Al-Quran Bukan Hiasan, Sebaliknya Perlu Dibaca Dan Diamalkan

Al-Quran

AL-QURAN sememangnya dikenali sebagai kitab hidayah kerana ia memberi panduan kepada manusia untuk melayari kehidupan di atas muka bumi ini.

Pendakwah Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, walaupun secara fizikalnya kitabullah itu berbentuk mashaf, tetapi kalam ALLAH itu tetap wajib dimuliakan.

IMAM MUDA HASSAN

“Sebenarnya, apa yang dimaksudkan dengan al-Quran itu adalah isi kandungannya. Itulah kitab hidayah yang menjadi mukjizat agung Nabi Muhammad SAW.

“Sebab itulah kita sebagai umat Islam bukan sahaja perlu membacanya, tetapi juga memahami makna yang terkandung di dalam kalam ALLAH itu. Ingatlah kitab suci ini bukanlah hiasan, sekalipun ia boleh dibingkaikan dan digantung di dinding rumah atau di kedai.

“Ingatlah, apabila kita menggantung ayat suci al-Quran, ia bukanlah menjadi (perhiasan) semata-mata. Sebaliknya, ayat tersebut hendaklah kita lihat, baca dan mendalami maknanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Imam Muda Hassan turut memberi peringatan kepada seluruh umat Islam agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran bagi tujuan tertentu.

Umpamanya, menyandar atau menyangkutkan ayat 1,000 dinar di premis perniagaan kerana percaya ia boleh melariskan perusahaan masing-masing.

“Perbuatan itu pada hakikatnya menjebakkan pelakunya kepada perkara yang mensyirikkan ALLAH SWT. Tindakan tersebut juga seolah-olah memperlihatkan mereka menyembah ayat-ayat itu pula,” tegasnya.

Sebelum menoktahkan bicaranya, beliau menitipkan pesan agar setiap umat Islam berpegang teguh kepada warisan berharga peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan hadis.Al-Quran

BERPEGANG teguhkan kepada al-Quran dan hadis.

Dalam sebuah Hadis Riwayat Imam Malik, baginda SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab ALLAH (al-Quran) dan sunah nabi-NYA (sunah Nabi Muhammad SAW).”

“Tambahan pula, kita hidup pada akhir zaman yang penuh dengan ujian, fitnah dan sebagainya. Andai kita berpegang kepada kalam ALLAH dan hadis baginda, nabi sendiri memberi jaminan bahawa kita akan terselamat daripada kesesatan,” katanya.

Foto: Bernama & Pexels

Speak Your Mind

*