Kulit Kayu Manis Dalam Masakan Tidak Bahaya – KKM

Penggunaan kulit kayu manis jenis ‘cassia‘ dan ‘cinnamon‘ sebagai bahan rempah dalam masakan tidak mendatangkan risiko kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, ini kerana kebiasaannya kayu manis yang mengandungi coumarin, iaitu bahan semula jadi yang memberi perisa dalam makanan, hanya digunakan sedikit sahaja dalam masakan.

“Kandungan coumarin di dalam kulit kayu manis cassia adalah lebih tinggi berbanding kulit kayu manis cinnamon, bagaimanapun mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, coumarin dibenarkan dalam rempah ratus dengan tidak melebihi 10 mg/kg,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya peka dan prihatin terhadap dakwaan menerusi media sosial bahawa kononnya kulit kayu manis yang dijual di Malaysia adalah berbahaya serta boleh mendatangkan kesan kesihatan kepada hati dan buah pinggang manusia.

“Pengguna tidak perlu khuatir kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin,” katanya.

Kulit kayu manis cassia yang turut dikenali sebagai Chinese cinnamon, berasal dari selatan China dan turut ditanam di beberapa negara Asia seperti India, Indonesia, Laos, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam, manakala kulit kayu manis cinnamon adalah kulit kayu manis ‘Ceylon cinnamon‘ yang berasal dari Sri Lanka.

Orang ramai yang berasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan boleh membuat laporan terus kepada pihak KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang terdekat.

Mereka juga boleh membuat aduan melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my atau menerusi facebook BKKM www.facebook.com/

Speak Your Mind

*