SIFAT hati adalah berbolak-balik. Kadang ke kiri dan kadang ke kanan. Ada kala menuju kebaikan dan ada kalanya menyukai keburukan. Itulah hakikat hati.
Justeru, hati perlu diberikan perhatian selalu. Hati perlu dipelihara dan dijaga. Jangan dibiar usang menjadi lubuk dosa. Bersarang kegelapan dan merosakkan keimanan.
Belajarlah untuk bersangka baik kerana ia akan menyebabkan kehidupan kita lebih baik dan teratur. Hati akan menjadi tenang tatkala sangka baik menjadi satu kebiasaan.
“Tidak halal seorang Muslim yang mendengar suatu perkataan daripada saudaranya, lalu dia terus bersangka buruk dengannya sedangkan dia mampu mengandaikan sesuatu maksud yang baik sebagai jalan keluar.” – Umar Al-Khattab
Lihatlah orang lain lebih baik daripada diri kita. Hal ini dapat menjaga hati dari dihinggap penyakit hati seperti dengki, sombong, riyak dan sifat-sifat mazmumah yang lain.
Kita sering menitikberatkan makanan dari segi jasmani. Namun makanan rohani pula bagaimana?
Rohani kita juga turut memerlukan makanan yang cukup. Jangan dibiarkan berlapar dan tidak terisi.
Apa kata kita seiringkan juga makanan untuk rohani kita. Supaya hati kita lebih kuat dan berkualiti. Antara makanan untuk rohani adalah:
1- Membaca al-Quran
2- Berzikir
3- Berpuasa sunat
4- Berselawat
5- Bersedekah
6- Berbakti kepada kedua ibu bapa
8- Membantu orang miskin
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.” – Surah Al-Anbiya’ 21:31
Selain itu, hati juga perlukan kekuatan. Jangan hanya menfokuskan kepada kekuatan jasmani semata. Rohani dan jasmani saling berkait dan tidak boleh hanya salah satu sahaja yang ada kekuatan.
Hati juga jangan sombong! Sombong hanya menyebabkan diri kita di dalam kerugian. Tidak ada apa yang patut kita banggakan kerana semua yang kita ada adalah milik ALLAH SWT. Semuanya hanya pinjaman. Ia akan ditinggalkan juga pada suatu hari nanti.
Bersihkan hati daripada sifat sombong kerana ia dapat merosakkan segala kebaikan. Rugi sahaja kebaikan dibuat tetapi terselit dengan secebis kesombongan.
Jadi, jangan biarkan hati terus mati dan gelap. Sinarilah ia dengan cahaya keimanan. Cucilah dengan kalimah zikir dan alunan al-Quran.
Semoga hati kita semua ditetapkan dalam Islam dan iman. Hati yang suci menghadirkan ketenangan walau dalam kesusahan.
Sumber: Fazli Abdullah
Speak Your Mind