ALLAH Perihalkan Tentang Hari Kiamat Dalam Surah Al-Zalzalah. Ini Antara Inti Sari Penting Perlu Kita Ketahui

DUNIA bukanlah satu kehidupan yang hakiki. Ia tidak lebih daripada sebuah jambatan yang menghubungkan manusia dengan kehidupan di akhirat.
Dunia pada satu tarikh yang dirahsiakan ALLAH akan melabuhkan tirainya selepas muncul tanda-tanda kiamat. Bagi umat Islam, kiamat adalah kenescayaan. Beriman kepada hari kiamat juga salah satu daripada daripada Rukun Iman yang wajib diyakini.

Pada hari penghakiman itu nanti, segala amal baik dan buruk manusia akan diadili dengan sempurna oleh ALLAH YANG MAHA BERKUASA.

Sehubungan itu, sepanjang kita bernafas di muka bumi ini, sentiasa bersiap sedialah untuk mendepani saat getir itu. Jangan terlalu hanyut dengan nikmat dunia. Dalam Surah Ali Imran, ayat 185, ALLAH berfirman: “Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.“

Justeru, apakah amalan yang bakal menjadi penolong kita kelak? Sudah pasti, salah satunya adalah dengan membasahkan bibir dan mentadabbur ayat al-Quran dengan memahami, menghayati isi kandungan serta mengamalkannya setiap hari.

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, sebab ia akan datang memberikan syafaat pada hari kiamat kepada pemilik kepada pembaca, pengamalnya.“ (Hadis Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya, perihal hal kiamat secara jelas telah dinyatakan dalam Surah al-Zalzalah yang bermaksud kegoncangan atau gegaran.
Mempunyai lapan ayat dengan 36 perkataan dan 158 huruf, ia termasuk dalam surat Madaniyyah yang diturunkan selepas Surah an-Nisaa.
Apakah inti sari pengajaran dan pedoman di sebalik surah berkenaan? Benarkah dengan melaziminya, ia menyamai pahala membaca sebahagian al-Quran?

Bumi hancur

Sinar Islam Plus menghubungi pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau Da‘i Syafiqah untuk mendapatkan huraian lanjut mengenai Surah al-Zalzalah.

Ujar beliau, berdasarkan ayat suci berkenaan, ALLAH menjelaskan kepada manusia tentang sebahagian suasana pada hari kiamat dan keadaan yang akan terjadi di padang mahsyar kelak.

“Ya, semua yang dinyatakan itu benar-benar akan berlaku. Manusia akan menyaksikan kegoncangan dan gempa yang teramat kuat di alam semesta sebaik tiupan sangkakala yang pertama.

“Inti pati yang sama turut dinyatakan dalam Surah al-Hajj, ayat 1 yang membawa pengertian: “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya goncangan pada hari kiamat itu adalah sangat dahsyat,“ katanya baru-baru ini.

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, pendakwah berkenaan mahu manusia merenung sejenak mengenai kegoncangan yang dimaksudkan.

Cuba bayangkan, sekarang ini pun, gempa bumi yang ALLAH turunkan hanya sedikit, tetapi ia telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan kemusnahan yang sungguh menakutkan. Bagaimana pula nanti gempa dan goncangan pada hari kiamat? Sudah pasti ia akan menghancurkan kesemua yang ada di dalam isi perut bumi ini,“ soalnya.

Mengulas lanjut, Da‘i Syafiqah berkata, dalam Surah al-Zalzalah juga, ALLAH SWT memberitahu, bumi pada ketika itu akan mengeluarkan segala beban berat yang di dalamnya dalam dua keadaan.

Pertama, semua mayat yang tertanam semenjak dari awal sehinggalah yang terakhir disemadikan akan bangkit. Kedua, bumi juga akan membongkarkan segala khazanah yang ada di dalam perutnya.

Hal yang sama kata beliau, turut diperihalkan dalam Surah al-Insyiqaq ayat 3 dan 4 yang bermaksud: “Dan apabila bumi ini diratakan dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong.“

Ketika itu ujar pendakwah berkenaan, manusia akan berasa kebingungan dan tertanya-tanya apakah yang menyebabkan bumi menjadi sedemikian rupa? Ini kerana sebelum ini, bumi ini tetap, tidak bergoyang dan manusia dapat hidup di atasnya.

“Bumi juga akan mengkhabarkan segala apa yang dilakukan oleh setiap manusia, sama ada yang baik mahupun yang buruk,“ jelasnya.

Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW membaca ayat ke-4 dalam Surah al-Zalzalah kemudian baginda bertanya: “Tahukah kamu apa beritanya?“ Lalu sahabat berkata: “ALLAH dan Rasul-NYA lebih mengetahui.“

Baginda kemudian bersabda: “Sesungguhnya bumi mengkhabarkan beritanya iaitu bumi menjadi saksi setiap yang dilakukan dari lelaki dan perempuan dengan apa yang telah dilakukan. Bumi berkata, dia telah melakukan amal sekian sekian pada hari sekian sekian, begitulah bumi mengkhabarkan beritanya.“ (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kata Da‘i Syafiqah, apa yang berlaku pada bumi pada tempoh berkenaan adalah menuruti dan taat kepada perintah-NYA.

“Apa yang terjadi selepas itu adalah manusia akan bangkit dan keluar dari kubur masing-masing dalam keadaan berkelompok dan terpisah.

“Ada yang wajahnya berseri-seri, namun ada juga yang wajahnya hitam, suram dan ketakutan. Keadaan mereka itu sebenarnya memperlihatkan setiap amalan yang mereka lakukan semasa di dunia yang fana ini,“ katanya.

Kehidupan abadi

Sinar Islam Plus kemudian mendapatkan pandangan pendakwah Mohammad Aizuddin Abdul Aziz pula. Ketika ditanya pada waktu bilakah yang paling afdal untuk umat Islam membasahkan bibir melazimi Surah al-Zalzalah, jawabnya: “Umat Islam seisi alam digalakkan untuk membaca surah tersebut sebagai amalan harian tanpa mengkhususkan waktu tertentu.“

Kenyataannya itu berdasarkan catatan di dalam Kitab Amal Al-Yaum Wa Al-Lailah karya Ibn Al-Sunni, Amal Al-Yaum Wa Al-Lailah (karya Al-Suyuti) dan Tuhfah Al-Zakirin (karya Al-Syaukani).

Menyentuh mengenai pahala yang bakal diperoleh oleh individu membaca surah itu, Mohammad Aizuddin berkata, terdapat riwayat yang mengatakan, bacaannya menyamai pahala membaca sebahagian al-Quran.

Namun, melihat kepada ganjaran dan isi ayat ini, sudah pasti ia memberi impak yang besar dalam kehidupan Muslim khususnya dari aspek spiritual. Pengaruh ini (spiritual) ini diperlukan demi pengukuhan iman. Saya juga memetik pernyataan Dr Yusuf Al-Qaradawī ketika membahaskan surah ini. Dalam tafsirnya, beliau menekankan bahawa benih keimanan ini ditanam dan perlu diperkukuhkan. Sesungguhnya, iman merupakan syarat kepada penerimaan amal,“ tutur agamawan itu.

Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia meneruskan hujah. Katanya, terdapat beberapa teras utama yang boleh dikaitkan dengan Surah al-Zalzalah yang boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat hari ini.

“Seperti yang kita semua maklum, tarikh berlakunya kiamat hanya dalam pengetahuan ALLAH SWT sahaja. Adapun yang dikhabarkan itu sama ada dalam surah ini ataupun selainnya, hanyalah tentang tanda-tanda kepada berlakunya kiamat.

“Oleh yang demikian, umat Islam seharusnya berhati-hati dengan dakwaan ilmu, ilham dan teori-teori tentang tarikh kiamat,“ katanya.

Surah al-Zalzalah juga beritahu agamawan tersebut, turut memberi peringatan bahawa kewujudan manusia di alam ini tidak terhenti dengan sebuah kematian.

Ketahuilah, ia bukan kitaran atau adat kebiasaan semata-mata yang bermula dengan kelahiran dan disudahi dengan kematian. Bahkan, ia akan ada lagi kesinambungan hidup selepas itu yang dinamakan sebagai kehidupan yang abadi. Sehubungan itu, jadikanlah surah hebat ini sebagai motivasi kepada kita untuk tidak berasa hina dengan pemberian yang sedikit. Pada masa sama, tidak mengambil mudah dengan maksiat walaupun sebesar zarah. Ingat, segenap perkara yang dilakukan kita akan dihisab dan diberi ganjaran meskipun sekecil-kecilnya,“ katanya.

Dalam Hadis Riwayat Muslim, baginda bersabda: “Jangan sekali-kali kalian meremehkan daripada kebaikan meskipun dengan keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu.“

Surah al-Zalzalah jawab tiga keraguan, dakwaan kaum musyrikin Quraisy

PENDAKWAH Syaari Abdul Rahman berkata, Surah al-Zalzalah telah menjawab tiga keraguan dan dakwaan yang melanda kaum musyrikin Quraisy.

Ini kerana pada zaman Nabi Muhammad SAW, ayat-ayat al-Quran yang menyentuh perihal hari kebangkitan dan akhirat tidak akan didengari dan tidak dipercayai oleh mereka.

Musyrikin Quraisy membuat dakwaan bahawa tiada kehancuran pada alam ini melainkan kematian mereka sahaja. Dakwaan yang kedua adalah mustahil untuk setiap perbuatan terdapat catatan sulit dan akan dibentangkan secara terperinci. Ketiga, mereka membuat dakwaan jika benar sekali pun kedua-dua perkara yang disebut tadi akan berlaku, ‘tuhan-tuhannya‘ akan membantu untuk memberi syafaat!,“ katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Paradigma Ibrah Sdn Bhd.

Sehubungan itu, ujar Syaari, ALLAH SWT telah membalasnya dalam Surah Zalzalah dengan isi kandungan yang bernas dan padat.

Pendakwah itu menambah, intipati lapan ayat dalam surah berkenaan juga mempunyai keunikan tersendiri kerana ia menjelaskan mengenai lokasi yang menjadi perhitungan antara pahala dan dosa.

“Gambaran sebegini hanya dijelaskan dalam surah itu dan mungkin asbab inilah yang membuatkan Ibnu Umar RA sering berpindah tempat apabila beliau mahu menunaikan solat sunat selepas solat fardu,“ katanya.

Syaari turut memetik pesanan Imam al-Nawawi yang menasihatkan umat Islam untuk sentiasa memperbanyakkan tempat untuk bersujud.

“Mungkin dengan bersujud di banyak tempat, akan menjadi saksi kebaikan yang dilakukan di atas muka bumi ini,“ katanya.

Dalam pada itu, ujar Syaari, perkataan asytatan dalam Surah al-Zalzalah membawa maksud bahawa kita sudah boleh mengetahui kesudahan diri sebelum dihisab.

“Jangan terkejut apabila dibangunkan kelak kita akan dapati suami tiada, ayah tiada dan anak pun tiada di sisi,“ ujarnya.

Sebelum menutup tirai bicara, agamawan tersebut berkata, Surah al-Zalzalah memberi ruang kepada pembacanya supaya berfikir tentang satu perhimpunan manusia yang terbesar. Ia membabitkan seluruh penghuni di satu lokasi sahaja yang mana kesemuanya terdiri daripada umat sejak zaman berzaman.

Speak Your Mind

*