimanakah karies gigi terjadi?

Lapisan nipis yang dikenali sebagai plak sentiasa terbentuk pada permukaan gigi. Lapisan ini didiami oleh mikroorganisma yang tersedia ada di dalam mulut kita. Terdapat 700 spesis mikroorganisma yang berbeza di dalam mulut dan membentuk ekosistem yang sangat unik. Mikroorganisma ini memang diperlukan untuk membantu penguraian makanan, penyerapan zat nutrisi dan membersih permukaan gigi.

Ekosistem ini akan terganggu apabila berlaku perubahan pada persekitaran mulut seperti suhu, pH dan sistem ketahanan badan kita. Apabila kita mengambil makanan atau minuman yang mengandungi gula, gula tersebut akan digunakan oleh mikroorganisma untuk menghasilkan asid. Asid yang melekat pada permukaan gigi akan melembutkan lapisan gigi melalui proses yang dinamakan proses demineralisasi. Sekiranya proses ini berterusan dan tidak dineutralkan, maka pembentukan karies akan berlaku. Oleh itu, langkah pencegahan dan rawatan diperlukan supaya proses pembentukan karies dapat dihentikan.

Cegah atau rawat ?

Umumnya masyarakat selalu berfikir yang rawatan pada karies gigi adalah tampalan sahaja. Tahukah anda bahawa ianya tidak lagi begitu. Dengan perkembangan teknologi dan kajian yang diperluaskan, kaedah rawatan untuk masalah karies gigi telah bertambah baik. Garis panduan rawatan yang diberikan bukan sekadar mengawal proses karies malah mencegahnya daripada peringkat awal lagi.

Protokol rawatan klinikal telah diperkenalkan pada tahun 2012 di bengkel pengurusan karies Temple University untuk memberi rawatan pada masalah karies dengan lebih komprehensif. Jika terdapat karies di dalam mulut, keputusan untuk ditampal atau tidak berdasarkan kepada saiz, kedalaman dan status karies yang terbentuk dan faktor risiko yang menyumbang kepada pembentukannya. Faktor risiko ini terbahagi kepada dua iaitu tinggi dan rendah seperti gambar rajah 1 di bawah:

Gambar Rajah 1. Jenis Faktor Risiko

Perancangan rawatan yang spesifik sangat penting bagi memastikan doktor gigi dapat merawat masalah karies ini bermula dari puncanya. Ini akan menghasilkan kesihatan yang lebih optimum dan dapat mencegah daripada karies gigi yang berulang. Maka, rawatan yang disyorkan adalah berdasarkan pengkelasan pesakit sama ada kategori rendah, sederhana atau tinggi seperti dirumuskan dalam gambar rajah 2.

Gambar Rajah 2. Rawatan Karies Gigi

Rawatan pencegahan iaitu menggunakan ubat gigi yang berfluorida, kumuran atau sapuan berfluorida sangat ditekankan kerana dipercayai dapat meneutralkan asid yang dihasilkan oleh bakteria, yang juga dikenali sebagai proses remineralisasi., Pembentukan karies pada peringkat awal dapat mencegah apabila proses remineralisasi berlaku. Bukan itu sahaja, malahan dalam masa yang sama, dapat mengurangkan kos rawatan, menjimatkan masa pesakit dan perawat dan memastikan sistem ketahanan badan pada tahap yang maksimum. Seperti kata pepatah “Mencegah itu lebih baik daripada merawat”.

Kredit Foto : todaysrdh

Speak Your Mind

*