Sekali tengok, macam gambar yang sudah di-edit pun ada juga. Tapi rupanya, memang wujud di dunia nyata sebuah pulau yang berbentuk seakan cap jari manusia gergasi sekiranya dilihat dari atas.
Baljenac atau juga dikenali sebagai Bavljenac merupakan sebuah pulau kecil tidak berpenghuni yang terletak di Laut Adriatik di perairan Croatia. Apa yang uniknya tentang pulau ini adalah bentuknya yang seakan-akan cap jari manusia. Siap ada garis-garis lagi! Memang sebijik macam fingerprint manusia!
Untuk pengetahuan korang, garis-garis yang nampak macam garisan papilari di jari manusia ini sebenarnya adalah dinding batu yang sepanjang 23 kilometer. Dinding yang setinggi kira-kira pinggang manusia ini dihasilkan untuk melindungi tanaman daripada angin kuat selain memudahkan proses agrikultur di kawasan tidak boleh didiami manusia.
Lapor Oddity Central, dinding ini dibina oleh penduduk di Pulau Kaprije berdekatan dan merupakan teknik yang turut digunakan di beberapa negara Eropah seperti England dan Ireland. Pun begitu, hanya dinding yang dibina di Pulau Baljenac yang berupa seakan cap jari manusia jika dilihat dari atas.
Dikatakan, kebanyakan struktur dinding batu yang dibina di pulau terbabit sudah didirikan pada abad ke-19 lagi. Ketika itu, Pulau Baljenac dan Pulau Kaprije merupakan pulau yang menjadi perlindungan orang Kristian semasa penjajahan Ottoman pada abad ke-16 dan 17. Ada juga yang kata, sesetengah bahagian dinding itu mungkin berusia lebih lama dari itu,
Memetik laporan portal MyBestPlace, disebabkan bentuknya yang unik, kerajaan Croatia telah menghantar permohonan kepada UNESCO untuk memasukkan pulau ini dalam senarai lokasi bersejarah dunia yang akan membawa perlindungan kepada kawasan itu daripada mereka yang tidak bertanggungjawab.
Sumber: MyBestPlace, Oddity Central
Speak Your Mind