Artikel ini merupakan terjemahan dan ringkasan daripada video informasi yang diterbitkan oleh laman sesawang everything explained. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan fakta, mohon maklumkan kepada pihak MajalahSains.com di alamat email editormajalahsains@gmail.com
MIMPI
Sedetik selepas terjaga dari tidur, kita tidak mampu mengingati apa yang berlaku dalam mimpi kita. Kebanyakkan orang sebenarnya tidak dapat mengingati hampir 90 % mengenai mimpi mereka sebaik sahaja terjaga dari tidur.
Mengapa ini terjadi?
Mengapa kita lupa mengenai mimpi kita?
Apa gunanya bermimpi, sekiranya kita tidak mampu mengingatinya?
Adakah cara agar kita mampu mengingati mimpi?
Bagamaina cara untuk mengingati mimpi?
Mimpi biasanya berlaku semasa Fasa Tidur yang dikenali sebagai Pergerakan Mata Pantas (Rapid-Eye Movement) atau REM. REM merupakan Fasa Keempat dan Fasa Akhir Tidur. Semasa dalam tiga fasa sebelum REM, badan kita berada dalam keadaaan relaks dan gelombang otak adalah perlahan. Tetapi semasa Fasa REM, keadaan otak seakan-akan aktif seperti ketika kita sedar. Pada Fasa REM ini juga mata didapati bergerak dengan cepat dalam pelbagai arah dan pernafasan menjadi semakin laju serta tidak teratur. REM boleh berlaku beberapa kali sepanjang malam yang merangkumi hampir 20-25 % daripada kitaran tidur orang dewasa dan hampir 50 % kitaran tidur bayi. Jadi, jika REM dan mimpi yang kita alami semasa itu, adalah sebahagian besar kitaran tidur, mengapa kita masih lagi tidak mampu mengingati mengenainya? Tiada siapa yang boleh menerangkan mengenai perkara ini dengan tepat. Malah, tidak salah jika saya katakan banyak perkara yang kita tidak tahu mengenai tidur. Namun demikian, terdapat juga beberapa teori yang membicarakan mengenai kesukaran untuk mengingati mimpi.
Teori Struktur Mimpi
Kebiasaannya, cara kita mengingati sesuatu perkara ialah secara kronologi atau secara sebab dan akibat. Tetapi mimpi tidak mematuhi cara ini !. Satu ketika, kamu mungkin bermimpi sedang menyediakan sarapan, dalam sejenak kemudian, kamu dapati diri kamu sedang terbang di atas ladang jagung. Kekurangan struktur koheren ini merupakan halangan terbesar sekali untuk mengingati mimpi kerana kronologi mimpi tidak seperti cara yang biasa (kronologi / sebab & akibat) kita gunakan untuk mengingati sesuatu perkara atau peristiwa.
Teori Evolusi
Kecenderungan untuk lupa mengenai mimpi mungkin boleh dikaitkan dengan faktor evolusi. Dari perspektif evolusi, mimpi boleh menjadi tidak berguna apabila dikaitkan dengan pembelajaran dan kelangsungan hidup. Ini kerana kita tidak dapat menerapkan apa yang berlaku dalam mimpi untuk senario kehidupan sebenar. Contohnya, Seorang primitif bermimpi bahawa dia dapat menewaskan haiwan pemangsa jenis karnivor hanya dengan menyanyi kepada haiwan itu. Kemudiannya setelah sedar dari mimpi, orang primitif itu cuba melakukan perkara yang sama dalam kehidupan sebenar, saya yakin orang primitif itu pasti akan sangat menyesal !. Jadi, mungkin kecenderungan untuk lupa mengenai mimpi adalah satu proses evolusi otak manusia untuk menyingkirkan maklumat yang tidak berguna.
Secara normal, mimpi yang tidak penting biasanya akan dilupakan, namun terdapat mimpi yang kekal dalam ingatan untuk sepanjang hayat. Kebiasaannya mimpi seperti ini mempunyai kaitan dengan emosi dan kehidupan peribadi seseorang. Misalannya, temujanji romantik, pertemuan penting, ataupun pencapaian peribadi. Berfikir tentang perkara ini boleh mengaktifkan Dorsolateral Prefrontal Cortex atau DLPFC iaitu suatu bahagian pada otak yang dikaitkan dengan Memori Kerja (Working Memory). Bermimpi sesuatu yang sangat aneh atau signifikan didapati meningkatkan aktiviti di dalam DLPFC dan seterusnya membolehkan kita mengingati mimpi itu. Ini terbukti benar kerana penulis sendiri berjaya mengingati mimpinya sejurus tersedar dari tidur akibat keletihan menyiapkan artikel ini.
Jurnal mimpi didapati terbukti mampu meningkatkan ingatan mengenai mimpi yang kita alami. Caranya amat mudah, cuma sediakan pen dan kertas di sebelah katil, tuliskan semuanya yang anda mampu ingat dengan segera sejurus terjaga dari tidur. Sudah tentu anda juga boleh lakukan kaedah ini dengan menggunakan telefon pintar, akan tetapi kebarangkalian untuk anda terganggu dari matlamat asal adalah amat tinggi.
Kredit Foto :
medicalnewstoday
kidspot
sleepjunkies
wikipedia
neurosciencemarketing
luciddreamsociety
Speak Your Mind