Zulhijjah adalah salah satu daripada empat bulan yang dihormati dalam Islam.
Jika Ramadan dikenali dengan kelebihan sepuluh malam terakhir, Zulhijjah pula mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya pada 10 hari pertama.
Malah, pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah memberikan pahala yang lebih besar daripada jihad.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Tiada amalan dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun jihad? Baginda menjawab: Tidak juga jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi.” (HR al-Bukhari)
Ternyata terdapat banyak kelebihan sehingga Rasulullah meletakkan 10 hari terawal Zulhijjah sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian.
Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh ALLAH.
Oleh itu, antara amalan yang disarankan:
1. Solat awal waktu secara berjemaah
Solat pada awal waktu dan solat berjemaah sememangnya tersabit kelebihan dalam banyak hadis antaranya:
Sahih al-Bukhari (5970) yang bermaksud “Apakah amalan paling dicintai di sisi ALLAH SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT”.
Sahih Muslim (1509) yang bermaksud “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat sendiri sebanyak 27 rakaat.”
2. Haji dan umrah bagi berkemampuan
Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Justeru, setiap Muslim mestilah menanam dalam hati dan berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah ALLAH SWT.
Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran: 97 yang bermaksud, “Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
3. Berbakti kepada kedua ibu bapa
ALLAH SWT memerintahkan umat manusia untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat al-Quran surah al-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang musafir terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
4. Memelihara silaturahim
Terdapat banyak keistimewaan menjaga silaturahim. Contohnya, kita akan mendapat keredaan ALLAH SWT.
Firman ALLAH SWT mafhumnya: “Dan bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-NYA serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa’: 1).
5. Bertaubat dan istighfar
Kelebihan beristighfar sangat penting dan besar. Rasulullah SAW yang maksum dan dijanjikan syurga sendiri beristighfar dengan penuh penghayatan sebanyak 70 hingga 100 kali sehari.
Justeru, kita perlu memperbanyakkan istighfar dan taubat kerana keutamaannya yang sangat besar dan ALLAH SWT yang memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa beristighfar serta bertaubat kepada-NYA.
6. Baca al-Quran
Satu perkara yang perlu terpahat dalam hati dan fikiran setiap Muslim adalah membaca al-Quran. Ia bukan hanya mampu memperoleh pahala bacaan sahaja, malah bakal menjadi penyelamat, pelindung dan syafaat kepada pembacanya pada hari akhirat kelak.Umamah al-Bahili meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Pada hari kiamat, ia akan memberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” (Sahih Muslim)
Bukan saja mereka yang membaca al-Quran, malah golongan mendengar bacaan al-Quran juga dikira sebagai melakukan amal kebaikan.
7. Melakukan ibadah korban
Hukum ibadat korban adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut).
Golongan yang mampu adalah orang mempunyai lebihan harta sebanyak nilaian harga binatang korban daripada keperluannya dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari Tasyrik.
8. Bersedekah
Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”
9. Berzikir kepada Allah, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW
Selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir.Oleh sebab itu, ALLAH SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta ALLAH SWT.
10. Melakukan amar makruf nahi mungkar
Amar makruf dan nahi mungkar bermaksud “mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”.
Mengajak kebaikan ialah mengajak manusia kepada ALLAH atau mentaati perintah ALLAH. Amar makruf nahi mungkar ialah amalan sunah nabi yang fardu.
Justeru, ambil peluang keemasan dengan memperbanyakkan amalan soleh. Lakukan apa sahaja amalan dengan ikhlas bagi mendapat rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT.
Sumber: Pejabat Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama)
Speak Your Mind