Lantai Jubin Tamadun Rom Kuno Ditemui, Masih Cantik Walau Tertimbus Beratus Tahun

Tiada siapa sangka lantai jubin dari zaman Rom purba boleh ditemui dalam keadaan yang sangat baik. Tiga hari lalu, lantai jubin cantik dihasilkan dari abad ke-3 telah ditemui di sebuah pekan di utara Itali.

Ahli arkeologi di Verona berkata penemuan lantai jubin tersebut adalah sesuatu yang menakjubkan dan walaupun sudah tertanam di bawah tanah untuk sekian lama, lantai jubin berkenaan masih dalam keadaaan baik; malahan warnanya juga tidak pudar dimamah zaman.

Lebih menarik, jubin ini tertanam di bawah ladang anggur dan mereka perlu menggali beberapa meter ke dalam tanah sebelum lantai jubin ini ditemui. Berdasarkan laporan, jubin berkenaan kemungkinan besar adalah milik sebuah villa yang pernah dibina di kawasan tersebut.

Pada tahun 1922, kawasan yang sama pernah digali namun tiada hasil. Bagaimanapun, aktiviti tersebut disambung tahun ini dan kini membuahkan hasil.

Kerja-kerja penggalian masih diteruskan untuk melihat secara penuh corak lantai jubin ini disamping mencari asas bangunan villa berkenaan. Yang pasti, lokasi ini pasti sebuah pekan yang cantik satu ketika dahulu.

Speak Your Mind

*